“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Disember 30, 2007

Jaga buah pinggang (ginjal) dari kecil

MEMANG banyak pantang-larang dan arahan perlu dipatuhi pesakit kencing manis untuk meneruskan hidup sejahtera sepanjang hayat, di samping mengelak pelbagai komplikasi, terutama kerosakan buah pinggang.



Dianggarkan 57 peratus kes penyakit buah pinggang kronik (CKD) disebabkan kencing manis dan jika masalah ini tidak dirawat segera, pesakit mungkin memerlukan dialisis untuk meneruskan hidup. Sehingga kini dianggarkan lebih 2,500 orang mengalami kegagalan buah pinggang kronik setiap tahun dan tahun lalu saja kira-kira 3,152 kes baru didaftarkan untuk menerima dialisis berbanding hanya 43 orang pada 1980.

Kerosakan buah pinggang dan dialisis adalah dua penyakit yang ada kaitan sangat rapat. Sebelum perlu menjalani dialisis, seseorang pesakit sepatutnya boleh mengesan gejala kerosakan buah pinggang, terutama apabila sampai ke tahap kronik. Kos rawatan dialisis adalah mahal, iaitu antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Pada 2006, hampir 55 peratus pesakit menerima rawatan dialisis melalui subsidi kerajaan, bantuan badan bukan kerajaan (12 peratus), majikan dan lain-lain (tujuh peratus) manakala 25 peratus perlu mengeluarkan wang simpanan sendiri. Oleh kerana kos rawatannya mahal, penjagaan buah pinggang perlu diberi penekanan sejak muda. Buah pinggang menapis kira-kira 200 liter darah sehari untuk menyingkir bahan buangan dan air berlebihan daripada badan melalui air kencing.

Mengapa buah pinggang kita penting? Apabila kita makan, badan memecahkan makanan untuk mendapatkan tenaga.

Semua hasil daripada makanan ini masuk ke dalam darah dan buah pinggang bertugas membersihkan darah daripada bahan tidak diperlukan. Pengumpulan bahan buangan ini menjadi racun yang boleh merosakkan badan. Namun kerosakan buah pinggang adalah proses perlahan dan mengambil masa lama, oleh itu gejalanya jarang disedari. Bahkan gejala dan petanda kerosakan buah pinggang sering dianggap sebagai masalah biasa yang dialami akibat peningkatan umur.

Seseorang itu dikatakan mengalami kerosakan buah pinggang atau ginjal apabila fungsi buah pinggang mula merosot. Proses kerosakan buah pinggang boleh berlaku dalam masa beberapa bulan hingga tahun; bergantung kepada keadaan kesihatan dan cara seseorang menjaga pemakanannya.

CKD boleh berlaku kepada sesiapa saja dari semua peringkat umur. Kumpulan lebih berisiko ialah:

Ø Mempunyai sejarah kencing manis — Faktor utama untuk kerosakan buah pinggang kronik. CKD biasanya berlaku selepas 10 tahun seseorang menghidap kencing manis dan ia boleh dilengahkan dengan mengawal paras gula dalam darah.

Ø Mempunyai sejarah tekanan darah tinggi — Ini faktor kedua paling biasa menyebabkan kerosakan buah pinggang. Oleh kerana kedua-duanya saling memberi kesan (kerosakan buah pinggang boleh meningkatkan tekanan darah dan tekanan darah pula boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang), sukar menentukan mana satu berlaku dulu.

Ini sebabnya kita perlu sentiasa memastikan tekanan darah pada tahap normal kerana bagi pesakit yang ada masalah buah pinggang, tekanan darah tinggi mempercepatkan lagi proses kerosakan organ penapis darah itu.

Ø Mempunyai sejarah keluarga sakit buah pinggang — Individu yang mempunyai ibu bapa atau adik-beradik pesakit buah pinggang berisiko tinggi mengalami masalah sama. Risiko ini berganda jika mereka juga menghidap kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Ø Peningkatan usia — Ini faktor yang tidak dapat dielakkan. Risiko kerosakan buah pinggang meningkat dengan peningkatan usia. Dalam keadaan normal, apabila usia melebihi 40 hingga 50 tahun, fungsi buah pinggang menurun sebanyak satu peratus setahun. Fungsi buah pinggang lebih cepat merosot jika menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi.


Fungsi buah pinggang

Menurut Perunding Nefrologi, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, buah pinggang ada lima fungsi utama iaitu:

Ø Menyingkirkan bahan buangan daripada badan.

Ø Mengawal jumlah cecair dan elektrolit dalam badan.

Ø Mengawal tekanan darah.

Ø Membantu penghasilan sel darah merah dengan mengeluarkan hormon eritropoietin yang penting dalam proses pembentukan darah.

Ø Mengekalkan kesihatan tulang dengan mengawal tahap kalsium dan fosforus dalam darah.


Gejala apabila fungsi buah pinggang merosot


“Walaupun dikurniakan dua buah pinggang, kita masih boleh hidup dengan satu buah pinggang sihat. Kerosakan buah pinggang peringkat awal tiada gejala dan biasanya ia hanya muncul apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30 peratus.

“Seseorang pesakit dikatakan menghidap CKD apabila fungsi buah pinggangnya dalam lingkungan 10 hingga 15 peratus. Kerosakan buah pinggang adalah kekal dan tidak boleh diperbaiki. Namun kerosakan ini boleh dihentikan atau dilengahkan jika dikesan awal. Keadaan pesakit biasanya hanya disedari ahli keluarga yang jarang ditemui,” katanya ketika bengkel Kesihatan Buah Pinggang anjuran Baxter Healthcare.

Antara gejala kerosakan buah pinggang:

Ø Rasa tidak sihat — Ini disebabkan kehadiran bahan toksik dalam darah. Keadaan ini dipanggil uraemia dan ia boleh menyebabkan seseorang berasa mengantuk, keliru dan mual.

Ø Kelihatan pucat dan lesu — Apabila fungsi buah pinggang merosot, penghasilan sel darah merah juga terjejas. Ia mengakibatkan pesakit mengalami anemia (kekurangan darah) yang membuatkannya cepat berasa penat (jika fungsi buah pinggang kurang 30 peratus).

Ø Bengkak pada kaki, buku lali, tangan dan sekeliling mata — Masalah ini berlaku disebabkan pengumpulan air berlebihan yang tidak dapat disingkirkan oleh buah pinggang. Jika air berkumpul di paru-paru, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas.

Ø Kerap buang air kecil — Air kencing menjadi cair dan tidak lagi mengandungi bahan buangan yang sepatutnya.

Ø Mulut rasa tidak sedap — Pengumpulan bahan buangan dalam badan boleh meninggalkan rasa tidak sedap dalam mulut pesakit. Pesakit juga hilang selera makan dan kadangkala berasa mual.

Ø Rasa tidak selesa atau terbakar (sakit) ketika buang air kecil.

Gejala CKD (peringkat serius)

Ø Perubahan pada air kencing — Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah kehadiran darah, protein dan kuantiti air kencing (sedikit). Air kencing menjadi keruh, berbuih dan terasa sakit ketika buang air kecil. Pesakit mungkin mengalami masalah sakit belakang.

Ø Retensi air dan garam — Buah pinggang gagal mengawal kandungan air dalam badan. Ini menyebabkan air kencing dan garam tidak dapat dikeluarkan dari badan. Apabila terlalu banyak protein dibuang melalui air kencing, badan kehilangan keupayaan menyingkir garam dan air berlebihan yang akhirnya meningkatkan tekanan darah. Ia menyebabkan anggota badan, terutama kaki, menjadi bengkak.

Ø Gejala anemia — Buah pinggang yang rosak tidak lagi dapat menghasilkan hormon untuk membantu pembentukan sel darah merah. Kurang sel darah merah bermakna kurang oksigen dihantar ke seluruh badan. Jadi pesakit mengalami gejala kekurangan darah dan cepat penat.

Ø Gejala keracunan darah — Masalah ini berlaku akibat kegagalan buah pinggang menyingkir bahan buangan yang boleh menjadi racun dalam darah. Antara gejalanya ialah mual dan muntah.

Ø Air kencing bercampur darah.


Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Serdang, Dr Goh Bak Leong, berkata ada cara mudah dan murah untuk mengesan kerosakan buah pinggang iaitu melalui ujian air kencing, darah serta tekanan darah. Pengesanan awal ini membolehkan pesakit diberi rawatan sesuai dan mengamalkan diet tertentu bagi memperlahankan atau menghentikan proses kerosakan buah pinggang.

Lebih penting, katanya, rawatan buah pinggang mampu merendahkan risiko penyakit kardiovaskular kerana kajian menunjukkan pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang mempunyai kebarangkalian 100 kali lebih tinggi meninggal dunia awal akibat penyakit jantung berbanding mengalami CKD.

Rawatan

“Rawatan paling ideal bagi pesakit CKD ialah penggantian buah pinggang, tetapi bukan mudah untuk mencari penderma. Bahkan, penerima buah pinggang juga perlu mengambil ubat sepanjang hayat untuk mengelak berlaku penolakan buah pinggang baru kerana ia tetap dianggap benda asing, walaupun didermakan adik-beradik sendiri.

“Buah pinggang yang hendak diderma mesti boleh berfungsi antara 80 hingga 90 peratus. Jika pembedahan berjaya, buah pinggang baru ini berfungsi sebanyak 40 hingga 50 peratus. Maknanya jika fungsi buah pinggang pesakit hanya 25 peratus, selepas pembedahan fungsi buah pinggangnya meningkat kepada 65 hingga 75 peratus.

“Pesakit buah pinggang peringkat awal perlu mematuhi jadual pengambilan ubat, mengamalkan diet yang disaran pakar pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi yang terpaksa menjalani dialisis, dua cara boleh digunakan, iaitu sama ada hemodialisis (atau HD dilakukan di pusat rawatan sebanyak tiga atau empat kali seminggu) atau peritoneal (PD) dialisis yang dilakukan sendiri di rumah empat kali sehari,” katanya.

Seperkara yang perlu diingat ialah jangan culas menjalankan dialisis. Ini kerana dialisis (sama ada HD atau PD) hanya menggantikan 20 peratus fungsi buah pinggang dan kegagalan menjalani dialisis boleh mengancam nyawa pesakit.

Kaedah mencegah penyakit ginjal

· Jalani pemeriksaan ginjal.

· Amalkan pemakanan seimbang.

· Minum banyak air, sekurang-kurangnya dua liter sehari.

· Jangan merokok, lebih baik berhenti terus.

· Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Elakkan ubat yang tidak perlu kerana ia boleh memberi kesan dan merosakkan buah pinggang.

· Kekalkan berat badan seimbang.

· Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

Dr Goh mengakui masih ramai pesakit kurang faham mengenai penyakit dan rawatan. Justeru, pembaca yang ingin penjelasan atau ada persoalan boleh menghubungi Panel Pendidikan Kesihatan Buah Pinggang hasil kerjasama Persatuan Nefrologi Malaysia dan Baxter Healthcare di bawah kempen Kebebasan Untuk Hidup di talian 03-2282 9955 atau menghantar e-mel ke enquiry@freedomtolive.com.my. Pembaca juga boleh melayari laman web www.freedomtolive.com.my untuk mendapat maklumat lanjut.

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin, Sumber HarianMetro 30/12/2007


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails