“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Januari 28, 2009

Islam memuliakan wanita

WAHAI orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (Surah An-Nisa': 19)

Huraian

Islam mengharamkan perbuatan mewarisi perempuan seperti mewarisi barang-barang dan binatang-binatang, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan menyusahkan dan menyakitkan perempuan untuk memudaratkan mereka, kecuali jika ia melakukan perbuatan yang keji.

Islam memberi kebebasan kepada perempuan di dalam memilih teman hidupnya dari awal, iaitu sama ada dara atau janda , sama ada yang ditalak atau yang kematian suaminya.

Islam juga menyeru kepada kaum lelaki supaya tidak mudah terburu-buru emosi mengambil keputusan bertindak memutuskan hubungan suami isteri sekiranya terjadi sesuatu perbalahan dan persengketaan suami isteri.

Apabila berlaku keadaan sedemikian, suami hendaklah berusaha mengawal kemarahan dan kebencian yang memuncak. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Allah SWT memerintah setiap suami menjaga kebajikan isteri masing-masing dengan baik, melayan isteri-isteri dengan penuh kemesraan dan kasih sayang, mendidik isteri dengan penuh hikmah, seterusnya memperlakukan mereka sebagaimana selayaknya seorang insan.

Kesimpulan

Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT.

Golongan suami hendaklah menghormati isteri-isteri mereka dan melayan mereka dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.

Sesungguhnya peranan seorang isteri amat penting dalam sesebuah rumah tangga, oleh itu muliakanlah dan hormatilah kaum hawa seperti sepatutnya.

Sumber: UtusanOnLine 27/01/2009

Butiran selanjutnya ...

Hak Muslim: Wanita keluar bekerja tak langgar syarat edah

SOALAN:

SAYA kematian suami sebulan yang lalu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Rumah tangga kami aman bahagia dan dikurniakan empat anak berumur antara dua dan 10 tahun. Saya mempunyai seorang pembantu rumah. Saya sedih dengan kematian suami namun akur itu adalah ketentuan Ilahi. Sebagai seorang Islam saya mesti menerima hakikat itu.

Saya diberitahu oleh saudara mara sebelah suami bahawa jika saya masih sayangkan suami, saya tidak boleh keluar dari rumah selama empat bulan. Ini menimbulkan tanda tanya kerana saya adalah seorang wanita yang bekerja. Jika saya tidak boleh keluar rumah bererti saya perlu berhenti bekerja sedangkan suami sudah tiada bagi menanggung keluarga. Saya amat menyayangi suami tetapi saya perlu menanggung keluarga.

Balu
Kota Setar

JAWAPAN:

Saya mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga. Saya mendoakan semoga roh arwah suami ditempatkan di sisi roh orang mukmin dan para anbia. Bersabarlah menghadapi ujian ini kerana setiap ujian yang Allah tentukan itu pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Tabah mengharungi dugaan juga perlu menjadi benteng ketahanan diri dan ketahuilah Allah tidak akan menguji jika puan tidak mampu menghadapi ujian itu.

Berbalik kepada persoalan puan, sebenarnya tempoh empat bulan yang dinyatakan saudara suami adalah apa yang dinamakan sebagai tempoh edah. Jika seorang wanita itu kematian suami atau diceraikan suaminya, maka wanita berkenaan hendaklah berada dalam tempoh edah dan mematuhi beberapa syarat sepanjang tempoh itu.

Tempoh edah bagi wanita yang kematian suami adalah berbeza mengikut keadaan wanita itu. Pada masa dalam edah, ada beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan antaranya ialah berkahwin semula dengan orang lain, keluar rumah tanpa keperluan, bersolek dan memakai wangian.

Tujuan syarat itu dikenakan ialah bagi menzahirkan rasa duka cita isteri terhadap kematian suaminya. Ia juga bagi memastikan tiada zuriat lain yang akan dilahirkan bagi tujuan menjaga nasab si mati.

Ketika tempoh edah, isteri dilarang berkahwin dengan lelaki lain kerana ditakuti anak yang bakal dilahirkan itu, tidak pasti dinasabkan kepada siapa. Selepas dipastikan wanita itu tidak mengandung anak si mati, barulah wanita itu boleh memulakan hidup baru dengan lelaki lain setelah tamat tempoh edah.

Bersolek dan memakai wangian juga dilarang dalam tempoh itu kerana ia tidak melambangkan duka cita isteri yang kematian suaminya. Umumnya isteri yang kematian suami dilarang keluar dari rumah kelaminnya ketika dalam tempoh edah. Ini adalah bagi mengelak tohmahan terhadap isteri.

Namun, jika ada keperluan yang mendesak isteri boleh keluar rumah. Berdasarkan soalan yang puan kemukakan, adalah jelas bahawa puan terpaksa keluar rumah untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.

Oleh yang demikian, puan tidak perlu berhenti bekerja kerana puan perlu menanggung keluarga. Jika puan berhenti kerja dalam tempoh edah, dikhuatiri puan tidak akan dapat menanggung keluarga dan anak akan menderita.

Bagaimanapun, puan perlu segera pulang ke rumah jika keadaan tidak memerlukan puan berada di luar rumah. Puan juga dinasihatkan tidak keluar rumah pada waktu malam kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.

Persoalan puan sayangkan suami atau sebaliknya adalah persoalan yang hanya puan saja yang mengetahuinya dan ia tidak boleh diukur daripada perbuatan keluar rumah. Apa yang lebih penting ialah puan mendoakan roh suami supaya ditempatkan bersama orang soleh dan para anbia'.

Puan juga berperanan mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh dan mendoakan kedua orang tuanya. Doa anak yang soleh penting kerana ada jaminan daripada Rasulullah SAW bahawa doa anak yang soleh tidak akan putus kepada si mati.

Bagi menjaga hubungan puan dengan keluarga suami, jelaskan kepada mereka bahawa puan perlu bekerja bagi menanggung keluarga dan langsung tidak menghakis kasih sayang terhadap suami. Berbincanglah dengan penuh hikmah dalam suasana harmoni dan mintalah mereka faham akan situasi yang puan hadapi sekarang.

Saya harapkan puan dapat bersabar atas dugaan yang melanda, banyakkan berzikir dan mengingati Allah. Berdoalah supaya Allah memberi yang terbaik kepada puan sekeluarga.

Info
Larangan keatas wanita kematian suami

  • Isteri dilarang berkahwin dengan lelaki lain kerana ditakuti anak yang bakal dilahirkan itu, tidak pasti dinasabkan kepada siapa. Setelah dipastikan wanita itu tidak mengandung anak si mati, barulah wanita itu boleh memulakan hidup baru dengan lelaki lain setelah tamat tempoh edah.

  • Keluar rumah tanpa keperluan bagi mengelak tohmahan. Namun, jika ada keperluan yang mendesak isteri boleh keluar rumah untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.

  • Bersolek dan memakai wangian juga dilarang dalam tempoh itu kerana ia tidak melambangkan duka cita isteri yang kematian suaminya.

    Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sila layari http://peguamsyarie. blogspot.com
  • Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28

    Butiran selanjutnya ...

    Tanggungjawab memakmurkan negara

    Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
    salidasuhaila99@yahoo.com

    Rakyat, pemimpin perlu bekerjsama bagi pastikan keharmonian sentiasa terpelihara

    MELIHAT pelbagai bentuk penindasan terhadap umat Islam dan negara Islam hari ini, mendorong kita untuk berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Malaysia masih lagi dianugerahkan nikmat tidak terbalas, rahmat daripada-Nya yang sentiasa belas, mengizinkan negara ini terus dibangunkan dengan kestabilan berpanjangan.

    Bahkan, rakyat dan pemimpin saling merancang keperluan negara dengan baik, menerima teguran dengan harapan ia dapat membina kesejagatan yang sentiasa memihak kepada kebajikan golongan yang tidak bernasib baik.

    Tanggungjawab memakmurkan negara bukan terletak pada bahu pemimpin semata-mata, sebaliknya setiap rakyat terutama umat Islam perlu mengambil berat soal kesejahteraan, keamanan, keharmonian, diplomasi, kesepakatan dan ikhlas terhadap perjuangan menyatupadukan hati setiap warga negara untuk sebuah kehidupan yang tidak banyak ranjaunya.

    Apabila melantik pemimpin, ia tidak bermakna orang yang dipimpin menyerahkan tanggungjawab seluruhnya kepada ketua, sehinggakan beban seberat zarah pun tidak ingin dipikul kerana mengharapkan bantuan orang lain yang lebih kuat dan berkuasa.

    Alangkah indah andainya setiap seorang di antara kita mengambil berat soal kebajikan saudara seagama sehingga setiap rakyat turut memainkan peranan sebagai pemimpin kepada ahli masyarakat yang lainnya.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)." (Surah al-Mulk, ayat 15)

    Sebagai umat Islam, al-Quran dan hadis sudah tersedia sebagai panduan, bagaimana hendak memakmurkan negara menurut wahyu yang tentunya tidak sekali-kali melanggar tabii manusia, malah itulah yang lebih utama.

    Manusia dilantik sebagai khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir dunia dengan sempurna, bukan memusnahkannya dan caranya sudah diajar oleh Allah. Malah, jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas hak setiap makhluk Allah yang dilakukan tanpa keizinan diredai Allah, wajiblah kembali kepada Allah dengan memohon keampunan dan taubat.

    Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang menjadikan kamu dari bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permoho-nan hamba-Nya." (Surah Hud, ayat 61)

    Tugas memakmurkan muka bumi adalah wajib ke atas setiap umat Islam untuk mengimbangi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, peranan merancang sekali gus melakukan setiap perincian pelan strategik negara adalah semata-mata untuk faedah setiap individu, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

    Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

    Ketangkasan berfikir untuk menyelesaikan sebarang masalah membabitkan perselisihan antara umat Islam, mengelakkan masalah rendah akhlak, menjauhi sebarang skandal dan tidak bersekutu dengan pihak yang menolak wahyu dan tradisi Rasulullah SAW melambangkan keperibadian khalifah di bumi yang dilantik Allah.

    Ia kerana permusuhan dan persengketaan hanya membawa misi kegagalan, bahkan memalukan, apatah lagi dengan gelaran khalifah yang dikurnia Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'du, ayat 11)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah)." (Surah al-Qasas, ayat 77)

    Kita seharusnya sedar bahawa setiap apa dilakukan di dunia adalah untuk mendapatkan keredaan Allah. Setiap komitmen untuk memajukan diri serta membangunkan modal insan mestilah berpaksikan hukum, supaya tidak tersilap mengatur langkah walaupun tiada niat untuk menyesatkan orang lain.

    Selain daripada itu, setiap individu mestilah menanam tekad dan hasrat membawa diri selurus-lurusnya mengikut landasan yang dibina Rasulullah SAW dan para khulafa' sesudahnya dengan susah payah.

    Kita perlu memahami hakikat tiada kehidupan sesudah mati melainkan apa yang dijanjikan-Nya, justeru tentulah kita pasrah terhadap peraturan alam dan kehidupan. Tiada apa yang boleh dibanggakan di dunia ini melainkan semuanya perhiasan semata-mata, bukan ia tidak boleh dimanfaatkan tetapi biarlah membawa keuntungan kepada diri sendiri yang tidak akan dibantu oleh orang lain sewaktu hari perhitungan.

    Menjadikan Rasulullah SAW ikutan terbaik, para sahabat dan wanita beriman yang hampir dengan Baginda, umat Islam mestilah mengisi dada dan hiasi personaliti dengan ilmu serta nilai murni kerana itulah yang akan mengangkat darjah ummah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

    Memakmurkan negara bukanlah satu tanggungjawab enteng, bahkan untuk menjadi umat berkualiti, sekali gus menghimpun ummah yang dihormati memakan masa berpuluh malah beratus tahun lamanya.

    Melainkan, mulai hari ini setiap individu Muslim memantapkan siasah dan menekuni jihad kehidupan dunia untuk kesejahteraan di akhirat kerana hanya orang yang berilmu serta mempunyai pegangan agama saja yang boleh merealisasikan wawasan agama dan negara.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

    Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28

    Butiran selanjutnya ...

    Melanggari amanah bererti mengkhianati agama

    Oleh Amran Zakaria
    amranzakaria@gmail.com

    Tanggungjawab diberi perlu dilaksana sebaik mungkin untuk wujudkan keamanan, keselamatan

    AMANAH berasal daripada perkataan Arab, amana, bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.

    Pecah amanah atau mengabaikan amanah yang diberikan adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam, sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan amanah dan tanggungjawab mereka yang memikul amanah itu seperti sabdanya yang bermaksud, "Menyertai perang fisabilillah akan menghapuskan segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang diamanahkan." (Riwayat Abdullah Mas'ud).

    Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa juga bentuk amanah dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti. Memusnahkan amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan saja terhadap diri pelakunya, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya. Mereka yang diamanahkan untuk menjadi pengurus hendaklah membuat perancangan secara lebih strategik dengan daya fikiran lateral, jelas dan misi yang jitu. Pelaksanaannya pula hendaklah secara optimistik dengan menerap nilai yang murni di atas teras akauntabiliti, kualiti dan amanah.

    Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibel dan amanah adalah prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh. Islam mempunyai falsafah dan pendekatan sebagai garis panduan dalam melahirkan insan yang mempunyai sifat akauntabiliti, berkualiti dan amanah. Mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan amanah, terutama berkaitan dengan aspek kewangan jangan mengambil mudah berhubung dengan amaran Rasulullah SAW agar amanah yang diberi tidak dikhianati. Mereka yang diamanahkan mesti bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan tanpa rasa angkuh, sombong dan riak dengan perjawatan itu. Mereka juga tidak boleh semata-mata mengejar keuntungan di dunia berselindung di sebalik perjawatan dan kuasa mereka. Mereka yang mempunyai sahsiah itu mesti ingat bahawa segala urusan di dunia akan dihisab di akhirat seperti mereka menghitung keuntungan yang diperoleh di dunia melalui mainan catur kepintaran dan kecekapan mereka.

    Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga adalah amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan diri. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga pengabaian terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pengurusan dan pekerjanya. Menyembunyikan fakta sebenar bertujuan mempertahankan imej dan personaliti majikan amat dilarang kerana kadang-kalanya ia boleh 'membunuh' terutama apabila rahsia tidak dapat disembunyikan lagi.

    Justeru, jangan sekali-kali mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya kerana amanah adalah suruhan dan larangan bagi agama dan melanggarnya bererti mengkhianati agama. Sesungguhnya orang yang mengkhianati amanah akan dituntut oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak, supaya memulangkan hak kepada ahlinya. Soal menjaga kewangan, terutama berkaitan pengurusannya amat diberi perhatian dalam Islam.

    Sejarah ada menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz begitu sensitif terhadap perkara itu.
    Beliau, yakni khalifah cukup terkenal dengan sikapnya yang berhati-hati menguruskan amanah dan menjaga amanah yang diberikan. Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dulu berkata: "Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?" Selepas anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tindakannya itu, Umar menjawab: "Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga". Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.

    Sebahagian daripada mereka yang diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus amanah beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa saja kerana kuasa yang ada di tangan mereka. Mereka bebas bertindak, berbelanja atau bebas menentukan gaji yang berhak diterima sedangkan apa yang diperoleh tidak setimpal dengan khidmat dan kebolehupayaan dalam pengurusan, melainkan mengambil peluang daripada jawatan itu.

    • Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

    Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28

    Butiran selanjutnya ...

    Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu

    ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ.

    AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad SAW. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

    Dalam Islam, Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

    Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.

    Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

    Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah SAW. Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

    Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa. Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.

    “Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. “Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata beliau. Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain. Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

    “Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah SWT. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.

    Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain. Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

    Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.

    “Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. “Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil,” tegas beliau.

    Adat cukur jambul

    Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

    Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

    Adat berendoi (naik buai)

    Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

    Sumber: UtusanOnLine 11/09/2006

    Butiran selanjutnya ...

    Diet sihat untuk ibu yang menyusui anak


    Ramai wanita tertanya-tanya sama ada mereka harus mengikuti diet yang khusus sewaktu mereka sedang menyusui anak. Berita baiknya, anda mungkin tidak perlu melakukan perubahan diet yang drastik melainkan anda mengamalkan cara pemakanan yang tidak sihat sebelum ini. Namun, ada beberapa perkara yang anda harus pertimbangkan:

    Diet yang seimbang penting untuk kesihatan anda

    Satu daripada kelebihan susu ibu ialah ia boleh memenuhi keperluan nutrisi bayi anda walaupun cara pemakanan anda tidak betul. Tetapi sungguhpun bayi anda tidak akan mendapat kemudaratan disebabkan oleh kekurangan dietari anda, ini tidak bermakna anda akan terlepas. Memperolehi vitamin dan nutrien yang mencukupi adalah penting kerana anda memerlukan tenaga untuk memenuhi tuntutan fizikal menjaga bayi yang baru lahir. Anggaplah aktiviti menyusui anak sebagai motivasi yang berterusan untuk meneruskan diet sihat yang anda amalkan semasa hamil.

    Fokus pada pengambilan bijian lengkap dan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan yang memberikan banyak protein, kalsium and zat besi. Mengamalkan pemakanan yang baik tidak bermaksud anda perlu lebih banyak makan. Pakar mengesyorkan bahawa ibu yang menyusui anak perlu mendapatkan tambahan 500 kalori sehari. Namun, tiada pengesyoran satu untuk semua kerana keperluan tenaga anda akan bergantung pada berat badan semasa anda dan juga banyak bergantung pada tahap aktiviti anda.

    Mengamalkan diet sewaktu menyusui anak adalah baik, tetapi lakukan secara perlahan-lahan

    Kurangkan berat badan secara beransur-ansur (1 hingga 2 paun seminggu) dengan menggabungkan diet rendah lemak yang sihat dengan senaman yang sederhana. Kehilangan berat badan secara mendadak boleh membahayakan bayi anda kerana ia membebaskan toksin yang biasanya disimpan dalam lemak badan ke dalam aliran darah anda. Ini meningkatkan jumlah bahan cemar yang akhirnya akan terkumpul dalam susu anda. Jika anda hilang lebih daripada 2 paun seminggu selepas enam minggu yang pertama, anda perlu mengambil lebih banyak kalori.

    Aktiviti menyusui bayi membantu mengurangkan lemak yang tersimpan semasa hamil untuk mempersiapkan anda bagi pengeluaran susu. Jadi, sesetengah ibu baru akan mendapati berat badan mereka seolah-olah menurun semasa mereka sedang menyusui anak. Namun, ia akan mengambil masa kira-kira sepuluh bulan hingga setahun sebelum kembali ke berat badan anda yang asal iaitu sebelum hamil. Dan jangan terfikir untuk cuba mengurangkan berat badan sehingga sekurang-kurangnya enam minggu selepas bayi anda lahir! Mengehadkan apa yang anda makan pada minggu-minggu awal pengeluaran susu hanya akan mengurangkan bekalan susu anda.

    Hadkan pengambilan sesetengah ikan

    Pada Mac 2004, U.S. Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA) mengeluarkan garis panduan baru tentang bagaimana wanita yang cuba untuk mendapatkan anak, wanita hamil, ibu yang sedang menyusui anak, dan anak-anak kecil boleh mengehadkan pendedahan mereka kepada merkuri dalam ikan. Mereka kini menasihati agar memakan tidak lebih daripada 6 auns (kira-kira satu sajian) albacore dalam tin atau tuna "putih" seminggu.

    Menurut garis panduan FDA/EPA, anda juga harus mengehadkan 12 auns seminggu (kira-kira dua sajian) tuna "ringan" dalam tin dan ikan telah dimasak yang lain. Dan anda juga harus elakkan daripada memakan ikan yu, ikan todak, dan ikan merah (juga dipanggil golden atau white snapper). Pertimbangkan untuk mengambil suplementasi omega-3 jika anda ingin memenuhi keperluan harian anda iaitu asid lemak penting tanpa perlu risau akan pencemaran merkuri.

    Jauhi alkohol – atau sekurang-kurangnya ambil langkah berhati-hati

    Anda mungkin mahu berhenti minum semasa anda masih menyusui bayi anda, kerana alkohol boleh memasuki susu anda dan boleh membahayakan atau menyebabkan bayi anda meragam. Antara risiko-risikonya, walaupun dengan hanya mengambil satu minuman beralkohol sahaja boleh menyekat keupayaan badan anda untuk mengeluarkan susu.

    Awasi perisa makanan dan minuman yang anda ambil

    Anda mungkin mendapati bahawa sesetengah makanan yang perisanya agak kuat akan menyebabkan perut bayi anda masuk angin atau meragam. Anda pasti dapat mengenal pasti sama ada bayi anda sensitif terhadap sesuatu yang anda makan atau minum kerana bayi umumnya akan menunjukkan ketidakselesaan dengan meragam selepas makan, menangis yang tidak dapat diredakan atau kurang tidur. Jika bayi anda alah terhadap sesuatu yang anda telah makan, anda mungkin dapat melihat tindak balasnya pada kulitnya (ruam atau gatal-gatal), dalam pernafasannya (berdehit atau tersumbat) atau dalam najisnya (berwarna hijau atau seperti mukus).

    Walaupun sesetengah ibu percaya bahawa sajian yang pedas boleh menyebabkan bayi mereka sakit perut, kaedah cuba-cuba dahulu boleh menjadi panduan yang terbaik bagi anda kerana keadaan cepat meragam yang disebabkan oleh makanan adalah jelas berbeza dari satu bayi ke satu bayi yang lain. Jika anda mendapati yang anda boleh memakan salsa burrito yang pedas, ayam bawang putih atau kari sayur-sayuran yang pedas tanpa membuatkan bayi anda berasa tidak selesa, teruskan!

    Satu amaran : Sesetengah penyebab kolik yang biasa adalah termasuk brokoli, kubis, kubis Brussels, dan susu lembu.

    Periksa paras zat besi anda

    Ramai pakar kesihatan profesional mengesyorkan agar terus mengambil suplemen sebelum hamil (suplemen multi vitamin-mineral) yang mempunyai zat besi, sewaktu menyusui bayi. Atau, jika ujian darah menunjukkan bahawa tahap zat besi anda adalah rendah, doktor anda boleh mengesyorkan semula agar anda mengambil suplemen zat besi. Jika anda masih meneruskan dengan suplemen vitamin yang umum, jangan lupa bahawa ia tidak menggantikan tabiat pemakanan yang teruk. Berusahalah untuk mengambil diet yang seimbang dan ada kepelbagaian!





    Sumber: iBU

    Butiran selanjutnya ...

    10 wasiat Hassan Al-Banna

    Hasan al-Banna adalah susuk nyata yang memiliki sifat terpuji sebagai seorang pendakwah serta mempunyai sedikit sebanyak kelemahan, sesuai dengan sifatnya sebagai manusia. Bagi aktivis Islam, Hasan adalah nama yang sinonim dengan perjuangan. Selain sekian banyak syarahan dan tulisannya, Hasan turut diingati dengan siri 10 wasiatnya yang menyeluruh dan sangat baik dijadikan pedoman. Pengasas gerakan Ikhwanul Muslimun ini dikurniakan lapan anak, termasuk dua meninggal dunia ketika usia muda. Dalam keadaan diuji dengan pelbagai cabaran, Hasan menampakkan ketabahannya sama ada di depan ahli keluarga atau masyarakat umum.

    "...Kupersembahkan jiwa ini ke hadrat Allah dan Ia pula yang akan menyelamatkannya. Inilah perjanjian antara Allah dan seorang hamba-Nya, yang kucatat di sini, dengan guruku sebagai saksi. Apa pun tak bisa mempengaruhinya, kecuali nurani. Siapa pun tak bisa menebusnya, kecuali Tuhan. Hanya mereka yang memenuhi janjinya kepada Allah, berhak menerima imbalannya."

    Inilah tekad dan keghairahan jihad seorang pejuang Islam dan pengasas gerakan Islam terkenal, Imam Hassan al-Banna. As-syahid yang gugur pada 12 Februari 1949, menyatakan tekad tersebut sewaktu masih menuntut di pusat pengajian tinggi Darul Ulum, Kaherah.

    Janji As-syahid yang dibuat semasa masih berusia lewat belasan tahun dikotakan dalam perjalanan hidupnya sehinggalah beliau kembali ke pangkuan Allah (SWT).

    Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada 0ktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

    Bapanya Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Beliau berkelulusan Universiti al-Azhar dalam jurusan agama dan banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna berkelulusan tinggi, beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam Mahmudiyyah. Masa selebihnya beliau gunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan. Malah beliau juga adalah pengarang beberapa kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam.

    Ketokohan, keilmuan dan keperibadian tinggi Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi pula oleh anak sulungnya, Hassan al-Banna yang kemudian menjadi pemimpin dan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin yang dihormati serta merubah sejarah. Melalui kepimpinan dan didikan Hassan al-Banna, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan semula Islam abad ini.

    Sifat kepimpinan pemimpin agung ini terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

    Pada usia 16 tahun, beliau ke kota Kaherah untuk melanjutkan pelajaran di Darul Ulum. Di sana beliau didedahkan dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Yang dilihatnya ialah parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular semuanya terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam.

    Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

    Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

    Al-Imam Hassan al-Banna menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun dan baru mendapat ijazah dari Darul Ulum, serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di bandar Ismailiyyah.

    Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusu kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

    Pada masa sama, isteri dan anak-anaknya juga menampilkan peribadi cemerlang, sama ada daripada aspek rohani (keagamaan) atau akademik. Hasan membuktikannya dengan pelbagai contoh, seperti memperuntukkan masa setiap hari dengan makan bersama atau memeriksa pencapaian akademik anak-anaknya, selain menyimpan rekod perubatan mereka untuk dijadikan rujukan. Mengenai perkembangan semasa di luar rumah, Hasan menunjukkan keprihatinan.

    Al-Banna pemimpin umat-mujaddid yang menggariskan semula beberapa prinsip dakwah peninggalan Rasulullah s.a.w dalam cara yang mudah difahami masyarakat semasa. Juga, beliau berhempas pulas menemui orang-ramai yang beragam sifatnya demi Islam.

    Diriwayatkan beliau tidak pernah keluh kesah apabila bertemu orang-ramai. Suatu ketika, selepas ceramah, ramai orang mahu berjabat tangan bersama beliau. Sahabat-sahabatnya telah menghalang orang-ramai berbuat demikian. Apabila mendapat tahu hal itu, beliau berkata: "Tidakkah kalian tahu bahawa apabila aku bersalaman dengan mereka, maka sebahagian besar daripada keletihanku telah hilang?"

    Seorang jurudakwah seperti al-Banna terpaksa menerima hakikat ini semuanya. Terpaksa mereka menemui pekerja kilang yang meminta mereka turun menyelesaikan masalah jika menjadi jurubicara umat.

    Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.

    Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila ia turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

    Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di. Ikhwan Muslimin kemudian diharamkan pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna masih dibebaskan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zuhur 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau dikatakan telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

    10 wasiat Hassan Al-Banna

    1) Wahai kawanku, segeralah tunaikan solat di awal waktu, dikala mendengar azan, usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan, di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah, banyak perintah ayat al-Quran. ... dimulakan dengan menyebut solat di awalnya. Perhatikanlah, Tuhan mensyariatkan solat... Juga di medan perang. Walaupun... Di saat genting dan cemas.

    2) Wahai kawanku, Bacalah al-Quran dan cuba perhatikan mesejnya. Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit, kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan, sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Di sini ada ketenteraman, di sini ada kedamaian, di sini ada kesalaman, jadilah hamba yang sejahtera.

    3) Wahai kawanku, dorongkanlah diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari, sebut dulu walaupun tak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita, ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar. Ayuh!!! Apa tunggu lagi? Bukalah ruang walaupun seminit!!!

    4) Wahai kawanku, janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!! Pertengkaran ini semata-mata tak akan mendatangkan kebaikan. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan... Syaitannnn namanya!!!

    Hadis yang masyhur telah menyebutkan bahawa umat Islam ini terpecah kepada 73 puak. "Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 golongan dan umatku terpecah kepada 73 golongan. Semua mereka masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat." Sahabat bertanya: "Siapakah yang selamat itu ya Rasulullah?" Rasulullah bersabda: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan hidup para sahabatku." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

    5) Wahai kawanku, senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa!!! Rasulullah SAW adalah yang paling banyak senyum, baginda ketawa kena pada tempatnya. Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan! Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa bodoh hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing! Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, supaya tidak menular keburukan dalam diri!!!

    6) Wahai kawanku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan!!! Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu, yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau. mestilah dalam batas, seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

    7) Wahai kawanku, kawallah nada suaramu, setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kita. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula!!! Percakapan yang nyaring dan kuat banyak mengundang masalah seperti mengundang kemarahan orang dan menyuburkan takbur di hati para penceramah dan pendakwah itu sendiri.

    Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai!!! Dalam hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan anak-anaknya sebagai berikut, "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Surah Luqman, ayat 19)

    Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka agar tidak meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini kerana, hal meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.

    Hal kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna sendiri.

    Di dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang keras dan nyaring dalam keluarga beliau. Semua ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori
    dan melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini, al-Banna benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu sebagai panduannya.

    Sikap nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah juga patut diberikan perhatian. "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (Surah Ali Imran, ayat 159)

    Demikian juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s. dan Harun a.s. untuk berdepan dengan kezaliman Fir'aun. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
    lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taahaa, ayat 44)

    Jangan nyaring berwirid. Dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali pun,
    Allah SWT menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan tidak nyaring. "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." (Surah Al-'Araaf, ayat 205)

    Mungkin, dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang lain dan dengan itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit 'ujub dan sum'ah. Lantas, timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir, meratib beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka. Maka, bagaimanakah kedudukan ratib, zikir mereka ini?

    Dalam hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan, diharuskan dengan sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana, bagi sesetengah orang, penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana mereka terlalu banyak berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan duniawi sebelum ini. Maka, hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan. Mungkin, apabila tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid dengan perlahan-lahan di tempat suluk mereka sendiri.

    Surah al-Isra' juga memberi tip kepada kita... Jangan keraskan suaramu dalam solat, tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

    8) Wahai kawanku, usahlah umpat-mengumpat. Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh!!! Hindarilah... mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Sukakah anda memakan daging? Pasti anda suka!! Tapi sukakah anda memakan daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat. Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!! Boleh mengumpat... apabila ada tujuan syarie.
    * untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
    * untuk menghapuskan kemungkaran
    * kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
    * kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

    9) Wahai kawanku, luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian!!! Salam kasih sayang adalah untuk semua, salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan...! Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa datang berkunjung!!! Pelbagai lapisan datang berkunjung!!! Pelbagai darjat
    datang berkunjung!!! Sama-sama menjunjung obor suci, tidak mengenali tapi tak sepi.

    10) Wahai kawanku, maksimumkanlah faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda! Bersegeralah, kerana sabda Nabi SAW bermaksud: "Bertindak segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..) Sayanglah masa saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara meleret-leret... Tanpa haluan dan noktahnya..

    YA ALLAH KAU SATUKANLAH HATI HATI KAMI DI DALAM PANJI AGAMA ISLAM DAN KEIMANAN YANG TEGUH KEPADAMU YA RABBUL IZZATI.
    KUPOHON PADAMU YANG MAHA PENGASIH,

    رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

    "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."
    [Surah ali Imran ayat 8]

    MOGA KAMI SENTIASA BERADA DI BAWAH LINDUNGANMU.
    AMIIN...

    Updated : 04/23/2009

    Butiran selanjutnya ...

    Isnin, Januari 26, 2009

    Nabi Ibrahim bukan Yahudi

    Susunan SITI AINIZA KAMSARI

    SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.

    Ini apabila sejarah Nabi Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).

    Dalam kitab Perjanjian Lama (Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti bagi memulakan masyarakat baru di sana.

    Ketika dalam perjalanan mereka menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.

    'Sejarah' ini dijadikan bukti oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.

    Kekejaman selama 22 hari baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.

    Sedangkan 'sejarah' itu ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat 67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang beriman.

    Begitupun Nabi Ibrahim bin Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah.

    Sedari Raja Namrud memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.

    Malah diceritakan air Zam Zam itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di kawasan yang terdapat sumber air.

    Setelah diperiksa mereka begitu gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya tinggal berdua bersama puteranya itu.

    Puak Jurhum menurut buku Sirah Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini, generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di sekitar lembah-lembah Mekah.

    Sejak itu, Lembah Mekah berubah wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan 'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.

    Alangkah terkejut baginda melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu. Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.

    Setelah beberapa kali mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.

    Dikorbankan

    Kelahiran Nabi Ismail merupakan putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.

    Namun Ibrahim perlu membuktikan bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri, harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang taat.

    Namun menyembelih anak dengan tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.

    Dipendekkan cerita, pedang yang tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.

    Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.

    Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

    Nabi Ismail kemudiannya membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.

    Diceritakan dalam buku ini mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan kesempitan hidup mereka.

    Lalu ketika bertemu dengan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.

    Pada ketika yang lain, Ibrahim yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.

    Ismail tersenyum kerana mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.

    Sumber : Utusan 26/01/2009

    Butiran selanjutnya ...

    Ahad, Januari 25, 2009

    Kesan antioksidan badam

    Badam antara buat yang turut mendapat perhatian saintis untuk mengkaji khasiatnya.

    Memakan badam dapat menurunkan paras dua bio penanda bagi kesan tekanan oksidatif dalam sekumpulan sukarelawan 27 lelaki dan wanita yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

    Kajian yang dijalankan oleh saintis yang dibiayai oleh Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS), Lembaga Badam California dan Badan Pembiayaan Penyelidikan Kanada.

    Pengarah Makmal Penyelidikan Anti Oksidan, Jeffrey Blumberg di Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia bagi Penuaan Jean Mayer Jabatan Pertanjan Amerika Syarikat (USDA) di Universiti Tufts, Boston, Mass melaporkan penemuan kajiannya dalam Journal Of Nutrition.

    Saintis telah menganalisis sampel darah dan air kencing daripada subjek yang mengambil rawatan diet berlainan yang mempunyai kandungan kalori yang sama selama sebulan.

    Rawatan berkenaan terdiri daripada dos penuh badam sebanyak 73 gram sehari, separuh dos badam bersama separuh dos mufin dan dos mufin penuh sebagai kawalan.

    Subjek berkenaan mengambil diet lain yang rendah lemak bagi menurunkan berat badan dan mengikuti rutin senaman biasa semasa kajian.

    Kajian berkenaan bagi membantu penyelidik mengkaji kesan antioksidan apabila memakan badam.

    Penyelidik mendapati sukarelawan yang memakan dos penuh badam, kepekatan dua bio penanda tekanan oksidatif - plasma malondialdehyde (MDA) dan urin isoprostanes adalah rendah.

    MDA menurun sehingga 19 peratus dalam kumpulan yang mengambil dos penuh badam berbanding pada mula kajian.

    Isoprostane menurun sehingga 27 peratus dalam kedua-dua kumpulan badam dibandingkan dengan kumpulan kawalan.

    Kajian berkenaan dilihat dapat membantu kesan antioksidan apabila memakan badam dan kajian seterusnya menunjukkan kesan Vitamin E dan terbitan polipenolik seperti flavonoid yang ditemui dalam badam dan pokok kekacang lain.

    Kajian berkenaan tidak menunjukkan kandungan minimum diet badam yang membantu memberikan kesan secara biologi.

    Sumber: Utusan

    Butiran selanjutnya ...

    Berkahwin kurangkan risiko nyanyuk

    Perkahwinan dikatakan dapat mengurangkan penyakit Alzheimer.

    Kajian penyelidik mendapati mereka yang membujang sepanjang hayat berisiko dua kali ganda mengalami penyakit berkelakuan seperti kanak-kanak atau raban

    LONDON: Berkahwin dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit Alzheimer apabila satu penyelidikan baru menunjukkan mempunyai pasangan pada pertengahan usia, dengan individu yang mempunyai pasangan berisiko kurang 50 peratus untuk mengalami nyanyuk. Ia mendapati mereka yang keseorangan selepas perceraian berisiko tiga kali ganda mengalami Alzheimer di kemudian hari.

    Kajian selama 21 tahun menekankan risiko tinggi menghadapi masalah ingatan dan kognitif bagi semua individu yang keseorangan, sama ada bujang, bercerai atau kematian pasangan. Penyelidikan terdahulu menunjukkan pengasingan sosial atau kurang hubungan peribadi meningkatkan risiko nyanyuk dan penurunan mental, dengan pakar Amerika Syarikat tahun lalu mendakwa individu keseorangan lebih berkemungkinan mengalami penyakit otak pada usia tua.

    Namun, kajian Sweden yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa mengenai Penyakit Alzheimer di Chicago, baru-baru ini, membuktikan secara khusus bahawa berkahwin dapat mengurangkan risiko nyanyuk.

    Alzheimer adalah punca utama nyanyuk, yang menjejaskan lebih 700,000 penduduk Britain.

    Dalam kajian terbaru, penyelidik yang diketuai Dr Krister Hakansson dari Institut Karolinska di Stockholm memeriksa rekod 1,449 penduduk pertengahan usia di Finland dan sekali lagi pada tahun 1998, purata 21 tahun kemudian. Secara keseluruhan, 139 mengalami beberapa bentuk masalah nyanyuk, 82 dengan masalah kognitif sederhana dan 48 menghidap Alzheimer.

    Pasukan penyelidik mendapati mereka yang tinggal bersama pasangan pada pertengahan usia berisiko kurang 50 peratus untuk nyanyuk pada kehidupan lewat berbanding yang tinggal sendirian. Ia mengekalkan kes walaupun selepas pengubahsuaian dibuat bagi faktor yang dikaitkan dengan risiko tinggi Alzheimer termasuk pendidikan, obesiti, kolesterol, tekanan darah tinggi, pekerjaan, aktiviti fizikal, tabiat merokok, kemurungan, gen, usia dan jantina.

    Penyelidik mendapati mereka yang kekal membujang sepanjang hayat berisiko dua kali ganda untuk nyanyuk. Pasangan bercerai yang membujang selepas berpisah dengan pasangan pada pertengahan usia berisiko tiga kali ganda. Lebih dramatik, mereka yang kehilangan pasangan sebelum pertengahan usia dan kekal membujang berisiko enam kali ganda untuk nyanyuk berbanding mereka yang berkahwin pada pertengahan dan akhir hidup.

    Dr Hakansson berkata: “Kajian ini menunjukkan faedah berkahwin, selari dengan hipotesis umum rangsangan sosial sebagai faktor pelindung daripada nyanyuk.”

    Jurucakap Tabung Penyelidikan Alzheimer, Rebecca Wood, berkata hasil kajian itu amat membimbangkan bagi United Kingdom, yang menyaksikan kadar perceraian tinggi di kalangan penduduk, selain peratusan perkahwinan pada paras paling rendah serta peningkatan penduduk tua.

    “Kita amat memerlukan lebih banyak penyelidikan dibuat mengenai faktor gaya hidup dan risiko nyanyuk jika mahu mengekang wabak nyanyuk di negara ini,” katanya.

    Bagaimanapun, Dr Susanne Sorensen dari Persatuan Alzheimer berkata, sesiapa saja boleh mengambil langkah mengurangkan risiko, dengan atau tanpa pasangan seumur hidup.

    “Orang bujang tidak sepatutnya bimbang - terdapat banyak cara mengurangkan risiko nyanyuk yang tidak membabitkan perkahwinan. Bukti terbaik ialah mengamalkan cara pemakanan Mediterranean, kerap bersenam dan tidak merokok,” katanya.

    INFO: Alzheimer

  • Sejenis penyakit otak yang secara perlahan-lahan memusnahkan daya ingatan dan kemampuan berfikir.

  • Penghidap baru dikatakan muncul setiap 71 saat

  • Simptom atau gejala pertama ketara lazimnya muncul selepas 60 tahun

  • Ini termasuk lupa nama orang, nombor telefon, tarikh, tempat kerap dikunjunginya seperti rumah atau pejabat.

  • Penghidap juga sukar berfikir ketika bercakap, sukar mencari perkataan yang betul dan tertekan apabila membuat keputusan

  • Seramai 5.2 juta penghidap di Amerika Syarikat

  • Menjadi punca keenam kematian utama.
  • Sumber: BHarianOnLine 2009/01/25

    Butiran selanjutnya ...

    Sabtu, Januari 24, 2009

    Sumber rezeki hasil ternak cacing, lintah diharuskan Islam

    Bersama Jakim

    Soalan:
    Apa hukumnya menjadikan usaha penternakan cacing sebagai punca pendapatan? Bagaimana dengan hukum memberi keluarga makan daripada hasil penjualan cacing serta usaha mengeksportnya pula.

    Saya melihat ramai rakan mengusahakan kegiatan ini tetapi pada masa sama ada pelbagai pendapat yang memberikan jawapan berbeza mengenai kesesuaiannya sebagai punca rezeki.

    A Ismail
    Negeri Sembilan.

    Jawapan:
    Bagi mengetahui hukum menternak dan menjual lintah serta cacing untuk tujuan perubatan atau kosmetik boleh merujuk Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi hal ehwal Ugama Islam Malaysia ke-81 yang diputuskan pada 2008.

    Muzakarah bersetuju memutuskan menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan dalam kosmetik adalah harus dan hukum menternak atau berjual beli atas dasar manfaat yang diperoleh daripada kedua-dua haiwan itu juga adalah harus.

    Muzakarah berpandangan bahawa walaupun 'uruf menganggap lintah dan cacing haiwan yang kotor serta tidak boleh dimakan, hukum asal dalam Islam menetapkan bahawa lintah dan cacing bukan haiwan yang dikategorikan sebagai najis.

    Disediakan oleh; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (JAKIM)

    Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20090124222529/Article/

    Butiran selanjutnya ...

    Tak ganti solat fardu halang ibadah sunat

    Soalan:

    Saya berusia 35 tahun dan sepanjang tempoh itu saya banyak meninggalkan solat kerana bekerja. Kini saya sudah insaf dan mahu menggantikan hutang saya itu. Persoalannya, bagaimana saya boleh melunaskan hutang berkenaan?

    Hamba Allah
    Georgetown,
    Pulau Pinang.


    Jawapan:

    Solat fardu adalah wajib bagi setiap Muslim yang mukallaf. Meninggalkan solat dengan sengaja atau tiada keuzuran adalah dosa besar. Solat yang ditinggalkan secara sengaja atau kerana uzur seperti terlupa atau tertidur wajib diganti atau dikada pada waktu lain. Jika anda sengaja meninggalkan solat dan kini sudah insaf, maka anda wajib bertaubat dan berusaha mengganti solat itu.

    Wajib menggantikannya sehingga yakin mencukupi waktu yang ditinggalkan. Sesetengah ulama berpendapat orang yang meninggalkan solat tidak boleh mendahului solat sunat sebelum mengganti solat fardu yang ditinggalkan. Pendapat ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mengganti solat fardu secepat mungkin.

    Antara kaedah paling mudah untuk mengira atau melakukan solat ganti ialah pada setiap kali menunaikan solat fardu.

    Contohnya, anda menunaikan solat Zuhur kemudian menggantikan dua solat Zuhur yang ditinggalkan selama dua tahun. Begitulah seterusnya pada waktu solat fardu lain.

    Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (Jakim)

    Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20090124222553/Article/

    Butiran selanjutnya ...

    Haram tetapkan untung pelaburan

    Bersama Jakim

    Fuqaha sepakat beri jaminan laba kepada pemodal menyamai riba

    Soalan:
    Ketika ini terlalu banyak pelaburan yang menyamai skim cepat kaya. Bezanya ada perniagaan itu membabitkan usaha seperti ternakan cacing, ikan keli serta sewa kereta yang menjanjikan keuntungan tetap setiap bulan. Sebagai contoh pelaburan RM1,000 boleh memberi keuntungan kira-kira RM150 sebulan selama dua tahun. Saya musykil mengenai hukum pelaburan sedemikian.

    Zulkefeli Yusof
    Kuantan,
    Pahang.


    Jawapan:
    Hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa al-kharraj bi al-daman iaitu bagi mendapatkan keuntungan (hasil pelaburan) mesti menghadapi risiko yang bermaksud tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokan barang yang dijual jika membabitkan jual beli. Justeru, fuqaha sepakat jaminan untung dalam kontrak pelaburan adalah haram kerana ia riba.

    Keuntungan dalam pelaburan mudarabah misalnya akan dikongsi bersama antara pemodal dan pengusaha berdasarkan nisbah yang dipersetujui, manakala kerugian ditanggung pemodal kecuali kerugian itu berpunca daripada kecuaian pengusaha.

    Jika akad pelaburan mudarabah menetapkan jumlah keuntungan pada awal kontrak antara pengusaha dan pemodal, maka akad itu tidak sah di sisi hukum syarak kerana syaratnya sudah rosak.

    Kontrak pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan pada awal kontrak kepada individu tanpa melihat hasil sesuatu usaha dikategorikan sebagai riba yang diharamkan Islam.

    Majlis Penasihat Syariah, Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOFI) membuat keputusan sebarang pihak menetapkan baginya jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosak akad pelaburan itu.

    Perlu ditegaskan di sini keuntungan dalam pelaburan adalah perbezaan jumlah hasil dengan kos. Hasil diperoleh daripada kegiatan yang berdepan dengan risiko dalam perniagaan membabitkan gabungan pelaburan kewangan, tenaga dan usaha.

    Menurut Yusuf al-Qaradawi pula dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam penetapan kadar keuntungan atau kerugian dalam perniagaan menafikan keadilan yang jelas dan nyata. Ia menggalakkan usaha mendapat jaminan pulangan tanpa bekerja dan berusaha dan ini adalah roh riba yang keji.

    Kesimpulannya, ulama berpendapat sebarang bentuk pelaburan dalam perniagaan yang dijamin keuntungannya haram dari segi hukum syarak kerana realitinya dalam sesuatu perniagaan ialah seseorang terdedah kepada aspek keuntungan dan kerugian berdasarkan kaedah fiqh al-ghunmu bil ghurmi iaitu seseorang yang memperoleh keuntungan maka dia juga akan menanggung kerugian atau kemudaratan.

    Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20090124222355/Article/

    Butiran selanjutnya ...

    Jumaat, Januari 23, 2009

    4 mazhab haramkan mutaah

    Salam,

    Q&A di Metro hari ini 4 mazhab haramkan mutaah. Masih ada lagi golongan yang tidak mengetahui yang nikah mutaah telah diHARAMkan oleh Rasulullah SAW. Terdapat banyak hadis tentang pengharaman nikah mutaah, walaupun ia tidak diharamkan di dalam al-Quran.

    Dari Abu Salamah r.a., katanya: "Rasulullah SAW membolehkan nikah Mutaah pada tahun Authas (tahun penaklukan Makkah) selama tiga hari. Kemudian baginda melarangnya." (Sahih Muslim)

    Dari Rabi' bin Sabrah Al Juhani r.a., bapanya mengkhabarkan kepadanya bahawa dia pernah pergi bersama-sama Rasulullah SAW (dalam peperangan menaklukkan Makkah). Rasulullah SAW bersabda: Aku telah membolehkan kamu nikah mutaah. Sesungguhnya (mulai saat ini) Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat nanti. Maka siapa yang masih punya isteri mutaah, ceraikanlah dia dan jangan kamu ambil kembali daripadanya apa-apa yang telah kamu berikan kepadanya." (Sahih Muslim)

    Dari Rabi' bin Sabrah Al Juhani r.a., dari bapanya, katanya: "Rasulullah SAW telah melarang melakukan nikah mutaah. Sabdanya: "Ketahuilah! Nikah mutaah haram mulai hari ini sampai hari kiamat. Siapa yang telah memberi sesuatu kepada perempuan yang dinikahinya secara mutaah, janganlah mengambilnya kembali." (Sahih Muslim)

    Saya titipkan Q&A di bawah.

    SOALAN:

    SETAHU saya pada ayat 24, surah an-Nisa, Allah membenarkan nikah mutaah dan mendapati ia juga dipraktik Rasulullah s.a.w sehingga zaman pemerintahan Saidina Umar. Pada pendapat saya, nikah ini adalah satu kaedah dikurniakan Allah kepada hamba-Nya untuk mengelak zina. Tetapi di negara ini dan mengikut Imam Syafie nikah mutaah dianggap tidak sah dan haram.

    Saya juga mendapati selepas surah an-Nisa diturunkan, tidak ada mana-mana ayat di dalam al-Quran yang mengharamkan nikah mutaah dan Rasulullah juga tidak mengharamkannya, hanya Saidina Umar yang mengharamkannya kerana sebab peribadi. Keputusan Saidina Umar tidak dipersetujui oleh ulama pada masa itu dengan sebab mengharamkan nikah mutaah akan menambahkan zina yang dikutuk Allah.

    Bagaimana, sekiranya satu pasangan itu (misalnya duda dan janda) sepakat untuk bernikah secara nikah biasa, tetapi terpaksa menangguhkannya disebabkan perbelanjaan majlis walimah dan hantaran yang mahal. Dalam tempoh penanguhan terbabit, apakah dapat dipastikan yang pasangan berkenaan tidak bersekedudukan atau berzina?

    Pada zaman mutakhir ini, banyak kita dengar dan ketahui remaja Islam berzina walaupun mereka bukan berkasih-kasihan atau merancang untuk bernikah. Inikan pula sepasang kekasih duda dan janda yang sepakat untuk bernikah? Jadi untuk mengelakkan dosa zina, lebih elok pasangan ini melakukan nikah mutaah. Adakah nikah mutaah bagi pasangan ini masih dianggap sebagai haram?

    Al-Quran satu panduan bagi umat Islam untuk dipraktikkan dan dijelaskan lagi oleh hadis Rasulullah yang mendapat wahyu secara terus daripada Allah. Jika al-Quran dan hadis tidak mengharamkan nikah mutaah secara muktamad, tetapi diharamkan Saidina Umar yang tidak mendapat wahyu secara terus, apakah harus diikuti keputusan itu memandangkan keadaan dilalui pasangan duda dan janda berkenaan?

    Setahu saya, Islam tidak menyukarkan penganutnya bahkan Islam adalah satu agama yang memudahkan. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya solat qasar dan jamak, zakat dan pelbagai lagi. Kebanyakkan kita menerima Islam kerana nenek moyang kita dulu Islam, tetapi kita gagal untuk menggunakan akal kita untuk memahami Islam dan al-Quran.

    Disebabkan itu kadangkala kita mengikut secara membabi buta, tetapi kerana itu yang dipraktikkan umum dan kita tidak mahu orang memandang kita ‘terpesong.’ Lalu kita menerima apa saja selagi ia diputuskan oleh ulama dan keputusan ulama pula kadangkala dipengaruhi oleh unsur politik. Ada ketika mereka ini tidak berani memberi pandangan yang sewajarnya kerana takut kehilangan kerjaya serta kedudukan atau dicemuh awam.

    Inilah yang berlaku di zaman kita ini, di mana al-Quran, hadis diubah suai untuk kepentingan masing-masing seperti yang dilakukan oleh kaum Kristian yang mengubahsuaikan kitab Injil. Saya ingin mendapat menjelasan Dr mengenai nikah mutaah dalam keadaan yang dijelaskan tadi.

    ADAM,
    Kuala Lumpur

    JAWAPAN:

    NIKAH atau kahwin mutaah ialah kahwin sementara atau akad nikah yang dilakukan dengan syarat ditentukan tempoh, seminggu, sebulan, dua tahun dan sebagainya. Ia berasal daripada tradisi Arab jahiliah. Pada waktu berkenaan seorang pedagang, misalnya, apabila mengunjungi kota Makkah, dia memerlukan seorang perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu. Dia boleh berkahwin sementara dengan perempuan Makkah selepas ditentukan masa dan bayarannya. Islam mengharamkan nikah seperti ini (Dusuki Ahmad, 1988: 243).

    Antara sebab ia tidak dapat diterima dan diharamkan ialah ia tidak menepati semangat perkahwinan dan sistem kekeluargaan Islam. Nikah mutaah tidak mampu menjadikan perhubungan dan kehidupan suami isteri penuh dengan kebahagiaan dan kemesraan. Ia juga tidak mampu mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama suami isteri.

    Anak yang lahir juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Manakala taraf wanita menjadi rendah dan mudah dieksploitasikan. Islam mengharamkan nikah mutaah kerana sebab negatif berkenaan.

    Ayat 24 surah an-Nisa bermaksud: “…kemudian mana-mana mereka [iaitu perempuan yang menjadi isteri kamu] yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan.” Ayat al-Quran berbentuk umum ini digunakan untuk nikah mutaah. Nikah mutaah pada mula dibenarkan pada masa permulaan Islam, tetapi kemudian diharamkan.

    Menurut Ibn Rushd, riwayat hadis daripada Rasulullah secara mutawatir mengharamkan nikah itu. Perselisihan yang timbul hanya mengenai masa ia diharamkan sahaja. Ada yang menyatakan pada hari Khaibar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk, haji wida dan sebagainya. Bagaimanapun, pendapat umum menyatakan Ibnu Abbas menghalalkan nikah mutaah. Beliau turut berdalil dengan ayat al-Quran di atas. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berpendapat nikah mutaah adalah semata-mata rahmat Allah kepada umat Muhammad dan sekiranya Umar tidak melarangnya, nescaya zina tidak berlaku kecuali dari kalangan orang jahat sahaja (Ibn Rushd, II: 97).

    Secara umum seluruh mazhab empat mengharamkan nikah mutaah. Ini kerana ia menetapkan had waktu sesuatu perkahwinan. Hanya golongan aliran Syiah yang minoriti membenarkannya. Mungkin ia sebagai tarikan untuk menyokong aliran terbabit. Dengan itu masyarakat Islam tidak boleh menghalalkannya kerana sudah sabit pengharaman nikah mutaah.

    Mengenai kemungkinan zina dapat dielakkan dengan nikah mutaah ia tidak dapat dinafikan seperti daripada kata-kata Ibnu Abbas itu. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, nikah mutaah tidak mencapai hikmah di sebalik perkahwinan. Ia mungkin dapat membendung nafsu manusia semata-mata, tetapi gagal mencapai hikmah perkahwinan yang lain.

    Rasulullah sendiri tidak pernah berkahwin secara nikah mutaah. Dengan itu sekiranya kita benar-benar mahu mengambil Baginda sebagai contoh teladan yang baik (uswah hasanah), nikah mutaah sudah tentu tidak diikuti. Dengan itu, pendapat majoriti di kalangan mazhab Islam hendaklah diterima dan diikuti kerana ia mempunyai asas fiqah yang benar dan sesuai dengan hikmah perkahwinan itu sendiri.

    Usahlah diikuti pendapat minoriti yang sesuai dengan rasa hati dan keinginan semata-mata.

    Butiran selanjutnya ...

    Khamis, Januari 22, 2009

    Sikap ujub perosak diri



    Assalamualaikum warahmatullah,

    Ada orang tidak takut atau gusar nikmat di sisinya hilang, bahkan selalu bergembira. Gembiranya kerana nikmat itu semata-mata, lebih-lebih lagi mengenangkan keupayaan dan kejayaan dirinya mendapatkan nikmat terbabit, bukannya atas kesedaran ia adalah satu kurniaan Allah.

    Menurut ilmuan, golongan yang dilanda situasi itu diistilahkan sebagai orang yang bersifat ujub. Dalam Kamus Dewan, kata ujub merujuk kepada perkataan Arab yang membawa makna kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego. Bagaimanapun, selagi hati yang dikuasai perasaan mengakui nikmat itu kurniaan Allah yang berada di bawah kekuasaan dan kehendak-Nya, sama ada mahu dikekalkan atau diambil-Nya semula pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya, selama itu sifat ujub terkikis daripada hati seseorang.


    Berdasarkan penjelasan di atas, menunjukkan ujub bolehlah difahami sebagai sifat kehairanan (berasa hairan) atau kagum bercampur bangga dengan sesuatu nikmat yang diperoleh atau dimiliki. Di samping itu, diri lupa kepada Allah yang memberikan nikmat terbabit. Jika perasaan terbabit ditambah dengan perasaan yang diri mempunyai hak di sisi Allah (seolah-olah diri memaksa Allah memberikan hak) atau dengan amalnya, diri diberi kedudukan di sisi Allah yang melayakkannya diberi kemuliaan di dunia dan berasa diri jauh daripada bencana keburukan yang selalu menimpa orang fasik dan derhaka, perasaan itu diistilahkan sebagai ‘idlal’ iaitu seolah-olah dia berasa dimanja oleh Allah.


    Kedua-dua sifat iaitu ujub dan idlal ada perbezaan, dengan yang pertama hanya berasa hairan atau kagum bercampur bangga pada sesuatu nikmat sementara yang kedua, ditambah dengan mengharapkan balasan yang lebih besar daripada yang diusahakan.
    Jika diibaratkan, sifat ujub adalah pintu yang membawa kepada sifat takabur dan sifat takabur pula akan mengundang pelbagai penyakit dan keburukan. Keburukan ini adalah akibat daripada sifat ujub terhadap sesama makhluk.

    Seseorang yang bersifat ujub, selalunya lupa untuk menyelidiki kekurangan dalam ibadat dan kebaikan yang dilakukannya, sedangkan kealpaannya itu boleh mengakibatkan ibadatnya menjadi sia-sia, jika benar ada kecacatan dalam ibadatnya. Orang yang dilanda sifat ujub sebenarnya orang yang terpesona dan terpedaya, merasakan dirinya selamat daripada ujian Allah dan seksaan-Nya.
    Dari 'Abdullah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak dapat masuk neraka seseorang yang terdapat iman di dalam hatinya walaupun hanya seberat biji bayam; dan tidak akan masuk syurga seorang yang terdapat di dalam hatinya kesombongan walaupun hanya seberat biji bayam." (Sahih Muslim)

    Seterusnya orang terbabit merasakan dirinya mempunyai kedudukan di sisi Allah dan berpendapat setiap ibadatnya berhak mendapat ganjaran, sedangkan hakikatnya ia adalah nikmat dan pemberian Allah. Jika seseorang itu bersifat ujub, sama ada dengan pendapatnya, ilmunya atau daya fikirannya, akan mengakibatkan dirinya angkuh dan tidak mahu untuk bertanya, malah tidak mahu mendengar pendapat orang lain kerana merasakan dirinya sentiasa betul dan benar.

    Titik ini bermulanya segala bentuk keburukan seperti sikap keras kepala, malah akan lebih memburukkan lagi jika dia berbangga dengan pendapatnya yang salah, dirasakan betul, tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada kebenaran. Dia bukan saja berasa bangga dengan pendapatnya, malah memandang kecil pendapat orang lain dan membenci orang terbabit. Justeru, dia berasa dirinya tidak perlu diberikan nasihat dan peringatan. Jika demikian, dirinya akan berterusan dalam kesilapan dan kesalahan. Sekiranya sikap ujubnya itu membabitkan perkara duniawi, mungkin ia tidaklah membawa kerugian besar, tetapi bagaimana apabila membabitkan perkara keagamaan seperti akidah? Sudah pasti akan membinasakan diri sendiri dan kerugian yang amat besar.


    Berbahaya juga apabila sifat buruk ini mengakibatkan seseorang menjadi malas, tidak aktif dan kurang berusaha kerana menyangka dia sudah berjaya dan sudah cukup segala-galanya. Sifat ini boleh menyerang sesiapa saja, tidak mengira tua atau muda. Misalnya seorang pelajar menyangka dirinya sudah pandai, lalu dia merasakan tidak perlu mengulang kaji pelajaran, tidak perlu membaca buku dan akhirnya malas untuk ke sekolah. Tidakkah ini akan menyebabkan pelajar terbabit kandas dalam peperiksaan?

    Jelas, sifat ujub adalah sifat tercela dan sepatutnya setiap individu berwaspada terhadapnya, jangan membiarkannya tumbuh dan bermaharajela di dalam diri.
    Antara keburukan sifat ujub terhadap Allah:

    1. Dosa dan kesalahannya akan dilupakan. Seorang yang ujub selalunya tidak cuba mengingati kesalahan dan dosanya kerana dia menyangka tidak perlu diingatkan lagi sehingga akhirnya dia terus melupakannya. Sekiranya dia mengingati dosa yang lalu, dia hanya menganggapnya kecil atau dipandang sebelah mata, sekali gus tidak berusaha untuk menebusnya kerana dia menyangka Allah sudah memaafkan dan mengampunkan dosanya.


    2. Ibadat dan kebaikan dilakukannya dipuja-puja, dibangga dan disebut untuk mendapatkan ganjaran yang berganda. Dia alpa terhadap pertunjuk dan pertolongan Allah ketika melakukan ibadat dan pekerjaan yang baik itu. “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam banyak medan perang dan perang Hunain, semasa kamu bermegah dengan bilangan kamu yang ramai; maka ia tidak memberi faedah kepadamu sedikit pun; dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepadamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (at-Taubah:25)


    Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. dari Nabi SAW, sabdanya: "Tidak dapat masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat rasa sombong walaupun yang seberat debu." Seorang laki-laki bertanya, "Bagaimana kalau seseorang suka memakai baju dan sepatu bagus?" Jawab Rasulullah SAW, "Allah itu indah (jamil). Dia menyukai yang indah. Sedangkan sombong itu menolak kebenaran menganggap remeh orang lain."
    (Sahih Muslim)
    Sekiranya hasil daripada kekayaan, manusia menjadi sombong, takbur dan riak terhadap apa yang dimilikinya, asas kebahagiaan hidup itu sebenarnya tidak bererti lagi buatnya.

    Sesungguhnya apa jua kurniaan Allah SWT perlu dimanfaatkan dengan betul. Sekiranya Allah bersikap pemurah kepada hamba dan makhluk-Nya bagaimana pula kemurahan kita sesama manusia? Allah SWT menyarankan agar setiap nikmat diterima dengan kesyukuran dan disalurkan kepada perkara yang baik berupa kebajikan yang boleh memberi manfaat kepada orang lain seperti dalam urusan jual beli, berzakat fitrah dan bersedekah. Iaitu bukan dengan cara menunjuk-nunjuk kekayaan tersebut yang menimbulkan perasaan iri hati orang yang melihatnya.

    Sifat menolak dan tidak menghargai orang lain juga menunjukkan sifat seorang yang riak dan takbur. Sifat ini hanya dapat disingkirkan jika kita membiasakan diri menjalani hidup secara sederhana atau sekurang-kurangnya jika kita kaya, kita bersifat pemurah (tidak sombong dan kedekut). Natijahnya kewujudan kita dalam masyarakat sekeliling akan dipandang tinggi dan mereka akan menghormati bukan kewujudan kita dibenci disebabkan kebakhilan kita yang juga suka menunjuk-nunjuk.
    Semoga diri kita dijauhkan oleh Allah SWT daripada memiliki sikap buruk sebegini. Amiin.




    Sumber:
    HMetro dan sedikit tambahan sendiri

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails