Pada saat ini mengapa umat Islam tidak menjadi satu bangsa yang berdisiplin, yang bersatu padu, yang bersih dari maksiat dan kemungkaran, yang tinggi akhlaknya, kukuh imannya, kemas syariatnya, berjaya pemerintahannya dan unggul kebudayaannya? Mengapa dan kenapa sembahyang mereka tidak dapat mendidik mereka lagi? Apakah mereka sudah meninggalkan sembahyang? Atau mereka masih bersembahyang tapi sembahyang mereka sudah tidak sempurna, tidak seperti di zaman salafussoleh? Atau apakah yang sudah terjadi dengan sembahyang mereka.
Untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu, mari kita senaraikan peringkat-peringkat orang yang terhubung dengan perintah sembahyang yang agung yang merupakan ibu segala ibadah di dalam Islam. Dengan mengenal kategori atau golongan umat Islam yang ada hubungnya dengan sembahyang itu dengan sendirinya akan terjawab mengapa ibadah sembahyang tidak dapat membangunkan umat Islam menjadi satu bangsa yang kuat dan agung, insya-Allah.
Sesungguhnya banyak kejadian-kejadian yang telah diperlihatkan kepada Rasulullah SAW sewaktu Baginda diisyrakkan. Antaranya, Rasulullah SAW telah melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu kembali seperti asalnya. Perbuatan itu dilakukan berulang-ulang kali, begitulah keadaannya berterusan. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril Alaihissalam, “Siapakah mereka itu?” Jibril menjawab, “Mereka adalah sebagai gambaran golongan umat tuan yang suka melalaikan waktu sembahyang sehingga habis waktunya.”
Kita umat Islam wajib mengerjakan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan sembahyangnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya jika ia seorang yang beriman, ia akan menjaga sembahyangnya dengan sempurna baik dari perlaksanaannya mahupun waktunya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maa'uun ayat 4-5 yang bermaksud, “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari menyempurnakan solatnya.”
Solat Pada Waktunya
Sembahyang adalah ibadat yang paling utama bagi orang Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama. Kewajipan mendirikan sembahyang telah diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa’, ayat 103, yang bermaksud, “Sesungguhnya solat itu adalah satu kewajipan (ketetapan) yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”
Melihat betapa pentingnya kewajipan sembahyang ini dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah SAW telah menyuruh supaya ibadat sembahyang itu diajarkan kepada anak-anak sejak umur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan yang munasabah jika enggan bersembahyang ketika umur sepuluh tahun. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak-anak mengerjakan sembahyang yang mesti dilaksanakan oleh ibu bapa. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk berdoa agar anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 40, yang bermaksud, “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”
Dari Abu Dzar r.a katanya: Rasulullah SAW bertanya kepadaku, sambil menepuk pahaku, “Apa yang engkau lakukan jika engkau berada dalam lingkungan kaum yang suka melalaikan solat dari waktunya?” Jawabku: “Apa perintah tuan untuk saya?” Sabda baginda, “Solatlah pada waktunya (sekalipun sendirian). Sesudah itu selesaikanlah segala urusanmu. Jika kebetulan orang solat berjamaah dan engkau masih berada dalam masjid, maka solatlah pula (bersama mereka).” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Solat bukan perkara yang remeh di dalam agama. Bahkan ia menduduki tempat teratas dalam penilaian ketaatan manusia sehinggakan di padang Mahsyar kelak setiap amalan manusia didahului kiraannya daripada solat itu sendiri. Jika baik dan sempurna ia dikerjakan maka semua amalan berikutnya akan baik. Hal ini kerana fungsi solat itu adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Begitulah sebaliknya. Oleh itu janganlah kita merasa berat untuk melakukan solat kerana perasaan itu membuka peluang kepada syaitan untuk melalaikan kita dengan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang menarik nafsu seperti duduk-duduk berkumpul dan berbual-bual sehingga terleka atau terlalu asyik membeli belah sehingga terlupa akan solat. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengerjakan solat itu pada awal waktu meskipun secara sendirian daripada terlewat mengerjakannya kerana sebab-sebab yang sebenarnya boleh dielakkan. Bahkan dalam hadis di atas Rasulullah SAW menggalakkan kita merebut pahala solat berjamaah sekalipun kita telah selesai mengerjakan solat (sendirian) demi menekankan akan kepentingan menyegerakan solat dan keutamaan berjamaah.
Kepentingan Menjaga Solat
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman, “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.”
Huraian:
- Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
- Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
- Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
9 kategori manusia dan sembahyangnya
1. Golongan yang langsung tidak bersembahyang dan menolak perintah sembahyang. Mereka ini namanya saja Islam, tetapi memang tidak mahu sembahyang. Malah tak tahu pun macam mana hendak sembahyang dan tak ambil peduli langsung tentang sembahyang. Mengikut hadis, mereka ini dihukum sebagai kafir. Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir ialah meninggalkan solat.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Kalau dah kafir... confirmlah kekal selama-lamanya dalam Neraka... Semoga kita tidak tergolong dalam kategori ini.
2. Golongan yang bersembahyang tanpa ilmu disebabkan kejahilan. Mereka ini sembahyang sebab terikut-ikut orang lain sembahyang. Tetapi yang sebenarnya, tak tamat ilmu sembahyang pun. Mereka tidak faham syarat rukun sembahyang, sah batalnya, cara-cara bersuci sebelum mengerjakan sembahyang. Mereka ini tidak tahu yang mana satu rukun dan yang mana satu sunat. Bacaan pun tak betul, yang panjang jadi pendek dan yang pendek jadi panjang. Sembahyang begini tentulah tidak diterima Allah SWT. Maka golongan ini tertolak ibadahnya dan berada di dalam dosa dan derhaka. Macamlah orang yang bagi jawapan tak betul dalam exam, mana cikgu nak luluskan. Tak passlah jawabnya!
3. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, faham tentang ilmu sembahyang tetapi oleh kerana tidak boleh melawan nafsu, godaan dunia atau tarikan dunia terlalu kuat, maka mereka mengerjakan sembahyang tidak istiqamah. Kadang-kadang sembahyang, kadang-kadang tidak. Kalau sempat akan dikerjakan, apabila sedang sibuk maka sembahyang tidak dikerjakan. Mereka ini lulus subjek Pengetahuan Agama Islam, kadang-kadang boleh score A1 lagi. Tapi bila Brazil masuk World Cup final, sembahyang pun qada'. Kadang-kadang terlepas waktu kerana sibuk sangat buat kerja nak cari duit. Bila ada mood, sembahyang. Bila tidak ada mood, sembahyang ditinggalkan. Kalau sembahyang pun, sembahyang exercise sahaja. Tonggang tonggek macam ayam patuk cacing tapi fikiran mereka boleh round seluruh dunia. Ini golongan yang fasik atau zalim. Untuk mudah nak faham, mereka ini golongan Islam yang jahat.
Macam mana yang dikatakan jahat? Mengadap tuhan pun boleh lagi main-main. Kalau depan raja pun orang dah kata biadap, inikan pula depan Tuhan, Raja segala raja. Mereka ini kalau tak merayu minta ampun, alamatnya akan dihalau dari istana raja (kalau dengan Tuhan, syurgalah). Kalau dah dihalau dari syurga, ke mana agaknya kita kena pergi, sudah tentu semua dah maklum, kan?
4. Golongan yang lalai dalam sembahyang. Mereka dah tak main qada' sembahyang. Mereka ini satu tangga lebih baik daripada golongan yang di atas. Ada golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, walaupun ilmunya tepat, tapi saat mengerjakan sembahyang dia tidak khusyuk. Fikirannya tidak sepenuhnya pada sembahyang atau terus-menerus mengingat persoalan-persoalan lain. Fikiran dan jiwanya selalu saja melayang-layang dan mengembara ke alam kehidupan sehari-hari. Bermacam-macam persoalan terlintas di dalam sembahyang. Kadang-kadang bila frust atau dalam keadaan stress, cukup rajin pula sembahyang jemaah di masjid atau di surau. Orang sangka mereka ini orang baik-baik, tetapi sebenarnya belum tentu lagi. Kalau kita nak tahu, di waktu sembahyang hati dan fikiran mereka selalu melayang teringatkan problem yang masih tak selesai. Contohnya bergaduh dengan isteri, ceti dah datang, kunci hilang dan senagainya. Kadang-kadang sungguh hebatnya sampai teresak-esak menangis dalam sembahyang. Bukan tangiskan dosa dan takutkan Tuhan tapi sebab melayan perasaan sendiri. Dan ada di kalangan mereka yang lebih hebat lagi, bila bagi salam, kunci pun dapat! Memang tepatlah kalau mereka ini dikatakan golongan yang lalai. Mereka ini termasuk juga golongan yang biadap dengan Tuhan, macam orang yang berdepan dengan raja tapi buat hal sendiri. Raja tetap marah kerana tidak dihormati. Di akhirat nanti, tempat mereka ialah di Neraka Weil.
5. Golongan yang sembahyangnya seolah-olah tarik tali. Mereka ini lebih baik sikit dari yang di atas iaitu sentiasa tarik tali antara mengingati bacaan sembahyang dengan tidak. Bila lalai dibetulkannya kembali. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa. Ingat dengan lalai sentiasa silih berganti. Mereka tidak mahu begitu tapi terjadi juga. Macamlah orang yang ada penyakit amnesia (hilang ingatan). Golongan ini adalah golongan yang lemah. Golongan ini terserah kepada Allah Ta'ala. Moga-moga Allah ambil yang dalam keadaan sadarnya, sedangkan dalam keadaan tidak sedarnya, Allah ampuni.
6. Golongan yang tidak memahami sepenuhnya maksud bacaan dalam sembahyang. Mereka ini fikirannya tidak lagi melilau-lilau atau bertarik tali dalam sembahyangnya. Mereka dah boleh beri tumpuan pada bacaan-bacaan dan lafaz-lafaz yang diucap dalam sembahyang. Sembahyang mereka pun nampak cantik dan sempurna. Kalau baca Fatihah, kalah lidah orang Arab, tetapi tak ubah macam duit palsu sahaja. Nampak macam yang original tapi tak ada nilai apa-apa. Mereka ini sebenarnya tak faham apa yang dibaca... dan tak nak pula belajar makna bacaan sembahyangnya. Nak khusyuk macam mana? Memanglah impossible! Inilah golongan awamul muslimin. Golongan ini juga belum selamat. Kalau di depan raja, mereka ini ibarat burung kakak tua yang tak faham apa yang diperkatakannya. Manusia yang berperangai burung kakak tua di depan Tuhan, manalah Tuhan suka!
7. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang dengan ilmunya tepat kemudian dapat memperhatikan, memahami dan berkonsentrasi pada bacaannya di setiap perkataan dan lafaz yang diucapkan. Mereka bersembahyang dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki ALLAH. Dengan demikian fikirannya tidaklah merewang ke mana-mana atau teringat-ingat persoalan-persoalan yang lain selain dari persoalan-persoalan yang ada hubungannya dengan sembahyang tapi tidak pula dapat memahami setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan. Kalau di istana, mereka inilah yang layak jadi tetamu raja. Mereka berkelakuan sopan dan pandai menghormati raja. Raja pun suka pada mereka. Raja tidak berat hati nak offer duduk lama-lama dalam istananya.
Golongan ini selamat di dunia dan di akhirat dan dapat masuk Syurga. Inilah golongan awamul muslimin. Mereka inilah yang dikatakan orang-orang soleh.
8. Golongan muqarrabin. Golongan ini sama seperti golongan yang ketujuh tadi, tapi kelebihannya mereka dapat menghayati dan menjiwai setiap makna atau pengertian yang dibaca pada setiap perkataan atau lafaz yang dibacanya. Dengan perkataan yang lain setiap perkataan yang dibacanya, yang difahaminya dapat difikirkan dan dijiwai oleh hatinya. Mereka bukan sahaja khusyuk dalam sembahyang, tetapi dapat juga rasa lazat dalam sembahyang, lebih lazat dari makan sate Kajang. Bila baca tentang azab Allah, kecut hati dan perut mereka. Bila baca tentang rahmat Allah, hati mereka cukup tenang dan gembira. Mereka benar-benar dapat menjiwai sembahyang mereka. Darjat mereka ini lebih tinggi dari golongan 7. Kalau di istana raja, mereka ibarat pekerja-pekerja yang setia dengan raja. Bukan saja mereka memuliakan raja, bahkan semua titah raja dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan rasa seronok. Tak bagi gaji pun tak apa, asalkan dapat berkhidmat kepada raja. Orang begini, memanglah boleh terus menerus duduk di dalam istana. Nak keluar masuk istana, tak payah soal siasat. Cukup tunjukkan punch card. Malah raja bagi pula kemudahan-kemudahan istimewa untuk mereka. Di akhirat nanti, mereka bukan sahaja selamat, tetapi tidak banyak dihisab di Padang Mahsyar. Mereka ini bukan sahaja tidak melakukan perkara yang haram dan makruh, malah yang harus juga dijadikan ibadah.
9. Golongan siddiqin. Golongan ini golongan yang luar biasa. Golongan ini selain dapat memahami setiap yang dibaca di dalam sembahyang, juga setiap apa yang dapat difahaminya itu dapat difikirkan dan dijiwainya dengan sungguh-sungguh sehingga dia merasa asyik, tenggelam dan mabuk dengan Tuhan, apakah itu mabuk takut atau mabuk rindu hingga dia tidak menyadari lagi akan alam sekelilingnya dan dirinya. Mereka ini terdiri dari kalangan para rasul dan anbia' Allah SWT. Mereka ini ibarat menteri-menteri dan panglima raja. Mereka boleh rasa terhibur kalau terpaksa gadaikan nyawa sendiri untuk selamatkan raja. Mana raja tak sayangkan mereka! Keluar masuk istana langsung tidak diperiksa. Malah banyak keistimewaan yang dianugerahkan raja kpd mereka. Nasib mereka di akhirat tak payahlah nak dicerita. Merekalah yang menjadi wakil Tuhan untuk selamatkan manusia.
Setelah kita mengkaji, menganalisa peringkat orang yang mengerjakan ibadah sembahyang atau yang ada hubungannya dengan sembahyang, ternyata sembahyanglah yang dapat membangunkan iman, kesedaran bertuhan, penguat jiwa, membersihkan diri lahir dan batin dari kejahatan dan dosa, yang dapat melahirkan disiplin diri di dalam kehidupan, yang dapat membangunkan akhlak yang tinggi, yang menghasilkan perpaduan, berkasih sayang, yang dapat melahirkan perasaan kehambaan yang tinggi dan dapat melahirkan manusia yang agung ialah hanya ada tiga golongan saja. Iaitu golongan yang ketujuh, kelapan dan kesembilan.
Golongan yang lain itu sebahagiannya tidak sah sembahyangnya, semakin lalai di dalam sembahyang dan sebahagiannya lagi walaupun sembahyangnya sah dan di dalam sembahyang tidak mengingatkan perkara yang lain, namun tidak faham tentang sembahyang terutama apa yang dibaca, jauh sekalilah untuk dihayati, sudah tentulah sembahyangnya tidak menghasilkan kesan apa-apa kepada peribadi masing-masing. Sembahyangnya tidak akan dapat mendidik mereka, sembahyangnya tidak akan menjadi benteng daripada maksiat dan kemungkaran, sembahyangnya tidak dapat meneguhkan iman dan seterusnya sembahyang tidak akan dapat melahirkan jiwa tauhid dan rasa bertuhan. Golongan yang sembahyangnya tidak dapat mendidik dan mencegah dari perbuatan maksiat dan kemungkaran, ada keterangan di dalam kitab berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-’Ankabuut ayat 45, yang bermaksud, “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan ingatlah Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Bagaimanakah kualiti sembahyang kita agaknya? Marilah kita berusaha sungguh-sungguh untuk meningkatkan sembahyang ke peringkat yang tertinggi. Moga-moga kita selamat di dunia dan juga di akhirat.
Amiin ya Rabbal 'aalamin.
Sumber: macam-macam
Kenapa sembahyang tidak membangun insan...?
BalasPadampemahaman tentang ilmu tauhid yang tidak jelas.
pemahaman hukum fikah yang tidak tepat.
sikap sambil lewa tentang hikmah di sebalik solat itu sendiri...
salam..
BalasPadampenghuraian tentang solat yang baik. sama2 dapat muhasabah diri tahap mana dan kategori mana solat yang kta buat. moga tak tergolong golongan yang langsung tak dipandang amal kita di akhirat kelak oleh Rabbul Jalil, InsyaAllah..