“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Januari 28, 2009

Tanggungjawab memakmurkan negara

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Rakyat, pemimpin perlu bekerjsama bagi pastikan keharmonian sentiasa terpelihara

MELIHAT pelbagai bentuk penindasan terhadap umat Islam dan negara Islam hari ini, mendorong kita untuk berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Malaysia masih lagi dianugerahkan nikmat tidak terbalas, rahmat daripada-Nya yang sentiasa belas, mengizinkan negara ini terus dibangunkan dengan kestabilan berpanjangan.

Bahkan, rakyat dan pemimpin saling merancang keperluan negara dengan baik, menerima teguran dengan harapan ia dapat membina kesejagatan yang sentiasa memihak kepada kebajikan golongan yang tidak bernasib baik.

Tanggungjawab memakmurkan negara bukan terletak pada bahu pemimpin semata-mata, sebaliknya setiap rakyat terutama umat Islam perlu mengambil berat soal kesejahteraan, keamanan, keharmonian, diplomasi, kesepakatan dan ikhlas terhadap perjuangan menyatupadukan hati setiap warga negara untuk sebuah kehidupan yang tidak banyak ranjaunya.

Apabila melantik pemimpin, ia tidak bermakna orang yang dipimpin menyerahkan tanggungjawab seluruhnya kepada ketua, sehinggakan beban seberat zarah pun tidak ingin dipikul kerana mengharapkan bantuan orang lain yang lebih kuat dan berkuasa.

Alangkah indah andainya setiap seorang di antara kita mengambil berat soal kebajikan saudara seagama sehingga setiap rakyat turut memainkan peranan sebagai pemimpin kepada ahli masyarakat yang lainnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)." (Surah al-Mulk, ayat 15)

Sebagai umat Islam, al-Quran dan hadis sudah tersedia sebagai panduan, bagaimana hendak memakmurkan negara menurut wahyu yang tentunya tidak sekali-kali melanggar tabii manusia, malah itulah yang lebih utama.

Manusia dilantik sebagai khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir dunia dengan sempurna, bukan memusnahkannya dan caranya sudah diajar oleh Allah. Malah, jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas hak setiap makhluk Allah yang dilakukan tanpa keizinan diredai Allah, wajiblah kembali kepada Allah dengan memohon keampunan dan taubat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang menjadikan kamu dari bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permoho-nan hamba-Nya." (Surah Hud, ayat 61)

Tugas memakmurkan muka bumi adalah wajib ke atas setiap umat Islam untuk mengimbangi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, peranan merancang sekali gus melakukan setiap perincian pelan strategik negara adalah semata-mata untuk faedah setiap individu, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Ketangkasan berfikir untuk menyelesaikan sebarang masalah membabitkan perselisihan antara umat Islam, mengelakkan masalah rendah akhlak, menjauhi sebarang skandal dan tidak bersekutu dengan pihak yang menolak wahyu dan tradisi Rasulullah SAW melambangkan keperibadian khalifah di bumi yang dilantik Allah.

Ia kerana permusuhan dan persengketaan hanya membawa misi kegagalan, bahkan memalukan, apatah lagi dengan gelaran khalifah yang dikurnia Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'du, ayat 11)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah)." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Kita seharusnya sedar bahawa setiap apa dilakukan di dunia adalah untuk mendapatkan keredaan Allah. Setiap komitmen untuk memajukan diri serta membangunkan modal insan mestilah berpaksikan hukum, supaya tidak tersilap mengatur langkah walaupun tiada niat untuk menyesatkan orang lain.

Selain daripada itu, setiap individu mestilah menanam tekad dan hasrat membawa diri selurus-lurusnya mengikut landasan yang dibina Rasulullah SAW dan para khulafa' sesudahnya dengan susah payah.

Kita perlu memahami hakikat tiada kehidupan sesudah mati melainkan apa yang dijanjikan-Nya, justeru tentulah kita pasrah terhadap peraturan alam dan kehidupan. Tiada apa yang boleh dibanggakan di dunia ini melainkan semuanya perhiasan semata-mata, bukan ia tidak boleh dimanfaatkan tetapi biarlah membawa keuntungan kepada diri sendiri yang tidak akan dibantu oleh orang lain sewaktu hari perhitungan.

Menjadikan Rasulullah SAW ikutan terbaik, para sahabat dan wanita beriman yang hampir dengan Baginda, umat Islam mestilah mengisi dada dan hiasi personaliti dengan ilmu serta nilai murni kerana itulah yang akan mengangkat darjah ummah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Memakmurkan negara bukanlah satu tanggungjawab enteng, bahkan untuk menjadi umat berkualiti, sekali gus menghimpun ummah yang dihormati memakan masa berpuluh malah beratus tahun lamanya.

Melainkan, mulai hari ini setiap individu Muslim memantapkan siasah dan menekuni jihad kehidupan dunia untuk kesejahteraan di akhirat kerana hanya orang yang berilmu serta mempunyai pegangan agama saja yang boleh merealisasikan wawasan agama dan negara.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails