“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Julai 03, 2008

Pembinaan iman, takwa bendung gejala sosial

Oleh Aminudin Mansor

GEJALA sosial yang melanda umat Islam hari ini amat mencemaskan kerana setiap hari dalam media tempatan terpapar pelbagai permasalahan yang menunjukkan gejala sosial sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Oleh itu, sebagai manusia dianugerahkan Allah akal fikiran yang waras, maka manusia dituntut untuk mencari jalan penyelesaian ke atas fenomena yang mencetuskan gejala sosial melanda umat Islam. Antara gejala sosial sering dipaparkan ialah bohsia, disiplin pelajar, lari dari rumah, lepak, murtad, pelacuran, pembuangan bayi, penculikan, penagihan dadah, penderaan terhadap isteri, penganiayaan kanak-kanak, perceraian, rasuah dan rogol.

Punca berlakunya gejala sosial ialah kelemahan iman dan kurang didikan agama sejak kecil. Remaja terlalu mengikut nafsu serta terdedah kepada unsur kurang sihat. Daripada kes bohsia membabitkan jangkitan virus HIV, pembuangan bayi, pelacuran dan penagihan dadah. Masalah dan gejala disiplin pelajar disebabkan ibu bapa gagal memainkan peranan penting dalam mendidik anak. Ini diikuti faktor disiplin terlalu ketat serta pelajar berasa bosan dengan keadaan persekitaran dan suasana di sekolah. Selain itu, kurangnya didikan agama dan pengaruh media elektronik juga banyak menyumbang ke arah masalah disiplin pelajar. Hal ini menyebabkan kes lari dari rumah, merokok, melepak dan penagihan dadah.

Permasalahan ini mempunyai kaitan yang menyumbang kepada gejala sosial membabitkan pelajar dan remaja. Ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak sebagai amanah Allah kepada mereka. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami jadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalannya." (Surah al-Khafi, ayat 7). Jelaslah ibu bapa adalah orang paling penting mengawasi tingkah laku dan peribadi anak, selain daripada teman rapat, rakan dan guru. Oleh itu, ibu bapa mesti memastikan teman atau rakan anak remaja dalam kalangan mereka yang beriman serta baik budi pekertinya.

Bagi gejala sosial, penderaan isteri, penganiayaan kanak-kanak, pembuangan bayi ada kaitan dengan kes atau gejala perceraian antara suami isteri. Hal ini juga mungkin disebabkan faktor emosi, kurang didikan agama, persekitaran sosial, tekanan hidup, kemiskinan, pergaulan bebas dan ketiadaan contoh teladan akhlak Islamiah. Semuanya mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam dunia yang penuh pancaroba dan dugaan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah melindungi hamba-Nya yang mukmin daripada godaan dunia dan Allah juga melindungi orang yang sakit dan menegahnya daripada makanan serta minuman yang kamu takuti akan mengganggu kesihatannya." (Riwayat Al-Hakim dan Ahmad).

Semua gejala dalam masyarakat hari ini ada penawar dan cara mengatasinya. Apa yang penting adalah perasaan takut kepada Allah. Jika manusia takut kepada Allah semua gejala sosial ini akan berlalu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Barang siapa takut kepada Allah, maka Allah menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Barang siapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikannya takut kepada segala sesuatu." (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hal ini, Hamka pernah berkata, "Akan bagaimana jadinya, apabila generasi yang kita harapkan menjadi generasi penerus, apabila budi angkatan muda (remaja) rosak hancur kerana ditentukan oleh agama yang kita peluk dan pesan datuk nenek moyang kita?" Maksudnya, jati diri dan peribadi remaja hari ini yang akan menjadi pemimpin masa depan banyak bergantung pada didikan agama diterima mereka. Selain itu, pendidikan, pesanan serta ajaran datuk nenek juga banyak mempengaruhi gaya hidup remaja ke arah kebaikan. Untuk menangani segala masalah gejala sosial, pembentukan akhlak mulia dalam diri anak adalah cara terbaik.

Oleh itu, akhlak mulia mestilah dididik sejak anak itu lahir kemudian diasuh dan dipupuk hinggalah dewasa dan seterusnya sehingga tua. Imam Al-Ghazali pernah berkata, "Kuat dan gayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak, maka binasalah umat itu." Oleh itu, peringatan ini patut dijadikan iktibar kepada umat yang terkemudian bagi menyelamatkan umat seterusnya daripada kebinasaan disebabkan gejala sosial yang melanda dewasa ini.

Khalifah Ali bin Abi Thalib berkata, "Barang siapa mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya ia tidak meninggalkan usaha mencari syurga dan lari dari neraka. Pertama, ia mengenal Allah lalu mentaati-Nya, kedua, ia mengenal syaitan lalu menderhakainya, ketiga, ia mengenal kebenaran lalu mengikutinya, keempat, ia mengenal yang batil lalu menjaga diri daripadanya, kelima, ia mengenal dunia lalu menolaknya, keenam, ia mengenal akhirat lalu mencarinya."

Semua pihak mesti berusaha mengatasi gejala sosial yang boleh meruntuhkan umat Islam. Menerusi iman dan takwa, semua gejala sosial ini dapat dibanteras hingga ke akar umbinya. Dengan iman yang kuat, yakin, sabar dan jihad, gejala sosial dapat ditangani dan diatasi dengan akal bijak.

Kesimpulannya, kita tidak mahu melihat generasi akan datang hanyut dalam kancah gejala sosial yang boleh meruntuhkan iman umat Islam. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini dipenuhi pelbagai cubaan. Jika tidak mempunyai iman yang kuat akan membawa ke arah kehancuran dalam kehidupan.

Sumber: BharianOnLine 03/07/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails