SOALAN:
SAYA kematian suami sebulan yang lalu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Rumah tangga kami aman bahagia dan dikurniakan empat anak berumur antara dua dan 10 tahun. Saya mempunyai seorang pembantu rumah. Saya sedih dengan kematian suami namun akur itu adalah ketentuan Ilahi. Sebagai seorang Islam saya mesti menerima hakikat itu.
Saya diberitahu oleh saudara mara sebelah suami bahawa jika saya masih sayangkan suami, saya tidak boleh keluar dari rumah selama empat bulan. Ini menimbulkan tanda tanya kerana saya adalah seorang wanita yang bekerja. Jika saya tidak boleh keluar rumah bererti saya perlu berhenti bekerja sedangkan suami sudah tiada bagi menanggung keluarga. Saya amat menyayangi suami tetapi saya perlu menanggung keluarga.
Balu
Kota Setar
JAWAPAN:
Saya mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga. Saya mendoakan semoga roh arwah suami ditempatkan di sisi roh orang mukmin dan para anbia. Bersabarlah menghadapi ujian ini kerana setiap ujian yang Allah tentukan itu pasti mempunyai hikmah tersendiri.
Tabah mengharungi dugaan juga perlu menjadi benteng ketahanan diri dan ketahuilah Allah tidak akan menguji jika puan tidak mampu menghadapi ujian itu.
Berbalik kepada persoalan puan, sebenarnya tempoh empat bulan yang dinyatakan saudara suami adalah apa yang dinamakan sebagai tempoh edah. Jika seorang wanita itu kematian suami atau diceraikan suaminya, maka wanita berkenaan hendaklah berada dalam tempoh edah dan mematuhi beberapa syarat sepanjang tempoh itu.
Tempoh edah bagi wanita yang kematian suami adalah berbeza mengikut keadaan wanita itu. Pada masa dalam edah, ada beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan antaranya ialah berkahwin semula dengan orang lain, keluar rumah tanpa keperluan, bersolek dan memakai wangian.
Tujuan syarat itu dikenakan ialah bagi menzahirkan rasa duka cita isteri terhadap kematian suaminya. Ia juga bagi memastikan tiada zuriat lain yang akan dilahirkan bagi tujuan menjaga nasab si mati.
Ketika tempoh edah, isteri dilarang berkahwin dengan lelaki lain kerana ditakuti anak yang bakal dilahirkan itu, tidak pasti dinasabkan kepada siapa. Selepas dipastikan wanita itu tidak mengandung anak si mati, barulah wanita itu boleh memulakan hidup baru dengan lelaki lain setelah tamat tempoh edah.
Bersolek dan memakai wangian juga dilarang dalam tempoh itu kerana ia tidak melambangkan duka cita isteri yang kematian suaminya. Umumnya isteri yang kematian suami dilarang keluar dari rumah kelaminnya ketika dalam tempoh edah. Ini adalah bagi mengelak tohmahan terhadap isteri.
Namun, jika ada keperluan yang mendesak isteri boleh keluar rumah. Berdasarkan soalan yang puan kemukakan, adalah jelas bahawa puan terpaksa keluar rumah untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.
Oleh yang demikian, puan tidak perlu berhenti bekerja kerana puan perlu menanggung keluarga. Jika puan berhenti kerja dalam tempoh edah, dikhuatiri puan tidak akan dapat menanggung keluarga dan anak akan menderita.
Bagaimanapun, puan perlu segera pulang ke rumah jika keadaan tidak memerlukan puan berada di luar rumah. Puan juga dinasihatkan tidak keluar rumah pada waktu malam kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.
Persoalan puan sayangkan suami atau sebaliknya adalah persoalan yang hanya puan saja yang mengetahuinya dan ia tidak boleh diukur daripada perbuatan keluar rumah. Apa yang lebih penting ialah puan mendoakan roh suami supaya ditempatkan bersama orang soleh dan para anbia'.
Puan juga berperanan mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh dan mendoakan kedua orang tuanya. Doa anak yang soleh penting kerana ada jaminan daripada Rasulullah SAW bahawa doa anak yang soleh tidak akan putus kepada si mati.
Bagi menjaga hubungan puan dengan keluarga suami, jelaskan kepada mereka bahawa puan perlu bekerja bagi menanggung keluarga dan langsung tidak menghakis kasih sayang terhadap suami. Berbincanglah dengan penuh hikmah dalam suasana harmoni dan mintalah mereka faham akan situasi yang puan hadapi sekarang.
Saya harapkan puan dapat bersabar atas dugaan yang melanda, banyakkan berzikir dan mengingati Allah. Berdoalah supaya Allah memberi yang terbaik kepada puan sekeluarga.
Info
Larangan keatas wanita kematian suami
Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sila layari http://peguamsyarie. blogspot.com
Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...