“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Januari 16, 2009

Inai bercorak dilarang?

Salamun'alaik,

Baru semalam saya masukkan entry Tazkirah: Cantik yang dilaknat Allah. Saya mendapat feedback, "Apakah hukum memakai inai bercorak di tangan spt yg kebanyakan pengantin melayu lakukan? Adakah hukumnya haram kerana menyerupai budaya hindu?"

Sekitar Mei 2008 yang lepas, kecoh rakan-rakan grup SiM membincangkan perihal inai berukir di tangan. Puncanya, kiriman email yang bertajuk "inai berukir dilaknat Allah". Dalam email, terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur. Katanya, "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari."

Juga terdapat kenyataan daipada Dr Asri Zainol Abidin, dalam Utusan 10/02/2008, sila rujuk Pakai Inai ala tatu dilarang. Antara isi artikel :

KUALA LUMPUR 9 Feb 2008. – Beberapa tokoh agama dan budayawan negara hari ini melarang umat Islam daripada memakai inai ala tatu kerana ia bercanggah dengan ajaran agama dan mencerminkan budaya Barat. Menurut mereka, trend yang semakin digilai remaja terutama perempuan itu melambangkan sesuatu yang dilarang, lebih-lebih lagi jika ia berlambang haiwan atau mewakili kumpulan tertentu. Mufti Perlis, Dr. Asri Zainol Abidin berkata, perbuatan itu jelas dilarang dalam hadis terutama jika menggunakan jenis inai yang kekal lama di anggota badan.

‘‘Tak boleh. Jelas ia salah. Kita lihat hari ini ramai remaja yang conteng badan dengan inai. Lebih-lebih lagi gambar haiwan. Itu tabiat buruk dan melambangkan keganasan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Sebelum ini, tokoh ulama terkenal, Datuk Abu Hasan Din berkata, pemakaian inai ala tatu di tangan jelas melanggar hukum syarak.

Menurutnya, perbuatan itu jelas salah terutama kepada pengantin yang mengukir tangan mereka dengan corak-corak tatu melampau. Tambah Dr. Asri, kelonggaran tetap ada jika pemakaian inai itu berunsur sementara dan tiada halangan untuk air sembahyang melaluinya.

‘‘Tidak apa kalau pakai inai biasa. Tidak salah jika ia hilang selepas dua atau tiga hari di tangan,’’ ujarnya.

Pendakwah bebas, Daud Che Ngah berkata, pemakaian inai yang bersifat lebih kepada tatu adalah dilarang kerana ia menggambarkan ajaran yang bercanggah dengan agama Islam. Namun menurutnya, pemakaian inai tidak kekal sebenarnya dibolehkan dengan niat untuk berhias kepada suami pada hari perkahwinan.

‘‘Tak ada masalah kalau hendak pakai inai di jari. Tapi kita tengok hari ini macam hendak melukis segala-galanya di tapak tangan. Salah kalau sengaja membuat tatu walaupun dengan inai. Tatu itu sendiri dilarang kerana ia bukan budaya kita,’’ jelasnya.

Sementara itu, budayawan, Prof. Dr. Siti Zainun Ismail berkata, pemakaian inai itu sendiri mewakili adat perkahwinan yang memberi maksud tersendiri kepada masyarakat.

‘‘Orang dulu pakai inai sebab hendak tengok kesucian seorang gadis. Mereka hias pengantin perempuan dengan inai yang tahan untuk sembilan bulan,’’ katanya. Oleh itu, kata Siti Zainun, trend wanita sekarang yang gemar memakai inai tanpa tujuan malah mengukir pelbagai gambar di badan dilihat melanggar budaya.

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kenyataan oleh Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz dalam email yang diterima adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

  1. Dari Ibnu Umar ra katanya: "Bahawasanya Rasulullah SAW mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu." (Hadis bil. 2003, Sahih Muslim).
  2. Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda: "Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)." (Hadis bil. 1685, Sahih Bukhari)

Saya hanya lihat kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Hasan Din tetapi tidak dinyatakan dari sumber mana (memang tidak dinyatakan isi email dipetik dari sumber). Tetapi sekiranya kenyataan ini betul-betul daripada Datuk Hasan Din sekalipun, ini tidak bermakna pendapatnya benar belaka, tanpa dapat diperbahaskan.

Saya kemukakan sedikit mengenai hadis-hadis tersebut dan juga mengenai hadis dibenarkan berinai. Berinai adalah salah satu amalan semasa perkahwinan yang diwarisi turun temurun oleh masyarakat Melayu. Perlu ditegaskan, amalan berinai BUKAN berasal dari India, seperti yang ramai orang sangkakan. Inai diamalkan oleh wanita-wanita di zaman Rasulullah lagi. Inai bagi kaum wanita dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Rasulullah SAW tidak menegahnya, malah menyuruh kaum wanita memakai inai. Ini diriwayatkan oleh Aisyah r.a., "Rasulullah melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Rasulullah pun bersabda, "jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)." (HR Abu Daud, 4166) dan (HR an-Nasa'iy, 5092)

Memakai inai tidak salah selagi ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah. Yang menjadi larangan dalam dua hadis di atas adalah membuat "tatu".

  1. Mengapa samakan tatu dengan inai?
  2. Adakah pemakaian inai menyakitkan si pemakai, sama seperti proses membuat tatu (ukir/tebuk/tusuk dengan jarum)?
  3. Adakah inai bersifat kekal (di badan pemakai), seperti sifat tatu yang kekal dan hampir mustahil untuk ditanggalkan daripada anggota badan?

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam halal dan haram dalam Islam mengenai hadis ini, "Tatu, iaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatu sebahagian besar badannya. Bahkan sementara pengikut-pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka. Perbuatan-perbuatan yang rusak ini dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatu itu."

Jelas, tatu yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah tatu yang kita dapat lihat seperti tatu orang Iban, Red Indian ataupun tatu pada zaman anak-anak muda sekarang yang mentatu badan mereka dengan dakwat (ink) yang kekal. (bagi sesiapa yang tidak pernah tahu atau kenal tatu, boleh cuba MrGoogle di internet)

Berkata Imam Nawawi di dalam syarah Muslim 14/106, "Waashimah merujuk kepada perbuatan bertatu yang bermaksud memasukkan jarum ke dalam badan sehingga keluar darah dan tempat diletakkan ink tadi akan bertukar menjadi biru (lebam). Ia boleh dilakukan dengan bentuk bulat atau hiasan-hiasan banyak atau sedikit. Wanita yang melakukan ini dinamakan waashimah dan yang dilakukan ke atasnya dinamakan mawshoomah, dan orang yang meminta ditatu dinamakan mustawshimah. Ini adalah haram pada orang yang melakukan dan yang dilakukan ke atasnya (Rujuk Islamonline). Maka tatu yang dimaksudkan dalam hadis ini bukanlah inai perhiasan seperti yang dimaksudkan di bawah yang mengubah kejadian Allah secara kekal.

Kenapa inai dibenarkan?

Al-Saani berkata, "Sesetengah hadis memberikan menyatakan tatu (washm) adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah tetapi berinai adalah dibenarkan kerana kesepakatan ulama dan pernah dilakukan pada zaman Rasullulah SAW. Subul al-Salaam (1/150).

Berkata Aisyah r.a., "Seorang wanita memberi isyarat dari sebalik tabir yang menyatakan bahawa dia ada surat untuk Rasulullah SAW. Rasulullah menutup tangannya dan berkata, aku tidak tahu ini tangan lelaki atau wanita. Dia kata: tidak, seorang wanita. Nabi bersabda: Sekiranya kamu seorang wanita, maka berbezalah dengan meletakkan inai di jarimu." (HR Abu Daud No 33 hadis 4154)

Kesimpulan:

Adapun inai dan lukisan inai yang tidak kekal pada tangan adalah dibenarkan kerana nas membenarkan inai dan tidak ada nas mengharamkan lukisan inai pada tangan.

Mungkin lebih molek kita rujuk yang lebih arif tentang hukum pemakaian inai bercorak dikatakan menyerupai budaya Hindu. Secara peribadi, saya rasa tidak menjadi kesalahan sebab kita sendiripun tidak tahu bagaimana wanita zaman Rasulullah mengenakan inai, adakah seperti nenek/mak kita, atau bercorak-corak seperti wanita di India. Selagi tidak melukis corak-corak yang dilarang oleh syarak, ataupun berbentuk haiwan, mencorakkan inai dibolehkan kerana tiada nas mengharamkan lukisan inai.

Wallahu'alam bissawab.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails