“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Februari 25, 2008

Q&A: Isteri sara suami mohon fasakh

Isteri sara suami mohon fasakh

Soalan
SAYA berusia 32 tahun, bekerja di pejabat manakala suami pula menganggur selama lebih tujuh tahun. Oleh kerana tidak tahan dan malu dengan sikapnya yang enggan bekerja saya terpaksa keluar dari rumah mertua dan menyewa bilik seorang diri. Suami masih tinggal bersama keluarganya sendiri.

Semua perbelanjaan rumah, kereta dan pakaiannya saya yang sediakan. Malah wang sakunya pun dia minta daripada saya. Akhirnya, saya membuat tuntutan cerai ke atas suami saya di pejabat agama, tetapi suami enggan menceraikan saya. Sudah banyak kali kami berulang ke pejabat agama untuk menyelesaikan masalah ini, namun tidak berhasil.

Sehingga kini sudah hampir 11 bulan saya hidup menyendiri. Setiap kali saya ajukan perkara ini pada suami, dia buat endah tak endah. Apakah yang patut saya lakukan? Tidak adakah cara saya menuntut keadilan?

- Delinda Naseem,

Kangar, Perlis.

Jawapan

Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab dan hak masing-masing yang perlu ditunaikan dan dipenuhi di antara satu sama lain. Suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri semasa dalam perkahwinan dan menjaga kebajikan serta permasalahan isteri.

Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarga (isteri, anak dan kerabat). Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku."

Sikap suami yang enggan bekerja dan menganggur selama lebih tujuh tahun membuktikan yang dia telah abai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

Walaupun suami puan enggan menceraikan, puan masih boleh meneruskan tuntutan untuk bercerai dengan terus mendaftarkan tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah Perlis. Puan boleh membuat permohonan untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh sebagaimana termaktub dalam peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perlis) 1999.

Dalam peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam (Negeri Perlis) 1999, menyatakan bahawa seorang perempuan yang telah berkahwin mengikut hukum syarak berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut:

*Bahawa suami tidak diketahui tempat tinggalnya selama lebih daripada setahun.

*Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

*Bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

*Bahawa suami telah tidak menunaikan kewajipan perkahwinan (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.

*Bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk.

*Bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit.

*Bahawa apabila isteri dikahwinkan, dia belum mencapai umur 16 tahun dan dia menolak perkahwinan tersebut sebelum dia berumur 18 tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya.

*Bahawa suami telah menganiaya isteri. Ia juga boleh bermaksud bahawa:

* suami telah sentiasa lazim menyakiti atau telah menjadikan kehidupan isteri menderita; atau

* suami telah berkawan dengan wanita yang tidak baik mengikut hukum syarak; atau

suami telah memaksa isteri hidup secara lucah; atau

* suami telah melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan haknya ke atas harta tersebut; atau

* menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan atau amalan agama; atau

* jika suami berpoligami, dia telah tidak melayani isteri secara adil menurut hukum syarak.

*Bahawa walaupun belum empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi kerana suami telah enggan bersetubuh dengan isteri.

*Isteri tidak merestui perkahwinan di antara mereka, sama ada kerana isteri telah dipaksa untuk berkahwin, tidak sempurna akal atau perkara lain yang diakui hukum syarak.

*Isteri menghadapi penyakit kurang siuman.

*Apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan di bawah hukum syarak.

Puan boleh memfasakhkan perkahwinan puan sebagaimana termaktub dalam seksyen 52 tersebut dengan sebab suami puan telah cuai menyediakan nafkah selama tempoh lebih daripada tiga bulan, malah puan pula yang menanggung suami.

Borang permohonan fasakh boleh didapati dari kaunter pendaftaran mahkamah secara percuma. Jika puan memerlukan bantuan untuk mengisi borang permohonan tersebut, mungkin pegawai mahkamah boleh membantu. Puan juga boleh meminta bantuan daripada petugas di Pusat Bantuan Guaman yang beralamat di 24, Tingkat Atas, Medan Raja Syed Alwi, Kangar.

Adalah penting untuk puan mengetahui alamat tempat tinggal suami puan yang tepat untuk diisi dalam borang permohonan tersebut, kerana ini dapat memudahkan Mahkamah menghantar saman berkenaan permohonan puan untuk memfasakhkan perkahwinan kepada suami.

Permohonan puan perlu didaftarkan di mahkamah dengan bayaran sebanyak RM49. Selepas 21 hari dari tarikh permohonan puan didaftarkan, mahkamah akan menetapkan tarikh pertama untuk mendengar permohonan tersebut.

- PERTUKARAN ALAMAT

Sisters In Islam telah berpindah ke alamat berikut:

No 7, Jalan 6/10, 46000

Petaling Jaya, Selangor.

Tel: 03-7785 6121/7784 2733/ 7784 4357

Faks: 03-7785 8737

RAZLINA RAZALI

Pegawai Undang-Undang

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails