“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Oktober 21, 2011

Bahaya spa ikan

Premis terapi ikan di sekitar ibukota yang dibimbangi sebar virus HIV dan Hepatitis C masih mendapat sambutan orang ramai.

Kementerian Kesihatan nasihat orang ramai henti terapi ikan

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan atau lebih dikenali sebagai spa ikan kerana boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta beberapa penyakit lain yang berjangkit menerusi bawaan air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata ikan yang digunakan dalam kolam itu boleh menjadi pembawa virus HIV menerusi gigitan pada kaki pelanggan dan menyebarkannya ketika mengigit kaki pelanggan lain.

Penyakit lain seperti Hepatitis C, tibi dan penyakit kulit pula boleh dijangkiti menerusi bawaan air kerana bakteria berbahaya yang menjadi punca penyakit itu boleh hidup dalam air kotor dan tidak diganti dalam tempoh yang lama. Ia boleh menyebabkan pengguna kolam dijangkiti bakteria berkenaan, terutama jika kolam itu banyak digunakan oleh penghidap penyakit itu.

Ketika ditemui, Dr Hasan berkata, terapi ikan itu selamat jika digunakan secara individu dan bukannya secara berkongsi seperti diamalkan sekarang.

“Amalan ini (terapi ikan) menghadapi risiko tinggi mendapat penyakit melalui gigitan ikan dan akibat bawaan air selepas ia digunakan berulang kali oleh orang ramai,” katanya.

Mengenai tindakan kementerian memastika orang ramai tidak dijangkiti penyakit, Dr Hasan berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang atau menutup premis terapi ikan, namun akan berusaha menanganinya, termasuk menggubal undang-undang.

Beliau berkata, kementerian juga sentiasa memantau kaedah rawatan terapi ikan dengan melakukan pemeriksaan setiap enam bulan di premis yang menydeiakan perkahidmatan itu bagi memastikan operasinya mengikut peratusan yang ditetapkan.

Akhbar The Sun di United Kingdom (UK) baru-baru ini menyiarkan amaran yang dikeluarkan Agensi Perlindungan Kesihatan negara itu bahawa rawatan spa ikan boleh menyebarkan penyakit berbahaya, selain meminta mereka yang mempunyai penyakit diabetes dan psoriasis supaya menjauhinya.

Dalam laporan BH kelmarin, Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman berkata, ikan itu boleh menyebarkan virus dan seterusnya menyebabkan kemungkinan berlaku jangkitan penyakit. Beliau juga menasihatkan orang ramai memastikan keberkesanan rawatan itu terlebih dulu sebelum mencubanya kerana berpendapat kaedah berkenaan tidak memberi sebarang kesan yang positif.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati kebanyakan pengguna yang mengamalkan kaedah rawatan berkenaan tidak mengetahui kesan negative yang mungkin menyebabkan mereka dijangkiti penyakit berbahaya.

Bagi Noraini Abdullah, 26, walaupun tidak menjadikan amalan rawatan terapi ikan sebagai rutin, namun tarikan terhadap strategi promosi oleh pengusaha spa membuatkannya terpengaruh untuk mencuba.

“Sebelum ini pernah juga dengar laporan kesan negatif akibat rawatan itu, tetapi saya lihat masih ramai yang besrkunjung ke spa yang menawarkan perkhidmatan itu. Selepas ini saya tidak akan menjalani rawatan ini sebab bimbang dijangkiti,” katanya.

G Vigineshvary, 28, pula berkata, beliau akan memastikan kebersihan dan kualiti spa yang menawarkan khidmat itu mengikut garis panduan yang ditetapkan sebelum menjalani terapi berkenaan.

“Secara logic, memang geli berkongsi kolam air dengan orang lain yang kita tidak tahu tahap kebersihannya. Selepas mendengar laporan ini, mungkin saya akan mengurangkan atau menghentikan aktiviti ini,” katanya.

Laman-Seri : Tiada pengalaman membuat rawatan ini, jadi tiada komen yang dapat diberi.




Sumber : BHarian 20/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Rawatan gigitan ikan kecil di spa jejas kesihatan

2 ulasan:

  1. Pemilik spa ikan kecewa dakwaan ~ 21/10/2011

    KUALA LUMPUR: Pemilik spa ikan di sekitar Lembah Klang kesal dengan dakwaan Kementerian Kesihatan pengguna terapi spa ikan menghadapi risiko jangkitan penyakit berbahaya tanpa melakukan kajian terperinci terlebih dahulu.

    Pemilik Spa Ikan Foot Master, Kenny Pe, yang sudah empat tahun menjalankan perniagaan itu menyangkal dakwaan ikan yang digunakan boleh menjadi pembawa virus HIV menerusi gigitan pada kaki pelanggan.

    “Sebelum memulakan perniagaan, saya sendiri ke luar negara seperti Jepun dan Taiwan yang menggunakan teknologi canggih bagi mempelajari proses rawatan air dan garis panduan lain seperti kualiti air serta tahap kebersihan kaki pelanggan sebelum dibenarkan menjalani rawatan. Kertas kerja terperinci mengenai rawatan itu juga sudah dibentangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Setakat ini, premis saya tidak pernah menerima aduan mengenai masalah yang dibangkitkan,” katanya.

    Beliau yang menguruskan spa ikan di pusat membeli belah Times Square, Sunway Piramid, dan Ampang menjelaskan air dalam kolam ditukar setiap hari, selain disterilkan menggunakan sinar ultra lembayung (UV) sebanyak 2,000 Watt bagi membunuh bakteria dan virus yang dikatakan wujud dalam takungan air.

    Difahamkan, selain pemasangan sinaran UV 24 jam tanpa henti terhadap bekalan air, kaedah penurasan pasir digunakan bagi mengasingkan campuran lebihan makanan ikan dan sisa kumbahan.

    Pendapat itu disokong pengusaha Reborn Healthcare Sdn Bhd, Yen Mui, yang berkata berkata pelbagai teknologi canggih digunakan bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kerana garis panduan ketat perlu dipatuhi sebelum lesen perniagaan diluluskan.

    BalasPadam
  2. ‘Mesti ada bukti sebelum arah tutup’ ~ BHarian 21/10/2011

    Kementerian Kesihatan perlu teliti secara menyeluruh risiko terapi spa ikan

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan diminta membuat kajian teliti dan menyeluruh berhubung risiko terapi spa ikan yang dikatakan boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta penyakit bawaan air sebelum mengeluarkan arahan premis perniagaan berkenaan ditutup.

    Seorang pakar parasitologi, Prof Dr Mohamed Adel Mohamed Abdel Rahim Elkadi, berkata ini kerana kajian oleh Agensi Penjagaan Kesihatan (HPA) United Kingdom yang mendakwa kaedah rawatan alternatif itu boleh menjadi punca penyebaran penyakit berbahaya belum dibuktikan kesahihannya.

    Koordinator Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga berkata virus HIV/AIDS hanya boleh tersebar menerusi jangkitan darah dan bendalir dalam badan saja.

    “Saya tidak rasa ikan yang digunakan untuk terapi itu boleh menjadi punca jangkitan AIDS/HIV kerana ikan berkenaan tidak bertindak secara langsung dengan perdarahan. Begitu juga penyakit tibi yang merebak melalui titisan. Selain itu, tidak mungkin berlaku pemindahan darah daripada seseorang kepada seseorang yang lain seperti jarum suntikan kerana ikan bukan haiwan penghisap darah,” katanya kepada BHarian, semalam.

    Dr. Mohamed Adel berkata, selain itu banyak kaedah boleh digunakan oleh pengusaha rawatan spa ikan di negara ini untuk menjamin keselamatan dan kesihatan perkhidmatan itu seperti menggunakan kaedah pensterilan dan penapisan air yang dimasukkan ke dalam kolam ikan.

    “Antara kaedah pensterilan popular yang biasa digunakan adalah pensterilan ozon dan sinar ultra lembayung (UV). Kaedah pensterilan adalah cara terbaik membasmi kuman dan bakteria yang mungkin ada dalam kolam dan seterusnya melindungi pengguna. Jika semua langkah penjagaan ini diikuti sebaik mungkin, saya fikir ia selamat digunakan dan tiada risiko kesihatan yang akan timbul,” katanya.

    Semalam, akhbar ini melaporkan Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan kerana boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya. Malah, Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman bersetuju ikan berkenaan boleh menyebarkan virus dan seterusnya menyebabkan kemungkinan berlaku jangkitan penyakit kepada pengguna.

    Beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sudah mengharamkan perkhidmatan itu bagi membendung penularan penyakit berbahaya di kalangan rakyat dan penggemar rawatan alternatif itu.

    Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menasihatkan pengguna supaya tidak lagi mendapatkan rawatan berkenaan jika dakwaan itu betul dan sahih.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails