“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Januari 07, 2008

Cacar air, si manja anda & anda

Cacar air dianggap sebagai lumrah kehidupan dan sesuatu yang perlu dilalui oleh setiap kanak- kanak tetapi tahukah anda penyakit ini boleh mendedahkan anda kepada jangkitan kedua apabila dewasa?

Ruam merah mula muncul di seluruh badan anak anda. Beberapa hari kemudian, bintik-bintik seperti jerawat ini menjadi lepuhan bercecair. Anak anda demam, hilang selera makan dan meragam. Dia terperap di dalam rumah dan tidak dapat pergi ke tadika. Doktor memberi amaran untuk memastikan anak anda tidak menggaru ruamnya (walau segatal mana pun) kerana menggaru boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada kulit. Malah anda terkejut apabila doktor menerangkan kemungkinan berlakunya komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis (radang otak). Sebelum ini, anda menganggap cacar air hanyalah jangkitan biasa yang ringan. Bukankah semua orang dijangkiti sekali seumur hidup dan pulih sepenuhnya?

Tidak lama kemudian, gejala yang sama mula muncul pada adiknya. Anda tiada pilihan lain kecuali mengambil cuti kerja untuk menjaga mereka. Tanggungjawab menjaga dua anak kecil yang sakit memang meletihkan, lebih-lebih lagi jika anda sudah mengandung tiga bulan.

Mengenai cacar air

Cacar air ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus Varicella-zoster yang amat mudah berjangkit dan boleh merebak menerusi sentuhan fizikal dan melalui udara daripada titisan bersin atau batuk. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebarkan virus dua minggu sebelum ruam muncul dan sehinggalah semua lepuhan menjadi kering.

Selagi anak anda sihat, kesan jangkitan cacar air biasanya bersifat ringan dan akan hilang dalam masa dua minggu. Namun begitu ia lebih berbahaya di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap ekzema atau mengambil ubat steroid (contohnya penghidap asma).

Anda perlu mencegah anak anda daripada menyebarkan penyakit dan memastikan dia tinggal di rumah dan tidak menghadiri kelas tadika. Malangnya, adalah lebih sukar untuk mengelakkan anggota keluarga lain daripada dijangkiti. Risikonya sangat tinggi kerana mereka berada berdekatan dengan satu sama lain. Cuba jauhkan anak anda daripada wanita hamil dan sesiapa yang belum pernah menghidap cacar air atau belum diberi vaksin.

Antara langkah untuk merawat cacar air termasuk menegah anak anda menggaru dan mencegah jangkitan sekunder, menggalakkannya minum banyak air dan memastikan pengambilan khasiat pemakanan secukupnya dan mengawasi sebarang komplikasi serius. Sejenis agen antivirus yang dinamakan acyclovir akan mengurangkan tahap keterukan penyakit tetapi ubat ini perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Kehidupan selepas menghidap cacar air. Selepas jangkitan cacar air, virus Varicella-zoster ‘menyorok’ dalam keadaan tidak aktif dalam urat saraf individu. Virus in boleh aktif semula beberapa tahun kemudian apabila anak anda sudah dewasa atau jika sistem imunnya lemah. Turut dikenali sebagai herpes zoster, kayap ialah sejenis ruam menyakitkan yang boleh menyebabkan neuralgia postherpetik, sejenis penyakit yang mengakibatkan kulit terasa sakit selama berbulan atau bertahun walaupun ruam sudah hilang.

Mencegah anak anda daripada dijangkiti cacar air

Hanya melalui vaksin boleh mencegah cacar air ialah menerusi imunisasi. Vaksin dihasilkan dengan menggunakan virus Varicella-zoster yang lemah dan diberikan kepada kanak-kanak berusia 1 dan 12, dewasa serta remaja yang belum pernah dijangkiti cacar air. Walaupun vaksin ini boleh mencegah jangkitan cacar air bagi kebanyakan kanak-kanak, sebilangan kecil masih boleh dijangkiti. Namun begitu jangkitan tersebut adalah lebih ringan dengan tanda-tanda yang tidak begitu serius dan parutan kulit yang berkurangan.

Seperti semua vaksin lain, vaksin cacar air boleh mendatangkan kesan sampingan – paling umum ialah kemerahan, kesakitan dan bengkak di tempat suntikan. Bincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin ini.

Cacar air & kehamilan anda

Oleh kerana cacar air boleh menjangkiti semua orang pada sebarang peringkat usia – baik kanak-kanak kecil mahupun remaja, dewasa dan warga tua – risiko wanita hamil bertemu dengan penghidap virus Varicella-zoster adalah sangat tinggi. Keadaan ini amat membahayakan jika anda belum pernah menghidap cacar air.

Bahaya kepada anda. Cacar air semasa dewasa mungkin membahayakan dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis, walaupun keadaan sedemikian jarang berlaku. Kesan parut pada orang dewasa juga lebih teruk.

Bahaya kepada bayi anda. Jangkitan cacar air yang berlaku pada peringkat awal kehamilan menyebabkan kecacatan semasa lahir, berat lahir yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Jika anda dijangkiti seminggu sebelum melahirkan anak atau dalam tempoh sepuluh hari selepas beranak, jangkitan tersebut boleh mengancam nyawa bayi baru lahir.

Mengurangkan risiko jangkitan

Jika anda hamil dan belum pernah menghidap cacar air, bincanglah dengan doktor tentang risiko anda dan janin anda. Minta suami dan anak-anak anda (walaupun mereka sudah mencapai usia remaja) untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko mereka menghidap penyakit tersebut dan menjangkiti anda. Vaksin cacar air untuk dewasa meliputi 2 dos yang diberikan dalam selang masa 4 minggu.

Oleh: Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www. mypositiveparenting.org

Sumber: UtusanOnLine – 6 Jan 2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails