“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Disember 29, 2007

KANSER SERVIKS – Lelaki pembawa, wanita menderita

Artikel ditulis oleh Dr Harmy Mohd Yusof, Presiden PAPISMA yang dipetik di Papisma.org.

Kanser serviks atau kanser pangkal rahim merupakan kanser yang utama berlaku di kalangan wanita. Di seluruh dunia hampir setengah juta wanita menghidapi penyakit ini dan menyebabkan lebih daripada suku juta kematian.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan 2003 ia merupakan kanser yang kedua kerap selepas kanser buah dada dan menyumbangkan kira-kira 12% daripada keseluruhan kejadian kanser di kalangan wanita.

Berbanding dengan negara lain, kejadian kanser pangkal rahim dinegara kita adalah tinggi. Pada tahun 2002 sahaja, terdapat sebanyak lebih kurang 17.8 kes dicatatkan bagi setiap 100,000 penduduk berbanding dengan sesetengah negara maju seperti Amerika Syarikat iaitu hanya 4.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

serviks


Salah satu faktor penyumbang utama kepada pembentukan kanser ini ialah jangkitan kuman Human Papilloma Virus (HPV) khususnya jenis 16 dan 18. Kedua-dua jenis virus ini menyumbangkan kira-kira 70% daripada keseluruhan kejadian kanser serviks yang disebabkan oleh virus HPV ini. Selebihnya adalah disebabkan oleh virus HPV jenis lain. Secara umumnya, walaupun kebanyakan jangkitan HPV ini akan sembuh sendiri tetapi jika ianya berulang dan berterusan ia boleh menyebabkan berlakunya perubahan kepada tisu di pangkal rahim dan sebahagian boleh menyebabkan tisu tersebut bertukar menjadi kanser.

Bagaimanakah seorang wanita itu boleh dijangkiti virus tersebut? Menurut kajian yang dijalankan, jangkitan HPV merupakan penyakit jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku. Ia boleh menjangkiti lelaki dan wanita dan lazimnya ia disebarkan melalui hubungan seks. Kajian yang dijalankan di kalangan wanita di Amerika Syarikat mendapati sebanyak hampir 70% wanita yang aktif seks menjadi pembawa kepada virus tersebut dalam seumur hidup mereka.


pap smear


peringkat-peringkat kanser serviks


Walau bagaimanapun kebanyakan mereka yang dihinggapi virus HPV ini tidak mempunyai apa-apa tanda, namun sebahagiannya boleh menyebabkan ketuat pada kemaluan lelaki dan kanser penis tetapi kejadian tersebut amat jarang berlaku. Kesan yang lebih ketara ialah apabila jangkitan tersebut berlaku pada wanita secara berterusan dan berkekalan dimana sebanyak 10% daripada kalangan wanita yang dijangkiti akan mengalami perubahan pada tisu pangkal rahim dan seterusnya boleh berubah kepada kanser. Disebabkan jangkitan tidak mempunyai apa-apa tanda dan tiada ujian yang berkesan dapat dijalankan untuk mengesan virus HPV tersebut maka ujian pap smear secara berkala sahaja merupakan satu-satunya cara yang dapat mengesan masalah ini pada peringkat awal.

Ujian pap smear dapat mengesan perubahan tisu pada pangkal rahim yang mungkin disebabkan oleh virus tersebut. Ini membolehkan ujian lanjut dibuat dan rawatan yang berkesan dapat diberikan diperingkat awal lagi.

Kajian yang dijalankan ke atas lelaki pula, mendapati kebanyakannya tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam kejadian kanser pangkal rahim di kalangan wanita. Kebanyakan lelaki tidak mengetahui bahawa sebagai pembawa kuman HPV mereka boleh memindahkan kuman tersebut kepada pasangannya dan akhirnya meningkatkan risiko pasangannya untuk mendapat kanser pangkal rahim.

Namun begitu seperti juga wanita, lelaki yang menjadi pembawa virus tersebut tidak mempunyai apa-apa tanda dan setakat ini tidak ada cara yang berkesan untuk mengesan kuman tersebut di kalangan lelaki. Secara khususnya virus HPV jenis 16 dan 18 tidak menyebabkan masalah kesihatan kepada lelaki tetapi boleh menyebabkan kanser pangkal rahim jika ianya menjangkiti pasangannya. Setakat ini masih tidak terdapat cara yang berkesan untuk mengesan dan merawat virus ini.

Cara terbaik bagi mengelakkannya ialah dengan mengamalkan hubungan seks yang
selamat, setia dan mengelakkan daripada melakukannya dengan pelbagai pasangan. Mereka yang mempunyai ramai pasangan seks atau pasangan mereka mempunyai ramai pasangan seks mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk dijangkiti virus ini.

Perkembangan terkini memperlihatkan penggunaan vaksin bagi mencegah kejadian kanser serviks yang disebabkan oleh virus HPV tersebut. Namun begitu vaksin tersebut hanya berupaya melindungi seseorang daripada dijangkiti virus HPV jenis 16 dan 18 yang bertanggungjawab menyebabkan kanser serviks dan virus HPV jenis 6 dan 11 yang menyebabkan kejadian ketuat pada kemaluan. Walau bagaimanapun virus HPV 16 dan 18 hanya menyumbangkan sebanyak 70% sahaja terhadap kejadian kanser serviks yang disebabkan oleh virus HPV dan selebihnya pula adalah disebabkan oleh virus HPV jenis lain yang tidak dilindungi oleh vaksin ini. Tambahan pula vaksin ini pula hanya berkesan terhadap mereka yang masih belum dijangkiti virus tersebut.

Oleh itu penggunaan vaksin hanya dicadangkan kepada mereka yang belum melakukan hubungan seks iaitu perempuan di dalam lingkungan umur 9-26 tahun atau mereka yang masih tidak terdedah kepada hubungan seks lagi atau masih belum mempunyai perubahan tisu pangkal rahim yang disebabkan oleh virus HPV tersebut.

Sebanyak 3 dos vaksin harus diberikan dalam tempoh masa 6 bulan bagi memberikan perlindungan selama 4 tahun. Kajian mendapti vaksin tersebut sangat berkesan bagi
menghalang jangkitan virus HPV 16, 18,6 dan 11 dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko mendapat kanser serviks.

Walau bagaimanapun mereka yang menerima vaksin ini masih perlu menjalani ujian pap smear secara berkala kerana banyak lagi faktor risiko lain yang berkaitan dengan kanser serviks masih tidak dapat dicegah oleh vaksin ini seperti merokok, pendedahan awal kepada seks, jangkitan kuman Chlamydia, penggunaan oral kontraseptif, bilangan anak yang ramai, umur yang muda semasa mula melakukan hubungan seks dan sebagainya. Ujian pap smear ini harus dilakukan oleh semua wanita yang pernah melakukan hubungan seks samada masih aktif ataupun sudah tidak melakukannya lagi. Ini termasuklah mereka yang sudah berpisah dengan pasangannya atau pun pasangannya telah meninggal dunia, kerana perubahan tisu yang disebabkan oleh virus HPV kadang kala mengambil masa yang lama untuk bertukar menjadi kanser.

Kesimpulannya, kanser pangkal rahim adalah kanser yang kerap berlaku di kalangan wanita dan berpotensi untuk dicegah. Pengetahuan serta kefahaman terhadap faktor-faktor penyebab kepada kanser ini serta keupayaan lelaki dan wanita untuk mencegah diri mereka dari perlakuan seks yang tidak sihat dan pelbagai pasangan, dapat menyumbangkan kepada pengurangan kejadian kanser ini.

Entry patut baca : Alternatif rawat kanser serviks


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails