BANYAK kaedah telah dibangunkan dan diguna pakai dalam membantu meningkatkan kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak terutama di peringkat tadika atau pra sekolah.
Ini memandangkan kemahiran membaca pada usia muda adalah amat kritikal dalam proses mereka menimba ilmu pada peringkat seterusnya.
Bagi ibu bapa, adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat anak-anak yang baru berusia lima atau enam tahun sudah mahir membaca bukan saja dengan lancar malah mampu memahami apa yang dibaca.
Inilah juga matlamat yang cuba dicapai oleh kaedah belajar membaca cepat I-Sina yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2006 di tadika-tadika perpaduan sekitar Wilayah Persekutuan.
Uniknya kaedah ini menggunakan pendekatan fonetik (bunyi) untuk kanak-kanak prasekolah menguasai skil membaca secepat empat bulan sahaja.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPW), Abdul Rahim Abu Seman berkata, tadika perpaduan di Wilayah Persekutuan telah mula memperkenalkan kaedah I-Sina sebagai satu pilihan untuk kanak-kanak prasekolah belajar membaca dengan cepat.
“Kaedah konvensional menghafal dan membaca mengikut suku kata tidak berapa berkesan dan mungkin menyebabkan kanak-kanak lambat sedikit menguasai kemahiran membaca.
“Tetapi, menerusi kaedah I-Sina, kanak-kanak diajar mengikut teknik bunyi (fonetik) dan pembelajaran menekankan aspek pemahaman agar lebih mudah untuk mereka mengeja sesuatu perkataan
“Sebagi contoh, huruf M akan dibunyikan sebagai ‘mmm’, S untuk ‘sss’ dan A untuk ‘aaa’ dan diikuti dengan huruf U dan I. Bunyi daripada huruf-huruf ini digabungkan untuk menyebut sesuatu perkataan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, bukan sahaja cepat membaca, tetapi majoriti murid dari umur lima dan enam tahun yang mengikuti program ini boleh menguasai kemahiran membaca dengan baik.
Lebih membanggakan apabila murid-murid ini boleh membaca apa sahaja, termasuk perkataan-perkataan susah seperti ‘produktif’, ‘kognitif’, ‘merealisasikan’ dan sebagainya.
Abdul Rahim menambah,I-Sina bukan sahaja satu program yang mudah diajar, namun ia ringkas, cepat dan berkesan di mana semua pelajaran telah disusun langkah demi langkah, sedikit demi sedikit, dengan memberi penekanan kepada kefahaman murid.
Selain itu, guru-guru dari pelbagai bangsa boleh menguasai kemahiran mengajar menggunakan teknik ini dengan mudah dan kesannya kepada majoriti murid adalah cepat.
Menurut Abdul Rahim, program membaca kaedah I-Sina telah diuji kepada 126 buah kelas Tadika Perpaduan Wilayah Persekutuan (termasuk Putrajaya) pada Mei lalu.
“Ia dilaksanakan susulan kejayaan program perintis yang diadakan pada tahun 2006,” katanya.
Beliau menambah, satu latihan untuk guru-guru yang terpilih iaitu seramai 126 orang telah dijalankan selama tiga hari pada April lalu.
Selepas dilatih tentang pengajaran menggunakan kaedah tersebut guru-guru ini kehendaki menggunakannya di 77 buah tadika perpaduan yang terpilih.
“Dalam tempoh itu, 77 kelas telah lulus dengan cemerlang dan kanak-kanak yang mengikuti kelas tersebut berjaya menguasai kemahiran membaca dalam Bahasa Malaysia dalam jangka masa empat bulan saja,” jelas beliau.
Abdul Rahim yakin bahawa apabila program ini memasuki tahun kedua iaitu pada tahun 2008 nanti, bukan sahaja murid Melayu, malah murid India dan Cina juga boleh membaca dengan baik.
Walaupun program ini tidak diwajibkan (sebuah program pilihan), pihaknya mendapati kebanyakan ibu bapa bersifat positif dan memberi sokongan tidak berbelah bagi.
“Apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah cuma membeli buku panduan pembelajaran I-Sina yang berharga RM24 dan anak mereka akan diajar kaedah tersebut selama setengah jam sehari, tiga kali seminggu,” katanya
Selain menaikkan keyakinan diri, semangat untuk belajar dan daya saing murid-murid juga meningkat kerana kaedah tersebut menitikberatkan kefahaman dalam membaca.
“Kanak-kanak yang mampu membaca pada peringkat awal mempunyai peluang yang cerah dalam menempa kecemerlangan akademik di peringkat sekolah rendah kelak,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, peranan JPW amat kritis dalam mencari formula untuk pembangunan minda dan sosial kanak-kanak prasekolah.
“Kami galakkan guru-guru di tadika perpaduan berfikiran kreatif, menambah ilmu dengan inisiatif sendiri demi kepentingan anak-anak yang mereka didik.
“Guru-guru ini berkhidmat di dalam komuniti dan mereka sentiasa dinilai. Jika kebanyakan anak-anak di tadika perpaduan menunjukkan perkembangan positif dengan cepat membaca, maka ibu bapa akan bertambah yakin terhadap modul pembelajaran yang kami laksanakan.
“Apa yang penting, ibu bapa tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk menghantar anak-anak ke tadika swasta dan memperoleh kualiti pembelajaran yang tidak kurang hebatnya,” jelasnya.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL, UtusanOnline
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...