“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Januari 08, 2009

Pendidikan akhlak bermula dari rumah

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

KISAH mengenai kehancuran dan kebinasaan beberapa umat terdahulu yang dipaparkan al-Quran wajar menjadi iktibar dan renungan. Satu pengajaran penting yang dapat kita manfaatkan daripada semua kisah itu adalah persoalan mengenai akhlak atau moral. Umat akhir zaman mungkin tidak dibinasakan seperti Allah membinasakan kaum Nabi Lut tetapi kita mungkin diturunkan pelbagai bentuk bala seperti ditarik keberkatan dan ketenangan hidup. Paling malang, apabila Allah memberikan kehinaan kepada umat itu melalui lidah dan tindakan musuh yang tidak henti mempermain dan mempersendakan mereka.

Sesetengah orang mungkin bertanya atau mempersoalkan bahawa umat Islam pada zaman Nabi SAW dan sahabatnya juga pernah dihina dan diperangi musuh. Justeru, mereka menyimpulkan apa bezanya dengan keadaan yang kita hadapi sekarang. Memang betul umat Islam akan diuji oleh musuh sepanjang zaman. Namun, dalam konteks ini hendaklah kita sedar apa yang umat Islam terdahulu hadapi adalah cubaan keimanan dan ketakwaan dalam menegakkan agama Allah.

Ketika itu mereka benar-benar bekerja dan berdakwah untuk agama Allah. Oleh kerana itulah mereka selalu dibantu Allah untuk menewaskan musuh. Selain itu, mereka juga mampu menebus maruah umat Islam melalui perpaduan dan semangat persaudaraan berasaskan akidah tauhid. Mereka benar-benar memiliki pendapat yang satu dan teguh sehingga musuh tidak mampu memperkotak-katikkan umat Islam ketika itu. Kuasa politik umat Islam waktu itu sangat padu, kuat dan kukuh. Mereka dikasihi Allah kerana berada dalam barisan (saf) yang teratur rapi seolah-olah sebuah bangunan tersusun kukuh.

Sebaliknya, hari ini umat Islam tidak henti-henti ditimpa ancaman musuh dan kita gagal sama sekali berhadapan dengan mereka. Kita bukan saja tidak memiliki pemikiran yang satu malah perpaduan kita amat rapuh sekali. Keadaan itu diburukkan lagi apabila ada kalangan umat Islam hari ini menghadapi krisis akidah dan keruntuhan akhlak. Mereka menjadi pengikut barat dalam pelbagai ragam pemikiran dan ideologi.

Contohnya, masalah keruntuhan akhlak yang melanda generasi muda Islam hari ini. Ramai anak muda Islam hanyut dalam pemikiran dan kehidupan bebas datang dari barat seolah-olah sudah menjadi lumrah dalam kehidupan mereka. Kecintaan pada cara hidup Islam tidak menyerlah, tidak konsisten atau tidak istiqamah.

Hakikatnya, fenomena keruntuhan akhlak dapat dilihat dengan mudah di sekeliling kita. Senario keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini sudah cukup membuatkan kita cemas mengenai masa depan generasi kita. Kebimbangan terhadap perkara ini ada asasnya kerana merekalah yang bakal mewarisi dan mewarnai negara pada masa depan. Mereka juga adalah penentu keutuhan jati diri bangsa, agama dan negara. Semua bentuk perlakuan sosial di luar lingkaran akhlak Islamiah tidak menguntungkan bukan saja kepada kehidupan umat Islam, malah masyarakat dan negara. Maruah sesuatu bangsa boleh tercemar jika ramai anak mudanya terbabit atau mendominasi sesuatu gejala negatif merosakkan.

Selaku penganut Islam, kita perlu sedar bahawa semua nilai dan peraturan hidup mestilah diasaskan kepada nilai akhlak dituntut oleh agama, budaya dan adat bangsa kita. Betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan kita dapat dimengertikan melalui doa Baginda Raulullah SAW yang bermaksud, “Ya Allah, jadikanlah pada akhlakku mulia sebagaimana Engkau menjadikan jasadku baik.” (Hadis riwayat Ahmad)

Satu lagi hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan sangat dekat kedudukannya kepadaku pada hari akhirat ialah orang Islam yang paling baik akhlaknya dan sesungguhnya orang yang paling dibenci di kalangan kamu di sisiku dan yang paling jauh dariku di akhirat ialah orang yang buruk akhlaknya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pelbagai masalah sosial melanda umat Islam, khususnya di kalangan anak muda hari ini adalah kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai sedia ada dalam ajaran Islam. Justeru, untuk membina kembali imej dan umat Islam, maka kita perlu membangun dan membetulkan landasan akhlak mereka. Kita perlu kembali menitik beratkan pendidikan akhlak yang tapak awalnya bermula di rumah dan kemudian nilai itu perlu diperkaya serta diperkukuhkan lagi melalui institusi pendidikan formal.

Apa yang perlu disedari, sumber pembinaan akhlak untuk membentuk personaliti dan jati diri umat Islam sudah tersedia dan terhidang di dalam al-Quran dan sunnah. Inilah satu-satunya warisan dan khazanah suluhan hidup umat Islam yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat manusia.

Usaha melahirkan generasi berilmu

RUMAH adalah institusi pendidikan terawal dalam pembentukan sahsiah dan peribadi mukmin. Individu yang lahir daripada keluarga mementingkan ilmu pengetahuan akan menghasilkan impak berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Tidak dinafikan ilmu penting dalam membentuk masyarakat kerana tidak ada masyarakat yang berjaya dan maju tanpa ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas pembangunan dan menitikberatkan ummah sentiasa mengkaji, meneliti, menyelidik, meneroka segala ilmu dan maklumat demi manfaat kehidupan. Kecemerlangan ummah serta pembinaan tamadun sesuatu bangsa bergantung kepada sejauh mana penguasaan ilmu yang dicapai. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Islam sudah melahirkan tamadun manusia yang terunggul di dunia berteraskan ilmu. Ilmuwan serta cendekiawan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al-Khawarizmi banyak menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi dunia. Pembangunan ilmu dalam dunia Islam diakui sebagai pemangkin kepada zaman pembaharuan (Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan tamadun yang gemilang di sana.

Bangsa Eropah mengambil inisiatif besar menterjemah dan mempelajari pelbagai ilmu dari dunia Islam. Hari ini umat Islam tidak lagi mendahului umat lain dalam bidang ilmu dan pelbagai bentuk kepakaran. Kita bukan lagi dikenali sebagai bangsa pencipta bahkan sebagai pengguna kepada ciptaan orang lain. Hari ini sedikit umat Islam menguasai bidang yang kritikal bahkan kita ketinggalan dalam arus pendidikan berbanding bangsa lain.

Bagi merealisasikan pembudayaan ilmu di rumah, usaha yang bersungguh dan berterusan perlu dilakukan antaranya, ibu bapa harus menunjukkan teladan kepada keluarga khususnya anak. Mereka perlu dipupuk dengan budaya membaca sejak kecil. Ibu bapa juga perlu menjadikan amalan membaca bersama anak sebagai rutin di rumah, selain sentiasa membawa mereka ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan baru.

Ibu bapa juga patut menyediakan peruntukan kewangan khusus untuk tujuan itu. Pengorbanan wang ringgit bagi membeli buku dan bahan bacaan bermanfaat untuk anak adalah pelaburan yang baik demi masa depan mereka. Menyediakan sudut khas atau perpustakaan mini di rumah. Ini bagi memupuk minat membaca anak di samping memberi galakan serta ganjaran bagi mereka yang gemar membaca buku ilmiah.

Akhirnya, untuk melahirkan bangsa yang maju, hebat dan dipandang tinggi maka pembudayaan ilmu yang seimbang iaitu ilmu fardu ain dan kifayah perlu diterapkan sejak dari kecil lagi. Perbanyakkan bahan bacaan dalam rumah semoga impian melahirkan modal insan dan pemikir kelas pertama menjadi kenyataan.

Sumber: BHarian 2009/01/08

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails