“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Disember 13, 2010

Bapa toreh kemaluan anak


DI surau di Kampung Lanjut Manis, Kuala Pilah inilah Mohd. Nazimi ditemui selepas ditinggalkan bersendirian oleh bapanya Jumaat lalu. Gambar dari sumber Kosmo!


Suspek guna senjata tajam cedera mangsa

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera pada kemaluannya akibat ditoreh dengan senjata tajam oleh bapanya sendiri di rumah mereka di Taman Desa Dahlia, Senawang di sini, Jumaat lalu. Entah apa yang merasuk fikirannya, bapa itu sanggup bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga anak sulung tinggal berseorangan bersama suspek kerana ibunya berpantang di kampung di Jempol selepas melahirkan anak ketiga, manakala adiknya pula berada di rumah saudara. Selepas menoreh kemaluan anaknya, dia kemudian bertindak membawanya dengan menaiki motosikal ke rumah saudara perempuannya di kawasan berhampiran. Wanita itu dipercayai pengasuh kepada kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata perbuatan suspek yang bekerja sebagai tukang kebun itu terbongkar selepas dia menghantar kanak-kanak berkenaan ke rumah saudaranya di sini.

Dia meninggalkan mangsa di rumah itu sambil meminta saudara terbabit menjaganya dan pada masa sama mengambil adik lelaki mangsa, Mohd. Nazimi Norazmi, yang berusia setahun di rumah itu dipercayai dibawa ke kampungnya di Kuala Pilah. Jarak antara dua lokasi itu sejauh 22 kilometer.

“Saudaranya mengesyaki sesuatu tidak kena terhadap mangsa lalu memeriksa seluarnya dan terkejut apabila mendapati kemaluan mangsa luka akibat ditoreh,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak malang itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban di sini untuk menerima rawatan. Adik mangsa pula ditemui ditinggalkan di sebuah surau di Kuala Pilah pada petang hari yang sama, tetapi tidak dicederakan.

Suspek kini ditahan di rumah keluarganya di Kuala Pilah dan polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.




Sumber : BHarian 13/12/2010 dan Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Disember 12, 2010

Lelaki atau perempuan?



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Pernahkah anda membaca kisah seorang suami yang membenci isterinya disebabkan kecewa kerana wanita itu melahirkan bayi perempuan yang juga anak sulung hasil perkongsian hidup mereka? Suami itu bukan sahaja mengasari isterinya, malah turut menzalimi dan menganiaya bayi perempuannya. Rujuk entry Benci dapat bayi perempuan.

Saya pernah membaca kisah Maharaja China yang sangat-sangat mengasihi gundiknya yang melahirkan anak lelaki untuknya dan tidak mengendahkan gundik yang melahirkan anak perempuan. Saya juga diberitahu, dalam masyarakat Cina, zuriat lelaki adalah lebih 'dikehendaki' berbanding dengan perempuan. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan dianggap beban dan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.

Saya pernah menonton video kelahiran seorang bayi perempuan yang rupa parasnya menyerupai ular. Kononnya ibu yang melahirkan bayi tersebut amat-amat berkehendakkan bayi lelaki kerana telah memiliki 2 atau 3 orang anak perempuan sebelum kelahiran anak yang ini. Semasa membuat pemeriksaan kandungan, doktor telah memaklumkan yang si ibu mengandungkan bayi perempuan dan berita itu sangat mengecewakannya. Bila rakan-rakan bertanya jantina bayi yang dikandung, si ibu terus menjawab yang dia sedang mengandungkan anak ular. Subhanallah! Bila tiba saat kelahiran, memang si ibu telah melahirkan seorang bayi perempuan yang menyerupai ular. Saya kurang pasti kesahihan berita ini, tetapi menurut video yang ditonton, peristiwa ini terjadi di negara Timur Tengah.

Apa salahnya dilahirkan perempuan? Bukankah Rasulullah SAW telah menjanjikan kelebihan memiliki anak perempuan?

"Anak lelaki ke perempuan?" Soalan yang paling kerap ditanya kepada 'mak buyung' atau wanita yang sedang sarat mengandung. Soalan itu juga kerap diajukan kepada doktor yang membuat imbasan ultrasound terhadap bayi di dalam kandungan mereka yang sedang mengandung. Pada zaman sekarang, soalan tersebut mungkin tidak susah untuk dijawab kerana jantina anak biasanya sudah dapat diketahui dengan membuat imbasan ultrasound semasa tempoh kehamilan.

Saya pernah membaca kisah seorang bapa yang kelihatan tidak berapa gembira meskipun isterinya telah selamat melahirkan anak sulungnya. Anaknya selamat, cukup sempurna dan tidak mengalami sebarang komplikasi.

"Tak tau apa dia buat sampai dapat anak perempuan. Saya mau anak lelaki. Masa mengandung saya suruh dia jaga betul-betul tapi dia talak mau," keluh bapa berkenaan. Isterinya dipersalahkan. Ibunya juga kelihatan agak muram, seolah-olah susah untuk memerima kedatangan seorang puteri dalam keluarga mereka. Bapa berkenaan kemudiannya mengungkit lagi beberapa pantang larang yang dilanggar oleh isterinya yang kononnya menyebabkan jantina anaknya tidak seperti yang dikehendakinya.

Pelik sungguh, masih ada lelaki yang berfikiran begini. Kenyataan bapa ini bukan saja tidak berlandaskan akidah, malah juga dari segi saintifik.

Hakikat sebenar

Sejak sekian lama, kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa jantina anak ditentukan oleh ibu yang mengandungkannya. Hampir tiada orang yang membuat anggapan bahawa ia ditentukan oleh benih daripada si bapa. Bagi sesetengah masyarakat yang begitu mengagungkan anak lelaki, mereka akan menyalahkan wanita jika melahirkan seorang anak perempuan. Hakikatnya, Allah SWT lebih mengetahui yang mana lebih sesuai untuk mereka yang Dia-lah yang berhak untuk mengurniakan sama ada anak lelaki atau anak perempuan.

Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa jantina seseorang anak itu ditentukan oleh air mani yang ditumpahkan. Jika jantina seseorang anak itu ditentukan oleh air mani yang ditumpahkan, maka sudah tentulah jantina seseorang bayi tidak ditentukan oleh ibunya, tetapi ditentukan oleh bapanya. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan bahawasanya Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Daripada air mani apabila ia dipancarkan." (Surah al-Najm 53:45-46)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud, "Bukankah dia dahulu (daripada) setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya dan menyempurnakannya." (Surah al-Qiyamah 75:37-39)

Mengikut tafsiran yang sahih, nutfah bermaksud air mani yang sedikit. Menurut Imam al-Qurtubi dalam al-Jami'li Ahkam al Quran : "Nutfah bermaksud air mani lelaki. Ia dinamakan nutfah kerana jumlahnya yang sedikit iaitu airnya sedikit."

Kromosom penentu

Perkembangan bidang genetik dan biologi molekul secara saintifiknya membuktikan kebenaran maklumat-maklumat yang diberikan oleh al-Quran. Teknologi genetik telah membuktikan jantina seseorang anak itu ditentukan oleh sperma dalam air mani seseorang lelaki dan ia tidak ditentukan oleh ibunya.


Kromosom X dan Y


Untuk memahami penentuan jantina pada anak, kita perlu memahami tentang kromosom terutamanya kromosom-X dan kromosom-Y. Kromosom ialah inti pati dalam nukleus setiap sel pada badan kita yang mengandungi maklumat-maklumat genetik yang disebut sebagai DNA. Maklumat-maklumat genetik itu boleh diwariskan kepada generasi berikutnya. Kromosom merupakan elemen utama yang menentukan jantina. [Rujuk : Boy or girl? It's in the father's genes]

Di dalam setiap sel badan manusia, terdapat 46 kromosom atau 23 pasang. Salah satu pasang daripada jumlah tersebut berfungsi untuk menentukan struktur badan manusia mengikut jantina. Ia dikenali senagai sex chromosomes. Pasangan kromosom tersebut dikenali sebagai XY untuk lelaki dan XX untuk perempuan. Mereka dipanggil kromosom X atau kromosom Y kerana bentuknya menyerupai huruf X atau Y, jika dilihat di bawah mikroskop yang canggih.

Kromosom-Y membawa genetik yang akan memberikan ciri-ciri lelaki, manakala kromosom-X membawa genetik yang akan memberikan ciri-ciri wanita untuk seseorang anak. Di dalam benih ibu, setiap sel ovum akan membahagi dua untuk mereima kehadiran sperma daripada baoa. Maka sel yang mempunyai kromosom XX akan masing-masing membawa kromosom X setiap satu. Manakala benih lelaki yang asalnya XY akan berpecah menjadi X dan Y.

Maka jantina seseorang anak bergantung kepada kromosom lelaki, sama ada sperma yang membawa kromosom-X atau kromosom-Y. Jika ovum itu disenyawakan oleh sperma yang membawa kromosom-Y, maka akan terhasillah genetik XY yang menjadikan jantina seseorang anak itu lelaki. Jika ovum disenyawakan oleh sperma yang membawa kromosom-X, maka akan terhasil genetik XX dan anak tersebut ialah perempuan.

Semua proses-proses ini tidak diketahui sehinggalah manusia mula mengkaji sel-sel dan menemui kromosom dalam bidang genetik pada abad ke-20. Namun, empat belas abad sebelum bidang genetik dikaji dan diketahui umum, al-Quran telahpun memberikan kita satu informasi yang hebat mengenai ilmu genetik ini.





Gambarajah di atas menunjukkan bagaimana proses penentuan jantina berlaku. Sel-sel sperma yang asalnya mempunyai 46 kromosom iaitu 44XY membahagi kepada 22X dan 22Y. Manakala ovum membahagi menjadi 22X untuk disenyawakan oleh sperma yang sama ada 22X atau 22Y. Maka jantina anak ditentukan oleh sperma, yang mensenyawakan ovum tersebut, sama ada 22X atau 22Y.

Ovum tidak berkuasa untuk memilih. Ia hanyalah 'tuan rumah' yang mana nanti anak akan ditentukan oleh 'tetamu' yang datang kepadanya. Jika sperma yang mempunyai genetik 22X mensenyawakan ovum, maka hasilnya ialah benih yang mempunyai genentik 44XX dan anak itu perempuan. Manakala jika sperma itu adalah 22Y, maka genetik anak ialah 44XY dan jantinanya ialah lelaki.

Semoga penjelasan ini dapat membetulkan tanggapan salah terhadap penentu jantina anak dalam kandungan.




Sumber rujukan : Dr Farhan Hadi Taib di Solusi ISU#26 dan Boy or girl? It's in the father's genes.

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Parafinoma


Apakah parafinoma? Parafinoma adalah kecacatan fizikal yang berlaku pada batang zakar akibat suntikan benda asing bertujuan untuk membesarkan batang zakar. Ada pelbagai benda asing yang digunakan untuk tujuan ini.

Bahan yang sering digunakan ialah minyak paraffin, minyak castor, vaseline dan silikon. Apa yang memeranjatkan, suntikan ini diberi oleh individu bukan pengamal perubatan tetapi mereka yang tidak mempunyai kelayakan melakukan prosedur suntikan ini. Suntikan diberikan di rumah kedai dan taman perumahan. Malah, ada yang memberitahu, ia dilakukan di belakang bangunan saja. Ramai juga yang mendapatkan suntikan ini di negara jiran.

Suntikan ini diberi di bawah kulit dan diberi di beberapa tempat di keliling batang zakar. Memang pada mulanya, batang zakar akan kelihatan besar dari segi diameter walaupun semasa ketiadaan ereksi. Ini adalah disebabkan pengumpulan dan serapan cecair di bawah kulit dan akibat dari reaksi inflamasi yang berlaku.

Masalah akan mula terjadi selepas dua atau tiga bulan selepas suntikan. Apa yang tejadi ialah akan berlaku pembentukan tisu parut dan tisu inflamasi kronik yang dikenali sebagai granuloma akibat dari reaksi badan terhadap benda asing itu. Tisu granuloma ini keras dan berketul-ketul. Akibat dari pengaruh graviti, kebanyakkan dari tisu ini mula berkumpul di bahagian permukaan bawah batang zakar. Batang zakar akan mula kelihatan bengkok, kulit mula mengeras dan menebal. Bonjolan-bonjolan akan mula timbul di bawah kulit.

Suntikan yang diberi pada kawasan berdekatan dengan kepala zakar akan mengakibatkan timbulnya bonjolan kulit yang boleh menutup hampir keseluruhan kepala zakar. Kepala zakar seolah-olah tenggelam dalam bonjolan ini. Secara kosmetiknya, batang zakar kelihatan hodoh dan deskripsi tepat dalam sesetengah pesakit, ia kelihatan seperti belalai gajah. Ada juga suntikan yang diberikan agak dalam hingga menjejaskan saluran kencing bawah iaitu saluran urethra.

Masalah penyempitan urethra atau urethral sticture akan berlaku. Pesakit akan merasakan aliran kencing menjadi perlahan dan halus serta proses membuang air kecil akan menjadi sukar dan menyakitkan. Masalah ini hanya boleh dipulihkan dengan pembedahan saja. Ada juga pesakit di mana penyempitan saluran urethra yang panjang berlaku dan pembedahan rumit yang memerlukan penggantian saluran urethra perlu dilakukan.

Untuk tujuan penggantian ini, tisu dari bahagian dalam mulut perlu diambil. Suntikan yang diberi pada bahagian pangkal zakar menyebabkan cecair yang digunakan mengalir turun ke bahagian kerandut zakar. Ini akan menyebabkan terjadinya bengkak dalam kerandut zakar. Ini akan menyebabkan seseorang tidak merasa selesa memakai seluar dalam. Pernah terjadi kes di mana berlaku infeksi yang serius pada batang zakar dan batang zakar perlu dipotong.

Sejak kebelakangan ini, ramai lelaki yang mengalami masalah parafinoma. Kebanyakannya datang akibat masalah sakit semasa ereksi. Ada juga yang tidak mempunyai ereksi langsung kerana kulit batang zakar sudah menjadi keras dan tidak boleh menegang lagi. Ini juga disebabkan keadaan batang zakar yang sudah tidak lagi mempunyai rupa batang zakar. Ada juga antara pasangan mereka ini yang tidak mahu lagi melakukan hubungan seks disebabkan bentuk batang zakar ini. Rawatan untuk masalah ini adalah secara pembedahan.

Kulit dan tisu granuloma perlu dibuang. Ada juga pesakit yang keseluruhan kulit dan tisu batang zakar perlu dibuang. Kulit gantian akan diambil selalunya di bahagian paha dan juga kadang kala dari kulit yang menutupi kerandut zakar.

Pembedahan ini adalah rumit dan memerlukan bantuan dari pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif. Secara keseluruhannya, hasil pembedahan adalah baik dan memuaskan pada pesakit. Kesan sampingan yang sering terjadi selepas pembedahan adalah disfungsi erektil (ED)yang boleh dirawat dengan mengunakan ubatan PDE5 inhibitor. Ada juga pesakit yang mengadu kulit baru yang membaluti batang zakar kurang sensitif dan mempengaruhi kenikmatan semasa melakukan hubungan seks.

Secara ringkasnya, parafinoma adalah penyakit yang mula meningkat bilangannya akibat dari keghairahan kaum lelaki yang ingin mendapatkan batang zakar bersaiz besar dan dengan cara mudah.

Namun, ini akan memberi pelbagai masalah jangka masa panjang di mana ramai lelaki menderita dari segi fizikal dan emosi manakala rawatannya adalah sukar.

Adalah dinasihatkan, pada lelaki yang ingin membesarkan zakar dengan cara ini ialah, anda harus ingat hubungan seksual yang berkesan tidak semestinya memerlukan saiz batang yang besar. Janganlah terpengaruh dengan desakan untuk membesarkan batang zakar dengan cara ini kerana ia boleh membawa padah. Kepada mereka yang menghadapi masalah parafinoma, usah berputus harap, datanglah berjumpa dengan pakar urologi atau pakar pembedahan plastik untuk bantuan dan rawatan.

Rujukan : Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras drxy@bharian.com.my] di BHarian




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Disember 11, 2010

Mendidik anak hayati peristiwa hijrah Rasulullah


Generasi muda perlu digalak meraikan kedatangan Awal Muharam dengan azam baru

KALENDAR Masihi berganjak ke tahun 2011 dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi. Kedatangan tahun baru itu pasti disambut meriah di segenap pelosok negara. Kanak-kanak antara yang tidak ketinggalan meraikan kedatangan tahun baru ini. Ada ibu bapa membawa anak ke lokasi tertentu untuk mengira detik waktu tepat jam 12 malam atau menonton siaran langsung di televisyen. Ini disusuli tembakan bunga api, konsert dan sebagainya.

Namun, berapa ramai ibu bapa Islam menggalakkan anak untuk meraikan kedatangan tahun baru Hijrah atau Maal Hijrah?

Jika anak begitu lancar menghafal nama bulan dalam kalendar Masihi, apakah mereka mampu mengingati nama dan susunan bulan dalam kalendar Hijrah? Adakah anak kita diajarkan mengenai sejarah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada sambutan awal Muharam ini? Kebetulan pula sambutan Awal Muharam (1 Muharam 1432H) kali ini jatuh pada 7 Disember lalu iaitu hanya berselang beberapa minggu lebih awal daripada sambutan tahun baru 2011. Maka wajar umat Islam menerapkan dan mengajak anak menghayati kesyumulan dan kesempurnaan ajaran Islam, termasuk dalam menyambut kedatangan Muharam dan inti pati sambutannya.

Hijrah dalam konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain. Secara konsepnya ia usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan lebih baik lagi. Hijrah seseorang jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah maka dirinya dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala. Ia selaras firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’: 100).

Anak perlu didedahkan bahawa berdasarkan lipatan sejarah Islam, sahabat Nabi iaitu Saidina Umar al-Khattab ialah orang bertanggungjawab mengasaskan penggunaan kalendar Islam berdasarkan peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Peristiwa hijrah diiktiraf sebagai permulaan bulan dalam kalendar Islam. Peristiwa itu berlaku pada tahun 622 mengikut kalendar Masihi. Anak perlu diberitahu, peristiwa penghijrahan Rasulullah adalah bertunjangkan kepada ketaatan terhadap perintah Allah di mana sebagai umat Islam yang beriman, seseorang perlu melaksanakan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa dilarang-Nya.

Selain itu, ada banyak prinsip mulia yang perlu dididik kepada anak di sebalik konsep hijrah. Menjadi kelaziman apabila masuk saja tahun baru, kebanyakan orang akan mewujudkan azam baru untuk menjadi lebih baik dan sempurna dalam serba-serbi berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga, perlu diterapkan dalam diri anak bahawa dalam mendasari anjakan tahun baru Hijrah, membentuk azam baru biar berpaksi kepada perubahan atau penghijrahan ke arah kebaikan.

Misalnya, jika anak kurang berjaya dalam peperiksaan maka mereka perlu membentuk azam memperbaiki kualiti pembelajaran dengan belajar lebih tekun dan gigih. Hijrah mengajar anak memperbaiki kesilapan diri dan tidak cepat berputus asa untuk menuntut ilmu.

Anak perlu difahamkan bahawa hijrah mengajar manusia membentuk perpaduan, tolong-menolong dan hormat-menghormati sesama insan tidak kira usia, bangsa mahupun agama. Dengan cara itu, anak akan terasuh menjadi modal insan yang mempunyai akhlak terpuji seiring dengan ketinggian martabat dan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Konsep hijrah juga berkesan mendidik anak untuk sabar dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri akibat kecewa dengan sebarang kegagalan, misalnya terjebak dengan gejala ponteng sekolah, merempit atau mengagih dadah.

Akhirnya, konsep hijrah berupaya membentuk peribadi anak menjadi insan yang sentiasa yakin dengan ketentuan Allah dan bertawakal selepas gigih melakukan sesuatu usaha ke arah kebaikan. Ini selaras dengan konsep tawakal Rasulullah ketika berhijrah ke Madinah dan berusaha mengelakkan ancaman bunuh kaum Musyrikin Makkah.

Allah menjanjikan ganjaran lumayan buat hamba-Nya yang berserah dan bertawakal.

Segala pengajaran dan prinsip diserlahkan melalui peristiwa hijrah Rasulullah perlu dibudayakan secara istiqamah atau berterusan dalam kehidupan anak. Sempena Maal Hijrah 1432 ini, marilah kita mengajak anak meraikannya dengan melakukan muhasabah diri, perbetulkan kesilapan, perbanyakan amalan mulia dan berusaha bersungguh-sungguh meraih keredaan Allah.

Renung-renungkan....




Artikel dari pensyarah Khairunneezam Mohd Noor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, sumber : BHarian 11/12/2010

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Disember 10, 2010

Mudahnya hidup dengan selawat


Assalamualaikum warahmatullah,

Dari anak kecil hingga yang dewasa, sebagai seorang muslim kita pasti tahu bagaimana untuk berselawat. Jika dahulu sewaktu kecil apabila sakit atau berada dalam ketakutan, orang tua biasanya akan menyuruh kita berselawat sebanyak mungkin.

Kita sebenarnya sudah lama didedahkan dengan selawat dan telah banyak kali juga diberitahu akan kelebihan selawat, namun tidak ramai yang memahaminya kerana tiada rasa dalam berselawat. Ada kemungkinan, ketiadaan rasa ini terbit dari tiada rasa cinta yang mendalam terhadap baginda Rasulullah SAW.

Dahulu semasa kecil, mak dan ayah selalu berpesan, “Kamu kalau berdoa jangan sekali-kali lupa berselawat. Nanti doa tak sampai.” Begitu juga mak selalu pesan, “Minum air ini, jangan lupa selawat 3 kali.”

Zaman dahulu, kebiasaannya, anak-anak hanya mendengar dan jarang benar bertanya itu ini. Ini mungkin kerana rasa takut atau hormat kepada mak dan ayah yang akan membuatkan anak-anak patuh setiap tutur kata tanpa banyak persoalan. Jauh bezanya dengan anak-anak zaman PS2 yang serba maju hari ini, mereka lebih kritikal dalam berfikir. Mereka lebih sukakan penjelasan logik yang dapat diterima oleh akal mereka.

Kita sebagai ibu bapa harus mempunyai ilmu dalam menyampaikan hal-hal kebaikan. Ini tidak bermaksud kita tidak boleh menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan agama. Maksudnya, kita perlu mempunyai teknik penyampaian yang betul, sesuai dengan keadaan hari ini. Tentu kita juga tidak mahu dikatakan mengajar anak-anak tetapi kita sendiri tidak memahami apa yang kita ajarkan.

Selawat boleh jadi salah satu perkara yang kian dipinggirkan dalam kehidupan hari ini. Mungkin tidak bagi golongan yang berpendidikan agama, namun, tidak mustahil jika mereka juga mula meminggirkannya kerana banyak ilmu teori dari praktikal.

Apakah amalan kita sehari-hari, selain daripada amalan wajib? Tidak ramai yang dapat meluangkan masa untuk mengerjakan solat sunat pada waktu siang hari akibat kekangan masa, kecuali bertahajud pada malam hari. Sebenarnya, keperluan banyaknya amalan tidak begitu penting tetapi yang paling penting adalah sesuatu yang dibuat atau amal itu biarlah berterusan walaupun sedikit. Berselawat juga merupakan amalan yang tidak rugi kita amalkan bila-bila masa, di mana saja... (NB: ….kecuali dalam toiletlah, ya...)

Selawat begitu penting dalam kehidupan kita. Mengapa dikatakan penting? Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab 33:56)

Umat Muhammad SAW sepatutnya tidak memandang remeh akan kepentingan ber kerana Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Rasulullah SAW di hadapan para malaikat-Nya. Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Rasulullah SAW dengan mendoakan, mengucap selawat dan memohon keampunan baginya.

Kaum Muslimin sebagai umat Nabi SAW berkewajipan melahirkan rasa kasih, pujian, sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada baginda, kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup.

Dengan membaca selawat kepada Rasulullah SAW, setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah. Justeru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Lihatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Dailami yang bermaksud, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat ke atas Nabi SAW.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Kita tentu tidak mahu penat-penat berdoa berjela-jela, tetapi tunggu-punya-tunggu, tidak juga dimakbulkan Allah SWT. Kenalah semak balik adab berdoa, sama ada cara kita betul ataupun salah.

Seterusnya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad SAW) melainkan penyesalan akan menimpa mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

Demi cinta pada Rasulullah SAW

Hari ini sudah ramai pemandu menggunakan GPS dalam pemanduan supaya cepat sampai ke destinasi yang dituju tanpa perlu menempuhi jalan sesat. Jika dahulu kita memandu tanpa GPS, kita mungkin tersesat jalan, menemui jalan mati dan menghabiskan banyak masa di atas jalanraya serta terpaksa berhenti beberapa kali untuk bertanyakan arah. Kini dengan adanya GPS, pemanduan kita menjadi lebih mudah, lebih efisien, lebih cepat dan produktiviti meningkat apabila cepat sampai ke destinasi yang dituju. Ini bukanlah satu promosi GPS, tetapi satu analog keperluan selawat.

Hebatnya berselawat boleh ditamsilkan sebagai GPS hidup tetapi ianya juga sebagai penghapus dosa yang amat mudah seperti yang diriwayatkan oleh ad-Dailami, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Inilah lagi satu rahsia kenapa selawat itu penting dalam kehidupan kita. Berdasarkan hadis di atas, seandainya kita ingin mencintai baginda Rasulullah SAW, kita perlu mengikut apa yang dikatakannya dan apabila kita melihat pula bukti kebaikan dari perbuatan yang Baginda sarankan, maka kasih sayang kita kepadanya akan lebih bertambah dari hari ke hari hingga terasa satu perasaan yang dalam ketika menyebut namanya.

Mulai hari ini, cubalah kita meletakkan satu peringatan untuk berselawat di telefon bimbit setiap satu jam, terutamanya sewaktu bangun tidur dan sebelum tidur. Jangan ditanya berapa kali kita perlu berselawat, sebaik-baiknya janganlah diperhitungkan berapa banyak kita harus berselawat sebaliknya hitunglah berapa ikhlas kita berselawat.

Jika nombor menjadi objektif, hilang rasa ‘nikmat’ dan timbullah tension sengsara kerana terkejar-kejar hendak mencukupkan angka. Biar sekali asalkan ada rasa ikhlas, biar sekali asalkan datangnya dari jiwa kerana ini akan membuatkan kita lebih dekat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah) dan dalam hadis yang lain pula disebut, “Barangsiapa berselawat untukku di pagi hari sepuluh kali dan di petang hari sepuluh kali, mendapatlah ia syafa’atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Setiap hari tanpa sedar, kita akan mengalami tekanan, sama ada kecil mahupun besar dan kita perlukan penurunan gelombang otak yang stres dengan kadar segera. Bagaimana caranya? Selepas membaca entry ini, mulai hari ini, marilah kita mengamalkan selawat dan mari juga kita mulakan berselawat setiap kali kita hendak minum. Minumlah apa saja yang berkenan di tekak, asalkan tidak melanggar syarak, baik air limau, air bandung, air tebu, air soya, air cincau, teh tarik, nescafe tarik atau apa saja, tidak semestinya seperti fahaman selalu yang memerlukan air kosong.

Berselawatlah kerana baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibn Murdaweh) dan sabda baginda lagi yang bermaksud, “Manusia yang paling utama terhadap diriku pada hari qiamat, ialah manusia yang paling banyak bershalawat untukku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Renung-renungkan dan mari beramal!



Rujukan asal kompilasi : Mudahnya hidup dengan selawat ~ Dr Azhar Sarip, MW#1384 dan blog.its.ac.id

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Disember 08, 2010

Usah negatif terhadap ibu mertua


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita sering membaca kisah hubungan tidak 'ngam' antara menantu perempuan dan ibu mertua dan amat jarang sekali hubungan menantu lelaki dan ibu mertua diketengahkan. Kali ini Laman-Seri akan membicarakan tentang hubungan yang jarang-jarang dibincangkan.

Dalam kehidupan berumahtangga menjaga hubungan dengan mertua menjadi antara tanggungjawab besar kepada seseorang yang sudah bergelar suami atau isteri. Islam sendiri turut menyarankan kita agar menghormati dan menyayangi mertua seperti ibu bapa kandung. Bagi sesetengah orang, mertua sering kali dianggap menjadi penyebab timbulnya konflik dalam rumahtangga. Bagaimanapun, tidak semua berfikiran sedemikian kerana ada mertua menjadi sahabat paling akrab dan benar-benar membantu dalam rumahtangga.

Apabila bakal menantu tidak mampu menjalin hubungan yang akrab sebelum berkahwin dengan bakal mertua, keadaan ini menyebabkan hubungan dingin antara mereka berterusan. Hakikat yang perlu diterima seseorang sebaik sahaja selesai diijabkabul, tanggungjawab dan peranan semakin bertambah dan bukannya berkurangan. Jika dahulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami atau isteri yang sah. Pasangan sebenarnya bukan hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang dicintai, bahkan juga seluruh anggota keluarganya.

Sebagai menantu lelaki dalam keluarga perempuan, anda barangkali sukar berkomunikasi sebaiknya dengan keluarga mertua. Menyesuaikan diri dengan mertua bukan fenomena baru dalam masyarakat kita. Sebagai menantu lelaki, anda mungkin malu atau tidak tahu cara untuk memulakan sesuatu komunikasi. Isteri boleh membantu melalui pelbagai perkara.

Tips berikut juga mungkin boleh digunakan untuk menjadikan hubungan dengan keluarga isteri lebih rapat:

1. Kungungi ibu mertua

Sering mengunjungi ibu mertua (jika tidak tinggal serumah) atau sering memerhatikan ibu mertua (jika tinggal serumah). Ini boleh dilakukan bersama isteri atau tidak dan sekali gus mampu mengeratkan hubungan sekeluarga...

2. Mengalah bukan erti kalah

Mengalah dalam sesuatu perkara kerana ibu mertua umumnya sudah berusia lanjut. Mereka lebih sering menggunakan emosi daripada logik. Ibu mertua akan gembira jika anda kelihatan ada kemahuan untuk “menaunginya” dan kelihatan anda mahu “berkongsi kasih” dengannya selain anak perempuannya.

3. Eratkan silaturrahim

Kembangkan hubungan dengan mertua perempuan. Ini boleh dilakukan misalnya dengan mengajaknya berbincang mengenai hal yang diminatinya, sering mengunjunginya, mengajaknya berjalan dan belajar untuk melayannya seperti ibu kandung sendiri. Hal ini dapat membuatkan ibu mertua berasa anda memang memerhatikannya sebagai individu yang dihargai dan diperlukan.

4. Melakukan aktiviti bersama

Babitkan mertua perempuan dalam setiap aktiviti yang dilakukan jika perlu. Misalnya, minta tolong menemani anda dan anak berjumpa doktor atau pergi berbelanja bersama.

5. Lebihkan perhatian

Fokuskan perhatian anda terhadap hal yang baik dalam dirinya dan cuba untuk menghindari pemikiran negatif mengenai dirinya. Misalnya, anda tahu dia adalah tukang masak yang hebat. Dari sudut positif, anda dapat belajar masak walaupun anda menantu lelaki. Mungkin anda dapat menyediakan makanan lazat ketika isteri berpantang selepas bersalin. Secara tidak langsung, anda meringankan beban ibu mertua yang terpaksa menjaga isteri yang sedang berpantang.

6. Elakkan kritikan

Jangan mengkritik ibu mertua di depan isteri. Walau bagaimana sekalipun perangai ibu mertua, dia tetap ibu kandung isteri anda. Ingatlah pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila. Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat isteri semakin menjauh daripada anda.

7. Iktiraf kewujudannya

Sedarilah walaupun ibu mertua bukan sahabat tetapi cubalah selami bahawa kehadiran anda dalam kehidupan isteri sudah ‘memisahkan’ dia dengan anak yang dicintainya.

8. Banyakkan bersabar dan berdoa

Jangan anggap ibu mertua tidak suka kepada anda. Kaji diri sendiri kerana mungkin selama ini ada sikap anda memang membuatkan ibu mertua tidak berkenan walaupun bukan bererti anda harus mengubah keperibadian diri. Jika anda bersabar, selalu memberi perhatian dan bersikap positif terhadap ibu mertua, lama-kelamaan ibu mertua juga lembut hatinya. Jika perilaku negatif dibalas negatif, hasilnya sering tidak menggembirakan. Kebanyakan lelaki mungkin tidak pandai menyesuaikan diri dengan ibu mertua lalu mereka menghindarkan diri daripada ibu mertua yang dianggap merumitkan suasana.

9. Ambil hati

Istilah “mengambil hati mertua” itu ternyata ada benarnya. Fikirkan suatu hari nanti, isteri anda akan menjadi seorang ibu mertua apabila anda menerima menantu lelaki. Hidup semakin mudah jika sejak awal, anda sudah menetapkan batasan tegas antara isteri dan ibu kandungnya. Misalnya, tidak membiasakan ibu kandungnya untuk mengurus segala keperluannya atau meminta ibu kandungnya untuk mengatur kewangan anda berdua. Jika kelakuan ibu mertua sudah melebihi batasan misalnya sudah mencampuri urusan rumahtangga, sudah sampai masa untuk meminta isteri anda menegur ibu kandungnya.

Teguran haruslah dengan kata-kata bersesuaian. Kalau anaknya sendiri yang menegur, tentu si ibu mertua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Jika anda yang menyatakannya pada ibu mertua, mungkin hubungan anda dengan dia akan menjadi suram dan kata-kata anda itu mungkin tidak dapat dilupakan.

10. Jangan lokek atau berkira

Rajin-rajinlah mengambil hatinya, mungkin dengan membelikan hadiah atau buah tangan setiap kali anda bertugas di luar daerah. Misalnya, belikan sepasang kain seperti mana anda belikan untuk isteri. Lihatlah reaksi di wajahnya.

Semoga tips-tips di atas dapat membantu anda mengeratkan lagi hubungan dengan ibu mertua anda.




Tips dipetik dari sumber: HMetro 2009/01/15

Butiran selanjutnya ...

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukum sebat


Nafsu songsang pasangan lesbian jika tidak dibendung mampu runtuhkan institusi perkahwinan

AHAD 6/12 yang lalu , Harian Metro melaporkan golongan lesbian menggunakan laman sosial Facebook untuk mencari kenalan baru, mengadakan parti liar di kelab malam atau di rumah. Lesbian dalam Islam disebut sebagai musahaqah, iaitu melakukan perbuatan seks antara perempuan dengan perempuan dengan menggeselkan kemaluan sehingga mendatangkan berahi.

Islam jelas mengharamkan musahaqah. Dari Abu Musa katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Bila lelaki menyetubuhi lelaki maka keduanya berzina, dan bila wanita menyetubuhi wanita maka kedua-duanya juga berzina.” (HR Al-Baihaqi dalam Syu’abil Iman)

Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni berpendapat, jika bergesel dua wanita maka kedua-duanya melakukan zina berdasarkan apa diriwayatkan daripada Nabi yang bersabda bermaksud, “Apabila seorang wanita mendatangi (menyetubuhi) seorang wanita maka keduanya berzina.”

Imam Al-Alusi dalam kitab Ruhul Ma’ani, berpendapat Sihaq (lesbian) termasuk dalam kategori liwat seperti yang terjadi pada kaum Luth, iaitu seorang wanita menyetubuhi wanita. Dalam hadith Hudzaifah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya benarlah ucapan (Allah SWT) atas kaum Luth tatkala kaum wanita (daripada mereka) merasa cukup dengan wanita dan kaum lelaki merasa cukup dengan lelaki.”

Para Fuqaha sepakat musahaqah tidak dikenakan hukuman hudud. Ia dikategorikan kesalahan ta’zir, kerana ia perbuatan maksiat yang tidak menepati takrif atau maksud zina secara tepat dan sempurna yang membolehkan pelakunya dikenakan hudud. Ia adalah zina secara umum, seperti zina mata, zina tangan, zina kaki, dan zina mulut serta boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Musahaqah berlaku disebabkan terpengaruh dengan budaya liar, berpunca daripada tindakan membaca atau menonton bahan lucah, akhirnya melahirkan perasaan ingin mencuba dan terjerumus. Mereka tidak mahu memikul tanggungjawab dan komitmen suami isteri. Saya pernah menemubual pelaku musahaqah. Mereka suka berpasangan sesama wanita kerana tiada risiko mengandung. Mereka juga menyukai pasangan wanita pasangan yang memahami dan menghargai berbanding lelaki.

Apa pun alasan, ia lahir daripada pemikiran pelaku musahaqah yang sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Pelaku musahaqah juga Muslim yang kufur terhadap nikmat dijadikan Allah dan mereka ini akan diazab Allah di akhirat kelak, jika tidak bertaubat. Firman Allah bermaksud, “Dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras.” (Surah Ar-Ra’d [13]: 34)

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukuman sebatan menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 26 Akta itu memperuntukkan ‘Mana-mana wanita yang melakukan musahaqah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Pelaku musahaqah yang berpelukan atau berciuman sesama wanita di tempat awam juga boleh dibendung dengan diambil tindakan undang-undang. Menurut Seksyen 29 akta sama, diperuntukkan ‘Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di tempat awam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.’

Pihak yang mengadakan aktiviti dengan tujuan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan aktiviti maksiat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pengendali laman maya yang dikatakan memudahkan golongan musahaqah mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat, dan kemudian membawa kepada aktiviti seperti parti seks lesbian boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 35 akta itu yang memperuntukkan, ‘Mana-mana orang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’

Perlakuan musahaqah jika tidak dibendung akan meruntuhkan institusi perkahwinan kerana pelaku musahaqah tidak berminat dengan perkahwinan. Pelaku musahaqah juga terdedah dengan pelbagai pelbagai penyakit fizikal dan mental, serta akan mendapat balasan azab di dunia dan akhirat.

Sumber : Peguam Syarie Tuan Musa Awang di BHarian 08/10/2010


Butiran selanjutnya ...

Darjat peniaga jujur diangkat sebaris orang soleh



BIDANG perniagaan adalah lapangan ekonomi yang digalakkan Islam. Sejarah Islam memaparkan Nabi Muhammad terbabit dalam aktiviti perdagangan sebelum Baginda diangkat sebagai Rasul. Ini menunjukkan bidang perniagaan mendatangkan keuntungan.

Bagaimanapun, peniaga mesti melaksanakan urusan niaganya mengikut lunas dibenarkan agama. Namun begitu, ada segelintir peniaga tidak mengambil berat mengenai halal haram dalam perniagaan. Meskipun barangan atau perkhidmatan yang diurusniagakan itu halal, tetapi jika bertentangan etika niaga, peniaga tetap dipersoalkan Allah kelak. Satu bentuk pelanggaran etika niaga yang sering dilakukan ialah menipu pengguna dengan menutup keburukan sesuatu barangan. Kita sering berdepan situasi begini tatkala membeli buah-buahan yang dijual secara lambak. Buah-buahan itu dicampur antara yang elok dengan rosak. Keadaan ini bertentangan dengan aturan sebenar berniaga dan ditegah Islam.

Bayangkan bagaimana kecewanya pembeli apabila buah dibeli rosak dan tidak sesuai dimakan. Maka pembeli merungut kerana tidak puas hati dengan penjual itu. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang Muslim menjual jualan yang mempunyai aib, kecuali ia menjelaskan aibnya.” (Hadis riwayat Imam al-Quzwani).

Oleh itu, sikap menyembunyikan aib sesuatu produk atau perkhidmatan akan menyebabkan timbul kebencian pelanggan dan ini mendatangkan kemurkaan Allah. Sikap buruk begini mesti dihindari peniaga demi mengharapkan reda Allah dalam perniagaan.

Sabda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang lain: “Adalah tidak halal seorang Islam menjual barang cacat kepada pengguna dengan tidak menyatakan kecacatan itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Kalau cara berniaga sudah haram maka hasil pendapatan yang diperoleh juga haram. Apakah kita suka menggunakan sumber pendapatan haram kemudian hasil itu diberi kepada ahli keluarga? Rangkaian haram itu terus berlarutan bukan setakat dalam urusan niaga yang dilakukan malah perbuatan memberikan nafkah haram itu juga akan memberi kesan buruk kepada seseorang. Jelas perbuatan menipu keadaan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dijadikan perniagaan adalah haram.

Peniaga mesti menjauhi perbuatan terlarang ini supaya segala usaha niaga yang dilakukan mendapat berkat dan hasil pendapatan diredai Allah. Biarlah keuntungan yang diperoleh itu tidak banyak tetapi penuh berkat berbanding mendapat banyak tetapi dilaknat. Janganlah kerana terlalu ingin laba berganda atau mengikut perbuatan peniaga lain, maka kita turut sama melakukan penipuan seperti itu. Peniaga yang jujur dalam menjalankan perniagaan pasti akan mendapat keuntungan yang lumayan.

Jika sebelum ini kita pernah melakukan perbuatan itu, segeralah bertaubat dan kembali kepada kaedah berniaga yang jujur. Berniaga secara jujur melambangkan ketakwaan. Elak melakukan penipuan kerana itu melambangkan kurangnya iman. Jadilah peniaga yang jujur, amanah, menghormati hak pelanggan dan berakhlak. Etika berniaga secara Islam akan mengangkat darjat peniaga sebaris dengan Rasulullah dan orang soleh lain.




Sumber : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar di BHarian 08/12/2010

Butiran selanjutnya ...

Khasiat kunyit

kunyit ~ curcuma longa

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Laman-Seri berkesempatan kongsikan info mengenai herba kunyit. Kunyit merupakan salah satu herba yang amat berguna. Dikenali juga dengan nama botaninya curcuma longa.

Kunyit merupakan tanaman tahunan herba rizom daripada keluarga halia, zingiberaceae. Herba ini berasal dari Asia Selatan yang beriklim tropika dan memerlukan suhu antara 20 ° C dan 30 ° C, dengan cukup taburan hujan untuk tumbesarannya. Tumbuhan ini telah digunakan oleh masyarakat dunia sejak lebih 4000 tahun yang lalu.

Pada mulanya, kunyit hanya digunakan sebagai bahan pewarna, namun selepas itu, ia mula mendapat tempat apabila khasiatnya untuk kesihatan manusia mula dikesan. Terkenal dengan kandungan antiradang yang terdapat di dalamnya, penyelidikan saintifik juga telah mendedahkan bahawa kunyit mampu merawat pelbagai masalah kesihatan daripada kanser sehinggalah penyakit alzheimer.

Pada abad pertengahan di Eropah, kunyit dikenali sebagai saffron India, kerana ia digunakan secara meluas sebagai alternatif untuk herba saffron jauh harganya lebih mahal. Erode, sebuah bandar di negara bahagian India selatan Tamil Nadu, merupakan pengeluar terbesar kunyit di dunia dan juga merupakan pusat perdagangan kunyit di Asia. Erode juga dikenali sebagai “Kota Kuning” atau “Kota Kunyit”. Sangli, sebuah bandar di bahagian selatan negara bahagian barat Maharashtra India, merupakan bandar yang kedua terbesar dan pusat perdagangan yang paling penting untuk kunyit di Asia.

pokok kunyit

Kunyit tumbuh liar di hutan-hutan di Asia Tenggara. Ia telah menjadi bahan masakan utama dalam kebanyakan masakan India, Parsi, Thailand dan juga hidangan Melayu, tidak hanya digunakan dalam masakan kari, tetapi juga dalam masak lemak, rendang dan banyak lagi. Di Indonesia, daun kunyit digunakan untuk masakan Minang atau Padang. Juga digunakan dalam masakan Sumatera yang lain seperti rendang, sate padang dan lain-lain lagi.

Kunyit banyak digunakan sebagai perencah di Asia Selatan dan Timur Tengah memasak. Banyak hidangan Parsi menggunakan kunyit untuk mewarnakan dasar nasi, serta sebagai bahan penting untuk hampir semua hidangan goreng Iran (yang biasanya terdiri daripada minyak, bawang dan kunyit diikuti oleh bahan lain yang akan dibekalkan). Di Nepal, kunyit ditanam secara meluas dan banyak digunakan dalam hidangan sayur-sayuran dan daging di negara. Di Afrika Selatan, kunyit digunakan secara tradisional untuk memberikan nasi putih direbus warna emas.


Walaupun kebanyakan penggunaan kunyit adalah dalam bentuk serbuk akar, daun kunyit juga digunakan untuk membungkus dan memasak makanan. Daun yang digunakan adalah yang baru dipetik kerana ia akan mengeluarkan bau dan rasa yang harum dan menyelerakan. Selain itu, kunyit juga digunakan dalam bentuk segar seperti halia.

Pokok kunyit mudah tumbuh dan sentiasa dijadikan pilihan sebagai bahan penyedap makanan. Pokok kunyit mudah ditemui di kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, China, Indonesia dan Filipina. Ia tumbuh di tempat terbuka dan redup. Ia boleh mencapai ketinggian antara 50 hingga 70 sentimeter.

Batang kunyit tumbuh dalam bentuk pelepah-pelepah dari bawah ke atas sebagai daun. Ia tumbuh bercabang dalam satu anak pokok. Kebiasaannya ia boleh ditemui dalam satu tunas yang terdapat 5 hingga 10 helai daun. Batangnya lembut dan mudah dipetik. Batangnya yang seakan akar dipanggil rizom, ditumbuhi akar serta tunas, dan mudah dikenali dengan warna kuning atau jingga. Batang berakar inilah yang mempunyai khasiat yang banyak.


bunga kunyit

Bunga kunyit pula berwarna putih atau kuning. Ia tumbuh majmuk seperti bersisik di sekeliling dalam satu induk. Bunganya tumbuh di tengah-tengah daun. Bunga kunyit enak dijadikan ulam yang dimakan mentah. Ia dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi terutama bagi ibu-ibu dalam pantang (selepas bsersalin). Daun kunyit berbentuk lebar, tunggal, bertangkai panjang dan runcing di hujung. Tepi daunnya rata dan warna hijau cair.

Rizom dan akar berubinya digunakan untuk tujuan ubatan dan penyediaan makanan. Selalunya bahagian ini akan direbus dan kemudiannya dikeringkan. Kemudiannya ia dihancurkan menjadi serbuk. Pigmen kuning yang terdapat pada kunyit terhasil daripada kandungan utamanya, curcumin, yang juga merupakan ramuan ubatan paling aktif. Ramuan inilah yang telah menjadikan kunyit suatu herba ubatan paling utama sejak dahulu lagi.

Kunyit dan ramuan aktifnya, curcumin, telah terbukti memiliki sejulat luas tindakan penyembuh dalam kajian melibatkan haiwan mahupun kajian terhadap manusia tanpa mengakibatkan sebarang ketoksidan (keracunan). Kajian-kajian ini telah menunjukkan bahawa kunyit mempunyai sifat-sifat seperti antipengoksidaan, antiradang, antiplatelet, mengurangkan kolesterol, anti ketumbuhan, penyembuh luka, malah mungkin juga kesan anti-HIV.

Agen antibakteria

Dalam amalan Ayurvedic, kunyit memiliki khasiat ubatan yang banyak. Di Asia Selatan, kunyit digunakan sebagai antiseptik sedia untuk luka, luka terbakar dan luka lebam. Ia juga digunakan sebagai agen antibakteria.

Di beberapa negara Asia, kunyit diambil sebagai suplemen makanan, yang dipercayai membantu dengan masalah perut dan penyakit lain. Ia sangat popular sebagai teh di Okinawa, Jepun. Di Pakistan juga menggunakannya sebagai agen anti-inflamasi, dan ubat untuk ketidakselesaan pencernaan berkaitan dengan sindrom kerengsaan usus dan gangguan pencernaan lainnya. Di Afghanistan dan barat laut Pakistan, kunyit diletakkan di atas sepotong kain yang dibakar, dan diletakkan di atas luka untuk membersihkan dan merangsang pemulihan. Di India, selain perubatan Ayurveda, penggunaan kunyit dipelbagaikan dalam bahan kosmetik seperti krim kulit dan dieksport ke negara jiran.

Kurangkan darah beku


Kunyit atau lebih dikenali dengan nama turmeric (Inggeris) ini dikatakan mempunyai khasiat ubatan tersendiri. Kunyit dikatakan mampu digunakan untuk merawat arthritis (sakit sendi) dan asma (lelah), masalah kurang pencernaan, jaundis (sakit kuning), masalah hati dan pepundi hempedu.

Kajian telah menunjukkan bahawa curcumin mempunyai sifat-sifat melindungi hati daripada sebilangan sebatian toksik. Kunyit juga menghasilkan kesan menggalakkan pengaliran hempedu. Selain itu, kunyit turut mengandungi beberapa sebatian asli yang bertindak sebagai bahan antiasid asli yang melindungi salutan perut daripada asid berlebihan dan pembentukan ulser. Kunyit juga dikatakan telah terbukti berupaya mengurangkan platelet (suatu bahan kandungan darah yang terlibat dalam pembekuan darah) daripada bergugus-gugus, lalu memperbaiki peredaran darah dan membantu melindungi daripada arteriosklerosis.

Kecutkan rahim selepas bersalin

Dalam perubatan Cina, akar atau ubi kunyit digunakan untuk merangsang pengaliran san menguraikan pembekuan darah dan lebam. Kunyit juga digunakan dalam rawatan mengurangkan kemurungan. Perubatan Thai menggunakan kunyit untuk membuang bisa ular tedung. Bagi masyarakat Melayu, kunyit diumumkan sebagai bahan ramuan jamu terutamanya kepada ibu-ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Dalam ilmu perubatan Hindu, kunyit disyorkan sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit dan gatal-gatal.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan kunyit, namun begitu, penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Rujukan : Turmeric, MisteriAlam # 1402 dan curcumalonga

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Disember 06, 2010

Khatan wanita masih popular

SEORANG kanak-kanak perempuan meronta ketika mudim wanita melakukan prosedur khatan. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan. Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin. Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit. Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Amalan dituntut

Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.

“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.

Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.

“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam. Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita. Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.

Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan. Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.

Kerat 1.3 sentimeter

“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.”


SEORANG wanita menenangkan anaknya dalam satu prosedur berkhatan khusus untuk wanita di Indonesia. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter). Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.

[NB : Alamak... biar betul... Setengah inci tu bukan sedikit, seperti yang diterangkan Rasulullah... “Potonglah sedikit sahaja dan jangan sampai ke akarnya kerana ia mengelokkan wajah dan menyenangkan hati suami.” (Hadis Daif). Fatwa mutakhir Dr. Yusuf Qardawi – semuanya bergantung kepada ibu bapa. Jika mereka hendak mengkhatankan anak masing-masing, ia diharuskan, dan sebaliknya jika mereka enggan melakukannya, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Walau bagaimanapun, berdasarkan sepotong hadis, bagi ibu bapa yang cenderung untuk mengkhatan anak-anak perempuan mereka, beliau menasihatkan agar dikhatankan sedikit sahaja daripada kulit.....disebut kulit, bukan daging! Baca di entry Khatan - pencacatan organ seks perempuan?]

Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.

“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa. Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan. Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.

Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.

Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.

“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.”

Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.

“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.




Sumber : Kosmo!

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Salam Maal Hijrah 1432H


Maal Hijrah ~ Suntikan untuk keunggulan umat

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah SWT mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya." (Surah ali ‘Imran 3:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah SAW telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud, "Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku."

Hadis ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah SAW pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana.

Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud, "'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi SAW menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'"

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah SWT yang maksudnya, "Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh." (Surah al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah SWT layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh? Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

Sumber : Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin di JAKIM




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Kadar jangkitan HIV tertinggi di Kelantan




KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri paling tinggi mencatat kadar jangkitan HIV untuk tempoh dua tahun, sejak 2008 hingga 2009.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kadar jangkitan HIV bagi tempoh berkenaan di negeri itu menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kadar di seluruh negara.

Katanya, pada 2008, kadar jangkitan HIV di Malaysia pada nisbah 13.3 orang, manakala 10.8 orang pada 2009 bagi setiap 100,000 penduduk, sedangkan Kelantan mencatat nisbah 47 orang pada 2008 dan 37.2 orang tahun berikutnya.

“Peningkatan kes wanita dijangkiti HIV di negara ini juga membabitkan negeri itu dengan jumlah tertinggi iaitu 1,211 kes, diikuti Johor (1,124 kes) dan Selangor (1,107 kes). Ekoran peningkatan kes ini, saya meminta seluruh rakyat Kelantan segera melaksanakan Gempur Aids iaitu satu program bagi membendung peningkatan kes HIV dan Aids di negara ini,” katanya pada majlis Pelancaran Sambutan Hari Aids Sedunia 2010 peringkat kebangsaan, di sini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abdul Rahman. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Kamal Hasan dan Presiden Majlis Aids Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Liow berkata, senario HIV di negara ini sudah berubah berbanding 10 tahun lalu yang mencatat 75% kes dikesan akibat berkongsi jarum suntikan, berbanding tahun lalu hanya mencatat 55 kes saja.

Bagaimanapun, kes jangkitan melalui hubungan seksual menunjukkan peningkatan berbanding 10 tahun lalu daripada 18% kepada 32% tahun lalu dan terus meningkat tahun ini.

“Nisbah wanita dijangkiti HIV juga semakin meningkat dengan 3,206 suri rumah dijangkiti sehingga September lalu dan golongan ini diminta menasihatkan suami yang menagih dadah menjalani ujian HIV serta memakai kondom apabila membuat hubungan kelamin,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai langkah pencegahan penyakit dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan kerajaan dan agensi lain, kes HIV semakin menurun daripada 6,756 pada 2003 kepada 3,080 kes pada 2009, manakala bagi sembilan bulan pertama tahun ini, hanya 2,741 kes HIV baru dilaporkan.

“Kes jangkitan HIV di negara ini masih tertumpu di kalangan mereka yang berisiko tinggi iaitu 71% membabitkan perkongsian jarum suntikan ketika menagih dadah dan 19 peratus menerusi hubungan seks. Kerajaan membelanjakan kira-kira RM32.5 juta setahun bagi memberi rawatan serta perkara berkaitan kepada pesakit dan akhir tahun lalu, seramai 9,962 sudah menerima rawatan antiretroviral (ARV),” katanya.

Sementara itu, Zaman berkata, gaya hidup bebas seperti dilakukan * segelintir lelaki termasuk dari negeri ini yang selalu ke pekan Golok, Selatan Thailand, menjadi punca meningkatnya penyakit HIV di Kelantan.




Petikan : BHarian 06/12/2010

Butiran selanjutnya ...

Nasib bumiputera di bumi sendiri....

~ gambar hiasan ~


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tentu ada yang masih ingat entry ISU : Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat. Berita sebegini tidaklah menghairankan kerana jika kita melangkah ke mana-mana sahaja, kita akan dapat lihat jurang perbezaan sebegini.

Baru-baru ini, saya berkesempatan menunjungi ke Cameraon Highlands dan senario yang sama juga terdapat di sana. Yang pasti, jurangnya saaaangat ketara. Mujur kerajaan Datuk Seri Najib menyedari hal ini, walaupun secara peribadi, saya menganggapnya sudah agak terlambat.

AHB tingkat aset hartanah Bumiputera

Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menubuhkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) adalah berapa tidak berapa tepat pada masanya. Seharusnya hal ini dijaga sebaik saja Tanah Melayu bebas daripada cengkaman jajahan negara asing. Umum mengetahui pemilikan hartanah Bumiputera khususnya untuk hartanah komersial dan perindustrian amat rendah.

Menurut Ketua Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Dr Noor Azlan Ghazali, pada 2007, Bumiputera hanya menguasai kira-kira 16% pemilikan untuk hartanah komersial dan 4% untuk hartanah perindustrian. Angka ini adalah amat KECIL jika dibandingkan dengan bilangan Bumiputera yang mewakili 67% penduduk Malaysia.

Walaupun sukar untuk diterima, hakikatnya Bumiputera di negara ini masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang, termasuk pemilikan aset hartanah. Lebih merisaukan, hartanah Bumiputera sedia ada juga semakin susut berikutan kesan pembangunan yang menyebabkan mereka terpaksa melepaskannya atas pelbagai alasan. Usaha meningkatkan pemilikan aset hartanah Bumiputera perlu dilakukan secara sistematik bagi memastikan Bumiputera turut menikmati kesan kemajuan dan pembangunan dilaksanakan. Tidak ada gunanya jika negara maju dengan pelbagai infrastruktur hebat, tetapi pada masa sama Bumiputera hanya menjadi pemerhati.

Pengagihan kekayaan dengan seadil-adilnya bagi setiap kaum dapat memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur. Wujudnya kestabilan politik berterusan akan berupaya memperkembangkan lagi ‘kek ekonomi’ negara untuk diagihkan dengan lebih adil dan saksama. Kita tentunya tidak mahu ada kaum yang akan berasa cemburu kepada kaum lain disebabkan pengagihan kekayaan yang tidak adil, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), kelmarin. Pelancaran AHB adalah langkah tepat bagi memastikan jurang kekayaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera tidak terus melebar.

Penubuhan AHB pastikan pemilikan aset hartanah antara kaum seimbang

Jurang pemilikan kekayaan yang tidak terkawal antara kaum akan menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang baik untuk negara dan rakyatnya. Menerusi AHB bersaiz RM1 bilion itu membolehkan pelabur Bumiputera menyertai pemilikan aset hartanah dengan lebih cekap dan berkesan. Malah, melalui skim itu juga akan membolehkan Bumiputera memiliki aset komersial bernilai tinggi di lokasi strategik dan lebih penting ia menjadi milik kekal Bumiputera.

Apapun, langkah kerajaan membantu Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah atau meningkatkan pendapatan mereka tidak wajar dilihat oleh pihak tertentu sebagai berunsur perkauman atau memberi tumpuan kepada Bumiputera semata-mata. Pada masa sama, bukan Bumiputera turut menikmati kesan pembangunan dan kemajuan negara. Kerajaan tidak pernah menafikan hak bukan Bumiputera dalam meraih keuntungan dalam pelaburan hartanah di negara ini.

Berdasarkan fakta, adalah jelas bukan Bumiputera memilik aset hartanah lebih tinggi berbanding Bumiputera. Kita memuji langkah berani Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan AHB memperkenalkan skim berkenaan. Kita yakin seluruh masyarakat Bumiputera di negara ini menyambut baik langkah itu, di samping mempertahankan pemilikan hartanah sedia ada.

Ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 1990, ia turut memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara. Walaupun ada pihak mencemuh usaha Dr Mahathir, pengenalan ASB serta beberapa skim amanah saham lain berjaya meningkatkan pendapatan Bumiputera.

Pengenalan ASB berjaya meningkatkan tabungan Bumiputera serta memperkenalkan mereka kepada pelbagai produk saham amanah yang ketika itu masih terlalu baru kepada Bumiputera. Keadaan itu juga meningkatkan kuasa membeli Bumiputera yang secara tidak langsung berupaya membeli pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan syarikat bukan Bumiputera. Justeru, pengenalan AHB harus bersandarkan kepada situasi menang-menang untuk kelangsungan kemakmuran jangka panjang negara dan ia tidak wajar dipolitikkan.

Pemilikan aset hartanah Bumiputera diharap meningkat melalui penubuhan AHB. Pihak Pentadbir AHB hendaklah memenuhi aspirasi masyarakat Bumiputera yang mahu hak mereka di negara ini dipelihara. Diharapkan agar pihak pentadbir AHB dapat meningkatkan pemilikan Bumiputera khususnya di kawasan bandar.

Mungkin satu projek khas dapat dilakukan oleh AHB untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera dalam daerah Timur Laut di Pulau Pinang yang khabarnya pemilikan Bumiputra hanya sekitar 1% seperti dalam entry ISU : Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat.

Mudah-mudahan AHB dapat memenuhi aspirasi ini.



Rujukan dari : BHarian 01/12/2010

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails