“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Januari 20, 2009

Bahaya virus hepatitis

Ia boleh menyebabkan radang hati sehingga membawa maut.

VIRUS hepatitis A.

GAYA hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan. Badan manusia adalah perumah paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.

Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberi perhatian serius. Hepatitis bermakna radang hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberi rawatan yang sewajarnya. Sehingga kini tujuh jenis virus hepatitis yang dikesan di seluruh dunia yang diberi mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A, B, C, D, E, F dan G.

Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis A hingga E. Manakala jangkitan untuk hepatitis F hanya dijumpai sekali di India pada tahun 1994. Sementara hepatitis G pula hanya dikesan pada tahun 1995. Perunding Kesihatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, jangkitan penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu akut gejala teruk dalam masa yang singkat dan kronik kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang bergantung kepada jenis virus yang menyerang. Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus.

Virus hepatitis A & E (HVA & HVE)

Dua virus ini mempunyai ciri yang hampir sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut. Biasanya, pesakit akan mengalami masalah kesihatan dalam masa sebulan. Antara gejala jangkitannya ialah demam kuning, demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu. Apabila virus memasuki badan, ia mengambil masa kira-kira dua minggu dipanggil tempoh inkubasi sebelum menyebabkan masalah kesihatan. Biasanya individu dijangkiti mengambil masa kira- kira dua minggu untuk pulih.

Sehingga kini Malaysia hanya mempunyai kes hepatitis A kerana jangkitan HVE dilaporkan berlaku di India dan Afrika. Walaupun gejala hepatitis A dan E dianggap lebih ringan berbanding virus hepatitis B dan hepatitis C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HVE paling berisiko tinggi iaitu antara 15 peratus hingga 25 peratus menemui maut.

Hepatitis A

Merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar daripada penyedia makanan yang dijangkiti atau makanan mentah dan sentuhan sama ada membabitkan alat keperluan harian atau dipusat jagaan kanak-kanak. Malah, ada individu yang terdedah kepada darah yang tercemar pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan. Bagaimanapun, jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.

Kanak-kanak yang dijangkiti HVA biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza. Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak berusia kurang enam tahun mengalami demam kuning, 40 peratus hingga 50 peratus demam kuning bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur antara 6 tahun hingga 14 tahun. Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat antara 70 peratus hingga 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau remaja yang berumur 14 tahun dan ke atas. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit ini, tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak 6 bulan hingga 12 bulan.

Vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

Hepatitis B

Dr. Abdul Malik berkata, virus hepatitis B (HVB) mempunyai tempoh inkubasi yang lama iaitu antara dua bulan hingga tiga bulan. Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah sama ada akut atau kronik. Ini adalah jangkitan yang paling lazim berlaku di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit hepatitis B dan kira- kira 350 juta pembawa HVB kronik. Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HVB kronik ini adalah India dan Afrika. Di Malaysia, kebanyakan kes ini berlaku di kalangan orang Cina; 60 peratus hingga 70 peratus, Melayu; 30 peratus dan India; 10 peratus. Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah. Wanita hamil yang dijangkiti hepatitis B boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. HVB dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV. Gejala hepatitis B ialah deman kuning, kematian akut, jangkitan kronik, kematian akibat penyakit hati yang kronik.

Bagaimanapun, bukan semua orang mendapat penyakit ini. Ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa. Di kalangan individu yang dijangkiti, hampir 90 peratus kes virus HVB dapat disingkirkan melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus menjadi pembawa. Oleh kerana itu, HVB bersifat kronik gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.

Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 peratus hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati iaitu sel hati mati mengeras dan menyebabkan parut. Daripada jumlah ini kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HVB boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT). Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras A adalah tinggi walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal. Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi HVB dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut). Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HVB daripada terus merosakkan hati. Ia diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan. Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan. Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka. Sebagai perlindungan anda boleh mengambil vaksin hepatitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.

MESKIPUN belum ada penawar, suntikan vaksin dapat melindungi seseorang daripada dijangkiti hepatitis.

Hepatitis C (HVC)

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus yang dikenali sebagai HVC ini boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, pemindahan darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum tahun 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur, jangkitan daripada ibu kepada bayi ketika bersalin.

HVC mempunyai tempoh inkubasi antara 6 minggu hingga 7 minggu. Ramai yang tidak mengalami gejala hepatitis B boleh muncul walaupun setelah lima tahun mendapat jangkitan. Antara gejala yang biasa ialah demam kuning (30 hingga 40 peratus), demam yang tidak teruk, sakit perut, keletihan dan kerap mendapat jangkitan virus lain seperti selesema. HVC boleh menyebabkan sirosis hati, pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap hepatitis B dan C. Jika seseorang individu itu mendapat kedua-dua jangkitan (hepatitis B dan C), masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku. Ubat yang diberikan kepada pesakit bertujuan menghentikan tindakan virus yang diambil melalui suntikan dan makan selama enam hingga 12 bulan.

Hepatitis D (HVD)

Virus hepatitis D dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ia memerlukan HVB untuk bertindak. Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HVD, dia tidak mengalami sebarang masalah. Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga menghidap penyakit hepatitis B; namun kes seperti ini jarang berlaku.

Jika mengalami mana-mana gejala seperti di atas segera jalani ujian untuk hepatitis, terutama bagi individu yang lahir sebelum tahun 1989. Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda. Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

Sumber: Kosmo!

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails