Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin
bminggu@bharian.com.my
Assalamualaikum wbt,
Jika pembantu rumah diberi kelebihan begini i.e. gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola), cuti tahunan, bonus dan sebagainya, bagaimana pula nasib surirumah sepenuh masa yang kadang-kala khidmat mereka seolah-olah tidak dihargai dan tidak pula mendapat layanan baik daripada suami?
Hemmmm...
Pekerjaan amah diberi nafas baru, cuti tahunan, caruman KWSP dan pakaian seragam
TERLALU sukar untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah rakyat tempatan kerana mereka tidak mahu dikongkong, selain tidak menganggapnya sebagai kerjaya yang menarik.
Akibatnya, rakyat Malaysia terpaksa terus bergantung kepada amah asing yang tidak terlatih dengan kualiti kerja yang rendah kerana penawaran khidmat pembantu rumah tempatan begitu sukar untuk diperoleh.
Kesan paling ketara ialah anak yang diasuh oleh pembantu rumah asing ‘tidak menjadi’, suka memberontak dan melawan ibu bapa. Ini kerana kajian mendapati kebanyakan pembantu rumah asing, terutama dari Indonesia yang bekerja di Malaysia mempunyai latar belakang sosial yang rendah dan rosak. Misalnya, mereka bercerai, suami kahwin lain atau konflik keluarga serta menguasai ilmu hitam untuk menundukkan majikan.
Bagi memastikan masalah ini diatasi, kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan pakej lebih menarik, termasuk menetapkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi menarik minat rakyat tempatan menjadikan pembantu rumah sebagai kerjaya. Malah, pakej menarik itu dijangka dimasukkan dalam pindaan Akta Pekerjaan 1955 dalam usaha mengurangkan pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing.
Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai kesediaan rakyat Malaysia untuk menjadi pembantu rumah dan bekerja seperti mana khidmat yang diberikan pekerja asing. Ada yang berpendapat, pembantu rumah tempatan hanya lebih mengutamakan gaji berbanding khidmat yang bakal diberikan, selain mempunyai banyak tuntutan yang mungkin sukar dipenuhi majikan. Bagaimanapun, ada juga pendapat menyatakan pembantu rumah tempatan lebih memahami kehendak majikan dan mereka berasa lebih selamat kerana risiko untuk mereka lari dan berhenti kerja rendah.
Hakikat ini diakui Profesor Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Fatimah Daud, berkata sudah sampai masa kebergantungan kepada tenaga kerja pembantu rumah warga asing ditamatkan kerana ia lebih banyak mendatangkan masalah kepada majikan dan kerajaan.
“Banyak risiko terpaksa difikirkan oleh seseorang itu sebelum mereka mengambil pekerja asing sebagai pembantu rumah, selain bayaran yang tinggi membawa mereka masuk ke negara ini berbanding kos pengambilan pekerja tempatan,” katanya. Beliau berkata, pembantu rumah asing juga dikhuatiri mengenai asal usul dan kemahiran mereka walaupun mereka masuk ke negara ini secara sah melalui agensi pembantu rumah yang diluluskan kerajaan.
“Sering kali dilaporkan kebanyakan pembantu rumah asing yang dihantar ke negara ini tidak terlatih dan mempunyai kualiti kerja rendah berbanding yang dihantar ke negara lain seperti Hong Kong, Arab Saudi dan Singapura,” katanya. Prof Fatimah berkata, jumlah rakyat negara ini yang menggunakan khidmat pembantu rumah tidak ramai iaitu sekitar 13% berbanding keseluruhan rakyat di negara ini.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga.
“Kebanyakan yang menggajikan amah ialah mereka daripada kalangan golongan berpendapatan sederhana mewah dan mewah. Golongan yang berpendapatan rendah memang tidak layak pun menggajikan pembantu rumah kerana syarat memiliki pembantu rumah mesti mempunyai pendapatan tetap,” katanya yang turut mencadangkan supaya pembantu rumah tempatan yang bakal menggantikan tugas amah asing dibayar gaji antara RM700 hingga RM850 sebulan. Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan institusi latihan kemahiran kepada belia Malaysia yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mereka yang tidak dapat mencari pekerjaan atau menganggur.
Pelatih berkenaan diberikan kemahiran sebagai pembantu rumah seperti latihan memasak, melayan tetamu, mengemas rumah, menjaga anak majikan yang bersesuaian dengan adat dan budaya orang Malaysia. Ini bermakna lulusan institut berkenaan diberikan sijil dan apabila diserapkan dalam pekerjaan mereka akan diberikan gaji setimpal dengan kemahiran dan tidak lagi dipanggil pembantu rumah, sebaliknya pengurus rumah tangga.
Tugas mereka diiktiraf mengikut Akta Pekerjaan 1955 yang melayakkan mereka diberi cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum, potongan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Jika boleh pengurus rumah ini diberikan pakaian seragam khas. Ini bererti, majikan akan mendapat pekerja yang mempunyai kualiti yang bagus dan kemungkinan pembantu rumah lari juga rendah kerana jika mereka lari pun mudah dikesan berikutan mereka akan kembali ke pangkuan keluarga dan mudah dihubungi berbanding dengan pembantu rumah Indonesia yang kerap melarikan diri, mencuri, berkenalan dengan pekerja buruh dan paling serius merompak rumah majikan.
Prof Fatimah berkata, di negara maju, pekerja domestik banyak membantu suri rumah atau wanita yang bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang, tidak tinggal bersama majikan dan bekerja 24 jam sehari. Mereka bekerja seperti pekerjaan harian lain dan diberi cuti pada hujung minggu.
“Kita perlu bersedia untuk menjadi rakyat maju jika mengaplikasikan sistem ini di Malaysia,” katanya. Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan sistem yang memberi ruang untuk gadis menganggur dan berminat bekerja menjadi pengasuh bekerja sebagai pengasuh komuniti iaitu mengasuh tiga hingga lima bayi dan kanak-kanak di pusat komuniti seperti dewan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak ketika ibu bapa keluarga bekerja. Bayaran yang dikenakan tidak terlalu mahal dan mampu dibayar mereka yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu, khidmat mengasuh anak-anak diberikan kepada jiran tetangga yang tidak bekerja supaya anak-anak dibesarkan dalam suasana kekeluargaan berbanding ditinggalkan dengan pembantu rumah asing yang tidak tahu adat dan budaya tempatan. Beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan nurseri atau tadika atau taman didikan kanak-kanak pada semua pejabat kerajaan serta kilang untuk ibu bekerja. Justeru, sistem pengurusan rumah tangga yang moden seperti mencuci rumah, pakaian, memasak perlu dipertingkatkan di negara ini. Teknologi seperti alat memasak hendaklah diperkenalkan oleh Mardi, untuk meringankan beban suri rumah. Sudah sampai masa rakyat Malaysia berusaha untuk tidak bergantung kepada pembantu rumah warga asing semata-mata untuk mengurus rumah tangga dan anak.
Khidmat amah melalui internet
PERMINTAAN untuk amah tempatan terlalu tinggi, sedangkan penawarannya terlalu kurang, kata Pengarah Urusan Homeneed Service Sdn Bhd, Nazari Zain, yang membangunkan laman sesawang bagi membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah warga tempatan. Katanya, hanya ada 14 calon pembantu rumah berdaftar dengannya sejak April lalu.
Pada masa sama, melalui laman sesawang www.oranggaji.com yang turut dimilikinya sudah mencatatkan lebih 200 majikan yang mahu mendapatkan bantuannya mencarikan pembantu rumah tempatan, sedangkan ia tidak mendapat maklum balas daripada mereka yang berpotensi untuk menjadi pembantu rumah.
“Ia sangat memeningkan kepala saya,” katanya sambil menambah masyarakat tempatan perlu dididik untuk menghargai setiap peluang pekerjaan kerana khidmat pekerja asing termasuk pembantu rumah menyebabkan pengaliran wang keluar negara mencecah jutaan ringgit saban tahun.
“Masyarakat di Barat sudah lama melakukan kerja sebagai pengurus rumah sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa bersesuaian dengan kemahiran dan masa luang mereka semata-mata untuk mencari wang tambahan.
“Itu juga yang saya harapkan melalui laman web www.oranggaji.com yang dibangunkan sejak tiga bulan lalu,” katanya sambil menyeru masyarakat tempatan terutama orang muda supaya menghargai setiap peluang pekerjaan yang diberikan selain tidak terlalu memilih kerja.
Sehingga kini, pelbagai kaedah dilakukan Homeneed Service bagi menggalakkan orang tempatan supaya berminat dengan kerjaya pembantu rumah, termasuk membuat rundingan dengan agensi kerajaan berkaitan, namun ia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan. Homeneed Service turut melakukan sesi pencarian pembantu rumah melalui kaedah luar talian iaitu berdasarkan cerita rakan-rakan dan masyarakat setempat dan maklumat pemberi khidmat yang dikumpul itu kemudiannya dimuatkan ke laman sesawang secara percuma. Sementara itu, pengasas PembantuAnda, perkhidmatan yang dikendalikan melalui internet, Ayu Catherina Ali, berkata sambutan diterima daripada majikan yang mahukan khidmat pembantu rumah warga tempatan memang menggalakkan.
“Ramai yang mengatakan mahu bertukar angin dengan mendapatkan khidmat orang tempatan kerana tidak mahu terikat dengan hal remeh seperti masalah bahasa dan budaya yang berbeza.
“Tetapi masalah yang timbul ialah untuk mendapatkan pembantu rumah kerana kadang-kadang, dalam sebulan, calon pembantu rumah yang datang hanya seorang dan paling ramai pun lima orang saja,” katanya sambil memberitahu kesemua calon pembantu rumah yang datang untuk ditemuduga ialah wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun. Berbeza dengan Homeneed Service, PembantuAnda cenderung untuk memberikan peluang pekerjaan kepada ibu tunggal dengan bayaran gaji sudah ditetapkan sebanyak RM700 sebulan.
“Tiada levi atau bayaran untuk ejen dikenakan kerana setiap majikan hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM700 merangkumi caj perkhidmatan, manakala pembantu rumah akan diserahkan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan bergantung kepada bekalan tenaga kerja yang ada,” katanya. Malangnya, ada segelintir calon pembantu rumah terlalu memilih majikan, termasuk tidak mahu bakal majikan yang mempunyai terlalu ramai anak serta mereka yang tinggal di rumah besar.
“Bilangan anak biasanya bersangkut paut dengan banyak hal terutama kerja rumah atau baju banyak. Oleh kerana itu, majikan yang selalunya mudah laku adalah mereka yang punyai anak antara dua atau tiga orang saja,” katanya. Bagi memastikan tiada masalah berkaitan tugasan, kesihatan atau salah laku timbul nanti, Ayu Catherina akan memastikan setiap bakal pembantu rumah ditemubual selain diberikan tugasan ringkas sebagai ujian.
“Setiap orang mempunyai cara ketika menguruskan kediaman, justeru kebiasaannya kami akan menasihatkan majikan supaya memberi tempoh seminggu kepada pembantu untuk menyesuaikan diri sebelum membuat sebarang aduan,” katanya.
'Bekerja di rumah lebih selamat, jimat'
“SAYA tidak menyesal bekerja sebagai pembantu rumah kerana ia rezeki halal. Lagi pun saya tidak nampak hinanya bekerja di rumah orang kerana yang penting kita bekerja untuk menyara diri dan keluarga.”
“Malah bagi saya, bekerja di rumah orang lebih selamat. Wang gaji juga dapat disimpan kerana barangan keperluan disediakan majikan.”
Inilah luahan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Khadijah, 48, yang bertugas sebagai pembantu rumah sejak 30 tahun lalu. Beliau yang berasal dari Kedah, bekerja sebagai pembantu rumah sejak berusia 18 tahun akibat kesempitan hidup. Malah, sebagai anak sulung, beliau terpaksa berhenti sekolah ketika darjah empat demi membantu ayah dan ibu dan memastikan empat adiknya bersekolah. Peluang menambah pendapatan keluarga terbentang selepas menerima pelawaan seorang saudaranya untuk bekerja di Kuala Lumpur. Ketika itu pada 1979, gaji RM150 sebagai pembantu rumah dianggap besar. Malah, ramai rakan-rakan sekampungnya turut bekerja di rumah orang.
“Ia bukan satu masalah besar. Pekerjaan sebagai orang gaji bukan suatu yang asing. Pada masa itu mana ada kilang. Anak gadis pula tidak berani bekerja di restoran kecuali ada ahli keluarga lain turut bekerja di kedai itu. Jadi ramai memilih untuk keluar merantau bekerja di rumah saudara mara sendiri. Jarang ada ibu bapa yang melepaskan anak mereka ke tangan orang asing,” katanya. Selepas enam tahun, beliau kembali ke kampung apabila saudaranya itu bertukar kerja ke luar negara. Sekembalinya ke kampung, beliau bekerja di rumah orang secara balik hari iaitu dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang dengan pendapatan kira-kira RM200. Setahun kemudian, beliau bekerja di gerai selama setahun.
“Kerja di gerai penat sebab banyak berdiri. Gaji pun kecil iaitu RM100 dan tak menang tangan ketika pelanggan ramai. Berbeza kerja sebagai pembantu rumah, tugas kita lebih teratur.”
Khadijah menyambung semula kerja di rumah orang untuk menyara hidup selepas perkahwinan selama setahun, berakhir. Beliau bekerja selama lapan tahun dan berhenti apabila kesihatan bapanya terjejas. Selepas bapanya meninggal dunia pada 1999, Khadijah kembali mencari kerja dan hasil pertanyaan di kalangan saudara, beliau dipertemukan dengan majikan sekarang. Malah sudah hampir sedekad beliau bekerja dengan majikan itu dengan pendapatan awal kira-kira RM380 sebulan, kini mencecah RM600. Itu tidak termasuk bayaran tambahan apabila beliau bekerja pada hari Ahad yang juga hari cutinya serta apabila kehadiran ramai saudara mara majikannya yang memerlukannya bekerja lebih daripada sepatutnya.
“Saya tidak tahu orang lain. Tetapi bagi saya, tiada cacat celanya bekerja di rumah orang. Mungkin juga sebab saya sudah biasa kerana inilah satu-satunya pekerjaan yang saya tahu. Lagi pun, persekitaran bekerja di rumah orang ini selamat dan teratur. Saya tidak perlu fikir soal naik bas turun bas dan perbelanjaan pengangkutan.”
Khadijah tidak menafikan tugas sebagai pembantu rumah memang penat kerana kerja rumah tidak pernah selesai. Tetapi beliau melakukannya mengikut waktu tertentu.
“Saya lazimnya mencuci dan mengemas pada sebelah pagi selain menyediakan sarapan. Soal memasak lazimnya saya dan majikan melakukannya bersama-sama. Pada sebelah petang, saya melipat baju yang dicuci pada waktu pagi selain membersihkan kawasan luar rumah. Saya menggosok baju pada malam Jumaat dan Sabtu. Pendek kata, semua kerja ada waktunya dan bukan dilakukan serentak. Saya juga ada masa berehat seperti menonton televisyen,” katanya. Namun Khalijah akui, beliau tidak berhasrat menjadi pembantu rumah sehingga usia lanjut.
“Saya sudah berusia 48 tahun. Ketika ini, ibu saya juga tidak sihat dan jika sesuatu berlaku kepadanya, saya akan pulang ke kampung dan meneruskan kehidupan di sana,” katanya.
Sumber : BHarian 2009/07/26
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...