Assalamualaikum warahmatullah,
DALAM mendidik anak, adalah kurang bijak jika anda membuat perbandingan antara zaman anda dan anak anda membesar. Persekitaran hari ini banyak berubah. Mahu atau tidak kita harus akui kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang sangat mencabar. Jika dulu, anda boleh berjalan kaki sendirian pada waktu malam untuk mengaji al-Quran di rumah jiran, tetapi hari ini adakah anda bersedia melepaskan anak anda melakukan perkara yang sama? Apa yang pasti, anda akan menghantar dan menjemputnya.
Hari ini, soal keselamatan anak tiada kompromi. Walaupun anda mudah membuat tanggapan anak kecil tidak memahami ketakutan atau kerisauan anda berhubung keselamatan mereka, tetapi pernahkah anda memberinya peluang untuk memahami perasaan itu? Pernahkah anda cuba memberitahunya mengenai ketakutan anda pada jenayah seksual terhadap kanak-kanak? Jika anda merasakan dia belum bersedia, anda perlu memikirkannya sekali lagi.
Mengambil data daripada Jabatan Keadilan Amerika, 67% mangsa serangan seksual adalah kanak-kanak manakala kajian pada 2000 oleh National Center for Victims of Crime menunjukkan 33% anak gadis dan 16% budak lelaki didera secara seksual sebelum berusia 18 tahun.
Di Malaysia, mungkin tiada statistik khusus untuk jumlah mangsa deraan seksual membabitkan kanak-kanak, tetapi mengambil kira kes yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan Nurul Huda Abdul Ghani, 10, dan pelbagai lagi kes kematian tragis membabitkan anak kecil, angkanya mungkin menggerunkan.
Ia seterusnya menjadi keperluan untuk ibu bapa jangan mengambil mudah mengenai keselamatan anak. Ajar anak untuk bertindak jika berhadapan dengan mereka yang mencurigakan dan cuba mengeksploitasi secara seksual.
Kadangkala mereka yang melakukan deraan seksual kepada anak anda mungkin mereka yang anda kenali dan anda percayai. Mereka juga rapat dengan anak anda membuatkan anak takut untuk memberitahu sesiapa. Ada juga kes penderaan seksual dilakukan oleh mereka yang anak anda kenali. Ada kalanya dilakukan oleh orang asing. Ada juga kes, mereka didera secara seksual oleh kanak-kanak lain yang lebih tua daripada mereka. Dia mungkin ahli keluarga atau jiran tetangga.
Membincangkan soal seksualiti atau penderaan seksual dengan anak mungkin sesuatu yang tidak selesa. Bagaimanapun, ia mesti dilakukan untuk kebaikan anak anda. Oleh itu lakukan dengan baik antaranya:
- Rancang masa yang baik untuk anda duduk berbual dengannya.
- Jelaskan kepada mereka Allah menciptakan tubuh badan mereka dengan segala keistimewaan. Bagaimanapun, keistimewaan itu adalah sangat peribadi dan hanya untuk dirinya sendiri.
- Jelaskan kepadanya bahagian anatomi yang bersifat sulit dan peribadi. Jika anak masih kecil, jelaskan keadaan ini ketika mandi. Jika dia gemar mandi di kolam renang, katakan kepadanya bahagian yang dilindungi pakaian renang adalah sulit dan peribadi.
- Beritahu padanya tidak ada seorang pun boleh menyentuh bahagian peribadinya walau apa pun alasannya. Katakan kepadanya, anda akan sentiasa melindunginya dan beritahu jika ada sesiapa cuba menyentuh bahagian itu.
- Elakkan menjawab terlalu banyak soalan.
- Yakinkan dia anda menyayanginya dan sentiasa akan melindunginya.
Jika anak anda memberitahu dia didera penting untuk anda :
- Percaya padanya - biasanya kanak-kanak tidak akan berbohong mengenai penderaan
- Biarkan dia bercakap - tetapi jangan paksa dia memberikan data terperinci jika dia tidak mahu
- Jelaskan padanya apa yang berlaku adalah salah pendera dan dia tidak bersalah
- Katakan padanya dia membuat perkara yang betul dengan memberitahu anda dan dia selamat sekarang
- Dapatkan bantuan profesional seperti polis dan doktor
- Dapatkan sokongan untuk diri anda sendiri - bercakap dengan ahli keluarga atau kawan yang anda percaya dan dapatkan bantuan profesional mengenai perasaan anda.
FAKTA : antara simptom anak alami penderaan seksual
- Ketika berbual, uji reaksinya jika ada orang dewasa yang memintanya menyimpan rahsia
- Menggunakan perkataan berbau seks yang tidak sepadan dengan usianya
- Dia mengasingkan diri dan murung tanpa sebab yang kukuh
- Mengadu mengenai kesakitan atau bengkak pada bahagian sulit
- Jika dia tidak kencing malam, dia akan mula kencing malam atau tidurnya terganggu
- Tidak mahu ke sekolah
- Bersikap agresif
- Menyakitkan diri sendiri
- Tidak mahu menghampiri seseorang yang dulunya dia senangi.
- Tidak mahu bersendirian dengan orang dewasa
- Takut pada orang dewasa atau mereka yang lebih tua daripadanya.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...