Penguatkuasaan undang-undang syariah perlu diperketat elak campur tangan pengaruh luar
GARIS panduan terbaru Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam bekerja di tempat menyediakan minuman keras amat dialu-alukan masyarakat Islam arus perdana.
Syarat baru itu disertakan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis berkenaan dikatakan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang hanya terpakai kepada orang Islam saja. Inisiatif MPSJ demi menuju kebaikan adalah sejajar konsep amar maaruf nahi mungkar yang dipelopori dalam kaedah Islam. Mana-mana syarikat yang gagal mematuhi syarat itu akan dikompaun atau menghadapi kemungkinan lesen mereka ditarik balik. Tindakan ini tidak hanya terhad kepada pemilik syarikat Islam saja.
Namun, berita gembira ini begitu cepat dipatahkan apabila Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan MPSJ menarik balik garis panduan melarang orang Islam bekerja di tempat menyajikan minuman keras.
Exco perumahan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu mengesahkan arahan sudah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan, untuk menarik semula syarat itu kerana kerajaan negeri tidak menyedarinya sambil mendakwa beliau tidak dirujuk.
Dengan sinis beliau menyatakan tindakan MPSJ akan menimbulkan rasa tidak senang kalangan orang ramai, khususnya masyarakat bukan Melayu dan tidak praktikal kerana orang Islam akan kehilangan pekerjaan.
Ronnie langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam tetapi mengutamakan kepentingan ahli perniagaan bukan Islam yang menjual minuman keras. Malah undang-undang yang berkuatkuasa seperti termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah langsung tidak dihiraukan.
Seharusnya jika Ronie ingin menentang tindakan MPSJ ini, pihak kerajaan negeri perlu terlebih dulu memansuhkan seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah. Saya yakin Ronnie tidak akan melakukannya kerana khuatir pengundi Islam akan membantah.
Persoalan hilang pekerjaan bukanlah satu tanda aras dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Umpamanya, serbuan dan penutupan kelab malam tidak berlesen dan melakukan aktiviti tidak bermoral juga akan menyebabkan pekerja pusat berkenaan hilang pekerjaan mereka.
Adakah kita patut memberhentikan penutupan pusat itu semata-mata kerana ingin menjamin pekerjaan mereka? Begitu juga isu larangan orang Islam menjual minuman keras sudah termaktub sebagai satu kesalahan. MPSJ cuma menguatkuasakan larangan itu mengikut bidang kuasa mereka.
Saya menyeru pihak berkuasa tempatan lain meneladani tindakan MPSJ. Tindakan murni ini sudah pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah. Persoalan kilang arak dan krew kabin syarikat penerbangan yang masih menghidangkan minuman keras juga harus ditangani secara tuntas.
Umat Islam mesti diberi hak melaksanakan agama mereka dengan tidak terjebak ke lembah hina sehingga terpaksa menghidang arak kepada orang lain. Kesedaran juga patut disemai dalam kalangan umat Islam mengenai keberkatan rezeki dikurniakan Allah.
Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan bagi mengelak umat Islam bekerja di syarikat membuat, membekal dan menjual minuman keras. Bukan saja syarikat berkaitan minuman keras tetapi juga syarikat perjudian yang bercanggah dengan syariat Islam.
Rezeki yang tidak halal hanya memusnahkan keimanan dan ketakwaan orang Islam.
Sepatutnya Ronnie menyokong usaha MPSJ dengan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan di Selangor bagi menampung pekerja yang berhenti dari syarikat menjual minuman keras bukan menentang tindakan itu.
Isu penjualan arak juga heboh diperkatakan kerajaan Selangor melalui Exco Agama, Datuk Dr Hassan Ali, yang membuat garis panduan bagi kawalan sendiri penjualan minuman keras. Awalnya ia mencapai banyak kemajuan tetapi akhirnya kawalan sendiri tinggal menjadi garis panduan saja.
Sebelum ini kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak. Alasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerana menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.
Apa dicadangkan Dr Hassan ketika itu berkaitan penjualan minuman keras yang berleluasa hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.
Apa yang lebih menyedihkan ketika itu ialah DAP menggesa diambil tindakan terhadap Hassan yang mengutarakan cadangan walaupun hakikatnya Hassan memperjuangkan undang-undang syariah yang mendapat perkenan Sultan Selangor.
Peraturan dicadangkan pula hanya kepada orang Islam, jadi tidak timbul soal berbilang kaum dan agama. Sering kita berlindung di bawah sensitiviti bagi mengelak mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan dianjurkan Rasulullah.
Demi menjaga sensitiviti, kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman. Bukan minum saja, membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan adalah satu kesalahan.
Perkara ini termaktub dalam seksyen 18 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 menetapkan orang minum minuman keras di kedai atau tempat awam lain adalah melakukan kesalahan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 18 (2) enakmen sama menetapkan orang yang membuat, menjual, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut seksyen itu, pihak berkuasa mesti berhati-hati dalam meluluskan dan memberi lesen penjualan arak selain harus diletakkan syarat penjual arak seharusnya bukan orang Islam.
Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama Persekutuan kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.
Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan negeri ini. Masyarakat di barat pun sudah mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti, kawalan dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat.
Hal ini dapat diterima masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang timur ingin menjadi barat dan orang barat menggayakan pula budaya timur. Pelaksanaan undang-undang mempunyai ciri keislaman memang sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan hasil kecetekan ilmu.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Januari 17, 2011
Larangan Muslim kerja di premis arak wajar
Susunan :
Bawang Goreng
pada
1/17/2011 09:41:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...