Oleh Penulis Khas YaPEIM
“PERUMPAMAAN orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) serta Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 265)
Firman Allah lagi, yang bermaksud, "Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan." (Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Dalam menempuh kehidupan di dunia, manusia diadili Allah dengan pelbagai cara antaranya harta dan kekayaan. Harta adalah kelengkapan hidup dan amanah yang harus dijaga berdasarkan ketentuan serta petunjuk Allah serta Rasul-Nya. Di samping kewajipan zakat, ada infaq dan sedekah yang sangat ditekankan dalam al-Quran dan hadis Nabi. Al-Quran menyebut dengan jelas mengenai infaq di jalan Allah. Ahli tafsir mengatakan ungkapan itu mengandungi maksud menafkahkan sebahagian harta kita untuk kepentingan agama seperti jihad dalam erti yang luas.
Menurut sebahagian ahli tafsir, ia untuk kepentingan umum (masyarakat) seperti pembangunan prasarana pendidikan, kesihatan dan penelitian ilmiah. Al-Quran juga menyatakan ungkapan menafkahkan sebahagian rezeki dan harta kepada pihak yang disyariatkan agama seperti fakir, miskin, anak yatim dan kerabat.
Tegasnya kedua-dua ungkapan kata itu mengandungi maksud membahagikan harta untuk kepentingan orang lain. Kita melakukan hal itu kerana mengharap keredaan Allah dan kerana cinta kepada-Nya melebihi kepada harta. Manusia yang leka mencari rezeki untuk memenuhi kehidupan, sering tidak puas hati dan enggan berkongsi harta dengan orang lain.
Bagaimanapun, apabila akalnya berfungsi dengan baik serta dijiwai oleh unsur iman dan takwa kepada Allah seseorang mampu mengawal nafsu. Itulah rahsia di sebalik penegasan Allah bahawa kegiatan berinfaq antara ciri orang beriman dan bertakwa. Mereka berhak memperoleh pelbagai keistimewaan daripada Allah seperti kedudukan tinggi dan mulia disisi-Nya kerana Allah sangat menyukai, mencintai dan sebagai pelindung kepada mereka. Ayat al-Quran contohnya, menjelaskan Allah memberikan pahala 700 kali ganda daripada nilai harta yang diinfaqkan. Allah juga menjanjikan banyak pahala dan keampunan. Memberi pinjaman kepada Allah seperti menyimpan harta di sisi-Nya dan simpanan kita akan terpelihara dengan sebaik-baiknya. Tegasnya, harta yang diinfaqkan di jalan Allah akan tersimpan kukuh di sisi Allah, tidak susut, tidak hilang bahkan akan peroleh ganjaran lebih baik daripada Allah atas kesabaran menanti sehingga ke hari kita sangat memerlukannya nanti.
Seseorang amat sombong di depan Allah apabila mengabaikan peluang rahmat melalui jalur infaq di jalan-Nya. Mari kita menghindarkan sikap sombong itu kerana Allah juga mengingatkan kaum mukmin dalam firmannya yang bermaksud: “Hai orang beriman, infaqkan/belanjakan (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab, dan tidak ada lagi syafaat baginya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 254)
Berdasarkan riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda kepada seseorang lelaki yang datang bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah, sedekah mana yang paling besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang kamu berikan pada waktu masih sihat, masih menginginkan harta, masih diliputi rasa kecemasan akan jatuh miskin, dan masih memiliki cita-cita untuk menjadi kaya. Jangan menunda waktu sehingga ajalmu hampir tiba baru kamu berkata, harta ini untuk si fulan. Harta itu untuk si fulan (lainnya), pada hal harta itu sudah menjadi milik si fulan lainnya lagi (waris).”
Ibnu Abbas menjelaskan bahawa kata afwa adalah bahagian harta yang lebih atau yang tersisa selepas dibelanjakan untuk keperluan keluarga sendiri. Sebahagian ulama mengatakan afwa adalah kemudahan iaitu menafkahkan sebahagian harta dalam batas tidak menimbulkan kesulitan duniawi pada diri sendiri termasuk jatuh miskin.
Abu Umamah memberitahu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai anak Adam, belanjakanlah sebahagian hartamu yang lebih daripada ‘keperluan’ sendiri. Ini lebih baik bagimu, sebaliknya jika kamu bakhil, ini tidak baik bagimu. Menyimpan harta sekadar untuk memenuhi keperluanmu tidak tercela. Dalam hal pemberian nafkah utamakan orang yang menjadi tanggungjawabmu.” (Hadis riwayat Muslim)
Huraian di atas menerangkan seakan-akan infaq di jalan Allah hanya mungkin dilakukan oleh orang kaya, sehingga timbul pertanyaan apakah ada peluang bagi orang kurang mampu daripada segi ekonomi untuk mencari rahmat daripada aktiviti infaq di jalan Allah?
Sumber: BHarianOnLine 2008/12/23
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...