“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Julai 21, 2011

Berjimat cermat bukan sampai jadi bakhil

MANUSIA disaran berjimat cermat ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran. - Gambar hiasan

Belanja secara sederhana, berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat

DALAM menghadapi kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan, malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.

Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.

Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.

Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.

Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.

Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan.

Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada agama.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka, malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, "Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah". Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja."

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.

Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."

Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Salih ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom




Sumber : BHarian 2010/01/07

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails