Assalamualaikum warahmatullah,
Wanita-wanita yang menjaga kaunter di sebuah pejabat kerajaan yang dilawati nampak keletihan. Jam sudah pun menunjukkan pukul 3 petang, wajah tanpa ekspresi bagaikan patung-patung lilin yang melayan pelanggan tanpa perasaan itu nampak seperti dipaksa dan terpaksa.
Kasihan sungguh isteri-isteri yang terpaksa bekerja, kalau mereka pulang ke rumah petang nanti, bagaimana agaknya wajah-wajah itu mampu bertahan ‘digilis’ kesesakan komuter, LRT, bas atau ‘jem’ akibat kesesakan lalu lintas. Sampai di rumah, menjadi mangsa ‘deraan’ suami dan anak-anak pula.
Kalau wajah itu yang ditawarkan kepada suami, memang membosankan menjemukan sangat hendak dipandang. Sentuhan pertama yang dirasai suami adalah, “isteriku letih, aku pun letih juga, jadi bosan sungguh bila berjumpa”. Ada-ada saja rungutan dan ketidak-puasan pasangan yang terpaksa didengar, kalaupun isteri diam membisu, tetap juga tidak seronok sebab suasana jadi tak ceria, seperti di tanah perkuburan, sunyi dan sedih semacam rasanya.
Masa emas kepada pasangan yang sibuk adalah sewaktu makan dan ketika hendak tidur. Kadang-kadang disebabkan terlalu sibuk, masa makan bersama pun terlepas, masa tidur pun tidak bersama. Bagi pasangan yang pergi kerja bersama-sama, kualiti masa mereka adalah sewaktu bersama-sama di dalam kereta, tetapi realitinya, jika anda melihat pasangan tidak aebrcakap-cakap di dalam kereta, itu adalah suami isteri, sebaliknya jika anda melihat mereka tertawa, tersenyum sambil rancak bercerita, itu mungkin orang yang tiada kena-mengena.
Jadi, bilakan masa emas bagi pasangan sibuk? Apakah agaknya yang membuat isteri ‘siap’ menggilai suami saat bertemu bila balik kerja? Sentuhan pertama setelah lapan jam tidak bertemu, takkanlah tiada apa-apa persediaan hendak berjumpa kekasih hati?
1 – Hargai masa bersamanya
Bohong kalau anda namakan suami sebagai orang pertama yang terpenting dalam hidup anda, jika anda langsung tidak menghargai masa-masa bersamanya. Hal ini juga berlaku pada setiap suami yang mencintai isteri mereka. Suami dan isteri yang selekeh, tidak pandai membaca isi hati pasangan akan melalui masa-masa yang menjemukan dalam kehidupan perkahwinan mereka. Tetapi, jika mereka cepat mengenal pasti kelemahan masing-masing dan cepat berubah ke arah kebaikan, nescaya kelemahan itu akan menjadi kemanisan yang dirasai.
Masa itu emas, syukurilah masa-masa berada di sisinya, sebelum datangnya musibah, ujian ataupun gelombang tsunami yang memusnahkan kebahagiaan anda berdua. Jangan ditunggu datangnya musibah dengan perangai-perangai tidak elok kita sendiri.
Setiap detik yang berjalan itu biarlah diisi dengan keikhlasan cinta, pengorbanan dan akhlak yang soleh. Bersyukurlah anda mendapat pasangan hidup yang baik sedangkan wanita lain ramai yang hidup tidak berjodoh, ada pula yang ditinggalkan kekasih, disia-siakan suami, diuji dengan penyakit, menjadi mangsa lelaki hidung belang dan sebagainya.
Isilah masa bersama suami atau isteri dengan suasana hati yang ceria, wajah yang sentiasa redha, senyuman menawan, kata-kata yang baik, layanan yang mengharukan hati dan perasaan. Jangan buat pasangan anda susah hati, sedih dan tertekan dengan sikap tidak bersahabat anda bila anda berada dekat dengannya. Buatlah aktiviti bermanafaat bersama-sama, kongsi keprihatinan anda tetapi tutup keperitan yang anda deritai. Biarlah yang keluar dari lidah anda hanya perkataan yang menggembirakan hatinya.
Bayangkanlah jika anda berdua adalah pasangan yang berpisah jauh, tentu masa-masa bersama sangatlah anda hargai. Lihatlah kepada pasangan yang terpaksa duduk berjauhan, anda akan berasa sangat bersyukur kerana sentiasa dekat dengan pasangan.
2 – Segarkan minda, bersihkan hati
Manusia bergantung kepada akal dan hatinya untuk menghadapi cabaran kehidupan setiap saat. Anda adalah apa yang anda fikirkan dan anda rasai. Jadi, bentuklah diri anda sesuai dengan kekuatan minda dan hati anda sekarang, jangan pedulikan suasana sekeliling.
Walaupun letih dengan kerja-kerja di pejabat, balik ke rumah anda mesti bersedia. Caranya, segarkan minda dan bersihkan hati dengan meditasi. Jika anda seorang muslimah, tentu saja solatlah yang paling sesuai untuk membrei kekuatan baru.
Selepas wktu pejabat, jangan lepaskan pula waktu solat Asar. Rehatkan urat-urat yang tegang, gejolak jati yang tidak tenang dan tenteram serta akal fikiran yang bercelaru itu dengan mengingati Allah SWT.
Jangan pula solat terburu-buru, tak nikmat dan tak khusyuk kerana solat sebegini takkan mampu membawa perubahan apa-apa dalam diri anda. Anda mesti pastikan solat itu menjawab semua keresahan anda sepanjang hari tadi dan mengalirkan ketenangan dan emosi yang positif sebelum bertemu suami.
3 – Jangan membisu sebelum tidur
Menurut Dr HMTuah, jika ingin mengambil salah satu babak dalam hidup seharian, masa yang paling berharga adalah lima minit di tempat tidur. Berusahalah berbual-bual pada waktu ini, ia sangat menenangkan. Sebagaimana si ibu bercerita kepada anak-anak sebelum mereka tidur akan membuatkan mereka berasa lebih dekat dengan ibu bapa, demikian juga jika isteri atau suami mengambil masa untuk bercerita pada tempoh ini, ia sangat menenangkan, dengan syarat cerita yang dibawa adalah sesuatu yang biasa, lucu atau sekadar pemberitahuan, bukan yang menyakitkan kepala atau menyakitkan hati seperti bil, hutang kad kredit dan lain-lain yang seumpamanya.
Membaca buku cerita atau bercerita adalah antara cara sesetengah ibu bapa menidurkan anak-anak mereka, kaedah ini juga boleh digunakan oleh pasangan bahagia untuk meleraikan apa-apa juga. Ambil masa lima minit untuk sekadar berbual-bual, meskipun tidak penting, namun ia peleraian yang menenangkan. Kaedah ini akan meletakkan minda anda pada arus alpha iaitu arus ketenangan. Tidur dalam keadaan tenang hasilnya menarik, anda tidak akan dihantui mimpi-mimpi dahsyat, sebaliknya damai hingga ke pagi. Itu dipanggil tidur berkualiti.
Kanak-kanak apabila dibuai dengan cerita yang menarik misalnya kisah puteri yang akhirnya berkahwin dengan putera raja, atau si miskin yang kemudiannya menjadi kaya, akan membawa arus kebaikan pada tidur mereka. Mereka akan berasa sangat tenang dan releks dengan arus alpha yang juga arus kebijaksanaan menguasai mereka. Kanak-kanak ini akan tidur dengan membina daya imaginasi cemerlang, apabila meningkat usia, mereka akan mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Kanak-kanak jika dibuai dengan cerita juga akan tertunggu-tunggu masa tidur dan mereka akan berasa lebih dekat dengan ibu bapa. Ia suatu detik yang akan diingati oleh anak-anak sampai bila-bila.
Suami atau isteri juga boleh begitu. Berbual-bual seminit dua sebelum tidur memang satu bentuk peleraian minda. Jiwa menjadi lebih tenang, insya Allah anda akan mendapat tidur yang berkualiti. Dengan syarat, jangan bercerita sesuatu yang memberatkan kepala tetapi berbuallah tentang kisah-kisah silam saat anda bertemu, misalnya. Ingat, berbual-bual atau bercerita-cerita saja, jangan bertengkar. Bertengkar pasti akan membuatkan emosi anda berada pada tahap beta, dan ini sangat tidak sesuai untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Untuk tidur yang berkualiti, emosi anda perlu berada pada tahap theta ataupun delta, kalaupun tidak alpha. Malah, jika anda menonton televisyen kisah peperangan misalnya dan kemudian tidur, otak anda akan terus bekerja keras untuk menterjemahkan keganasan itu mengikut perseptif, pendirian, latar belakang, ilmu serta falsafah hidup anda sendiri, hinggalah anda terlelap. Setelah terlelap, usaha penterjemahan ini terus berlaku, di situlah anda mungkin diganggu mimpi-mimpi yang akan membuatkan tidur anda kurang berkualiti.
Tiga tips tidur berkualiti :
a) Baca doa, sebaiknya mulakan dengan al-Fatihah, ayat Kursi, al-Ikhlas (3 kali), al-Falaq, an-Nas, doa tidur. Setkan perkara-perkara baik yang akan dilakukan esok hari, dan bacalah bismillah 21 kali.
b) Memberi salam pada pasangan, kalaupun tiada apa-aoa modal untuk dibualkan.
c) Tidurlah dengan senyum, senyum pada diri sendiri, moga-moga menambah yakin pada hari esok yang bakal dihadapi.
4 – Rancang layanan hangat
Kalau anda seorang pekerja yang berdedikasi, tentu anda sangat bijak merancang kerja-kerja anda demi mencapai matlamat yang anda harapkan. Begitu juga dalam mengisi masa bersama suami, kenapa anda tidak punya perancangan langsung?
Apa sentuhan yang pertama yang paling sesuai saat berjumpa, apa masakan yang akan dihidang, baju apa yang anda akan pakai di rumah nanti, bagaimana uruskan anak-anak agar tidak mengganggu kemesraan anda dan suami, bagaimana ciptakan suasana romantik di bilik tidur walaupun anda letih, bagaimana ubati tekanan anda di pejabat supaya tidak memberi kesan di rumah, kalau suami tak ghairah bagaimana hendak memanaskan suasana, bagaimana hendak menceriakan anak-anak dan bagaimana menghidupkan suasana rumah yang selesa?
Semua itu perlukan perancangan yang rapi dan teliti, jangan pula anda korbankan diri untk menguruskan segala-galanya tanpa melibatkan bantuan suami. Ini perkara yang salah, bukan anda seorang yang wajib melayan suami, si dia pun berdosa jika abaikan anda. Jadi bawalah berbincang supaya suami pun ikut terlibat sama menghangatkan layanannya terhadap anda.
Jadi, sehebat mana pun tekanan anda di tempat kerja, tak akan menjejaskan ghairah anda dan suami. Anda mampu buat suami tergila-gila dengan kehebatan rangsangan anda, anda boleh lakukannya dengan petua-petua ini.
Semoga bermanafaat.
Sumber : kompilasi artikel Dr Juanda Jaya MW#1409 & Dr HMTuah MW#1371
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Khamis, Julai 14, 2011
Tips supaya suami ‘gilakan’ anda
Susunan :
Bawang Goreng
pada
7/14/2011 08:04:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...