BUKAN sesuatu yang luar biasa apabila anak sulung akan berasa terpinggir apabila anda melahirkan anak kedua. Apatah lagi jika perbezaan usia mereka tidak jauh.
Kebanyakan anak sulung akan berasa tidak gembira apabila dia mendapat adik. Dia seperti hilang segala keistimewaan dan berasa tidak disayangi lagi. Dia selalu cuba mendapatkan perhatian dengan menyakitkan adik. Ia memang menjengkelkan apatah lagi jika dia cuba mendapat perhatian waktu si adik memerlukan tumpuan.
Bagaimanapun, sebagai ibu anda seharusnya jangan cepat marah. Cuba fahami keadaan anak. Paling penting, persiapkan anak sulung sebelum kehadiran orang baru.
Berikutan adalah antara tip menangani masalah persaingan adik beradik:
Ø Cuba menjarakkan kelahiran. Ibu akan mengambil masa dua tahun ke atas untuk pulih sepenuhnya selepas melahirkan.
Ø Tiga atau empat bulan sebelum anak kedua lahir, beritahu anak sulung secara jujur dan terus terang mengenai kelahiran si adik. Waktu itu adalah masa yang terbaik untuk membuat dia faham kerana perut anda juga sudah cukup besar dan dia tentu percaya ada bayi di dalamnya. Beri kesempatan untuknya menyentuh perut anda. Dia akan dapat merasa bagaimana bayi di dalam perut menendang dan bergerak.
Jika anda beritahu terlalu awal, waktu perut masih kecil, dia mungkin tidak percaya atau dia mungkin akan terlupa.
Ø Beri dia hak untuk membuat keputusan yang kecil. Misalnya, memilih warna cat untuk bilik adik atau memilih perabot yang bakal diletakkan dalam bilik itu. Gunakan pertanyaan mudah seperti di mana abang rasa sesuai untuk kita letak katil adik? Atau, kakak rasa selimut apa yang cantik untuk adik, gambar Barney atau gambar Spiderman?
Ø Jika anda perlu menukar rutin anak misalnya memindahkan ke bilik lain, lakukan beberapa bulan sebelum kelahiran bayi supaya dia tidak rasa dipinggirkan.
Ø Terangkan kepadanya apa akan terjadi apabila anda bersalin. Beberapa minggu sebelum tarikh bersalin, sediakan dirinya tentang 'kehilangan' anda untuk beberapa hari. Terangkan kepadanya apa dan mengapa.
Dia mungkin berasa kecewa tidak bersama anda untuk beberapa hari. Jika boleh, beritahu suami untuk membawanya melawat anda di hospital supaya dia merasakan dia adalah sebahagian yang penting dalam keluarga. Ambil gambarnya bersama bayi baru.
Ø Babitkan dia dengan tugas menjaga bayi. Dia mungkin akan mengejutkan anda dengan apa yang mampu dia lakukan. Misalnya, jika menyalin lampin, minta dia ambilkan lampin. Jika sedang memandikan bayi, beri dia kesempatan menyabunkan kaki bayi. Atau minta dia ambilkan bantal untuk adik. Tanya pendapatnya, abang rasa adik patut pakai baju warna biru atau kuning? Kakak nak nyanyikan lagu untuk adik?
Bagaimanapun, jika anak sulung tidak mahu membantu, jangan paksa dia. Ada kalanya anak sulung sengaja tidak mahu mengambil tahu mengenai adik kecilnya untuk selama yang dia boleh. Jadi jangan paksa dia. Itu akan hanya membuatkan dia berasa jauh hati.
Ø Memang semula jadi untuk anak berasa cemburu kerana selepas untuk beberapa lama dia menjadi anak 'tunggal', dia kini terpaksa berkongsi kasih sayang, perhatian, mainan dan sebagainya dengan adik. Jadi jangan memarahinya. Luangkan sedikit masa untuk melakukan sesuatu untuknya misalnya membacakan buku atau bermain dengannya.
Ø Tunjukkan gambarnya sewaktu dia masih bayi dan ceritakan kepadanya bagaimana anda menjaga dia ketika masih bayi.
Ø Jangan cepat marah kepadanya jika dia mencubit adik atau memeluknya dengan kuat. Beritahunya mengapa dia tidak boleh berbuat demikian. Ketika bersendirian dengannya, galakkan dia bercakap mengenai perasaannya. Biarkan dia meluahkan isi hatinya sama ada dia marah atau cemburu. Beritahunya itu semua perasaan semula jadi dan ia tidak bermaksud dia jahat. Beritahunya perbuatan cuba menyebabkan kesakitan pada adik adalah salah.
Ø Jika dia agresif, jangan hukum atau malukan dia. Dia akan membalas dendam terhadap anda dengan mencederakan si adik. Beritahunya secara baik, tindakan itu tidak betul tetapi anda perlu lebih berhati-hati dan jangan tinggalkan dia dengan adiknya bersendirian.
Paling penting, ingatkan diri sendiri masa berjalan dengan pantas. Tanpa anda sedar si adik sudah akan bermain-main dengan abang/kakak. Apabila mereka tidak lagi bersaing untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang, ikatan kasih sayang sesama mereka akan berkekalan sepanjang hayat.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...