Mangsa cari kasut terperangkap lebih 6 jam
SEREMBAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya berusia 10 tahun yang ditinggalkan dalam kereta sebelum dia bergegas masuk ke kelas untuk mengajar di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini, maut dipercayai lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam setengah jam, petang semalam.
Mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir yang belajar di sekolah sama, ditemui ibunya, Haliza Talib, 44, terkulai dalam kereta PERODUA Alza yang diletakkan di pekarangan sekolah itu kira-kira jam 2 petang.
Terdahulu, kira-kira jam 7.30 pagi, Izzah Athirah dikatakan enggan keluar dari kereta bersama ibu serta tiga beradiknya yang lain untuk masuk ke sekolah kerana mahu mencari kasutnya dalam kereta itu.
Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, berkata disebabkan mahu cepat, isterinya meninggalkan kunci kereta kepada mangsa sebelum beredar.
“Kami tidak tahu mengapa Izzah Athirah tidak keluar dari kereta itu kerana dia sudah biasa dengan kenderaan berkenaan. Kejadian disedari ketika isteri pergi ke kereta selepas habis waktu sekolah dan melihatnya terkulai tidak sedarkan diri dalam kereta dan tingkapnya bertutup. Isteri saya menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HTJS di sini, semalam.
Mohd Khir yang berada di Port Dickson ketika kejadian itu kerana menghadiri mesyuarat, hanya mengetahui mengenainya selepas dihubungi rakannya jam 3.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.
“Kita masih di peringkat awal siasatan dan menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan bagaimana dia boleh terperangkap,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mengklasifikasikan semula kes itu.
Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat di Kelantan.
Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak dikatakan tertinggal di dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.
Petikan : BHarian 07/07/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...