“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Februari 21, 2008

Tips memilih pengasuh

DILEMA bagi ibu berkerja dan tidak mempunyai pembantu rumah ialah mencari pengasuh yang sesuai dan boleh dipercayai untuk anak-anak. Banyak perkara perlu diberi perhatian serius kerana anak-anak akan ditinggalkan seharian di bawah jagaan pengasuh.

Faktor keselamatan adalah paling meruncing, selain soal kaedah asuhan, penjagaan dan kebersihan. Berikut tujuh panduan bagi mengenal-pasti pengasuh anak anda tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Tips #1

Apabila menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska pada pagi hari, anak tidak memberikan reaksi gembira seperti senyum ketika disambut oleh pengasuhnya. Seorang pengasuh memang tidak boleh menggantikan tempat seorang ibu, namun bayi haruslah mempunyai kepercayaan serta mempunyai perasaan suka serta menyayangi pengasuhnya. Kemungkinan bayi anda dan pengasuh tidak mempunyai ‘ikatan kasih sayang’ ataupun pengasuh itu sendiri tidak menunjukkan kasih sayang serta keselesaan yang dimahukan oleh bayi. Dalam apa jua hubungan kemanusiaan, chemistry penting bagi mencapai keserasian.

Tips #2

Pengasuh terlalu berahsia tentang apa yang dilakukan sepanjang hari bersama anak anda. Pengasuh yang baik, akan menceritakan perkara yang dia lakukan bersama anak anda, malah perkara baru seperti anak mula memanjat atau meminta makanan dijadikan topik perbualan mesra antara ibu bapa dan pengasuh. Sudah pasti sebagai ibu bapa kita sendiri tertanya-tanya apakah yang dilalui oleh anak sepanjang kita keluar ke tempat kerja. Katakanlah pengasuh anda itu tidak begitu fasih dalam bahasa anda (contohnya pembantu rumah dari Indonesia) ia masih bukan menjadi masalah untuk mengetahui apa yang berlaku di rumah, rumah pengasuh atau taska tentang apa yang berlaku.

Tips #3

Anak anda mudah sangat terjatuh atau tersungkur, ini dapat dilihat menerusi kesan benjol di dahi atau apa saja yang nampak lain pada mata anda. Seorang pengasuh yang baik mesti sentiasa mengambil tahu tentang apa yang bayi lakukan dan pastikan persekitarannya selamat seterusnya mengelakkan sebarang kemalangan. Jika perkara seperti itu berlaku, kemungkinan anak anda dibiarkan bermain sendirian tanpa pengawasan pengasuh.

Tips #4

Anda seringkali perasan bahawa arahan anda kepada pengasuh tidak diikuti. Sebagai contoh anda telah memberi nasihat kepada pengasuh bayi anda agar tidak memberikan air manis kepada anak, namun pengasuh bertindak seperti lebih tahu daripada anda.

Tips #5

Jika anda mengupah pengasuh yang berulang alik ke rumah anda, pastikan dia datang tepat pada masanya, jika dia sering kali lewat, carilah pengganti yang lebih komited dan memahami kehendak anda. Sikap lepas tangan dan punca kelewatan yang tidak boleh diterima akal bermakna pengasuh itu memang tidak bertanggung jawab dalam hal menjaga anak anda juga.

Tips #6

Bayi anda sering kelihatan tidak terurus dan kotor. Jika perkara asas tentang kebersihan bayi tidak dapat ditangani oleh pengasuh bayi, maka sudah tentu dia tidak mampu memberikan keperluan lain seperti makan, minum, layanan dan sebagainya.

Tips #7

Pengasuh bayi anda sering kali mereka cerita. Sebagai ibu bapa jangan sesekali bertolak ansur dengan pengasuh yang suka menipu, bercakap bohong, mencuri dalam apa jua cara sekali pun. Kepercayaan serta keyakinan antara ibu bapa dan pengasuh harus wujud demi mewujudkan hubungan yang baik antara bayi, pengasuh dan ibu bapa.

* Panduan dipetik dan diubahsuai dari laman web www.babycenter.com

Sumber : Utusan 21/02/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails