SOALAN:
SAYA seorang lelaki yang meminati lelaki. Saya pelik dengan diri sendiri kerana saya tidak pernah tinggal solat, selalu berdoa kepada Allah, menjaga aurat, membaca al Quran dan tidak menonton video lucah. Namun, saya masih juga meminati lelaki. Saya cuba melakukan perkara yang dilakukan oleh lelaki normal seperti bercakap mengenai seks dan wanita, tetapi saya tetap begini. Perkara ini sangat menyeksakan kerana saya juga bernafsu. Ingin mencinta dan dicintai. Saya tidak pernah terjebak dalam kancah maksiat lagi setakat ini kerana saya masih berada di zon selesa. Apa yang merisaukan, saya kini sudah meninggalkan zaman sekolah dan memasuki universiti. Bagaimanakah, cara untuk saya meminati wanita kerana saya tiada nafsu langsung terhadap golongan itu?
Lelaki X.
JAWAPAN:
JEJAKA yang sedang diuji, jika anda masih sangat tinggi keyakinan dengan akal, perasaan, hati dan tindakan maka anda tidak wajar bersedih kerana Allah memakbulkan permohonan seseorang di mana saja mereka berada. Ia sesuai dengan usaha dan harapan mereka kepada Tuhan melalui kepercayaan dan cara sembahan mereka, mana mungkin Allah tidak memakbulkan doa dan permohonan seorang Muslim yang bertauhid seperti anda.
Contoh terbaik ialah yang dipaparkan dalam sejarah hidup Mahatma Gandhi, seorang pemimpin paling popular selepas Buddha. Beliau telah mengakui dengan mengatakan begini ‘seandainya saya tidak sembahyang, pasti saya telah menjadi orang gila sejak dulu’. Pemimpin India ini menghadapi pelbagai rintangan yang menghancurkan diri dan perjuangan yang dimulakannya, tetapi beliau mendapat inspirasi daripada kekuatan yang ada pada sembahyang yang dilakukannya.
Begitulah kuatnya kesan dan impak pada dirinya yang ditimbulkan oleh sembahyangnya. Pada hal Gandhi bukan orang Islam, namun dia terus berjaya membangun diri dan perjuangannya membangun negara dan bangsanya dengan berpegang teguh pada satu keyakinan iaitu keyakinan beragama. Al-Quran bertanya pada kita, “Atau siapakah yang memperkenankan dia.” (QS An-Anml:62)
Di atas keyakinan inilah maka sewajarnya orang yang benar-benar beriman kepada Allah memahami sebab musabab al-Quran diturunkan. Oleh itu, jika Allah sudah bertakhta di hati, mana mungkin jasad dan minda serta perasaan kita tergenggam oleh iblis melalui gejolak nafsu yang menyimpang dari fitrah kejadian manusia.
Jika gejolak nafsu ini gagal dikendalikan oleh minda dengan ilmu, emosi melalui rasa dan hati melalui penghayatan dan masih belum berasa diperhati dan dinilai oleh Tuhannya bermakna hubungan antara minda (ilmu) perasaan dan hati kita belum bulat. Kita belum mentaati Allah secara spiritual, sebaliknya hubungan kita hanya secara ritual (buat apa yang diperintah secara amalan tanpa berasa terhubung hatinya dengan Pencipta).
Ketiadaan rasa terhubung inilah yang menyebabkan anda masih terperangkap dengan permainan iblis yang bersenjatakan nafsu lalu mendorong dan memerintah anda untuk menurut perintah nafsu syahwat yang di luar fitrah yang ditetapkan Allah.
Lalu timbullah pengakuan bahawa anda hampir tewas melawan nafsu anda secara normal. Sedangkan antara ciri orang beriman dan berkeyakinan bertuhan dan taat menjalankan perintah agama tidak akan pernah mengalami kekecewaan, tekanan negatif dan penyakit jiwa. Ini kerana orang yang hidup bermodalkan keyakinan beragama akan penuh dengan ketenangan dan kedamaian jiwa. Kehidupan mereka jauh dari terperangkap dalam nafsu yang menjauhkan mereka dari Tuhan yang mereka yakini.
Di sini, Umi paparkan kisah untuk anda hayati supaya dapat melakukan pembaikan diri dan membina benteng agar tidak menjadi kuda tunggangan nafsu jahat yang merosak keyakinan beragama anda.
Kisahnya begini, Dr Carl Jung seorang pakar sakit jiwa terkenal menulis buku bertajuk “The Modern Man In Search of Spirit” dalam halaman 264 menyatakan, “Selama 30 tahun, ratusan pesakit datang menemui saya untuk mendapatkan rawatan. Semua pesakit saya dicadangkan agar kembali membina kehidupan beragama sebagai gaya dan pegangan hidup. Oleh kerana saya mendapati mereka yang jatuh sakit disebabkan kehilangan apa yang telah diberikan oleh agama kepada orang beriman, saya menegaskan kepada pesakit saya bahawa jika mereka belum mampu mengembalikan keimanannya yang sejati, mereka tidak akan mampu disembuhkan”.
Keyakinan beliau ini dapat diselarikan dengan penjelasan dari Allah (QS Thaha:123) yang bermaksud, “Dan barang siapa berpaling dari mengingati Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Jika ini janji Allah maka perbaikilah gaya hidup anda sebagaimana Nabi Muhammad menjaga dirinya dengan memohon kepada Allah setiap hari dengan doa “ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan hari ini, berkahnya, pertolongannya, cahayanya dan hidayahnya.”
Gunakanlah doa ini dan hayati pesanan Thabit ibn Zuhair yang berbunyi, “Jika seseorang tidak berusaha, padahal nasibnya telah mengharuskannya berusaha, dia mensia-siakan nasibnya, dan akan ditinggalkan. Tetapi orang yang bersemangat waja tidak pernah menyerah pada ujian akan selalu melihat masalah dengan mata terbuka, maka dia adalah penebus zaman, yang selalu bergerak, hingga jika ditutup satu pintu, dia akan merobos pintu yang lain.”
Akhir sekali sentiasalah membaiki diri dengan membersihkan minda dari memikirkan yang negatif, membimbing emosi agar sentiasa positif dan mendengar suara hati sendiri kerana Allah membimbing hambanya melalui suara hati yang ada di dalam jiwa lalu bergeraklah membuat apa yang diperintah dan benteng diri agar tidak dipujuk iblis berkelakuan melawan Tuhan.
Antara bentengnya yang dibekalkan Allah ialah, “Ya Rabb kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum-kaum yang kafir.” (QS Ali ‘Imran:147)
Umi doakan agar anda mampu membenteng nafsu serong anda sebagai mana anda menahan diri anda ketika anda berpuasa. Sesungguhnya berpuasa itu benteng yang paling kukuh kepada nafsu dan Iman. Selamat memuhasabah diri dan ingatlah bahawa kita ini adalah hamba Allah dan milik Allah. Bangunkan jiwa melalui keyakinan bahawa Allah menjadikan kita sebaik-baik kejadian. Mana mungkin anda diberikan yang salah, tetapi perasaan itu adalah ujian untuk melihat sama ada anda beriman kepada Allah atau bertuan kepada nafsu.
Didoakan agar terus menghargai dan menjaga fitrah anugerah Allah. Jadikanlah diri anda benar-benar hamba Allah bukan hamba dunia dan bukan hamba nafsu. Bersegeralah meraih cinta Allah sebelum memburu cinta manusia. Umi yakin anda mampu memilik jalan ke syurga dan menahan diri dari terhumban ke neraka. Amin.
Sumber : Dr Rubiah K Hamzah di BHarian 2009/01/18
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...