SUDAH banyak diperkatakan mengenai barah serviks atau pangkal rahim atau kanser yang menyerang bahagian reproduktif wanita.
Malah, menyebutnya saja pasti menimbulkan rasa gerun apalagi kedudukannya sebagai pembunuh wanita kedua tertinggi di negara ini selepas barah payu dara. Tidak hairanlah, dari semasa ke semasa, beberapa kempen kesedaran dianjurkan kerajaan mahu pun swasta dalam usaha memastikan lebih ramai peka atau prihatin dengan penyakit ini.
Namun, selain aspek perubatan, penyelidik juga giat mencari kaedah atau penemuan yang boleh dijadikan alternatif bagi merawat penyakit ini. Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan bahan semula jadi khusus bagi merawat dan kanser serviks pada peringkat awal lagi.
Kajian enam tahun sejak 2002 berasaskan herba tempatan atau lebih dikenali sebagai daun lempoyang itu akhirnya membuahkan penemuan yang mengagumkan ramai pihak, termasuk di peringkat antarabangsa.
Lempoyang daripada spesies halia dan juga dipanggil halia hutan atau liar ini agak mudah ditemui kerana tumbuh liar di kawasan semak samun. Pokoknya yang mempunyai bunga cantik, menyerupai pokok bunga kantan dengan daun tirus.
Apakah istimewanya penemuan terbaru itu? Menurut pensyarah dan Ketua Penyelidik Jabatan Biomedikal Sains, Institut Biosains UPM, Dr Ahmad Bustaman Abdul, hasil kajian mereka mempunyai kemampuan rawatan sama seperti ubat anti kanser komersial yang sering digunakan bagi merawat pesakit, tetapi pada masa sama, tidak membunuh sel-sel normal atau sihat yang lain.
“Keputusan makmal (dibandingkan dengan dos penggunaan ubat anti kanser komersil) membuktikan bahan semula jadi ini boleh digunakan pada dos tinggi yang tidak membawa kerosakan pada tisu normal,” katanya pada sidang media mengumumkan kejayaan mereka, baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, kata Dr Bustaman Abdul, sebatian itu boleh digunakan bagi merawat kanser serviks pada peringkat awal. Mengulas kemungkinan ia mencetuskan persoalan yang meragui produk itu, Dr Bustaman menjelaskan, sebatian itu melalui uji kaji sel kanser manusia dan juga model haiwan makmal yang menghidap kanser seviks bagi mengesan aktiviti anti kanser.
“Produk sebatian ini dibangunkan kerana ia terbukti selamat digunakan malah lebih selamat jika dibandingkan dengan ubatan sintetik memandangkan ia adalah bahan semula jadi tulen yang diekstrak dari tumbuhan herba tempatan tanpa bahan asing mahupun sampingan lain.
“Penggunaannya mampu mengurangkan pelbagai komplikasi kepada pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi yang berdepan kesan sampingan seperti kesakitan, rambut gugur dan nipis, keletihan, masalah pencernaan, kulit dan kuku, seks, kesuburan dan organ tubuh serta saraf,” katanya.
Walau pun bahan sebatian semula jadi ini masih belum dihasilkan secara skala besar-besaran, kehadirannya mampu mengurangkan kos rawatan berbanding penggunaan ubatan berasaskan bahan semula jadi yang diimport dan jauh lebih mahal. Tambahan pula produk ini sesuai digandingkan dengan rawatan kemoterapi.
Dr Bustaman berkata, produk itu juga unik kerana selain selamat, ia membunuh sel kanser serviks secara terpilih, boleh digunakan bersama ubatan kemoterapi komersil dan boleh mengurangkan pemilihan ubatan sintetik untuk rawatan kanser, tiada tindak balas terhadap sel-sel normal dan tiada kesan sampingan seperti yang terdapat pada ubatan komersil sintetik.
“Bahan semula jadi ini mampu dikomersilkan dalam bentuk cecair (pencuci alat sulit) dan dan jenis yang dimasukkan ke dalam faraj. Ia kini berada di peringkat akhir iaitu peringkat pembangunan produk bertaraf komersil untuk tujuan pemasaran.
“Kami berharap syarikat-syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang untuk memasarkan bahan semula jadi ini sebagai ubatan herba anti kanser di peringkat global,” katanya.
Berkaitan masa depan sebatian semula jadi ini dan adakah ia akan mengganti peranan vaksin human papilloma virus atau HPV yang diperkenalkan dalam usaha pencegahan kanser serviks, jelasnya vaksin bersifat menambah kepada virus kanser serviks.
“Sebaliknya sebatian semula jadi kami pergi terus ke sel kanser. Soalnya di sini, jika kita ada penawar yang mampu pergi terus ke sel kanser dan ia selamat digunakan rasanya ada lebih baik kaedah itu digunakan,” katanya yang menyarankan kaedah perubatan itu untuk masalah berhubung pangkal rahim, ujian Pap Smear dengan keputusan makmal membuktikan terdapat kesangsian pada tisu pangkal rahim.
Sumber : BHarian 23/01/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...