Salam,
Q&A di Metro hari ini 4 mazhab haramkan mutaah. Masih ada lagi golongan yang tidak mengetahui yang nikah mutaah telah diHARAMkan oleh Rasulullah SAW. Terdapat banyak hadis tentang pengharaman nikah mutaah, walaupun ia tidak diharamkan di dalam al-Quran.
Dari Abu Salamah r.a., katanya: "Rasulullah SAW membolehkan nikah Mutaah pada tahun Authas (tahun penaklukan Makkah) selama tiga hari. Kemudian baginda melarangnya." (Sahih Muslim)
Dari Rabi' bin Sabrah Al Juhani r.a., bapanya mengkhabarkan kepadanya bahawa dia pernah pergi bersama-sama Rasulullah SAW (dalam peperangan menaklukkan Makkah). Rasulullah SAW bersabda: Aku telah membolehkan kamu nikah mutaah. Sesungguhnya (mulai saat ini) Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat nanti. Maka siapa yang masih punya isteri mutaah, ceraikanlah dia dan jangan kamu ambil kembali daripadanya apa-apa yang telah kamu berikan kepadanya." (Sahih Muslim)
Dari Rabi' bin Sabrah Al Juhani r.a., dari bapanya, katanya: "Rasulullah SAW telah melarang melakukan nikah mutaah. Sabdanya: "Ketahuilah! Nikah mutaah haram mulai hari ini sampai hari kiamat. Siapa yang telah memberi sesuatu kepada perempuan yang dinikahinya secara mutaah, janganlah mengambilnya kembali." (Sahih Muslim)
Saya titipkan Q&A di bawah.
SOALAN:
SETAHU saya pada ayat 24, surah an-Nisa, Allah membenarkan nikah mutaah dan mendapati ia juga dipraktik Rasulullah s.a.w sehingga zaman pemerintahan Saidina Umar. Pada pendapat saya, nikah ini adalah satu kaedah dikurniakan Allah kepada hamba-Nya untuk mengelak zina. Tetapi di negara ini dan mengikut Imam Syafie nikah mutaah dianggap tidak sah dan haram.
Saya juga mendapati selepas surah an-Nisa diturunkan, tidak ada mana-mana ayat di dalam al-Quran yang mengharamkan nikah mutaah dan Rasulullah juga tidak mengharamkannya, hanya Saidina Umar yang mengharamkannya kerana sebab peribadi. Keputusan Saidina Umar tidak dipersetujui oleh ulama pada masa itu dengan sebab mengharamkan nikah mutaah akan menambahkan zina yang dikutuk Allah.
Bagaimana, sekiranya satu pasangan itu (misalnya duda dan janda) sepakat untuk bernikah secara nikah biasa, tetapi terpaksa menangguhkannya disebabkan perbelanjaan majlis walimah dan hantaran yang mahal. Dalam tempoh penanguhan terbabit, apakah dapat dipastikan yang pasangan berkenaan tidak bersekedudukan atau berzina?
Pada zaman mutakhir ini, banyak kita dengar dan ketahui remaja Islam berzina walaupun mereka bukan berkasih-kasihan atau merancang untuk bernikah. Inikan pula sepasang kekasih duda dan janda yang sepakat untuk bernikah? Jadi untuk mengelakkan dosa zina, lebih elok pasangan ini melakukan nikah mutaah. Adakah nikah mutaah bagi pasangan ini masih dianggap sebagai haram?
Al-Quran satu panduan bagi umat Islam untuk dipraktikkan dan dijelaskan lagi oleh hadis Rasulullah yang mendapat wahyu secara terus daripada Allah. Jika al-Quran dan hadis tidak mengharamkan nikah mutaah secara muktamad, tetapi diharamkan Saidina Umar yang tidak mendapat wahyu secara terus, apakah harus diikuti keputusan itu memandangkan keadaan dilalui pasangan duda dan janda berkenaan?
Setahu saya, Islam tidak menyukarkan penganutnya bahkan Islam adalah satu agama yang memudahkan. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya solat qasar dan jamak, zakat dan pelbagai lagi. Kebanyakkan kita menerima Islam kerana nenek moyang kita dulu Islam, tetapi kita gagal untuk menggunakan akal kita untuk memahami Islam dan al-Quran.
Disebabkan itu kadangkala kita mengikut secara membabi buta, tetapi kerana itu yang dipraktikkan umum dan kita tidak mahu orang memandang kita ‘terpesong.’ Lalu kita menerima apa saja selagi ia diputuskan oleh ulama dan keputusan ulama pula kadangkala dipengaruhi oleh unsur politik. Ada ketika mereka ini tidak berani memberi pandangan yang sewajarnya kerana takut kehilangan kerjaya serta kedudukan atau dicemuh awam.
Inilah yang berlaku di zaman kita ini, di mana al-Quran, hadis diubah suai untuk kepentingan masing-masing seperti yang dilakukan oleh kaum Kristian yang mengubahsuaikan kitab Injil. Saya ingin mendapat menjelasan Dr mengenai nikah mutaah dalam keadaan yang dijelaskan tadi.
ADAM,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
NIKAH atau kahwin mutaah ialah kahwin sementara atau akad nikah yang dilakukan dengan syarat ditentukan tempoh, seminggu, sebulan, dua tahun dan sebagainya. Ia berasal daripada tradisi Arab jahiliah. Pada waktu berkenaan seorang pedagang, misalnya, apabila mengunjungi kota Makkah, dia memerlukan seorang perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu. Dia boleh berkahwin sementara dengan perempuan Makkah selepas ditentukan masa dan bayarannya. Islam mengharamkan nikah seperti ini (Dusuki Ahmad, 1988: 243).
Antara sebab ia tidak dapat diterima dan diharamkan ialah ia tidak menepati semangat perkahwinan dan sistem kekeluargaan Islam. Nikah mutaah tidak mampu menjadikan perhubungan dan kehidupan suami isteri penuh dengan kebahagiaan dan kemesraan. Ia juga tidak mampu mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama suami isteri.
Anak yang lahir juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Manakala taraf wanita menjadi rendah dan mudah dieksploitasikan. Islam mengharamkan nikah mutaah kerana sebab negatif berkenaan.
Ayat 24 surah an-Nisa bermaksud: “…kemudian mana-mana mereka [iaitu perempuan yang menjadi isteri kamu] yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan.” Ayat al-Quran berbentuk umum ini digunakan untuk nikah mutaah. Nikah mutaah pada mula dibenarkan pada masa permulaan Islam, tetapi kemudian diharamkan.
Menurut Ibn Rushd, riwayat hadis daripada Rasulullah secara mutawatir mengharamkan nikah itu. Perselisihan yang timbul hanya mengenai masa ia diharamkan sahaja. Ada yang menyatakan pada hari Khaibar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk, haji wida dan sebagainya. Bagaimanapun, pendapat umum menyatakan Ibnu Abbas menghalalkan nikah mutaah. Beliau turut berdalil dengan ayat al-Quran di atas. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berpendapat nikah mutaah adalah semata-mata rahmat Allah kepada umat Muhammad dan sekiranya Umar tidak melarangnya, nescaya zina tidak berlaku kecuali dari kalangan orang jahat sahaja (Ibn Rushd, II: 97).
Secara umum seluruh mazhab empat mengharamkan nikah mutaah. Ini kerana ia menetapkan had waktu sesuatu perkahwinan. Hanya golongan aliran Syiah yang minoriti membenarkannya. Mungkin ia sebagai tarikan untuk menyokong aliran terbabit. Dengan itu masyarakat Islam tidak boleh menghalalkannya kerana sudah sabit pengharaman nikah mutaah.
Mengenai kemungkinan zina dapat dielakkan dengan nikah mutaah ia tidak dapat dinafikan seperti daripada kata-kata Ibnu Abbas itu. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, nikah mutaah tidak mencapai hikmah di sebalik perkahwinan. Ia mungkin dapat membendung nafsu manusia semata-mata, tetapi gagal mencapai hikmah perkahwinan yang lain.
Rasulullah sendiri tidak pernah berkahwin secara nikah mutaah. Dengan itu sekiranya kita benar-benar mahu mengambil Baginda sebagai contoh teladan yang baik (uswah hasanah), nikah mutaah sudah tentu tidak diikuti. Dengan itu, pendapat majoriti di kalangan mazhab Islam hendaklah diterima dan diikuti kerana ia mempunyai asas fiqah yang benar dan sesuai dengan hikmah perkahwinan itu sendiri.
Usahlah diikuti pendapat minoriti yang sesuai dengan rasa hati dan keinginan semata-mata.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Januari 23, 2009
4 mazhab haramkan mutaah
Susunan :
Bawang Goreng
pada
1/23/2009 03:28:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...