Isteri pendam perasaan demi rumah tangga
“BERKORBAN apa saja...harta ataupun nyawa... itulah kasih mesra.. sejati dan mulia...”
Itu antara bait lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan sehingga kini, ia masih lagi segar di minda dan boleh lagi diingati oleh peminat pelakon lagenda ini. Bait lagu yang merdu itu jika dihayati mampu meninggalkan kesan yang mendalam dan memberi pengajaran terutama kepada pasangan suami isteri kerana jelas menunjukkan pengorbanan tidak ternilai daripada pelbagai segi dalam menempuh alam perkahwinan yang penuh pancaroba ini.
Aura yang dibawa P Ramlee juga membangkitkan perasaan untuk saling tolong menolong antara suami isteri demi mencapai kebahagiaan yang diinginkan sepanjang hayat. Perkahwinan bukanlah untuk hidup bersama saja, namun setiap perkara yang berlaku perlu dikongsi demi keutuhan rumahtangga.
Ketika zaman ibu bapa kita dulu, bapa dilihat lebih banyak berkorban untuk menyara anak dan isteri manakala ibu pula menggalas tugas dengan menguruskan makan minum di rumah. Suami akan keluar mencari rezeki untuk membesarkan anak, menyediakan wang persekolahan dan sebagainya.
Lebih mengharukan, sebilangan suami pada zaman itu sanggup menyerahkan gaji bulanannya untuk isteri memandangkan mereka lebih bijak menguruskan perbelanjaan rumah tangga. Cukup atau tidak wang itu, isteri perlu membahagikan untuk keperluan dapur dengan perbelanjaan sekolah dan sebagainya. Jelas menunjukkan suami tidak culas menghulurkan sebahagian besar gajinya. Berkat hidup saling berpakat dan bertolak ansur ini dengan gaji yang tidak sebesar mana, ada juga yang mampu membuat tabungan demi masa depan keluarga.
Namun, senario suami isteri bekerja, sekarang adalah lumrah dalam masyarakat moden. Isteri dilihat mampu meringankan beban kewangan suami, sesuai dengan tuntutan keperluan yang semakin meningkat. Namun harus diingatkan wang gaji isteri sepatutnya digunakan sekadar untuk menampung dan bukannya menanggung keseluruhan perbelanjaan rumahtangga.
Tidak dinafikan, apabila isteri sudi menghulurkan bantuan meringankan beban, ada segelintir suami yang sudah mula berada dalam zon selesa kerana tidak perlu bersusah-payah dan lebih teruk mereka melepaskan sepenuhnya tanggungjawab kepada isteri. Apabila terjadi perkara begini, isteri perlu menanganinya dengan segera.
Jika keadaan menjadi semakin teruk, Islam membenarkan isteri untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami, tetapi hanya sekadar memenuhi keperluan isteri, anak serta pembantu, jika ada. Jika ia dikesan oleh suami dan menimbulkan pergaduhan, isteri boleh memaksa suami memberikan nafkah melalui perintah Mahkamah Syariah.
Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluan dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari).
Bagi seorang wanita bekerjaya, Linda, 35, (bukan nama sebenar), 10 tahun hidup bersama orang yang paling dicintainya, beliau tidak pernah merasai suaminya seorang yang bersifat pemurah dan sanggup berkorban untuk dirinya semata-mata. Katanya, walaupun beliau mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang agak tinggi, namun beliau juga teringin untuk merasai nikmat suami menghulurkan nafkah kepadanya walaupun jumlah yang diberikan adalah sedikit.
“Saya tidak pernah berkira sangat kerana tidak mahu rumah tangga yang dibina berkecai begitu saja kerana persoalkan sikap kedekutnya. Bayangkanlah, selama ini suami saya tidak pernah membelikan sehelai baju sebagai hadiah kerana dia tahu saya mampu untuk membelinya sendiri. Bila tiba Aidilfitri, dia beri duit untuk beli keperluan anak, tapi jumlahnya tidak pernah mencukupi dan saya terpaksa menampung semua perbelanjaan berkenaan. Dia hanya lebihkan keluarganya saja. Saya faham dia masih ada ibu dan seorang adik kurang upaya (OKU) yang terpaksa dijaga. Namun, biarlah adil dengan anak dan isterinya juga,” katanya yang sering berkecil hati dengan perangai suaminya itu.
Linda berkata sehingga sekarang, suaminya tidak pernah membangkitkan untuk membeli rumah sendiri kerana sudah selesa tinggal di rumah ibunya walaupun kini sudah mempunyai tiga anak,” katanya. Tambahnya lagi, banyak lagi keperluan asas yang belum dipenuhi, kereta yang ada tidak mampu lagi memuatkan jumlah keluarganya yang ramai termasuk ibu dan adiknya. Disebabkan terlalu tertekan dan sering didesak suaminya menukarkan kereta lebih besar, akhirnya Linda sendiri yang mengeluarkan wang sakunya untuk membeli kereta baru.
“Malah, jika saya ke luar negara tidak pernah lupa beli hadiah istimewa, tapi bila dia pergi ke luar negara, jarang beli barang mahal kecuali kemeja-T saja. Saya terpaksa pendamkan perasaan itu kerana tidak mahu kerana sifat kedekut suami, rumah tangga kami menjadi porak-peranda. Biarlah selagi saya mampu menggunakan duit sendiri untuk berbelanja,” katanya.
Menerima nasib sama, Aisyah, 30, (bukan nama sebenar), suaminya sering memberi alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi kerana perlu membayar ansuran rumah dan juga keretanya, sedangkan beliau juga mempunyai tanggungan sama membayar kereta dan rumah. Katanya, beliau pernah bersuara kepada suaminya untuk menguruskan wang gajinya, namun ditolak dengan alasan tahu menguruskan sendiri. Malangnya suaminya tidak pernah jujur, malah sering mengatakan tidak mempunyai duit dan sering sorok pendapatannya.
“Saya fikir, bila kita sepakat menguruskan semua gaji secara bersama, hidup tidak akan susah kerana kita saling bekerjasama. Tapi yang dia tahu hanya bayar sewa rumah yang kami duduk sekarang, yang lain dia tak ambil peduli. Dengan anak juga terlalu berkira. Takut sangat duitnya habis bila keluar dengan kami. Lebih menyedihkan ketika bersalin hampir semua bayaran hospital, upah bidan dan keperluan bayi disediakan olehnya. Setiap kali minta duit daripada suami, alasannya dia tidak mempunyai wang. Sakit hati bila fikirkan semua itu, tapi disebabkan tak mahu bergaduh, saya terpaksa bersabar lebih-lebih lagi ketika berpantang,” kata ibu seorang anak ini,” katanya yang bosan dengan sikap kedekut melampau suaminya itu.
Beliau berkata, sehingga ini tiada jalan penyelesaian terhadap suaminya yang suka menyimpan gajinya dan tidak berterus terang.
INFO: Panduan menabung ketika susah dan senang
* Rancang perbelanjaan lebih awal sebelum memperoleh gaji.
* ‘Bayar’ kepada diri sendiri dulu (buat simpanan wajib seperti saham dan sebagainya).
* Belanja pada waktu perlu saja dan jadilah pengguna yang bijak.
* Jangan terikut budaya orang lain. Tingkatkan pemikiran kita, tetapkan pendirian dan bangga dengan siapa kita dan apa yang kita ada.
* Didik ahli keluarga untuk hidup bersederhana.
* Tetapkan perbelanjaan untuk keperluan saja.
* Muhasabah.
Petua rumah tangga bahagia
* Sering melakukan kegiatan bersama seperti makan, berjalan, membeli-belah, beriadah dan mandi bersama.
* Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.
* Kreatif mencipta suasana harmoni dan tenang dalam rumahtangga.
* Sekiranya ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis ketika bercinta dan berbulan madu.
* Suami kena lebih mesra dengan keluarga mentua kerana sekiranya rumah tangga menghadapi masalah, ibu bapa mentua boleh menasihati.
* Suami jangan tumpu perhatian berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.
* Sentiasa berlembut segi percakapan, layanan kepada pasangan dan pergaulan sesama ahli keluarga.
* Sekiranya ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri.
* Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya.
* Keluarga Islam amalkan sembahyang berjemaah bersama ahli keluarga.
Sumber : BHarian 16/07/2011
Capaian entry berkaitan :
* Jangan abaikan nafkah isteri
* Hak Muslim : Suami tiada hak minta gaji isteri sara keluarga
* Hadiah yang sangat diperlukan...
* Menangani suami culas dan suami kedekut
* Isteri tangkai jering vs suami kedekut
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Sabtu, Julai 16, 2011
Suami kedekut
Susunan :
Bawang Goreng
pada
7/16/2011 04:34:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...