MUNTAH dan cirit-birit adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak, namun amat berbahaya bagi bayi. Bagaimana anda mampu mencegahnya?
Anak anda muntah beberapa kali dalam beberapa jam yang lepas. Episod muntah adalah cara badan kita mengeluarkan toksin daripada perut. Pada kebiasaannya, muntah bukanlah keadaan yang serius dan kebanyakan kes berhenti dalam tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, anda akan mula bimbang apabila suhu anak anda mula meningkat dan beliau mengalami cirit-birit.
Muntah-muntah dan cirit-birit kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Walaupun muntah dan/atau cirit-birit mungkin disebabkan oleh keracunan makanan, sakit perut atau meningitis, kebanyakan kes yang sering dialami oleh kanak-kanak dan bayi adalah disebabkan oleh jangkitan virus dan dikenali sebagai gastroenteritis akut.
Gastroenteritis adalah masalah radang perut dan usus. Walaupun selalunya ia tidak begitu serius kepada kanak-kanak, namun ia juga boleh membahayakan dan dalam sesetengah kes, dapat mengancam nyawa bayi. Penyebab utama gastroenteritis adalah sejenis virus yang dipanggil Rotavirus.
Apakah Rotavirus?
Rotavirus adalah virus yang amat mudah berjangkit dan menyebabkan jangkitan di usus. Ia sering dikesan dalam najis kanak-kanak yang telah dijangkiti, dan disebar melalui sentuhan dengan najis ini. Perkara ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak mencuci tangan selepas ke tandas atau sebelum makan. Penyebaran virus boleh berlaku dari anak ke anak di pusat jagaan anak dan nurseri. Ia boleh merebak melalui orang dewasa yang dijangkiti atau yang mengurus bayi yang dijangkiti.
Rotavirus mampu bertahan selama beberapa jam di tangan manusia serta berhari-hari di atas permukaan keras dan kering. Ini bermaksud ia juga mudah merebak melalui air atau makanan yang tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek atau permukaan yang dijangkiti, dan kemudian menyentuh mulutnya.
Adakah anak saya berisiko?
Di Malaysia, setinggi 38% kanak-kanak yang masuk hospital kerana gastroenteritis akut disebabkan oleh Rotavirus. Kebanyakan kanak-kanak dijangka dijangkiti virus ini sebelum berusia lima tahun.
Jangkitan Rotavirus kepada kanak-kanak yang lebih besar tidak begitu berbahaya, namun amat berbahaya bagi kanak-kanak dua tahun ke bawah. Bagi bayi, mereka menghadapi masalah paling serius memandangkan ia boleh menyebabkan dehidrasi (kekurangan cecair dalam tubuh badan) kesan daripada muntah dan cirit-birit yang teruk. Selain berhadapan dengan masalah dehidrasi, terdapat juga risiko mengalami masalah menghadam laktosa yang disebabkan cirit-birit yang berterusan.
Apa yang terjadi jika telah dijangkiti?
Pada permulaannya, kanak-kanak yang dijangkiti Rotavirus akan demam dan muntah-muntah, diikuti cirit-birit yang teruk dengan najis berair. Dalam kebanyakan kes, demam dan muntah selama dua ke tiga hari manakala cirit-birit pula berlarutan hingga satu minggu. Gejala-gejala lain termasuk kurang selera makan, sakit badan, air kencing berkurangan dan tidak bermaya.
Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan Rotavirus atau dehidrasi, anda perlu:
* Beri anak anda minum 1 hingga 1.5 liter cecair sehari seperti cecair garam rehidrasi atau isotonik. Jika dia muntah, pastikan anak anda kerap mengambil cecair atau susu dalam jumlah yang kecil setiap jam atau setengah jam.
* Bubur boleh diberi dalam jumlah yang kecil bagi memastikan anak menerima khasiat yang mencukupi. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman dalam jumlah yang banyak jika dia muntah-muntah.
* Beri parasetamol untuk menurunkan suhu badan.
* Pastikan diri anda, anak anda dan orang lain mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
Untuk si kecil yang berusia di antara 6 dan 24 bulan, muntah dan cirit-birit yang serius boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air) yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang atau kerosakan otak. Jika dijangkiti, anak anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk menggantikan air yang hilang melalui cecair intravena. Jika tidak dirawat, dehidrasi akan bertambah teruk dan boleh membawa maut.
Bolehkah saya mengelakkan jangkitan Rotavirus?
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah menyusukan anak dengan susu badan dan menggalakkan setiap ahli keluarga mengamalkan kebersihan yang baik di rumah. Pastikan semua peralatan makanan bersih dengan mencuci pinggan mangkuk, botol dan sudu garpu menggunakan air panas; mengambil berat tentang kebersihan apabila menyediakan makanan untuk keluarga; jangan menyimpan makanan yang telah masak di dalam peti ais lebih daripada dua hari; dan pastikan semua makanan telah dipanaskan semula dengan baik sebelum dimakan.
Walaupun kesemua langkah pencegahan ini diamalkan, kerana Rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit, maka penyusuan ibu dan kebersihan yang sempurna juga tidak mampu melindungi anak anda sepenuhnya. Satu cara yang berkesan adalah dengan mengambil suntikan vaksin untuk virus ini.
Mengenai vaksin
Vaksin Rotavirus amat berkesan jika diambil di peringkat awal. Ia boleh diberi secara oral. Matlamat vaksin ini untuk merangsang sistem imun badan dari usia yang muda supaya apabila anak dijangkiti Rotavirus untuk kali pertama, dia hanya mengalami jangkitan yang sederhana atau tanpa gejala-gejala yang serius. Jika dia dijangkiti lagi, anak anda akan mendapat perlindungan kecil.
Artikel oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.mypositiveparenti.
- POSITIFVE Parenting merupakan program pendidikan masyarakat yang bertumpu kepada isu-isu kesihatan & kesejahteraan kanak-kanak. Ditubuhkan pada tahun 2000 oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (pakar) dan melibatkan usaha sama Lembaga Perpaduan & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia dan Persatuan Tadika Malaysia
Sumber: UtusanOnLine
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...