Sabda Rasulullah s.a.w
DARIPADA Nu‘man bin Basyir katanya: Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Antara keduanya terdapat perkara subahat yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara subahat, sesungguhnya ia membersihkan agama dan kehormatannya, sesiapa yang terjatuh dalam perkara subahat akan terlibat dengan kesalahan, seperti pengembala yang menternak di sekitar kawasan larangan, diragui akan terlepas ke dalamnya. Ketahuilah bagi setiap raja itu ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah s.w.t. ialah segala tegahan-Nya. Ketahuilah sesungguhnya dalam tubuh seseorang itu ada seketul daging, jika ia baik akan baiklah seluruh tubuhnya dan bila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, itulah dia hati. (Syaikhan).
Pengertiannya
Rasulullah menegaskan bahawa hukum agama berhubung dengan perkara halal dan haram adalah jelas. Tetapi terdapat perkara-perkara subahat yang tidak begitu jelas dan hukumnya samar di kalangan orang ramai. Mereka yang memelihara dirinya dari perkara subahat, akan selamat dan bersihlah agama dan kehormatannya, tetapi yang terlibat dengan perkara subahat dikhuatiri terjerumus ke lembah kejahatan dan kebinasaan. Baginda mengarahkan supaya mementingkan kebaikan hati sendiri, peranannya meliputi seluruh tubuh badan bila baik hati, akan eloklah seluruh badan, demikianlah sebaliknya.
Kesimpulannya
Hendaklah sentiasa mengawal diri dari terjatuh ke lembah kejahatan atau apa saja yang akan membawa kebinasaan. Bentuklah hati sendiri supaya patuh mengikut ajaran agama yang maha suci.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...