“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Januari 04, 2008

Q&A: Perkahwinan paksa tidak sah

SOALAN:

SEPUPU saya dipaksa kahwin oleh bapanya dengan orang yang tidak dia kenali. Sepupu saya berkeras tidak mahu mengahwini lelaki pilihan bapanya itu sebab dia mempunyai pilihan hatinya sendiri. Bolehkah dia dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya? Sekiranya dia akur dengan kehendak bapanya, adakah perkahwinan itu sah kerana dilangsungkan tanpa kerelaan hatinya?

- MOHD KHAIRUL NA'IM, Muar, Johor.

JAWAPAN:

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua insan yang saling bersetuju untuk hidup bersama sebagai suami isteri. Persetujuan ini amat penting bagi memastikan bahawa perkahwinan tersebut dilangsungkan berdasarkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati.

Oleh itu, baik menurut ajaran Islam mahupun undang-undang syariah di Malaysia menetapkan bahawa kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin agar setuju dan rela akan perkahwinan itu.

Memandangkan saudara tidak menyatakan di mana sepupu saudara tinggal, jadi kami akan menganggap bahawa dia juga tinggal di Johor seperti saudara. Oleh yang demikian, undang-undang yang terpakai kepadanya adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Seksyen 13 enakmen yang disebut di atas ada menyebut bahawa, sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen berkenaan melainkan kedua-dua belah pihak lelaki dan pihak perempuan bagi perkahwinan tersebut bersetuju dan rela hati untuk berkahwin.

Berdasarkan Seksyen 13 ini, perkahwinan sepupu saudara, sekiranya dilangsungkan, tidak akan diperakui dan tidak boleh didaftarkan. Perkahwinan itu akan menjadi tidak sah kerana dijalankan tanpa kerelaan pihak perempuan.

Kepentingan persetujuan pihak perempuan dalam melangsungkan sesuatu perkahwinan bukan terdapat di bawah undang-undang syariah Islam semata-mata, malah terdapat juga hadis yang menyebut bahawa pihak perempuan perlu bersetuju untuk diijabkabulkan dengan seseorang lelaki sebelum perkahwinan itu dianggap sah.

Di dalam Sahih Bukhari ada diriwayatkan dua hadis mengenai perkara ini, bahawa wali tidak boleh mengahwinkan seorang anak dara atau wanita yang pernah berkahwin tanpa persetujuannya.

Terdapat juga hadis dalam Sunan Nasai Juzuk II bahawa Rasulullah s.a.w. telah menawarkan untuk membatalkan perkahwinan seorang gadis yang telah dikahwinkan oleh bapanya tanpa persetujuannya. Hadis tersebut berbunyi seperti berikut:

Adalah diriwayatkan oleh Aishah r.a. bahawa seorang gadis telah datang kepadanya dan berkata bahawa bapanya telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak saudara bapanya untuk meringankan kemiskinan pemuda itu melalui perkahwinannya.

Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar aduan gadis itu, baginda pun memanggil bapa gadis itu, dan di hadapan bapanya membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihan gadis itu sendiri. Lalu gadis itupun menjawab: Wahai Rasulullah! Saya menerima pilihan bapa saya. Saya hanya mahu kaum perempuan sedar yang mereka mempunyai hak penuh ke atas diri mereka (dalam hal ini).

Melihat kepada hadis-hadis ini, dapatlah disimpulkan bahawa sepupu saudara tidak boleh dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya sekiranya dia tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut.

Kami di Sisters In Islam menasihatkan agar sepupu saudara berbincang secara baik dengan bapanya tentang hal ini. Ajaklah juga teman lelakinya serta mana-mana ahli keluarga terdekat untuk menyertai perbincangan ini. Moga-moga bapa kepada sepupu saudara menyedari bahawa perkahwinan yang dibuat atas dasar paksaan bukan sekadar melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan tuntutan agama.

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada

Sisters In Islam di alamat

No 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor,

atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel:telenisa@sistersinislam.org.my

Sumber: UtusanOnLine 04/01/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails