Assalamualaikum warahmatullah,
Apakah taubat? Taubat dari segi bahasa bermakna kembali manakala erti istilah ialah kembali mendekatkan diri pada Allah setelah tersasar jauh daripada-Nya.
Taubah adalah magnet paling kuat dan berkesan untuk berubah. Seorang yang jahat akan berubah menjadi baik setelah bertaubat, seorang yang bermulut lancang akan menjadi pendiam dan beradab setelah bertaubat dan seorang yang syirik menjadi alim setelah bertaubat.
Hakikat taubat adalah menyesal terhadap apa yang telah terjadi, meninggalkan perbuatan tersebut serta-merta dan memiliki keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa yang akan datang. Taubat adalah sebuah keinginan untuk kembali kepada Allah. Landasan taubat adalah mencari Allah. Kecenderungan bertaubat terdetik di hati kerana keinginan yang membuak-buak untuk membuat perubahan dan penyesalan yang tidak terhingga.
Pertama sekali, niat untuk bertaubat harus murni. Kemurnian ini memberi petanda kepada keikhlasan untuk mencari hidayah dan semoga hidayah tersebut akan dilimpahkan ke atas hati yang sedar dan insaf. Kesucian inilah yang menarik kuat kasih sayang Allah.
Junjungan besar Rasulullah mengucapkan doa ini, yang dibaca setiap kali berwuduk iaitu: Ya Allah, jadikan hamba termasuk ke dalam 'At-Tawwabiin' (mereka yang bertaubat), dan jadikan hamba termasuk ke dalam 'al-Muthahhirin' (mereka yang disucikan). Bahkan Rasulullah pun masih memohon kepada Allah untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang bertaubat. Bagaimana pula dengan kita?
Keinginan taubat
Kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya dan jangan sesekali diabaikan. Peluang sebegini bukannya mudah untuk mendapatkannya kerana hasrat untuk kembali kepada fitrah adalah suara hati setiap orang. Memilih untuk tidak mahu bertaubat dan tidak menghiraukan panggilan-Nya, maka orang itu termasuk orang yang zalim.
Seorang pemuda yang terlalu sedih kerana ditipu rakan wanitanya untuk berkahwin. Kesedihannya sangat panjang. Tiga tahun beliau menyimpan rasa kecewa. Setiap kali ada kesempatan beliau akan pergi ke tempat-tempat mereka pernah bersama, mengingati detik-detik indah dan ternyata keadaan itu membuatkannya berasa gembira. Tetapi apakan daya, wanita yang dicintainya ini seorang yang tidak setia dan tidak boleh dipercayai.
Runtunan hati yang merindui dan mengingati teman wanitanya membuatkan pemuda ini meluahkan isi hatinya kepada kaunselor yang berpengalaman. Mereka berhubung hanya melalui emel dan jawapan yang diberikan telah mengubah persepsinya selama ini.
Selepas tiga tahun menderita, akhirnya beliau melihat masih ada sinar dalam hidup yang tidak pernah beliau fikir. Berikut adalah jawapan yang mengubah paradigma dan membuatkan pemuda ini melihat masa depan yang lebih positif dalam hidupnya. Jawapan kaunselor kepada pemuda itu, begini:
Perasaan cinta kepada wanita itu adalah satu naluri semula jadi seorang insan. Namun, ia bukanlah harus disusuli dengan tindakan dan perbuatan yang melanggar hukum Allah kerana jika ini berlaku maka kita juga akan melawan hukum fitrah.
Cinta yang sejati sebenarnya akan lahir bukan sebelum perkahwinan tetapi selepas berkahwin kerana sesungguhnya Allah yang akan mempertautkan hati dua insan. Jika Allah yang mempertautkan hati, ia akan berkekalan dan besar ertinya dalam kehidupan harian kita ini.
Persoalan mungkin timbul iaitu apa pula perasaan yang sedang saudara dan mungkin ribuan manusia di muka bumi ini merasainya - perasaan yang dirasai kepada seorang wanita sebelum perkahwinan.
Jika perasaan itu mendalam sehingga mengajak kepada satu tindakan yang kurang wajar seperti tidak tidur malam asyik memikirkan si kekasih, rindu dilepaskan dengan berjumpa selalu, yakinlah... dan yakinlah sebenar-benarnya ia bukan datang dari Allah tetapi dari syaitan yang terkutuk!
Syaitan yang membisikkan ke dalam diri seseorang insan itu agar terus berhubungan dan mempunyai perasaan yang bukan-bukan atas nama 'cinta' untuk mendekati seseorang.
Syaitan ada pada setiap diri anak Adam. Cuma bergantung kepada kita. Kalau kita kuat, syaitan tidak boleh buat apa-apa. Tetapi kalau kita lemah, kita mudah akan dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Akhirnya, kita akan mudah menjadi hamba syaitan.
KEINGINAN untuk bertaubat adalah pilihan dan panggilan Allah terhadap hamba yang dikasihi-Nya. ~ gambar hiasan ~
Percayalah, perasaan yang anda miliki ini adalah mainan syaitan dan bukannya 'cinta abadi' yang dicari oleh setiap insan.
Pokoknya kita kena bertaubat dan kembali kepada Allah dan tahu cara-cara bagaimana mencari isteri idaman agar dapat mencapai tahap kebahagiaan yang sebenar.
Renung-renungkan....
Rujuk : Kosmo! 22/02/2008 dan Solusi Isu#12.
Capaian entry berkaitan :
Assalamualaikum.Banyak ilmu yang terdapat di dalamnya.Bolah kita jadikannya bahan rujukan atau tinjauan sepintas lalu bagi yang memang berilma cuma nak *recall* semula sebagai peringatan.Apa yang terkandung di dalamnya memang demi kebaikan jadi tak perlu ragu-ragu boleh terus diamalkan. Tiada halangan.Jangan menyangka ilmu di sini sudah memadai/mencukupinya.Cuma kita sebagai makhluk lemah jadi banyaklah payahnya untuk beramal.Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan lindingannya dalam beramal.TQ.Jazakallah.Wassalam.
BalasPadam