“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Januari 20, 2009

Tajdid Iman: Cetek agama punca penulisan anti-Muslim

BERDOA dan berwirid mendekatkan hubungan insan dengan Allah, sekali gus mengelakkan penulisan persenda Islam.

Penulis jahil sering salah guna blog, internet untuk persenda kemuliaan ajaran Islam

LAUNGAN slogan kembali kepada Islam menimbulkan reaksi pelbagai lapisan masyarakat. Ada bersikap prejudis penuh kecurigaan dan menganggap sebagai seruan kembali kepada kemunduran, semua serba haram dan bayangan kerumitan dalam melaksanakan nilai ajarannya.

Wujud juga golongan mahu mengambil kesempatan terhadap Islam, mereka mengambil semangat Islam untuk kepentingan peribadi. Ada pula golongan yang Islamnya hanya kulit, mereka menggunakan Islam pada saat diperlukan untuk mendapat keuntungan duniawi. Sementara inti ajaran Islam yang mengatur seluruh dimensi kehidupan dicampak bagai sampah tidak terpakai. Lalu, bagaimanakah sikap seorang Muslim ketika menyahut seruan ini?

Sudahkah dikaji keaslian Islamnya bersih daripada penyelewengan akibat percampuran fahaman buatan manusia seperti kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, liberalisme, hedonisme dan pelbagai isme lainnya. Apakah Islam yang dianuti itu bebas sama sekali daripada pengaruh transformasi budaya yang sudah membuka pintu dunia seluas-luasnya? Atau masih digigit dengan gigi geraham peninggalan nenek moyang tanpa usul periksa? Untuk itu, sesiapa yang mahu hidup dalam pimpinan Islam yang benar hendaklah kembali kepada asal. Hanya pendedahan ilmu yang boleh menjawab semua persoalan itu kerana pusaka nabi yang tidak akan hilang ditelan zaman.

Pada masa teknologi maklumat yang semuanya serba hebat dan cepat seperti sekarang, muncullah Islam yang terpampang di blog ciptaan manusia. Ramai pula orang Islam yang mencari hidayah Allah dengan belayar di lautan siber tanpa sempadan. Hakikatnya pemikiran dan fahaman dipaparkan dalam blog berkenaan perlu dikaji, diuji dan diperiksa kesahihannya, adakah benar ia tidak menyalahi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Proses mencari ilmu tidak boleh terlepas daripada amalan membaca, berdialog bersama ulama dan melakukan perbandingan kajian secara bertanggungjawab.

Boleh jadi, ajaran sesat sudah menyusup masuk tanpa disedari melalui teknologi maklumat dengan begitu mudah. Sikap menerima dan mengikut secara membuta-tuli tanpa usul periksa dan mencari daripada sumber lain boleh memudaratkan seorang penuntut ilmu. Mencari kebenaran Islam mestilah dipandu oleh ulama yang amanah dengan ilmunya. Jangan pula taksub kepada seseorang dan menolak pandangan ulama lain. Ada kala hujah dinyatakan dalam blog sebegini terlalu miskin ilmu umpama perbualan di kedai kopi dengan memperguna dalil al-Quran dan hadis yang disalah guna, lebih teruk lagi sikap hentam dan caci maki, fitnah dan kebencian mula menjadi aliran dihalalkan dalam blog yang kononnya berlandaskan Islam itu.

Islam yang begitukah boleh diharap membangkitkan jiwa umat supaya berjuang memartabatkan agama? Tidak nampak keindahan ketika membaca maklumat yang bertajuk Islam tetapi berisi sumpah seranah tidak bertamadun. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap Muslim itu bersaudara, maka jangan kamu menganiaya dan menghina saudaramu. Takwa itu ada di sini (menunjuk dada tiga kali). Seseorang cukup dianggap jahat apabila ia menghina saudara muslimnya, setiap Muslim diharamkan darah, harta dan kehormatannya." (Hadis riwayat Muslim)

Bukankah satu ayat yang ditulis itu akan menjadi saksi bagi penulis pada hari kiamat nanti, adakah dia berkata jujur atau menipu manusia atas nama Allah dan Rasul-Nya? Seperti sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya kebenaran itu menunjukkan jalan kebaikan dan kebaikan pula memimpin ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu bersikap jujur (siddiq) sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang siddiq. Sesungguhnya dusta itu menunjukkan kepada jalan kemaksiatan dan maksiat menunjukkan pada neraka. Sesungguhnya seseorang itu berbuat dusta hingga ditulis di sisi Allah sebagai pendusta." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Melalui tulisan, seorang penulis boleh membuka mata hati manusia dan menolongnya mencari cahaya Allah di atas jalan yang diredai. Tetapi tidak mustahil dia bertanggungjawab menjerumuskan manusia dengan tulisan ke lembah gelap, penuh kebencian dan membutakan hati. Oleh itu, pencari Islam mesti mengikuti arahan al-Quran dalam mengumpulkan maklumat supaya mereka tidak tersesat dalam pencariannya. Firman Allah bermaksud; "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Penulis mesti bersikap adil dalam memandang suatu isu. Sikap fanatik dengan pandangan sendiri biasanya terbentuk kerana mereka tidak berminat bermuzakarah dan berbincang dengan orang berlainan pendapat dengan mereka. Tertutup pintu musyawarah dan usaha menganalisis kesahihan maklumat antara mereka. Keadaan mereka seperti diceritakan al-Quran bermaksud: "Iaitu orang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka." (Surah al-Rum, ayat 32)

Apabila sikap fanatik itu mencapai puncaknya, kadang-kadang mereka berdusta atas nama Rasulullah SAW untuk menguatkan hujah mereka tanpa takut lagi atas ancaman neraka. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja dia sudah menempah tempatnya dalam neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di manakah kedudukan ilmu jika hati mereka dipenuhi kebencian dan permusuhan. Keadaan sebegini bukan hanya ditemui di internet bahkan di masjid yang mengadakan majlis ilmu pun dijumpai sikap tak beradab yang semestinya dikawal oleh seorang penuntut ilmu.

Tidakkah mereka melihat keagungan Al-Imam Al-Syafi'ie yang mencari ilmu daripada pelbagai sumber dan manhaj. Beliau bersedia menerima pandangan guru mempunyai manhaj dan kaedah berlainan. Beliau pernah berguru dengan Imam Malik, bahkan pernah dikatakan berguru pada guru berfahaman Muktazilah dalam menzahirkan ilmu kalam tetapi tidak pernah mengakui bahawa beliau termasuk daripada golongan Muktazilah. Sesungguhnya penyelewengan di atas jalan ilmu terjadi apabila matlamat akhir dalam mencari ilmu itu berada pada puncak kepuasan hawa nafsu.

Penulis dan pembaca blog yang bernafaskan Islam akan mendapatkan faedah dan ganjaran serta keluasan ilmu daripada aktiviti mereka jika mereka mengamalkan adab yang dituntut al-Quran dan hadis kepada seorang pencari hidayah antaranya:

  • Meletakkan sumber utama bagi setiap pandangan berasaskan al-Quran dan hadis.

  • Berbuat adil dan menghormati kewibawaan, ketokohan dan pandangan orang lain walaupun bertentangan dengan pendapat peribadi seperti seruan Al-Quran bermaksud: "Jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Maidah, ayat 8)

  • Tidak terikat dengan taklid buta dan semangat asabiyah yang memandulkan kajian ilmiah.

  • Ikhlaskan niat, bersihkan hati dan meletakkan matlamat mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengenal kelemahan diri dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

  • Sentiasa mengemaskini maklumat dan menganalisis semula maklumat dengan melakukan ujian dan pemeriksaan berterusan terhadapnya serta bersedia berubah pandangan jika menepati al-Quran dan al-Sunnah.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my


Sumber: BHarianOnLine 2009/01/19


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails