SOALAN:
SAYA dan teman wanita sudah membuat perancangan untuk berkahwin. Dia asalnya orang Jepun yang kini dalam proses memeluk Islam. Seorang pegawai di pejabat agama daerah memberitahu kami bahawa teman wanita saya perlu menukarkan namanya kepada nama Islam.
Teman wanita saya mahu mengekalkan nama asalnya dan cuma menggantikan nama keluarganya dengan nama Abdullah. Dia mahu mengekalkan namanya kerana itu adalah nama arwah ibu kesayangannya.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima keputusannya, tetapi pegawai tersebut tetap tegas mengarahkan teman wanita saya memilih nama baru. Saya buntu. Apa yang patut kami buat?
- Syed Zaman Syed Bukhari, Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
ADALAH menjadi amalan biasa di Malaysia di mana seseorang yang ingin memeluk agama Islam diminta memilih dan menukar nama asalnya kepada nama baru yang dikategorikan sebagai 'nama Islam'. Ini dianggap sebagai satu keperluan yang harus dipenuhi oleh seorang saudara baru.
Walaupun pegawai yang mengendalikan proses pemelukan agama akan menegaskan agar saudara baru tersebut menukar namanya, amalan ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang asas menurut undang-undang syariah Malaysia mahupun al-Quran.
Untuk pengetahuan saudara, undang-undang berkenaan pemelukan agama Islam bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur terdapat di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. Seksyen 85(1) Akta tersebut menggariskan syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memeluk agama Islam. Syarat-syaratnya adalah:
* Orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab dengan jelas;
* Semasa mengucap dua kalimah syahadah itu, orang itu mestilah faham bahawa maknanya ialah “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah Pesuruh Allah”;
* Syahadah itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.
Selain itu, seksyen 95 Akta yang sama pula menetapkan syarat-syarat bagi orang yang ingin memeluk Islam. Menurut seksyen ini, orang bukan Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan sudah mencapai umur 18 tahun, atau sudah mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaganya jika dia masih belum mencapai umur 18 tahun.
Seperti yang dapat kita lihat, keperluan menukar nama tidak tersenarai dalam kedua-dua peruntukan undang-undang di atas.
Al-Quran tuntas menegaskan bahawa orang yang akan mendapat balasan baik di Padang Mahsyar nanti adalah mereka yang bertaqwa dan berhati suci, dan bukannya seseorang yang mempunyai nama-nama tertentu. Ini dapat dilihat melalui Surah Qaf ayat 31 hingga 34. Ajaran Islam pula menekankan bahawa taklid adalah berhubungkait dengan rohani, jasmani dan keluhuran jiwa seseorang.
Perkara-perkara ini tidak semestinya dilambangkan oleh nama yang dimiliki seseorang.
Walau bagaimanapun, orang yang ingin memeluk Islam digalakkan mempunyai nama yang membawa maksud yang baik dan ada unsur-unsur positif. Jika dia mempunyai nama yang membawa konotasi negatif, adalah dinasihatkan agar dia menukar namanya kepada nama yang lebih baik.
Namun begitu, nama baru itu tidak semestinya 'nama Islam'. Apatah lagi, 'nama Islam' seperti yang disarankan oleh pegawai tersebut sebenarnya hanya merupakan nama dalam bahasa Arab.
Ini sebenarnya merupakan satu amalan kontemporari. Orang yang memeluk Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. tidak diarahkan menukar nama melainkan nama asal mereka mempunyai makna yang kurang baik.
Sumber : Utusan
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...