“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Januari 09, 2009

Lima cara redha, tenang terima segala musibah


SESETENGAH orang tidak dapat menerima penderitaan yang dihadapinya seperti kehilangan orang yang disayangi atau harta benda. Apakah keengganan menerima keadaan perkara yang berlaku bererti menyanggah kekuasaan Allah? Apakah yang perlu dilakukan apabila mengalami sesuatu musibah?

APABILA seseorang menghadapi musibah, dia wajib menerima dengan berlapang dada dan bersabar. Contohnya menghadapi kematian orang yang dikasihi, kemalangan dan sakit. Ini adalah kerana musibah ialah ujian yang meningkatkan iman iaitu jalan untuk menambahkan kebaikan pada diri seseorang mukmin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan terhadapnya, Dia akan mengujinya dengan ditimpa musibah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sabda Baginda SAW dalam hadis lain pula, bermaksud, “Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a.)

Bagi menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya ialah:

1. Bersabar ketika mula ditimpa musibah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya sabar adalah pada kejutan pertama musibah berlaku.” (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).

2. Mengucap 'Innalillahi wa inna ilaihi raji'un' iaitu merujuk kembali apa pun musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT. Dari Ummu Salamah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun di antara orang-orang muslim yang ditimpa musibah, lalu dibacanya apa yang diperintahkan Allah: "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Allahumma ajurni fi musibati, wakhluf li khairan minha." (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah SAW.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud surah al-Baqarah, ayat 156)

Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah SAW menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.

3. Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan dan bukan menjadi kesalahan. Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa sebarang musibah. Dikhuatiri mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT ataupun musuh bergembira melihat kesedihan kesan musibah yang kita hadapi.

4. Cendekiawan Islam dan orang yang bertakwa berusaha menyembunyikan musibah. Mereka gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang bakal diterima. Gembira dan redha secara syarie bukan secara tabiie kerana tabiat manusia tentu tidak menyukai musibah.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Rasulullah SAW datang berkunjung ke rumah Ummu Saib maka bertanya baginda, "Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?" Jawab Ummu Saib, "Demam! Allah Ta'ala tidak memberi berkat dengannya." Sabda Nabi SAW., "Janganlah kamu menyalahkan penyakit kerana penyakit itu dapat menghilangkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) anak Adam, seperti halnya dapur tukang besi membersihkan karat-karat besi." (Jabir bin Abdullah)

5. Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Bersabarlah dan jangan mengeluh

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (Hadis riwayat al-Hakim)

1. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup. Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya, “Sesungguhnya setelah tiap-tiap kesukaran/kesulitan disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 6)

5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Elakkan berkata ‘kalau’

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: “Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku.” Tetapi katakanlah: “Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

Huraian:

  1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.
  2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.
  3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.
Renung-renungkan dan selamat beramal!

1 ulasan:

  1. sabar itu adalah separuh dr kekuatan iman..dr situ byk dpt kita mendekati bagaimana mndpt iman yg kuat dr bersabar....

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails