“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Disember 04, 2011

Cabaran haid anak istimewa


Ibu bapa perlu khidmat nasihat doktor ginekologi sebelum anak akil baligh

MEREKA mengalaminya tetapi mungkin tidak faham atau mengerti apa-apa, malah ada yang tidak boleh dan tidak tahu bagaimana untuk menguruskannya. Begitulah kaitan antara kedatangan haid dengan anak istimewa dan keadaan itu sudah tentu memberikan cabaran kepada ibu bapa atau penjaga mereka.

Walaupun kedatangan haid proses fisiologi semula jadi wanita dan akan hadir dalam kehidupan apabila tiba waktunya serta menjadi petanda bermulanya individu itu menuju gerbang dewasa, hakikatnya bagi anak istimewa ia boleh jadi hari-hari yang tidak membawa makna apa-apa. Sebaliknya, boleh jadi menyukarkan serta membawa cabaran tersendiri, termasuklah di kalangan anak istimewa seperti autistik, sindrom down, palsi serebrum dan sebagainya.

Bagi ibu bapa atau penjaga pula, kedatangan haid anak istimewa mereka bukan saja memberikan cabaran untuk menguruskan tetapi ada kala turut dihambat dilema dan pelbagai perasaan seperti takut, risau serta lain-lain lagi terutama apabila memikirkan masa depan dan keselamatan anak berkenaan.

Sehinggakan, ada ibu bapa atau penjaga mempunyai anak perempuan istimewa yang sudah kedatangan haid atau baligh membuat keputusan drastik, ingin membuat pembedahan buang rahim atau mengikat peranakan terhadap anak berkenaan disebabkan bimbang memikirkan jika ada individu bertopengkan haiwan melakukan perkara tidak senonoh kepada anak mereka sehingga hamil.

Perunding Jabatan Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata tidak seperti di Malaysia, menguruskan haid anak istimewa menjadi isu penting yang sering dibincangkan ibu bapa di luar negara.

Malah, di kebanyakan negara barat ibu bapa yang mempunyai anak perempuan istimewa, lazimnya akan datang berjumpa dan mendapatkan khidmat nasihat doktor ginekologi sebelum anak mereka mencapai peringkat baligh lagi.

Dr Nur Azurah berkata, senario di Malaysia menunjukkan peratus ibu bapa yang mempunyai anak istimewa datang berjumpa doktor ginekologi bagi membincangkan hal itu adalah amat rendah, bahkan tidak mencapai 2%.

Katanya, keadaan seperti itu tidak patut berlaku kerana kitaran haid anak istimewa sememangnya memberi impak dan tekanan kepada ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan. Namun, tidak ramai ibu bapa atau penjaga yang tampil ke hadapan untuk meminta bantuan.

“Jumlah yang datang ke klinik untuk berbincang mengenai masalah haid amat kecil, mungkin kerana kurang pengetahuan mengenai wujudnya kaedah yang dapat membantu mereka dalam menangani masalah berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Dr Nur Azurah berkata, kalau dulu kanak-kanak seperti ini sering dibawa oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk menjalani pembedahan buang rahim, tapi kini, pembedahan seperti ini tidak lagi dilakukan. Malah di luar negara, melakukan pembedahan buang rahim mahupun mengikat peranakan yang bertujuan menghentikan terus kesuburan bagi mengelak kanak-kanak istimewa itu hamil adalah salah di sisi undang-undang dan dianggap melanggar hak asasi manusia.

Dr Nur Azurah berkata, secara ideal ibu bapa atau penjaga yang mempunyai kanak-kanak istimewa haruslah merujuk ke pakar ginekologi untuk membincangkan persiapan mengenai kedatangan kitaran haid. Kitaran haid kanak-kanak istimewa, tegasnya lebih mencabar disebabkan mereka tidak dapat ekspresi masalah mereka manakala ibu bapa atau penjaga juga menghadapi kesukaran memahami apa sebenarnya masalah mereka sama ada mereka dalam kesakitan atau sebagainya. Satu lagi masalah ialah penjagaan semasa kehadiran kitaran haid terutama pemakaian tuala wanita. Golongan ini tidak memahami mengapa mereka harus memakai tuala wanita dan sering berusaha untuk menanggalkannya. Bahkan, ada di antara mereka yang tidak mampu menukar tuala wanita mereka dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau penjaga untuk membuat penukaran.

“Ada kala remaja ini tidak dibenarkan atau digalakkan ke sekolah disebabkan kesukaran menukar tuala wanita atau lampin mereka di sekolah. Bagi ibu bapa atau penjaga yang bekerja, mereka perlu mengambil cuti kerana anak mereka tidak ke sekolah dan perlu diurus sendiri di rumah. Kedatangan haid juga ada kalanya mereka tidak berani membawa remaja berkenaan bercuti atau keluar bersiar-siar kerana tiada kemudahan untuk membuat persalinan. Semua ini boleh menimbulkan tekanan kepada mereka,” ujarnya.

Justeru, Dr Nur Azurah berkata, ibu bapa perlu diberi pengetahuan mengenai tanda akil baligh yang boleh membawa kepada adanya kitaran haid dan perlu diberi penerangan terhadap kitaran haid anak istimewa mereka, terutama dari segi kitaran serta gejala mungkin dialami oleh anak ketika didatangi haid. Pemahaman ini secara langsung memberi persiapan mental kepada mereka untuk menghadapi kitaran haid anak istimewa. Begitu juga kanak-kanak ini perlu diberi pendedahan awal bergantung kepada tahap fungsi harian mereka. Bagi mereka yang boleh melakukan tugasan ringan atau memahami pertuturan ibu bapa atau penjaga, mereka perlu didedahkan dengan pemakaian tuala wanita sebelum kedatangan haid. Ini sebagai langkah untuk membiasakan golongan terbabit dengan pemakaian tuala wanita ketika didatangi haid.

Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak istimewa menghadapi masalah dengan kedatangan haid setiap bulan. Hanya mereka yang mempunyai masalah dari segi gejala atau penjagaan ketika didatangi haid saja yang perlu mendapat rawatan dari doktor.

Ada banyak cara dilakukan untuk mengawal dan memberhentikan kitaran haid, antaranya pengambilan ubat hormon sama ada untuk dimakan, diberi secara suntikan setiap dua atau tiga bulan atau dimasukkan sebagai implan di lengan. Sejenis alat dalam rahim yang dinamakan Mirena juga amat berkesan untuk mengawal kitaran haid remaja berkenaan. Namun kesesuaian kaedah bergantung kepada beberapa faktor tertentu seperti tahap fungsi seseorang, masalah perubatan serta faktor ibu bapa atau penjaga itu sendiri.

“Ketika di Australia saya berpeluang merawat ramai remaja istimewa ini. Kaedah yang selalu digunakan adalah dengan memakan pil hormon atau memasukkan Mirena dalam rahim remaja berkenaan. Ramai ibu bapa atau penjaga yang berpuas hati dengan kaedah yang digunakan dan ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup mereka sekeluarga,” katanya.

Mengenai keputusan drastik ibu bapa atau penjaga yang ingin membuang rahim atau pembedahan mengikat peranakan anak istimewa mereka, khusus bagi menghentikan terus kesuburan, Dr Nur Azurah berkata, walaupun sehingga kini tiada undang-undang di Malaysia untuk berbuat demikian, ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

“Jika ingin mengikat peranakan, sebelum pembedahan dibuat kanak-kanak istimewa itu akan dirujuk terlebih dulu pakar psikiatrik untuk membuat penilaian tahap mentaliti sama ada dia boleh faham dan mampu membuat keputusan sendiri. Jika ‘ya’ pembedahan mengikat peranakan tidak akan dilakukan,” katanya.

INFO: Pilihan kaedah bagi menangani masalah kitaran haid anak istimewa yang disarankan

i. Memasukkan mirena dalam rahim

  • Sejenis IUD (intra-uterine device) tetapi ada tambahan hormon.
  • Jika bersesuaian ia kaedah paling sesuai dan disarankan bagi kanak-kanak istimewa menghentikan kitaran haid.
  • Prosedur memasukkan mirena dalam rahim mudah dan hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit.
  • Pemeriksaan wajar dilakukan setiap enam bulan atau sekali dalam setahun.
  • Boleh dipakai sehingga lima tahun sebelum ditukar yang baru.

ii. Pengambilan pil hormon
  • Pilihan kedua yang sesuai diambil bagi menghentikan kitaran haid.
  • Perlukan disiplin tinggi kerana ia perlu diambil setiap hari.
  • Kanak-kanak istimewa yang sukar mengambil ubat tidak sesuai untuk mengambilnya.

iii. Suntikan implan
  • Implan disuntik pada bahagian lengan.
  • Suntikan perlu dibuat dua atau tiga bulan sekali.
  • Antara kesan yang paling dibimbangi ialah menyebabkan kesan kerapuhan tulang yang cepat.



Petikan : BHarian 07/06/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails