Salam,
Maklumat ini saya himpunkan setelah berlaku perbincangan dalam egrup yang saya sertai tentang poligami. Bagus dijadikan rujukan bagi mereka yang berniat untuk berpoligami atau pun sekadar ingin tahu syarat-syarat berpoligami untuk menambah pengetahuan dalam munakahat.
Menurut beberapa ulama, setelah meninjau ayat-ayat tentang poligami, mereka telah menetapkan bahawa menurut asalnya, Islam sebenarnya ialah monogami. Terdapat ayat yang mengandungi ugutan serta peringatan agar tidak disalah gunakan poligami itu di tempat-tempat yang tidak wajar. Ini semua bertujuan supaya tidak terjadinya kezaliman. Tetapi, poligami diperbolehkan dengan syarat ia dilakukan pada masa-masa terdesak untuk mengatasi perkara yang tidak dapat diatasi dengan jalan lain. Atau dengan kata lain bahawa poligami itu diperbolehkan oleh Islam dan tidak dilarang kecuali jikalau dikhuatirkan bahawa kebaikannya akan dikalahkan oleh keburukannya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam [004.3] yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya/zalim.”
Dan Allah SWT telahpun memberi peringatan tentang adil seperti firman-Nya dalam [004:129] yang bermaksud, “Dan kamu sekali-kali TIDAK AKAN DAPAT BERLAKU ADIL di antara isteri-isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Jadi, sebagaimana talak, begitu jugalah halnya dengan poligami yang diperbolehkan kerana hendak mencari jalan keluar dari kesulitan. Islam memperbolehkan umatnya berpoligami berdasarkan nas-nas syariat serta realiti keadaan masyarakat. Ini bererti ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya demi untuk mencapai kesejahteraan masyarakat Islam, demi untuk menjaga ketinggian budi pekerti dan nilai kaum Muslimin.
Mengikut undang-undang keluarga Islam di Malaysia, mana-mana lelaki yang ingin berpoligami hendaklah mendapat kelulusan mahkamah. Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :
- Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
- Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggungannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.
- Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.
- Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan dharar syar’ie kepada isteri.
Menjawap soalan yang dihantar thru PM kepada saya, Dharar Syar’ie bermakna bahaya (mudharat/penganiayaan) ke atas seseorang mengenai agama, nyawa, nasab, tubuh badan, kehormatan, akal fikiran atau harta mengikut kebiasaannya yang diakui oleh Hukum Syara’. Contoh :
- lazimnya menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
- berkawan dan bergaul dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’;
- cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
- melupuskan harta isteri atau melarang isteri dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
- menghalang isteri dari menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
- jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara’
Antara syarat untuk berkahwin lagi juga adalah perkahwinan yang bakal berlaku tidak memberikan masalah kepada perkahwinan sedia ada. Masalah yang ditakrifkan melalui kebanyakkan kes permohonan poligami ialah masalah dari segi kos sara hidup, kasih sayang dan emosi. Contoh mudah, jika sekarang suami berpendapatan RM3,500 sebulan dan perbelanjaan kelaurga seda ada adalah sebanyak RM3,000, suami tidak boleh mengurangkan jumlah RM3,000 tersebut semata-mata kerana mempunyai keluarga baru (lain).
Bererti, suami perlu ada pendapatan yang lebih untuk mencukupkan perbelanjaan dua keluarga. Sebab itulah, kebanyakkan lelaki yang ‘cerdik’ tetapi dalam kategori ‘tidak mampu’ selalunya akan memilih bakal isteri yang bekerja (selalunya perkahwinan kedua boleh dikategorikan sebagai perkahwinan ‘misyar’ kerana ada isteri dengan rela melepaskan hak dan mengambil-alih tanggungjawab suami menanggung diri sendiri dan anak-anak yang bakal dilahirkan).
Selalunya mahkamah akan memanggil isteri sedia ada untuk mendapat keterangan dan mahkamah akan membuat rumusan sama ada suami layak/tidak layak berpoligami. Apabila mahkamah memanggil isteri untuk hadir, isteri perlu menghadirkan diri dan memberitahu mahkamah apa-apa yang isteri rasa patut diberitahu seperti jumlah nafkah diberikan sekarang, bagaimana pembahagian masa dan layanan suami kepada isteri dan anak, isteri setuju atau tidak dengan cadangannya dan sebagainya.
Selepas mendengar semua keterangan, baru mahkamah akan mempertimbangkan sama ada memberi kebenaran atau tidak. Selain itu, hak isteri termasuk nafkah dan harta yang isteri peroleh dalam tempoh perkahwinan dengan suami akan menjadi lebih terjamin dengan peruntukan seksyen 23 (10) iaitu, “Tiap-tiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan untuk mengkehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha sama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan.”
Melalui peruntukan ini, isteri berhak untuk memastikan hak isteri DISEMPURNAKAN sebaiknya. Ini termasuklah hak isteri dan hak anak untuk mendapat nafkah seperti mana yang pernah dibayar atau disempurnakan oleh suami sebelum ini. Sekiranya isteri dan suami mempunyai harta atau aset yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan, ia juga boleh dibahagikan dengan perintah mahkamah sebelum suami dibenarkan oleh mahkamah untuk berkahwin lain. Dengan itu, persoalan isteri tentang hak nafkah dan harta akan terjamin di sisi undang-undang.
Ada juga lelaki yang berpendirian, “sekarang belum mampu sara isteri lagi satu, lepas kahwin nanti ikhtiarlah cari rezeki.” Bercakap senang, tetapi praktikalnya? Sudah terbukti banyak kes melibatkan suami yang gagal menjalankan tanggungjawab sewajarnya sebagai suami, terutama sekali di dalam urusan nafkah, baik dalam monogami mahupun poligami. Jika awal-awal lagi tidak mampu menyuap mulut sendiri, bagaimana nak suap mulut orang lain? Mencari isteri yang bekerja atau berpendapatan lebih tinggi bukan satu penyelesaian kerana tanggungjawab seorang suami berkaitan nafkah zahir adalah sama dan tidak berubah sedikitpun walaupun isteri bekerja.
Suami wajib memberi nafkah untuk isteri dan anak-anak berupa makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan segala keperluan isteri-isteri dan anak-anak. Bakal isteri yang mahu menempuh hidup berpoligami juga perlu sedar dan mengambil berat kewajipan ini. Ada bakal isteri yang mengambil jalan mudah, tidak mengapa kalau tidak bekerja atau tidak mampu menyara isteri lepas perkahwinan asalkan dapat hidup bersama, sudah kahwin nanti ‘pandai-pandai’lah ikhtiar. Biasanya ‘pandai-pandai’ yang dikatakan tersebut selalunya hanya ‘pandai-pandai’ si isteri, sebaliknya suami masih dalam keadaan yang sama, malah banyak kes, suami menjadi semakin teruk. Alasannya kalau dulu boleh terima dirinya seadanya, kenapa selepas perkahwinan nak suruh berubah pula? Itulah sikap ‘lepas tangan’ yang diamalkan oleh kebanyakkan suami yang menyebabkan betapa ‘buruk’nya poligami di mata masyarakat.
Satu alasan standard yang biasa diberikan suami ialah, “Sudah terlanjur bercinta, takut terjebak ke benda-benda yang haram”, maksudnya takut ‘terzina’. Memang tidak wajar untuk seorang suami mengambil keputusan untuk berpoligami kerana sekadar untuk mendapatkan ‘sijil halal’. Perkahwinan bukanlah semata-mata untuk menghalalkan apa yang tidak dihalalkan sebelumnya. Perkahwinan adalah kombinasi cinta, perasaan, keinginan dan tanggungjawab. Perang melawan keinginan nafsu adalah terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan dugaan-dugaan selepas berumahtangga.
Berpoligami kerana takut terlanjur seolah-olah itu saja yang ada di minda menunjukkan betapa lemahnya akal/iman melawan nafsu. Tidakkah dia sedar bahawa cabaran tanggungjawab selepas berkahwin adalah lebih besar dan sulit daripada sekadar cabaran menolak zina? Sungguh lembik jati diri seorang suami yang berpendirian begini! Jika menolak zina pun menjadi satu masalah besar dan sudah sampai mencetuskan porak-peranda di dalam rumahtangga sedia ada, dimanakah kejantanan suami untuk membina rumahtangga, memimpin isteri-isteri dan menjadi pembentuk manusia berupa anak-anak?
Apabila seorang lelaki akan berpoligami, dia juga hendaklah memenuhi pula syarat-syarat berikut;
1. Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya. Syarat ini telah disebutkan oleh Allah (SWT) dengan firman-Nya, “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.” (Surah an-Nisaa’ ayat 3)
Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa Allah telah menetapkan seseorang itu berkahwin tidak boleh lebih dari empat orang isteri. Jadi, Islam membatasi kalau tidak beristeri satu, boleh dua, tiga atau empat sahaja. Pembatasan ini juga bertujuan membatasi kaum lelaki yang suka dengan perempuan agar tidak berbuat sesuka hatinya. Di samping itu, dengan pembatasan empat orang isteri, diharapkan jangan sampai ada lelaki yang tidak menemukan isteri atau ada pula wanita yang tidak menemukan suami. Mungkin, kalau Islam membolehkan dua orang isteri saja, maka akan ramai wanita yang tidak menikah. Kalau pula dibolehkan lebih dari empat, mungkin terjadi ramai lelaki tidak memperolehi isteri.
2. Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya. Misalnya, berkahwin dengan kakak dan adik, ibu dan anaknya, anak saudara dengan emak saudara baik sebelah ayah mahupun ibu.
Tujuan pengharaman ini ialah untuk menjaga silaturrahim antara anggota-anggota keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kalau kamu berbuat yang demikian itu, akibatnya kamu akan memutuskan silaturrahim di antara sesama kamu.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Kemudian dalam hadis berikut, Rasulullah SAW juga memperkuatkan larangan ini, maksudnya, bahawa Ummu Habibah (isteri Rasulullah) mengusulkan agar baginda menikahi adiknya. Maka beliau menjawab, “Sesungguhnya dia tidak halal untukku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa’i)
Seorang sahabat bernama Fairuz Ad-Dailami setelah memeluk agama Islam, beliau memberitahu kepada Rasulullah bahawa beliau mempunyai isteri yang mempunyai status kakak-adik (adik-beradik). Maka Rasulullah menyuruhnya memilih salah seorang di antara mereka dan menceraikan yang satunya lagi. Jadi telah disepakati tentang haramnya mengumpulkan adik-beradik ini di dalam Islam.
3. Disyaratkan pula berlaku adil, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kau miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisaa’, ayat 3)
Dengan tegas diterangkan serta dituntut agar para suami bersikap adil jika akan berpoligami. Andaikan takut tidak dapat berlaku adil kalau sampai empat orang isteri, cukuplah tiga orang sahaja. Tetapi kalau itupun masih juga tidak dapat adil, cukuplah dua sahaja. Dan kalau dua itu pun masih khuatir tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah menikah dengan seorang sahaja.
Para mufassirin berpendapat bahawa berlaku adil itu WAJIB. Adil di sini bukanlah bererti hanya adil terhadap para isteri sahaja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak.
Oleh kerana itu seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:
a) Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.
Seorang suami yang selalu sakit-sakitan dan mengalami kesukaran untuk bekerja mencari rezeki, sudah tentu tidak akan dapat memelihara beberapa orang isteri. Apabila dia tetap berpoligami, ini bererti dia telah menganiayai dirinya sendiri. Sikap yang demikian adalah tidak adil.
b) Adil di antara para isteri.
Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami. Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisaa’ ayat 3 dan juga sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan bahunya miring hampir jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
i) Adil memberikan nafkah.
Dalam soal adil memberikan nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si isteri itu rela. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan biaya rawatan sebagai tambahan.
Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai isteri.
ii) Adil dalam menyediakan tempat tinggal.
Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.
iii) Adil dalam giliran.
Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan haid, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan ‘hubungan seks’ dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempurnakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri.
Hal ini diterangkan Allah dengan firman-Nya, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa la menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Ruum, ayat 21)
Andaikan suami tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah SWT pada hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan bahunya miring. Hal ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak cucunya. Firman Allah SWT dalam Surah az-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
c) Anak-anak juga mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan, pemeliharaan serta kasih sayang yang adil dari seorang ayah. Oleh itu, disyaratkan agar setiap suami yang berpoligami tidak membeza-bezakan antara anak si anu dengan anak si anu. Berlaku adil dalam soal nafkah anak-anak mestilah diperhatikan bahawa nafkah anak yang masih kecil berbeza dengan anak yang sudah besar. Anak-anak perempuan berbeza pula dengan anak-anak lelaki. Tidak kira dari ibu yang mana, ke semua mereka berhak memiliki kasih sayang serta perhatian yang saksama dari bapa mereka. Jangan sampai mereka diterlantarkan kerana kecenderungan si bapa pada salah seorang isteri serta anak-anaknya sahaja.
Keadilan juga sangat dituntut oleh Islam agar dengan demikian si suami terpelihara dari sikap curang yang dapat merosakkan rumahtangganya. Seterusnya, diharapkan pula dapat memelihara dari terjadinya cerai-berai di antara anak-anak serta menghindarkan rasa dendam di antara sesama isteri. Sesungguhnya kalau diperhatikan tuntutan syarak dalam hal menegakkan keadilan antara para isteri, nyatalah bahawa SUKAR sekali didapati orang yang sanggup menegakkan keadilan itu dengan sewajarnya.
Bersikap adil dalam hal-hal menzahirkan cinta dan kasih sayang terhadapisteri-isteri, adalah satu tanggungjawab yang sangat BERAT. Walau bagaimanapun, ia termasuk perkara yang berada dalam kemampuan manusia. Lain halnya dengan berlaku adil dalam soal kasih sayang, kecenderungan hati dan perkara-perkara yang manusia tidak berkesanggupan melakukannya, mengikut tabiat semulajadi manusia. Hal ini sesuai dengan apa yang telah difirmankan Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 129 yang bermaksud, “Dan kamu tidak sekali-kali akan sanggup berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang).”
Selanjutnya Aisyah r.a. ada menerangkan yang maksudnya : Bahawa Rasulullah SAW selalu berlaku adil dalam mengadakan pembahagian antara isteri-isterinya. Dan beliau berkata dalam doanya, “Ya Allah, inilah kemampuanku membahagi apa yang ada dalam milikku. Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membahagi apa yang menjadi milikku dan apa yang bukan milikku.”
Menurut Prof. Dr. Syeikh Mahmoud Syaltout, “Keadilan yang dijadikan syarat diperbolehkan poligami berdasarkan ayat 3 surah an-Nisaa’. Kemudian pada ayat 129 Surah an-Nisaa’ pula menyatakan bahawa keadilan itu tidak mungkin dapat dipenuhi atau dilakukan. Sebenarnya yang dimaksudkan oleh kedua ayat di atas ialah keadilan yang dikehendaki itu bukanlah keadilan yang menyempitkan dada kamu sehingga kamu merasakan keberatan yang sangat terhadap poligami yang dihalalkan oleh Allah. Hanya saja yang dikehendaki ialah jangan sampai kamu cenderung sepenuh-penuhnya kepada salah seorang sahaja di antara para isteri kamu itu, lalu kamu tinggalkan yang lain seperti tergantung-gantung.”
Kemudian Prof. Dr. T.M. Hasbi Ash-Shidieqy pula menerangkan, “Orang yang boleh beristeri dua ialah yang percaya benar akan dirinya dapat berlaku adil, yang sedikit pun tidak akan ada keraguannya. Jika dia ragu, cukuplah seorang sahaja.”
Adil yang dimaksudkan di sini ialah ‘kecondongan hati’. Dan ini tentu amat sulit untuk dilakukan, sehingga poligami adalah suatu hal yang sukar untuk dicapai. Jelasnya, poligami itu diperbolehkan secara darurat bagi orang yang benar-benar percaya dapat berlaku adil. Jangan sampai si suami membiarkan salah seorang isterinya terkatung-katung, digantung tak bertali. Hendaklah disingkirkan sikap condong kepada salah seorang isteri yang menyebabkan seorang lagi kecewa. Ada pun condong yang dimaafkan hanyalah condong yang tidak dapat dilepaskan oleh setiap individu darinya, iaitu condong hati kepada salah seorangnya yang tidak membawa kepada mengurangkan hak yang seorang lagi.
Afif Ab. Fattah Tabbarah dalam bukunya Ruhuddinil Islami mengatakan, “Makna adil di dalam ayat tersebut ialah persamaan; yang dikehendaki ialah persamaan dalam hal pergaulan yang bersifat lahir seperti memberi nafkah, tempat tinggal, tempat tidur dan layanan yang baik, juga dalam hal menunaikan tanggungjawab sebagai suami isteri.”
4. Tidak menimbulkan huru-hara di kalangan isteri mahupun anak-anak. Jadi, suami mesti yakin bahawa perkahwinannya yang baru ini tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya. Kerana, diperbolehkan poligami dalam Islam adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak. Jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa.
5. Berkuasa menanggung nafkah. Nafkah yang dimaksudkan di sini ialah nafkah zahir, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkuasa mengeluarkan nafkah (mempunyai belanja serta keinginan hendak berkahwin), maka hendaklah kamu berkahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh setiap kaum lelaki supaya berkahwin tetapi dengan syarat sanggup mengeluarkan nafkah kepada isterinya. Andaikan mereka tidak berkemampuan, maka tidak digalakkan berkahwin walaupun dia seorang yang sihat zahir serta batinnya. Oleh itu, untuk menahan nafsu seksnya, dianjurkan agar berpuasa.
Jadi, kalau seorang isteri saja sudah kepayahan untuk memberi nafkah, sudah tentulah Islam melarang orang yang demikian itu berpoligami. Memberi nafkah kepada isteri adalah wajib sebaik sahaja berlakunya suatu perkahwinan, ketika suami telah memiliki isteri secara mutlak. Begitu juga si isteri wajib mematuhi serta memberikan perkhidmatan yang diperlukan dalam pergaulan sehari-hari.
Kesimpulan dari maksud kemampuan secara zahir ialah;
- Mampu memberi nafkah asas seperti pakaian dan makan minum.
- Mampu menyediakan tempat tinggal yang wajar.
- Mampu menyediakan kemudahan asas yang wajar seperti pendidikan, perubatan dan sebagainya.
- Sihat tubuh badannya dan tidak berpenyakit yang boleh menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan nafkah zahir yang lain.
- Mempunyai kemampuan dan keinginan seksual.
Semoga mendapat walau sedikit manafaat daripada entry ini.
Capaian entry berkaitan :
1. Harus poligami hanya kepada yang layak
2. Taklik poligami - Pilihan bukan kemestian
3. Hak Muslim: Isteri berhak jawab permohonan suami mahu poligami
4. Hak Muslim: Wanita perlu mapan emosi jika sanggup bermadu
5. Poligami: Jangan Salah Guna Agama!
6. Poligami banyak menganiaya anak-anak
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...