Oleh: Prof. Madya Dr. Shah Reza, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
KEGEMBIRAAN sanubari ibu mungkin tergugat dengan kelahiran anak yang disayangi. Ramai ibu baru mengalami perasaan tidak stabil tetapi kebanyakan rungutan ini tidak berkekalan dan masih dapat ditangani.
Ketidaksaksamaan perasaan hati selepas kelahiran dikategorikan pada tiga suasana;
1. Postpartum blues atau bersedih selepas kelahiran - lazim berlaku kepada ramai ibu- ibu baru.
2. Kemurungan, kepiluan selepas kelahiran (postpartum depression) - teruk sedikit dari kesedihan selepas bersalin.
3. Psikosis selepas kelahiran atau meroyan (postpartum psychosis) - masalah jiwa yang serius dialami sesetengah ibu selepas bersalin.
Penyakit jiwa di kalangan ibu-ibu baru ini selalu dilupakan serta diabaikan. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap tumbesaran serta kelakuan anak-anak kelak. Penyakit jiwa ini boleh dirawat dan dalam kebanyakan kes, ibu-ibu berkenaan boleh kembali sembuh.
Kesedihan selepas bersalin (postpartum blues)
Keluhan ini kerap berlaku pada ibu-ibu yang baru bersalin. Masalah ini mungkin bermula sebaik sahaja kelahiran dan memuncak pada hari keempat ataupun kelima dan berterusan untuk beberapa hari berikutnya. Kebiasaannya, masalah ini tidak berkekalan dan kembali normal dalam masa dua minggu.
Rungutan serta kesedihan ibu-ibu dengan masalah ini juga tidak mengganggu fungsi mereka sebagai seorang ibu. Keluhan yang dialami turun naik, kadangkala menangis secara spontan dan juga rasa cemas serta ketakutan.
Kemurungan, kepiluan selepas kelahiran (postpartum depression)
Kemurungan ini mengganggu keupayaan ibu dalam penjagaan anaknya.
Perasaan mereka pada bayi juga tidak menentu, sehinggakan mungkin mengalami penekanan jiwa yang boleh membawa kepada mencederakan bayi secara fizikal.
Ibu-ibu yang berisiko adalah mereka yang mempunyai sejarah kemurungan sebelum, semasa dan juga selepas mengandung.
Lazimnya kemurungan berlebihan selepas mengandung ini berlangsung secara perlahan-lahan sepanjang tempoh tiga bulan selepas kelahiran. Kemurungan ini juga lebih teruk dari kesedihan postpartum blues. Lazimnya keabnormalan ini datang secara mendadak (sekiranya dibandingkan dengan postpartum blues) dan lebih berkekalan serta banyak kerenah berbanding dengan postpartum blues.
Ibu-ibu ini mungkin menangis tanpa sebab, tidak mampu bergembira walaupun dengan kehadiran bayi, tidak boleh tidur, keletihan, kurang selera makan, dan mungkin mempunyai fikiran untuk membunuh diri. Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai perasaan cemas yang keterlaluan terhadap kesihatan serta keselamatan bayi.
Paling membimbangkan adalah kemungkinan hadirnya perasaan negatif serta ingin mencederakan bayinya, menyebabkan kegagalan ibu dalam penjagaan anak serta dirinya sendiri.
Psikosis postpartum
Masalah ini merupakan peringkat sakit jiwa selepas bersalin yang paling parah serta teruk tetapi keadaan ini jarang berlaku. Mereka yang berisiko adalah mereka yang mempunyai penyakit keresahan bipolar ataupun pernah mengalami psikosis postpartum selepas bersalin sebelum itu.
Psikosis ini juga datang secara mendadak, mungkin seawal 48 hingga 72 jam selepas kelahiran dan secara amnya berlaku sekitar masa dua minggu selepas kelahiran.
Penyakit ini lebih teruk dari segi rungutan si ibu berbanding dengan dua penyakit sebelum ini.
Ibu-ibu ini mungkin tiba-tiba mempunyai perasaan gembira serta bersedihan secara berulang-ulang. Mereka juga mungkin mempunyai halusinasi penglihatan serta pendengaran yang boleh membahayakan nyawa ibu serta bayi yang baru dilahirkan.
Kadangkala ibu-ibu dengan masalah ini akan mempunyai delusi yang mengaitkan bayi dengan sesuatu yang tidak masuk akal, seperti bayi itu jelmaan syaitan dan sebagainya.
Ibu-ibu yang menghidapi penyakit ini boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian bayi serta dirinya sendiri.
Mengenali masalah jiwa selepas bersalin
Pengamal serta penjaga kesihatan setempat perlu mempunyai pengamatan teliti terhadap mana-mana ibu-ibu baru di kawasan mereka semasa pemeriksaan susulan kesihatan sama ada ketika lawatan ke rumah ataupun di klinik-klinik. Jangan menganggap kemurungan ataupun kesedihan ini sebagai implikasi kehadiran insan baru dan ditohmahkan sebagai insiden biasa semata-mata!
Walaupun syukur sekali ramai ibu pulih dalam jangka masa yang pendek, perlu diingat bahawa keabnormalan kelakuan serta pemikiran ini boleh kembali dan mungkin juga berterusan untuk setahun lamanya.
Memang sukar untuk kepastian pengenalan siapa yang mungkin akan mengalami keabnormalan jiwa ini. Pengamal serta penjaga kesihatan perlu memantau ibu-ibu mengandung serta sejarah kesihatan lampau mereka. Kadangkala, kelemahan sokongan daripada ahli keluarga juga boleh membawa kepada penyakit kejiwaan ini.
Ketidakharmonian rumah tangga menjadi antara faktor penting yang perlu ditangani.
Keadaan-keadaan lain seperti kematian ahli keluarga terdekat, kesusahan kewangan dan juga akibat dari kehilangan upaya seperti kehilangan kerja mungkin meninggalkan kesan kepada ibu berkenaan.
Dengan kata lain, mana-mana acara kehidupan yang menzalimi kehidupan seorang ibu baru mampu mencetuskan penyakit kejiwaan ini.
Rawatan
Ibu-ibu ini perlu dirawat di hospital sementara penyakit-penyakit fizikal lain akan memerlukan ujian lanjut. Darah akan diambil untuk melihat apa-apa kelainan yang mungkin berkaitan dengan masalah yang dihadapi.
Lazimnya doktor-doktor yang pakar dalam bidang psikiatri akan melibatkan diri dalam merawat ibu-ibu yang malang ini. Sekiranya ubat-ubatan diberikan, doktor akan menasihati ibu-ibu ini mengenai kemungkinan kesan sampingan ubat yang digunakan pada kandungan susu badan dan akan menasihatkan mereka untuk tidak menyusu buat sementara waktu.
Ibu-ibu ini juga mungkin akan dirawat semasa mengandung lagi sekiranya mereka diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dengan pemberian ubat antikemurungan dimulakan sebaik sahaja bayi dilahirkan.
Dalam pada itu, penyakit kejiwaan ini turut berkemungkinan akan mengganggu hubungan antara ibu dan anak. Anak-anak daripada ibu yang mengalami keabnormalan serta penyakit kejiwaan ini berisiko untuk mengalami keabnormalan kelakuan serta perangai.
Kesukaran tidur, kurang selera makan, terlampau aktif, mempunyai ledakan kemarahan berapi secara tiba-tiba dan masalah dari segi pergaulan sosial menjadi contoh masalah yang mungkin dihadapi anak yang berkaitan dengan keadaan jiwa ibu.
Anak-anak ini juga mungkin sedikit lambat dari segi fungsi kognitif badan sementara emosi mereka juga mungkin berlainan daripada biasa dan juga kelainan dari segi sosial. Insiden kemurungan di kalangan anak-anak ini juga berkemungkinan akan meningkat.
Akhir sekali, mereka yang terdekat seperti suami, mentua dan adik-beradik mampu mengenali masalah ibu-ibu baru ini melalui sebarang perubahan yang berlaku. Sokongan-sokongan mereka yang rapat dengan pesakit juga dapat membantu mereka pulih daripada masalah jiwa selepas bersalin.
Sumber: Utusan 03/02/2008.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...