“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Julai 14, 2009

Persepektif Ikim: Tafsiran salah 'Saya yang menurut perintah' harus diperbetul

Oleh Azrina Sobian

"SAYA yang menurut perintah" adalah amalan yang sebati dipegang dalam sektor awam. Frasa itu difahami dan diamalkan secara menyeluruh, baik pada peringkat jawatan rendah mahupun yang tinggi. Pasti ada sebabnya kenapa frasa itu begitu sinonim dengan penjawat awam.

Bagi penulis sendiri, frasa itu mempunyai tujuan baik iaitu untuk melancarkan kerja dan memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Bagaimanapun, adakah kefahaman penulis turut difahami seluruh penjawat awam? Atau, timbul salah faham sehingga menyebabkan kewujudan frasa itu menimbulkan pelbagai masalah lain?

Penulis berpendapat, wujud salah faham tertentu terhadap penggunaan frasa 'Saya yang menurut perintah'. Salah faham itu akhirnya menimbulkan masalah tertentu yang memberi kesan kepada mutu kerja di kalangan penjawat awam.

Pertamanya, frasa itu menyebabkan ramai penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Setiap arahan dilaksanakan tanpa ada yang berani menyoal kembali arahan itu. Malah, adakala pekerja memilih melaksanakan juga arahan walaupun ada cara lain lebih mudah dan menjimatkan.

Justeru, salah faham terhadap frasa itu boleh mengekang kreativiti dan inovasi kakitangan awam. Perkara ini sebenarnya diakui, jika tidak masakan kerajaan bersungguh-sungguh mengadakan anugerah inovasi yang bertujuan menggalakkan inovasi di kalangan penjawat awam.

Malah, dalam keadaan tertentu, ramai kakitangan awam tidak berani melakukan sesuatu perkara baru, walaupun diakui perkara baru adalah satu bentuk perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan atau rakyat.

Oleh itu, sering kali kita mendengar jawapan: "Saya tidak tahu encik, saya ini menjalankan tugas saja". Ia juga sebenarnya adalah bayangan salah faham terhadap arahan 'Saya yang menurut perintah' tadi.

Oleh kerana menurut tanpa usul periksa, maka ramailah pekerja membuat kerja mengikut rentak ketua semata-mata. Ia akhirnya menutup ruang untuk perkembangan kreativiti dan inovasi. Akhirnya, sektor awam kekal cara kerjanya yang lambat, tidak konsisten dan tidak berani membuat keputusan.

Selain menutup ruang kreativiti dan inovasi, amalan 'Saya yang menurut perintah' juga dikhuatiri boleh menimbulkan penindasan di kalangan kakitangan awam terutama pada peringkat rendah. Amalan itu boleh disalahgunakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri atau mengenakan orang lain.

Sebenarnya, menurut perintah adalah dituntut dalam pandangan Islam seperti wajib menurut perintah pemerintah. Arahan untuk mengikut perintah bukan bertujuan menyeksa umat Islam tetapi demi kesejahteraan dan kelancaran hubungan antara pemerintah dan rakyat. Jika dilaksanakan dengan baik, tuntutan itu akan menguatkan negara.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu." (Hadis riwayat Muslim)

Bagaimanapun, dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Jelas pada pandangan hidup Islam, ada syarat tertentu yang perlu diikuti jika sesuatu perintah ingin dipatuhi. Oleh itu, kenapa wujudnya kepatuhan amalan 'Saya yang menurut perintah' tanpa ada kekecualian? Bukankah kita semua diberi akal fikiran untuk menyatakan pandangan terhadap sesuatu arahan yang tidak munasabah? Oleh itu, amalan 'Saya yang menurut perintah' yang menidakkan peluang untuk berfikir dan menyatakan pandangan seseorang sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Pada masa ini, pekerja seharusnya diberi peluang melaksanakan kerja mengikut kreativiti masing-masing.

Ia tidaklah bermakna ketua tidak perlu langsung memberikan arahan atau tunjuk ajar. Pekerja perlu dibimbing dan pada masa sama, kebolehan dan bakat mereka melaksanakan kerja perlulah diiktiraf, bukannya semata-mata berpegang kepada amalan 'Saya yang menurut perintah'.

Oleh itu, kewujudan salah faham sebegini harus diperbetulkan dengan segera jika kita ingin menjadikan perkhidmatan awam lebih berkesan.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : BHarian 2009/07/14

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails