Teknik 'Cakaran Harimau' yang dicadangkan oleh seorang penceramah baru-baru ini mendapat liputan muka depan akhbar ini. Teknik urutan ini dikatakan boleh menambat hati suami. Keesokan harinya, dilaporkan pula bahawa ramai wanita menghubungi penceramah itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang tip tersebut.
Berita ini juga diterima dengan amat baik oleh lelaki. Ini terpancar dari ruangan Senyum Kambing (oleh kerana karakternya lelaki, maka ia diandaikan mewakili golongan lelaki) yang menyentuh hal ini selama dua hari berturut-turut dan komen Awang Selamat dalam ruangan Bisik-bisiknya pada hari kedua. Reaksi positif lelaki ini tidaklah menghairankan. Tambah pula, merekalah yang bakal mendapat banyak manfaat darinya.
Agak menghairankan bila mana tip seumpama itu diberikan dalam satu seminar untuk golongan setiausaha yang majoritinya wanita. Bukankah mereka sepatutnya diberi pendedahan dan ilmu terkini tentang bagaimana untuk menjadi setiausaha yang lebih berkesan? Saya yakin, tip seumpama ini tidak akan diberikan ketika meraikan sesuatu yang bersifat maskulin, Hari CEO, misalnya. Malah, tiada siapa yang terfikir untuk memberikan tip seumpama itu dalam majlis tersebut.
Sambutan yang amat positif terhadap tip ini menggambarkan mentaliti masyarakat kita. Mentaliti 'perempuan perlu melayan lelaki' ini nampaknya masih menebal dan meluas. Kalau 20 tahun dahulu, ceramah agama menekankan kepada keperluan isteri melayani suami sebaik-baiknya, itu dapat diterima. Mentelah pula, pada masa itu, rata-rata penceramahnya adalah lelaki. Tetapi, pada tahun 2004 ini, bila anjuran yang sama masih dibuat, malah oleh penceramah wanita pula, saya merasa sedih dengan hala tuju masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini.
Melayan suami memang menjadi tanggungjawab isteri. Tiada seorang wanitapun, khususnya wanita Islam, yang tidak tahu tentang hal ini. Di rumah, sejak kecil lagi anak perempuan melihat cara ibunya melayan bapa. Dari sini mereka belajar tentang peranan seorang isteri. Bukan itu sahaja, anak perempuan juga dibesarkan dengan fahaman bahawa mereka perlu melayan adik-beradik lelaki. Siapkan makan, lipatkan baju, kemaskan meja dan segala-galanya.
Mentaliti perempuan melayan lelaki ini terbawa-bawa dalam persekitaran pejabat. Dalam mesyuarat, wanita yang mesti berkhidmat kepada lelaki. Dari menutup pintu mesyuarat, mengambil minit, menutup atau memasang suis lampu dan sebagainya. Malah, dalam majlis-majlis tertentu, wanita juga yang membawa buku cenderamata untuk diberi kepada VIP atau membawa penggelek untuk mengeringkan dakwat pen selepas menandatangani MOU.
Oleh kerana berjayanya proses penanaman fahaman ini, saya kira, cukuplah didikan seumpama itu. Wanita tidak melayan suami bukanlah satu isu yang kritikal dalam masyarakat kita di abad ke-21 ini. Ada isu yang lebih besar lagi dalam hubungan keluarga, khususnya keluarga Melayu Islam. Misalnya, suami yang lepas tangan terhadap nafkah keluarga hanya kerana isteri bekerja, ayah yang tidak memberi nafkah anak-anak selepas bercerai, keibubapaan yang kurang penglibatan bapa, isteri-isteri yang digantung tidak bertali dan sebagainya.
Kini bukanlah masanya untuk memberi penekanan kepada keperluan isteri melayan suami. Kini adalah masanya untuk mengingatkan kaum lelaki tentang peranan mereka memelihara wanita, bukan semata-mata menerima layan kelas pertama dari wanita. Tidak dinafikan bahawa isteri wajib melayan suaminya. Namun, hubungan rumahtangga bukanlah jalan sehala. Sebagai manusia, wanita juga perlukan layanan yang mesra dari suami.
Sikap timbal balas amat penting dalam hubungan suami-isteri seperti dalam ayat 187, Surah al-Baqarah, yang bermaksud, Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian buat mereka. Tetapi usaha untuk memantapkan hubungan suami-isteri sering kali ditujukan kepada wanita, sedangkan Allah berfirman dalam surah an-Nisaa', ayat 19, khusus untuk lelaki yang bermaksud, Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Malangnya, kita tidak mendengar seruan ini sekerap mendengar nasihat supaya isteri menyambut kepulangan suami dengan berhias cantik dan senyuman yang manis. Apa yang lebih malang, adab menyambut suami ini masih ditekankan di zaman wanita sama-sama keluar bekerja dan dalam banyak kes, pulang ke rumah pada masa yang sama dengan suami!
Ketika Haji Widak, Rasulullah SAW juga berpesan yang antara lain bermaksud, Bertakwalah (takutlah) kepada Allah dalam urusanmu dengan wanita. Mereka berada dalam pemeliharaanmu. Kamu telah mengambil mereka sebagai amanah dari Allah dan mereka dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah.
Akhlak yang baik terhadap mereka bukan hanya bermaksud tidak menyakiti dan menganiaya mereka tetapi juga menanggung segala kesusahan, bersabar dan mengikut contoh Rasulullah SAW (Riwayat Ibn Majah. Diterjemah dari rujukan Inggeris). Walaupun hadis ini sahih, tetapi, amat jarang kita mendengar hadis ini dikupas oleh penceramah agama.
Sebenarnya, banyak lagi hadis yang menekankan kepada tanggungjawab lelaki dalam memelihara hubungan kekeluargaan. Namun, ia jarang diketengahkan. Mungkin kerana dalam ceramah yang khalayaknya lelaki, isu rumahtangga, jarang disentuh kerana, sekali lagi, fahaman yang berakar umbi bahawa rumahtangga adalah domain wanita.
Jadi, hanya ayat-ayat atau hadis-hadis yang menekankan tentang tanggungjawab wanita sering diketengahkan manakala ayat-ayat dan hadis-hadis yang menekankan tentang tanggungjawab lelaki terhadap rumah tangga terus terkubur dari pengetahuan umum.
Demi hubungan kekeluargaan, khususnya hubungan suami-isteri yang lebih adil dan produktif di masa depan, utamakanlah penyebaran dan penerimaan ilmu yang lebih seimbang. Memang benar, maklumat yang sensasi dapat menarik perhatian, tetapi maklumat yang sebenar, dapat mengubah minda dan hala tuju masyarakat.
Renung-renungkan!
Rujukan : Siti Fatimah Abd Rahman, Fellow Kanan IKIM di www.ikim.gov.my & Utusan Malaysia 23/04/2004
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Februari 11, 2008
Hentikan mentaliti perempuan melayan lelaki
Susunan :
Bawang Goreng
pada
2/11/2008 12:02:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...