“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Januari 04, 2008

Q&A: Umpatan yang diharuskan

Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH


SOALAN:

Adakah perbuatan mengata sesuatu yang benar tentang seseorang itu turut dikira mengumpat?

JAWAPAN:

Mengata dan mengumpat bermakna; ‘mencela-cela atau memburuk-burukkan orang lain di belakang’. Dalam takrif yang lain bermaksud: ‘kamu menyebut mengenai saudara kamu perkara yang dibencinya atau mengenainya perkara yang dia tidak suka’. Ini bermaksud apa sahaja yang dikatakan dengan mengaitkan seseorang di belakangnya sama ada perkara baik mahupun yang buruk adalah dikira mengumpat.

Namun ulama telah mengkategorikan ada jenis umpatan yang diharuskan oleh syarak. Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin tentang umpatan (atau kata mengata yang tidak disukai di belakang tuannya) yang diharuskan syarak. Beliau menyenaraikan enam sebab umpatan itu menjadi harus:

Pertama: Untuk mengadukan kezaliman. Harus bagi orang yang dizalimi untuk memberitahu pihak yang boleh menolongnya daripada terus dizalimi penzalim.

Kedua: Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dengan mengadu kepada pihak yang berupaya mengubahnya dan menceritakan (mengumpat) perbuatan salah atau mungkar yang dilakukan.

Ketiga: Meminta fatwa tentang sesuatu hukum agama yang ada kaitan dengan pihak yang diumpat dengan syarat umpatan itu perlu dilakukan untuk memahamkan orang yang diminta fatwa. Jika boleh difahami tanpa umpatan, maka umpatan tidak harus ketika itu.

Keempat: Memberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam lain tentang keburukan yang dilakukan oleh orang yang diumpat.

Kelima: Mengumpat orang yang terang-terangan melakukan kefasikan dan maksiat seperti peminum arak, penceroboh, pengumpul harta orang secara zalim (termasuk perasuah), pelaksana kerja-kerja batil dan seumpamanya.

Keenam: Memberi pengenalan seseorang yang mana jika tidak diumpat sedikit maka orang tidak akan mengenalinya, tetapi jika boleh dikenali dengan tidak mengumpatnya, maka mengumpat ketika itu adalah haram.

Imam al-Nawawi juga membawa beberapa hadis sebagai bukti Nabi s.a.w. juga mengumpat dan mengata di belakang jika keadaan mewajarkannya, seperti berikut:

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan sanadnya daripada Aishah r.a. bahawa seorang lelaki datang meminta izin untuk keluar daripada baginda (sedangkan keadaan ketika itu tidak membolehkan sesiapa pun berpindah keluar dari Madinah), lalu baginda berkata kepada para Sahabat: “Berilah keizinan padanya! Dia itu seburuk-buruk saudara sekeluarga!”

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengata di belakang dua orang lelaki Islam yang tidak berdisiplin: “Aku rasa si polan dan si polan itu tidak tahu apa-apa tentang peraturan agama kita.”

Di dalam kitab Ihya Ulum al-Din, Imam al-Ghazali ada menyenaraikan beberapa keadaan yang membolehkan seseorang itu mengumpat atau mengata, keadaannya adalah seperti berikut:

Pertama: apabila berlaku penganiayaan, seperti seseorang yang dizalimi mengadu kezaliman seseorang kepada hakim, agar hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang menzaliminya.

Kedua: meminta bantuan orang lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran dari seseorang atau mengembalikan seseorang yang melakukan maksiat ke jalan kebaikan.

Ketiga: ketika meminta fatwa atau keterangan sesuatu hukum dalam agama. Contohnya seseorang mengadu kepada kadi dengan berkata: “Ayah saya telah menganiaya saya.”

Keempat: mengingatkan seseorang muslim dengan sesuatu kejahatan. Contohnya: jika anda mengetahui seseorang itu jahat, lalu anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan orang lain dari orang itu.

Kelima: apabila seseorang itu terkenal dengan sesuatu gelaran, atau panggilan yang memang menunjukkan sesuatu kekurangan pada dirinya, seperti mengatakan si polan yang tempang atau yang buta.

Keenam: apabila seseorang itu memang sengaja terang-terang membuat kefasikan dan bermegah-megah dengan perbuatan itu.

Namun tidak harus melihat persoalan mengumpat dengan begitu mudah, keharusan itu masih dalam batasannya. Apa yang diharuskan oleh ulama adalah demi mengembalikan keadaan yang buruk kepada yang lebih baik, menjadikan seseorang itu lebih sempurna sifat islamnya. Keharusan ini tidak bermaksud syarak mengizinkan seseorang itu untuk memburuk-burukkan saudara seagamanya dengan sesuka hati.

Sekiranya sebahagian besar di kalangan kita melihat membuka keaiban orang lain atau keaiban saudara seagamanya harus, ketika itu kita akan lihat tiada yang akan bercerita mengenai kebaikan orang malahan lebih ramai lagi akan berkata mengenai keburukan orang.

Lebih elok kalau kita boleh menjadi pendamai dan pendorong kepada kebaikan dengan mengajak orang kepada kebaikan.

Sumber: UtusanOnLine 04/01/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails