“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Mei 28, 2011

Kenapa Melayu terus jadi hamba dadah?

Masyarakat patut bantu pihak berkuasa pastikan negara bersih penagih

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

KES penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.

“Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang. [Rujuk : Hakim sedih banyak kes dadah babit orang Islam - BHarian 19/05/2011]

Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu. Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59%), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07%), India 926 orang (7.67%), pribumi Sabah 238 orang (1.97%), pribumi Sarawak 29 orang (0.24%) dan etnik lain 56 (0.46%). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91% berbanding tempoh sama pada 2009. Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar.

Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah? Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.

Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah.

Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun 2010 menunjukkan 8,492 orang (78.40%) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56%).

Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori. Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun 2010.

Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita. Sepanjang Januari hingga Jun tahun 2010, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44% berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45% berbanding 1,136 tahun sebelumnya.

“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah. Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.

Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita.

Bagaimana anda dapat membantu jika ahli keluarga anda penagih?

Penagihan dadah boleh mengubah tingkahlaki manusia daripada siuman kepada yang tidak kita fahami. Sekiranya terbabit, mereka akan terabai dan pengabaian ini membebankan seluruh ahli keluarga dan masyarakat umumnya. Sebagai ahli keluarga, rakan, ibu, bapa, suami atau isteri, anda masih boleh membantu mereka dengan cara anda memahami penyakit mereka dengan lebih mendalam lagi. Berikut antara panduan bagaimana anda boleh memahami dan membantu meraka agar mereka dapat menangani masalah.

1 - Terima hakikat bahawa ahli keluarga / sahabat / saudara-mara anda sedang menghadapinya

Ramai di antara kita tidak dapat menerima hakikat bahawa ahli keluarga / sahabat / saudara-mara sedang menghadapi masalah tersebut. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Secara tidak langsung, anda juga terlibat dalam sistem yang sedang berlaku. Sebenarnya anda merupakan orang yang boleh membantu mereka jika anda mahu.

2 - Elakkan memberi pinjaman kewangan

Jika anda memberi mereka wang, bermakna anda menggalakkan mereka menggunakan wang tersebut untuk membeli bahan terlarang ini. Galakkan mereka untuk melakukan perkara-perkara positif dengan mengajak mereka untuk terbabit dengan aktiviti yang anda anjurkan.

3 - Kenal pasti perangai dan sifat mereka

Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai perangan dan sifat-sifat penagih dadah. Sifat mereka boleh berubah daripada seorang pembersih kepada seorang yang pengotor, daripada seorang yang tersusun kepada tidak terurus dan seumpamanya. Pengetahuan ini penting agar anda bersedia menghadapinya. perubahan sikap ini bukan disebabkan kehendak diri mereka, tetapi kerana pengaruh bahan yang mengubah persepsinya terhadap alam sekeliling.

4 - Sentiasa memberi sokongan dan kasih sayang

Mereka tidak memilih untuk menjadi penagih. Penagihan bermula disebabkan oleh sesuatu kealpaan. Mereka mungkin ingin mencuba, dipujuk rayu rakan, merajuk, balas dendam, terpaksa kerana dipaksa dan seumpamanya. Apabila terperangkap, mereka sukar menemui jalan keluar. Mereka memerlukan kasih sayang dan sokongan. Tiga perkara yang boleh anda lakukan ialah terima dirinya tanpa syarat, empati (memahami bersungguh-sungguh) dan perasaan tulus dan ikhlas untuk membantu.

5 - Bertindak secara proaktif

Berbincanglah dengan ahli keluarga yang lain atau saudara mara terdekat yang lain untuk sama-sama memikirkan, merangcang dan mengambil tindakan menangani masalah bersama dalam sebuah keluarga. Anda boleh mengesyorkan ahli keluarga yang terperangkap dengan najis dadah ini supaya diberi bantuan profesional seperti menghantarnya mendapat rawatan di hospital, Agensi Dadah Kebangsaan, Pesat Serenti berdekatan atau mana-mana rawatan yang difikirkan sesuai.

Marilah bersama membanteras dadah!




Sumber : Mahfar Ali di BHarian 28/05/2011 dan sedikit tambahan dari Dr Ramlan Hamzah.
Capaian entry berkaitan :

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails