Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH (Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor)
SOALAN:
PADA zaman sekarang, ramai yang terpedaya dengan cara penampilan seseorang. Contohnya, kalau orang itu ulama besar, maka dia mesti berjanggut, memakai jubah dan berserban. Sehinggakan jika ulama itu berpakaian moden sedikit maksudnya tidak berjubah dan berserban, ramai yang berpendapat dia orang yang tidak berilmu. Soalannya, apakah cara berpakaian sudah cukup dijadikan asas menentukan seseorang itu ulama atau sebaliknya?
JAWAPAN:
ULAMA perlu ada identitinya. Maka identitinya ialah pakaian. Di sesetengah negara, pakaian itu melambangkan bahawa dia adalah orang alim. Ulama itu dikenali dengan pakaian jubahnya, serbannya dan cara perwatakannya.
Mereka berpakaian demikian adalah semata-mata kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. Walaupun sebahagian negara Arab menjadikan memakai jubah itu sebagai budaya. Sekiranya orang itu memakai jubah kerana pakaian itu menjadi tradisinya masyarakatnya maka dia hanya mendapat pahala kerana menutup aurat.
Jika dia berpakaian kerana mahu mencontohi Rasulullah SAW, maka dapat pahalanya kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. Bezanya di sini ialah niat.
Namun demikian pengalaman semasa berada di Jordan selama lima tahun, saya dapati cara berpakaian ulama di sana terbahagi kepada dua. Para sarjana Islam di universiti-universiti Jordan yang berasal dari Jordan mahupun Palestin mereka berpakaian seperti ahli korporat.
Pakaian mereka ialah blazer dan bertali leher. Dan ada pula yang membaca khutbah dengan berpakaian demikian. Kerana bagi mereka, Islam tidak memutlakkan pakaian ulama mesti berjubah dan berserban serta berjanggut.
Bila kita teliti ulama yang berjubah, berserban dan berjanggut itu lebih sunahnya. Ulama yang tidak berjubah dan tidak berserban itu tidak boleh dikatakan tidak mengikut sunah. Menutup aurat dan berpakaian kemas juga termasuk di dalam mengikut sunah Rasulullah SAW.
Pandangan saya, yang perlu diberi perhatian ialah kepada ilmu ulama itu bukan pada pakaiannya. Pakaian yang melambang zahir seseorang dan belum tentu orang itu benar-benar berilmu dalam agama.
Contohnya di Iraq, orang yang berjubah dan berserban dikategorikan sebagai alim dalam empat mazhab. Sebab itu pakaian itu adalah sebahagian daripada sunah Rasulullah SAW, dan banyak lagi sunah baginda yang lebih besar yang terabai.
Berjubah, berjanggut dan berserban semata-mata bukan tiket untuk digelar ulama. Lebih-lebih lagi bila seseorang alim itu terikat dengan etika berpakaian di tempat kerja. Di negara ini masyarakat Islam masih melihat yang ulama mesti berjubah dan berjanggut atau berserban kalau tidak dia akan dipandang serong seolah-olah tidak cukup sifat kewarakannya.
Kesimpulannya, masyarakat perlu melihat kepada ketokohan seseorang itu daripada sudut ilmunya, penghayatannya, cara komunikasinya, kesungguhannya dalam kerja dan cintanya pada Islam. Bukan sekadar melihat dan menilai seseorang itu melalui zahirnya.
Baginda Rasulullah SAW menjelaskan bahawa Allah SWT melihat pada hati dan amalan seseorang itu bukanya pada zahir seseorang.
Daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu akan tetapi Allah melihat kepada hati perut kamu dan amalan kamu." (riwayat Muslim, no: 4651)
Dalam sepotong hadis yang lain diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula melihat kepada rupa paras kamu akan tetapi perkara yang dilihat oleh Allah ialah hati kamu. Lalu baginda mengisyaratkan ke arah hati baginda dengan jari-jari baginda." (riwayat Muslim, no: 2564)
Sumber : Utusn 22/02/2008
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...