“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Mac 19, 2010

JANGAN rampas zaman kanak-kanak!


Assalamualaikum warahmatullah,

Saya sedikit ketinggalan untuk memberi komen tentang hal ini kerana kesuntukan masa dan sibuk pula membaca artikel tentang ini dari pelbagai sumber untuk mendapatkan info yang tepat tentang ‘tragedi’ ini. Mengapa saya sebut ‘tragedi’, ya? Masakan tidak, saya sebut tragedi kerana kanak-kanak berusia 11 tahun ini diculik dan dilarikan oleh ‘suami’ selama 20 hari dan ditinggalkan pula seorang diri di sebuah surau yang jauh beratus kilometer dari kampung halamannya, dalam keadaan lapar dan ketakutan. Bagaimanakah perasaan anda sebagai seorang ibu... CORRECTION : Bagaimanakah perasaan anda sebagai seorang ayah tegar ‘melepaskan’ anak gadis suntinya mengikut ‘suami’ yang 30 tahun lebih tua [sebaya anda, lah!] dan sudah beristeri pula?

Sehingga entry ini dimasukkan, saya terbaca di Hmetro 19/03/2010 [Rujuk : 'Isteri' Sudin Ajaib masih trauma], Siti Nur Zubaidah masih trauma, kelihatan sugul dan enggan bercakap dengan ahli keluarganya, terutama ayahnya. Saya dapat bayangkan, kepercayaan dan perasaan bergantung harap anak ini terhadap ibu dan ayahnya telah HILANG sama sekali! Sanggupkah kita menenggut kepercayaan anak-anak terhadap diri kita sendiri? Bagaimanakah masa depan kanak-kanak ini jika dia tidak lagi mempercayai ibu dan ayahnya sendiri?

Saya masih ingat ketika berusia 10~11 tahun, saya masih tidak tahu memasak, segala keperluan saya seperti pakaian, makanan dan minuman semuanya disediakan mak. [NB: Saya start belajar memasak ketika usia 19 tahun... hik.. hik... Itupun sebab merantau ke negara orang dan terpaksa berdikari]. Apa yang saya buat cuma belajar, bermain teng-teng, zero-point, konda-konde, batu seremban, menonggang basikal dan belajar, serta sekali sekala menonton TV cerita kegemaran saya. Pada usia itu juga, saya sibuk berlatih meniup ‘recorder’ kerana berjaya menempatkan diri dalam pasukan pancaragam sekolah. Leka bermain hingga ke lewat petang, kadang-kadang mak yang jerit, “Pergi mandi, dah nak maghrib ni!” Itulah saya, pada usia 10~11 tahun. Saya percaya, kanak-kanak zaman sekarang juga masih berperangai seperti saya, cuma corak permainan sahaja yang mungkin berbeza.

Beberapa kes perkahwinan baru-baru ini seolah-olah mengeksploitasi dunia seorang kanak-kanak. Kita seperti kembali ke zaman 60-an dan 70-an dulu apabila isu kahwin budak timbul kembali. Mungkin benar, dulu budak seusia 10 tahun sudah pandai membasuh, mengemas, menjaga adik dan juga memasak. Ini adalah prasyarat utama bagaimana dulu rata-rata pada usia ini mereka sudah dikahwinkan. Perlu berbalik pada realiti zaman ini, pada usia 10 tahun, kanak-kanak ini masih aktif bermain, belajar dan kurang arif menguruskan diri masing-masing apatah lagi diminta untuk mengemudi sebuah perkahwinan.

SADiS sungguh rasanya melihat dua kes perkahwinan yang berlaku di Kelantan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Jelawang, dan satu lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas. Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana perasaannya jika anak saya sendiri dan mungkin ahli keluarga terdekat kita mengalaminya. Perit dirasai apabila zaman remaja kanak-kanak itu dirampas dan tidak akan merasai alam remaja dan terus masuk ke alam dewasa disebabkan tanggungjawab sebagai isteri.

Seorang lelaki fitrahnya, mesti menginginkan si isteri berfungsi dengan baik untuk menguruskan rumah tangga. Apalah yang diharapkan oleh 'suami' ini daripada isteri yang hanya tahu bermain? Saya cuba menggambarkan apakah kesudahannya jika si isteri yang masih lagi kecil ingin terus bermain-main, tidak menguruskan rumahtangga dan gagal untuk mendidik zuriat yang dilahirkan. Suami mungkin boleh bersabar lagi dalam tempoh dua atau tiga tahun pertama tetapi bagaimana tahun berikutnya?

Islam menggalakkan perkahwinan untuk mendapatkan zuriat di samping mendidik nafsu ke arah mengamal sunnah Nabi Muhammad SAW tetapi bukan membudayakan kahwin dengan budak perempuan bawah umur. Apalagi menegakkan sunah yang bercanggah dengan amalan dan perbuatannya meninggalkan kanak-kanak itu di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong selepas dua minggu menghilang diri dari Kelantan. Malah, beristeri ramai tetapi para isteri mengadu sering ditinggalkan dan mengalami keperitan hidup kerana tak cukup makan!

Kanak-kanak berusia 10 tahun secara LOGiKnya, masih belum matang untuk mengetahui hakikat sebuah perkahwinan. Tanggapan kanak-kanak perempuan cepat matang adalah pendekatan biologi semata-mata. Kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun di zaman moden ini belum bersedia dari aspek psikologi dan mental kerana mereka masih di bangku sekolah. Mereka masih perlu didikan dan perhatian ibu bapa. Mereka masih belum punya perasaan tertarik untuk berkasih-sayang dengan kaum berlainan jantina... oh... sudah adakah perasaan sebegitu? Apa yang pasti, MUSTAHiL mereka meminta untuk dikahwinkan.

Seperti di dalam artikel-artikel yang saya titipkan di laman ini (boleh rujuk entry berkaitan seperti yang dinyatakan di bawah), JELAS, perkahwinan yang dilakukan tanpa persetujuan kanak-kanak sememangnya menggugat emosi, sosial, dan perkembangan fizikal kanak-kanak dan ternyata membebankan diri mereka sendiri sedangkan fizikal dan mental mereka masih tidak dapat menerima situasi seperti ini.

Perkahwinan bawah umur tentunya memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak jika keadaan itu berleluasa tanpa ada sebarang sekatan. Kesan yang dapat kita lihat adalah dari segi mental dan fizikal. Kesan mental merujuk kepada tekanan perasaan yang ditanggung kanak-kanak itu apabila dibebani tanggungjawab seorang isteri yang tidak dapat difahami oleh mereka yang masih keanak-anakan. Manakala kesan pada fizikal pula merujuk keadaan tubuh kanak-kanak itu yang tidak mampu memenuhi tuntutan batin suami seperti isteri yang sudah dewasa. Selain itu, apa yang paling penting adalah pendidikan kanak-kanak itu akan terabai kerana dari kecil dibebankan tanggungjawab seorang isteri.

Perkahwinan paksa bagi remaja bawah umur dikenal pasti penyebab utama keciciran golongan ini daripada peluang pendidikan, di samping terdedah kepada komplikasi kesihatan jika mereka hamil dan melahirkan anak pada waktu usia muda.

Bukankah Islam menuntut mereka yang berkahwin agar mencari pasangan yang sekufu? Sekufu bukan sahaja dari segi tahap pemikiran, pendidikan, kualiti hidup (kaya atau miskin) dan juga usia, bak kata pepatah, 'pipit sama pipit, enggang sama enggang'. Jika perbezaan usia sangat ketara seperti anak dengan ayah dan bukan seperti suami isteri selayaknya, adakah mereka sekufu? Ada jaminankah mereka hidup bahagia? Ada jaminankah si isteri tidak dianiaya? TOLAK ke tepi jika mahu memberi contoh perbezaan Rasulullah SAW dengan Aisyah r.a. kerana personaliti, perwatakan, ilmu dan ketaqwaan Rasulullah SAW (dan para sahabat sezamannya) tiada tara tandingan dengan kaum lelaki pada zaman sekarang, perbezaannya seperti LANGiT dengan kerak BUMi rasanya!

Dalam hal ini lelaki yang berkenaan, tidak keterlaluan jika dikatakan dia merupakan individu yang tidak waras dan hanya menyukai budak perempuan ini kerana tarikan nafsu dan kepuasan seks. Biar apa pun alasannya memperlihatkan tahap keilmuan agama yang sebenar malah individu macam ini sering menggunakan perwatakan warak dan alim untuk menutup kelemahan yang dikaitkan dengan sifat pemalas dan penipu dalam masyarakat.

Ini kerana keinginan mengahwini kanak-kanak itu bukan perkara normal dalam masyarakat yang celik maklumat dan tinggi ilmu keagamaan. Biarpun lelaki itu tidak buta huruf tetapi perbuatannya jelas mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 bahawa pasangan wanita yang berumur di bawah 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah syariah. Ibu bapa juga boleh disabit kesalahan dan dihukum dengan tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Masyarakat perlu peka dan peduli bagi mencegah kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak di bawah umur ini. Biarpun perkahwinan itu dipersetujui kanak-kanak tersebut tetapi kes ini dianggap sebagai penganiayaan terhadap mereka yang tidak mampu mengandung dan membela bayi kelak kerana perkembangan biologi dan struktur kanak-kanak sendiri.

Dengan setiap perkara yang berlaku di dunia pada hari ini, kadang-kadang kita sendiri berasa pelik dan hairan dengan tindakan yang dilakukan oleh si ‘pelik punya species’ yang bertunjangkan nafsu. Saban hari kita disogokkan dengan kes buang bayi di situ sana sini, perceraian di situ sana sini, kini ditambah pula yang perkahwinan dengan kanak-kanak? Apa nak jadi dengan masyarakat hari ini? Jangan hanya kata ingin mengikut sesuatu yang dikatakan sunnah semata-mata sedangkan hanya mengikut tuntutan nafsu!

[NB: Kahwin dengan kanak-kanak sunnah NABI? Rujuk --> Ulul Albab: Hukum khusus bagi Nabi tak boleh dikongsi]




Capaian entry berkaitan :
  1. 'Isteri' Sudin Ajaib masih trauma
  2. Ulul Albab: Hukum khusus bagi Nabi tak boleh dikongsi
  3. Peguam Syarie Menulis: Kahwin bawah umur dikira penderaan
  4. Nikah bawah umur cabul hak anak majukan diri
  5. Elak kahwin kanak-kanak
  6. Perkahwinan budak 11 tahun perlu kelulusan
  7. Jangan terpedaya dengan individu berimej warak

1 ulasan:

  1. blackcitra@gmail.com27 Mac 2010 pada 6:54 PTG

    bukan nak condemn org tabligh tapi inilah akibatnya bila amal tanpa ilmu....dan hanya berpandukan buku tabligh yang penuh dengan hadis yang tidak tahu nasab/sahih/palsu dan sebagainya....di mana kepimpinan tabligh yang ada ilmu bangkitlah selamatkan tabligh

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails