“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Januari 24, 2008

Ekzema Atopik: Kanak-kanak mangsa utama

Ekzema Atopik: Kanak-kanak mangsa utama

EKZEMA, perkataan yang berasal daripada perkataan Greek (Yunani) membawa maksud menggelegak atau mendidih, satu perumpamaan tepat terhadap perasaan yang dirasai pada kulit penghidap ekzema.

Penyakit ini melibatkan kaitan genetik yang memberi kesan kepada sejenis sel imuniti badan iaitu sel T. Sel T pada pesakit ekzema akan memberikan tindak balas yang terlampau kepada alergen (bahan punca radang) dan membawa kepada inflamasi (bengkak) kulit yang merengsakan serta berkudis.

Dalam bentuk lemah atau sederhana, ekzema cuma akan menyebabkan kulit menjadi kering, kepanasan dan gatal. Bagi kes yang teruk pula, kulit pesakit mungkin boleh merekah, melecet dan luka.

Sebahagian masalah ini dikatakan berpunca daripada perubahan faktor persekitaran seperti peningkatan suhu dan kelembapan bumi akibat perubahan iklim dunia.

Selain itu, peningkatan jumlah bahan pencemar alam sekitar seperti bahan kimia, detergen kasar, logam dan bahan kosmetik yang boleh menyebabkan alahan (alergi) juga boleh memburukkan keadaan individu dengan masalah ekzema.

Penyakit ini dianggarkan menjejaskan kehidupan satu peratus rakyat negara ini dan 14 peratus daripada golongan kanak-kanak di Malaysia. Satu kajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat mengesahkan bilangan pesakit ekzema yang jauh lebih tinggi kini di kalangan kanak-kanak antara umur lima hingga tujuh tahun berbanding kelompok berumur antara 12 hingga 14 tahun.

Kebelakangan ini, pakar kulit (dermatologi) dunia juga melihat peningkatan kepada permintaan untuk rawatan ekzema, dengan Malaysia sendiri telah mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus.

Kesan

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Bersekutu Malaysia (FPMPAM), Dr. Steven Chow menjelaskan gejala fizikal penyakit ini memberikan kesan mendalam kepada kualiti hidup penghidapnya, terutamanya kanak-kanak. Dalam kes melibatkan kanak-kanak, kesan kepada psikologi dan emosi akibat ekzema mungkin amat membimbangkan.

Kita perlu mengambil perhatian kepada masalah ini, terutamanya ekzema atopik yang lebih banyak menyerang kanak-kanak berbanding golongan dewasa serta boleh meninggalkan kesan emosional yang akan mempengaruhi pergaulan sosial mereka kelak. Penggunaan pelembap juga dapat mengurangkan penggantungan kepada ubat steroid untuk rawatan ekzema.

Beberapa kajian di United Kingdom (UK) juga telah menunjukkan kanak-kanak yang menghidap ekzema lebih cenderung menyendiri, diejek atau dibuli oleh rakan sebaya akibat daripada perbezaan pada rupa kulit mereka. Ini mungkin akan membawa kepada kurang keyakinan diri, sifat pemalu yang dalam dan merendah diri apabila mereka dewasa kelak.

Menghadapi kesan ekzema

Memandangkan tiada ubat untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit kronik ini, penekanan kini diberikan kepada rawatan dan pengurusan penyakit ekzema untuk jangka panjang. Pengurusan penyakit ini melibatkan pemuliharaan dan mengekalkan lapisan pelindung kulit daripada terjejas, mengurangkan kebengkakan serta menghentikan kitaran ‘gatal-garu’ pada kulit pesakit. Penghidratan dan melembapkan kulit dengan penggunaan ubat corticosteroid pada kekuatan berbeza kini menjadi asas kebanyakan rejim rawatan untuk penyakit ini.

Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Mardziah Alias menegaskan perkara utama dengan ekzema adalah mengekalkan kulit yang lembap dan selembut mungkin. Jika tidak, kulit akan menjadi kering dan lebih merengsakan, menyebabkan pesakit menggaru lebih banyak dan lebih kuat. Untuk mengekalkan kelembapan kulit bagi mengelakkan kegatalan, anda perlu memilih pencuci kulit bukan sabun yang bersesuaian serta mengamalkan rejim rawatan yang baik dan melembapkan kulit.

Dr. Mardziah menjelaskan penggunaan produk pembersih kulit yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan lapisan pelindung semula jadi kulit rosak dan memulakan kitaran keradangan kulit.

Di Amerika Syarikat (AS), salah satu faktor utama yang dikaitkan dengan masalah ekzema adalah pengunaan sabun, detergen dan barang kosmetik kasar yang menghakis lapisan lemak di antara sel-sel kulit.

Dr. Mardiah turut mendedahkan kulit ramai kanak-kanak di negara ini yang dilihat tidak dijaga dengan elok akibat kurang penggunaan pelembap untuk mengelakkan ekzema bermula.

Ibu bapa yang menjaga bayi mereka perlu mengambil perhatian kepada penggunaan produk kulit bersesuaian, terutamanya di kalangan bayi dengan sejarah ekzema memandangkan kulit bayi adalah lima kali ganda lebih nipis berbanding orang dewasa dan memerlukan rawatan yang amat lembut.

Ini menjadi sebab utama mengapa krim emolien memainkan peranan penting dalam mengelakkan kerengsaan kerana ia berupaya membaiki lapisan pelindung kulit sementara bahan aktif permukaan (surfactant) pula terus melindungi kulit. Ibu bapa perlu mengambil berat keadaan kulit anak supaya mereka cukup selesa dengan kulit sendiri untuk meneruskan aktiviti harian secara normal.

Dalam pada itu, satu tinjauan pendapat bebas di AS turut menunjukkan 23 peratus individu dengan dermatitis (ekzema) atopik tidak menggunakan krim pelembap sementara 29 peratus lagi tidak menggunakan pembersih yang sesuai.

Dr. Mardziah menyatakan emolien yang lebih dikenali sebagai krim pelembap (moisturizer) juga kini boleh didapatkan dalam bentuk krim dengan kepekatan berbeza, losen atau salap.

Krim yang bebas daripada steroid dan pewangi adalah yang terbaik untuk rawatan kesan melecet berair ekzema, menjadikannya jenis emolien pilihan untuk melembapkan kulit bayi. Terdapat pelbagai jenis krim pelembap di pasaran tetapi tidak semua sesuai digunakan kerana mungkin mengandungi bahan pengawet dan pewangi tambahan. Emolien mengandungi bahan yang menghalang pembengkakan dan juga bahan seperti ‘saccharide isomerate’ yang dapat memberikan kelembapan dan pengurangan gejala (gatal) dengan lebih baik.

Mengawal

Saccharide isomerate didakwa mengandungi unsur yang menyerupai faktor pelembap semula jadi kulit. Selain itu, bahan ini juga dikatakan dapat menarik, mengekalkan dan mengawal tahap kelembapan di dalam kulit selain bebas daripada kesan persekitaran luar. Penggunaan sulap pelembap, yang lebih kuat kesannya berbanding krim tetapi kelihatan seperti berminyak, mungkin lebih sesuai untuk kawasan kulit yang kering, bersisik atau menebal (keras). Losen pula secara umumnya tidak mempunyai sifat penghidratan yang diperlukan untuk merawat ekzema atopik.

Dr. Mardziah menyatakan individu yang cenderung mendapat ekzema atau mempunyai kulit yang sensitif perlu mendapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai untuk kulit mereka. Ramai penghidap ekzema tidak mengetahui bagaimana untuk memilih dan menggunakan krim pelembap dengan betul. Bergantung kepada berapa teruk keadaan kulit pesakit, krim pelembap sepatutnya digunakan sekerap dan sebanyak yang diperlukan untuk mengekalkan kelembapan dan kelembutan kulit.

Amalan penggunaan krim pelembap ini perlu diteruskan setiap hari, walaupun jika keradangan pada kawasan kulit berkenaan sudah hilang. Ini adalah sebagai langkah kawalan jangka panjang terhadap ekzema dan juga bagi mengelakkan kesan sampingan yang mungkin timbul daripada penggunaan ubat steroid. Selain rawatan fizikal, kaunseling juga diperlukan untuk sesetengah pesakit yang mengalami masalah keyakinan dan harga diri akibat parut hodoh ekzema pada kulit.


Langkah penjagaan kulit sensitif dan cenderung hadapi ekzema

* KURANGKAN pendedahan kepada bahan yang boleh menyebabkan keradangan kepada kulit anda. Antara bahan yang boleh menyebabkan keradangan termasuk pembersih rumah, detergen, losen selepas bercukur, sabun, gasolin, turpentin dan larutan-larutan lain.

Cuba elakkan pendedahan kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan ekzema bermula. Memandangkan sabun dan keadaan lembap (basah) boleh menyebabkan radang kulit, basuh tangan atau bahagian kulit lain hanya mengikut keperluan terutamanya jika anda mempunyai ekzema pada kawasan kulit berkenaan. Pastikan juga untuk mengeringkan tangan (atau kulit basah) dengan elok.

* GUNAKAN sarung tangan untuk melindungi kulit tangan. Gunakan sarung tangan plastik atau vinil untuk kerja yang menggunakan air atau kerja yang terdedah kepada bahan yang boleh menyebabkan radang kulit.

Gunakan juga sarung tangan kapas di bawah sarung tangan plastik bagi menyerap peluh pada kulit tangan. Berehat seketika dan buang sarung tangan jika melakukan kerja yang mengambil masa panjang bagi mengelakkan pengumpulan peluh di dalam sarung tangan.

* GUNAKAN pakaian yang dibuat daripada kain kapas atau campuran kapas. Kebanyakan individu dengan kulit sensitif lebih selesa dengan pakaian kain kapas atau campuran kapas memandangkan kain bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin boleh menyebabkan radang kulit.

* JAGA kulit anda ketika mandi. Gunakan sabun lembut bebas bahan pembersih ketika mandi, yang boleh digunakan dengan atau tanpa air. Kekalkan suhu air yang sejuk, suam atau pada suhu bilik tetapi tidak terlalu panas.

Merendamkan diri di dalam tab mandi untuk satu jangka masa pendek (antara 15 hingga 20 minit) mungkin baik untuk kulit memandangkan lapisan luar kulit dapat menyerap air bagi mengurangkan kekeringan.

Gunakan tuala lembut untuk mengeringkan kulit sehingga kering dan elakkan menggosok kawasan kulit dengan kuat selepas kulit kering. Gunakan krim pelembap untuk mengekalkan kelembapan kulit.

* GUNAKAN ubat yang diberikan doktor untuk merawat ekzema pada kulit. Ubat yang diberikan doktor selalunya adalah jenis steroid yang elok disapukan selepas mandi.

Ikut panduan penggunaan ubat oleh doktor atau mengikut label produk. Hubungi doktor anda sekiranya tiada perubahan keadaan kulit selepas tiga minggu menggunakan ubat berkenaan.

* GUNAKAN krim pelembap pada kulit anda setiap hari. Pelembap membantu mengekalkan kelembutan dan keanjalan kulit. Elakkan penggunaan pelembap yang mempunyai terlalu banyak bahan tambahan atau pewangi.

* ELAKKAN menggaru atau menggosok bahagian kulit yang gatal. Cuba kawal diri untuk tidak menggaru kawasan kulit radang dan gatal kerana menggaru boleh menyebabkan kulit merekah dan memburukkan keadaan kulit. Bakteria boleh masuk ke dalam badan melalui kawasan kulit yang merekah atau luka ini dan menyebabkan jangkitan sampingan.

Penggunaan pelembap atau ais mungkin dapat membantu mengurangkan kegatalan. Ibu bapa boleh meletakkan sarung tangan bayi bagi mengelakkan anak anda menggaru kawasan yang gatal.

* ELAKKAN aktiviti yang menyebabkan anda kepanasan atau berpeluh terlalu banyak. Peluh dan haba yang terlalu banyak boleh menyebabkan radang kulit semakin teruk dan lebih gatal.

* BELAJAR menguruskan tekanan (stres) dalam kehidupan seharian. Ekzema boleh menjadi lebih teruk jika anda menghadapi banyak tekanan. Belajar teknik untuk mengurangkan tekanan atau ubah aktiviti harian untuk mengurangkan stres.

* TERUSKAN penjagaan kulit walaupun jika kulit kelihatan telah pulih sepenuhnya. Kawasan yang mengalami ekzema mungkin lebih mudah radang semula, oleh itu penjagaan lebih rapi diperlukan.

Oleh Nurul Anuar Kari, sumber UtusanOnLine 20/01/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails