“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Julai 17, 2011

Azab radang sendi

Walaupun adakala bertongkat, Nurul Afida cekal hadapi rheumatoid arthritis arthritis sejak 11 tahun lalu

SESUAI sifat penyakit Rheumatoid Arthritis (RA) yang mengambil masa agak lama untuk menunjukkan gejala yang ketara, fasa awal yang dilalui Nurul Afida Kamaludin, yang menghidap penyakit auto imun ini sejak 11 tahun lalu bermula hanya dengan lenguh dan sakit di bahagian sendi, kejang dan lesu.

Namun, ibu empat anak ini masih tidak sedar akan perubahan dirinya walaupun pernah terjatuh ketika hamil anak ketiga pada 1998.

“Pada mulanya hanya sakit-sakit sendi saja. Lama kelamaan ia mula melarat ke rahang, siku dan bahagian otot lain. Biasanya ia reda selepas makan ubat penahan sakit jadi saya abaikan saja kerana tidak menganggap ia sesuatu yang serius,” kata wanita berusia 45 tahun ini ketika ditemui, baru-baru ini.



Malah, keadaan penyakitnya serta derita yang ditanggung sekian lama, menjadikannya ‘model’ pesakit RA pada majlis perasmian Treat to Target in Rheumatoid Arthritis anjuran Persatuan Arthritis Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Abbott Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hanya ketika hamil anak keempat, gejala-gejala seperti kejang, sakit sendi, lesu semakin jelas dan ditambah kematian ayah tersayang, Kamaludin Abdul Razak, pada 2000 yang turut menjadikannya murung.

Namun, Nurul Afida masih tidak dapat mengesan apa penyakit dialaminya walaupun selepas beberapa kali melakukan ujian darah. Akibatnya dia terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit. Kemuncak deritanya pada tahun sama, apabila sebaik habis pantang, dia tidak boleh bergerak. Bahu terasa sangat sakit dan terpaksa memikirkan pula keadaan bayinya yang baru berusia dua bulan ketika itu.

“Saya ke sebuah hospital swasta dan membuat ujian darah lagi. Cukup mengejutkan apabila keputusan ujian darah itu menunjukkan faktor rheumatoid arthrtis saya mencecah 480 walhal bacaan seorang yang normal sepatutnya 20 saja. Ketika itu saya tak ubah macam mayat hidup kerana seluruh tubuh badan kaku dan lebih menyedihkan tangan sudah mula berubah dan mengerekot,” kata Penolong Pengarang di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Dia mengambil keputusan untuk tidak lagi ke hospital swasta kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Fasa selanjutnya dalam hidup insan tabah yang yang tidak lekang senyuman ini penuh dengan pelbagai dugaan. Urusan kerjayanya sering terganggu. Selain suami, keluarga, saudara mara yang masih belum memahami apakah penyakit yang dialaminya membawanya berdepan pelbagai persepsi dan andaian yang langsung tidak membantu proses pemulihannya.

“Saya sendiri mengambil masa dua tahun untuk memahami pelbagai jenis ubat, penyakit dan bagaimana menguruskan kehidupan dengan penyakit ini. Hidup perlu diteruskan, jadi saya perlu berfikiran positif kerana memikirkan masa depan keluarga dan anak-anak. Walaupun tahun berganti tahun dan penyakit ini masih tidak banyak berubah, saya masih bersyukur melihat perkembangan teknologi perubatan moden yang pantas dan semakin canggih.”

“Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar kepada hambanya. Syukur saya diberi peluang mencuba pelbagai jenis ubatan baru di hospital kerajaan termasuk terapi bukan biologics seperti MTX seminggu sekali manakala biologics pula seperti infliximab selama setahun. Saya harus berterima kasih kepada BERNAMA kerana menanggung kos perubatan itu selama setahun disamping majikan, rakan sekerja dan rakan taulan yang memahami penyakit ini.”

“Walaupun kini ada kalanya terpaksa bertongkat, saya percaya bahawa banyak perkembangan positif yang sudah saya alami. Bayangkan dulu nak pegang apa pun pun tidak berdaya. Kini, walaupun mengalami kecacatan anggota tetapi sekurang-kurangnya saya boleh berfungsi dengan baik sebagai isteri, ibu, rakan dan menyumbang kepada masyarakat. Jika hendak dibandingkan keadaan saya 11 tahun lalu, saya kini lebih baik lagi ditambah pengetahuan dan ilmu yang mendalam yang membantu dalam pengurusan penyakit secara lebih terancang.”

“Pesanan saya kepada wanita berusia di awal 20-an, khususnya, andai alami gejala seperti bengkak pada sendi jari, demam waktu malam dan ruam pada badan, cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan, terutama pemeriksaan darah. Percayalah, rawatan awal dapat menghindar masalah keradangan berlanjutan sehingga berlaku hakisan tulang dan mengakibatkan kecacatan anggota seperti yang saya alami.”

Ultrasound bantu kesan RA lebih awal

RHEUMATOID Arthritis (RA), adalah masalah auto imun yang dihidapi hampir 135,000 pesakit di Malaysia. Ia adalah penyakit kronik yang bersifat progresif dan memusnah sendi dan tisu di sekelilingnya. Jika tidak dirawat dengan baik, ia bakal mengundang kecacatan. Laporan Pendaftar Keradangan Arthritis Kebangsaan (NIAR) menunjukkan kebanyakan atau 48.7 peratus pesakit lewat didiagnos iaitu 12 bulan selepas gejala awal bermula.

Dr AnwAr melakukan demonstrasi kepada pesakit rheamatoid Arthritis, menggunakan mesin Musculoskeletal Ultrasaund dimajlis perasmian 'Treat to Target' in rheumatoid Arthritis dan MOU fasa 2 'Power of Imaging Campaign' di Hotel One World.

Lalu, apakah pilihan bagi mereka yang mahu mengesannya seawal mungkin? Pakar Perunding Rheumatologi, Dr Anwar Arshad, menegaskan betapa pentingnya peranan teknologi imbasan ultrasound dalam bidang perubatan rheumatologi.

“Kemajuan teknologi perubatan membantu pakar mengklasifikasikan pesakit tertentu mengikut peringkat dan tahap penyakit. Dan kerana teknologi juga, sejak sedekad kebelakangan ini pakar rheumatologi menjadikan ultrasound sebagai kelengkapan utama di klinik-klinik mereka.”

“Ultrasound muscular sceletol adalah lebih kurang sama dengan aplikasi imbasan lain. Apa yang membezakannya adalah penggunaan frekuensi yang lebih tinggi bagi mengesan struktur di bawah kulit. Sedikit ubah suai dilakukan terhadap teknologi itu bagi membolehkan kami melihat struktur sehingga dua sentimeter di bawah kulit,” katanya selepas membuat demonstrasi penggunaan ultrasound selepas majlis perasmian Treat To Target in Rheumatoid Arthritis (T2T), baru-baru ini.

Kajian menunjukkan ultrasound mampu memberi gambaran tahap keradangan yang berlaku dengan sensitiviti lebih baik dan menumpukan sendi yang bermasalah. Diagnosis atau pengesahan seseorang itu menghidap RA hanya diperoleh selepas penemuan pengimejan digabungkan dengan tanda-tanda klinikal, sejarah pesakit dan maklumat biokimia.

“Maklumat pengimejan ternyata akan membantu pakar rheumatologi membuat keputusan ujian klinikal dan pengurusan klinikal seseorang pesakit. Jika anda ada saudara mara mengalami keradangan awal arthritis, pengimejan adalah saranan terbaik bagi mengesan secara tepat apa sebenarnya berlaku dalam sendi mereka itu,” katanya.

Adalah sangat praktikal bagi seorang doktor melakukan diagnos atau merawat pesakit rheumatology menggunakan ultrasound bagi memeriksa sendi kecil secara lebih tertumpu, seperti sendi jari atau ibu jari kaki, bagi menilai paten kemusnahan dan kerosakan atau sejauh mana aktiviti keradangan. Ultrasound memiliki resolusi ruang yang tiada bandingannya sebaik diaplikasi pada sendi kecil, bagaimanapun nilainya pengimejan itu masih bergantung kepada kepakaran pengguna mesin ultrasound berkenaan.

Dengan kesinambungan Kempen Power of Imaging fasa kedua di antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Rheumatologi Kebangsaan dan Abbott Malaysia lebih ramai lagi pakar rheumatologi akan dilatih dan saya percaya dalam beberapa tahun mendatang ia akan menjadi peralatan utama kepada pelatih yang cukup mahir dengan aplikasi rheumatologi. Apa yang pasti pengimejan ultrasound adalah peralatan yang saling melengkapi dan bukan saingan kepada diagnosis dan rawatan susulan RA.

Sementara itu, T2T adalah inisiatif di peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan khusus bagi memberi definisi kepada rawatan tertumpu rheumatoid arthritis (RA) bagi mengukur aktiviti penyakit dan menggalakkan diagnosis dan rawatan awal. Buat masa ini, inisiatif ini turut disertai pakar rheumatologi secara global membabitkan lebih 45 negara.

Sasaran utama T2T adalah bagi melengkapkan pakar perubatan rheumatologi dengan arah yang jelas membabitkan rawatan tertumpu dan kawalan penyakit yang ketat, yang di aplikasi secara harian bagi memastikan pesakit mencapai keadaan klinikal di mana kerosakan otot dan kecacatan dapat dielakkan.

INFO: Rheumatoid Arthritis
Segera temui doktor jika...
* Mengalami sendi yang sakit, bahang dan bengkak
* Mendapati simtom pada sendi secara bersimetri
* Alami keradangan sendi yang seringkalinya pada pergelangan tangan dan sendi jari yang paling dekat dengan tangan.
* Ada keradangan sendi yang kadangkala menjejaskan sendi yang lain, seperti leher, bahu, siku, pinggul, lutut, buku lali dan kaki
* Terasa amat penat, mengalami demam tidak tentu pasal dan sentiasa berasa tidak sihat.
* Mengalami sakit dan kaku berlanjutan lebih 30 minit pada waktu pagi atau selepas berehat agak lama.
* Mengalami simtom yang berlanjutan lebih dari beberapa minggu

Sumber: Yayasan Arthritis Malaysia di laman sesawang www.afm.org.my

Antara gejala:
* Sakit sendi (lengan, pergelangan tangan, jari-jari, pergelangan kaki, lutut, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang terutama semasa dan selepas aktiviti.
* Bengkak di bahagian sendi
* Kekerasan sendi.

Rawatan:
Selain ultrasound dan pengimbas magnetik (MRI), RA turut dirawat menggunakan terapi Biologics dan bukan Biologics
Biologics : Infliximab, Etanercept, Adalimumab, Rituximab dan Tocilizumab
Terapi bukan Biologics: MTX, SAS, HCQ, Leflunomide, Cyclosporine dan Azathioprine.




Sumber : BHarian 17/07/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails