“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Februari 17, 2008

Musafir wanita tanpa mahram

Jawapan:

Soalan seperti ini sudah banyak kali diajukan kepada saya. Jawapan rasmi di Malaysia, haram musafir bagi wanita tanpa mahram itu. Saya pernah mendengar sendiri, pihak Tabung Haji tidak izinkan wanita me nunaikan ibadat haji tanpa mahramnya.

Pendapat seperti ini sesuai dengan apa yang difatwakan oleh ulama besar di Syria, Wahbah al-Zuhaili yang menyatakan, “Tidak harus wanita melakukan haji dan umrah tanpa mahram. Namun menurut beliau, mazhab Syafii membolehkan haji wajib, tetapi bukan umrah. Jika haji sunat (kali kedua atau ketiga) diwajibkan ada mahram.

Pendapat yang sama diberikan beliau ketika ditanya tentang wanita ke luar negara bagi mencari ilmu. Katanya, mesti bersama mahram. Jika terpaksa, mesti ditemani, sekurang-kurangnya ada wanita bersama yang dipercayai.

Namun agak menarik perkara ini diwacanakan semula. Jika berpegang kepada pendapat seperti itu, boleh dikatakan seluruh ibu bapa beragama Islam di Malaysia dewasa ini berdosa. Manakan tidak, boleh dikatakan setiap rumah di Malaysia ada sahaja anak perempuan mereka belajar atau bekerja di luar negara atau di luar daerah tempat tinggal, atau suami melepaskan isteri ke out-station.

Persoalan ini berbangkit daripada maksud hadis: Tidak boleh wanita musafir kecuali ber samanya mahram. Hadis Sahih, Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas.

Hadis sebegitu, sepatutnya bukan sekadar diambil begitu sahaja. Al-Qaradawi, ketika membincangkan panduan dan disiplin memahami hadis dalam bukunya: “Bagaimana Berinteraksi Dengan Hadis Nabi” menyatakan, hadis hendaklah difahami dalam skop sebab atau alasan kenapa hadis menyebut begitu.

Adakah dihukum haram semata-mata tanpa mengambil kira kondisi, atau kepentingan tertentu, atau menolak sesuatu keburukan. Ini memerlukan satu kefahaman mendalam, penelitian yang halus, malah kajian lebih meluas terhadap nas-nas yang lain juga.

Jika memahami al-Quran perlu kepada latar belakang sebab turun ayat, hadis juga perlu diketahui sebab melatar belakangi hadis itu. Berbalik kepada hadis di atas, apa sebe- narnya alasan pengharaman itu?

Larangan berlaku kerana bimbangkan keselamatan wanita yang musafir tanpa mahram (pada masa itu musafir melalui unta di tengah padang pasir pada kawasan terpencil) akan terdedah kepada bahaya atau menjatuh maruah mereka.

Berbeza

Menurut al-Qaradawi, ketika keadaan sudah berbeza, unta bertukar kapal terbang yang penumpangnya ramai, tidak ada lagi kecurigaan mendatangkan bahaya bagi wanita bersendirian, hukumnya turut berubah.

Justeru itu, ada ulama yang membenarkan wanita menunaikan haji tanpa mahram atau suami, jika ada wanita lain bersamanya yang boleh diharap, malah isteri nabi Siti Aisyah pernah ke Mekah dari Madinah pada zaman pemerintahan Umar tanpa mahram tetapi ditemani para sahabat seperti Uthman dan Abdul Rahman bin ‘Auf.

Pandangan ulama yang lebih terbuka mengharuskan wanita musafir, jika aman perjalanan. Namun mazhab Syafii berpendapat sebaliknya. Dalam hubungan ini, ingin ditekankan bahawa hukum boleh berubah mengikut perubahan adat dan uruf. Di Arab Saudi tidak membenarkan wanita bermalam di hotel tanpa mahram. Kini peraturan itu sedang dikaji untuk ditarik balik.

Apakah berdosa wanita memandu kereta berseorangan? Di Saudi wanita masih belum diizin memandu kereta bersendirian. Tetapi di Malaysia agaknya tidak lagi menjadi isu.

Bagi menjawab persoalan seperti ini, penulis lebih cenderung kepada pandangan ulama berkaliber, Yusuf al-Qaradawi menimbangkan hukum berasaskan uruf atau adat stempat. Katanya, jika kita membaca kitab fikah Islam, banyak hukum yang dahulu tidak dibolehkan, dewasa ini diboleh kan. Ini berlaku hasil kemajuan sains, teknologi, ekonomi dan tamadun.

Hukum asal dalam perniagaan tidak membenarkan bayaran tertangguh. Diambil pembeli barangan dan dibayar tunai. Tetapi pembelian hari ini yang menggunakan cek, pembayaran hari Khamis akan ditunai dua atau tiga hari ke depan. Jika Sabtu dan Ahad bank cuti, cek dapat ditunai pada hari Isnin, lewat empat hari. Namun masyarakat pada hari ini sudah menerima pembayaran seperti itu.

Justeru itu, banyak perkara pada hari ini sudah berubah oleh perubahan ekonomi, sosial dan politik memerlukan fuqaha memberikan pandangan baru.

Beberapa contoh lain boleh dikemukakan. Banyak yang mengajar wanita tidak boleh ke masjid untuk bersembahyang, sebab ada larangan berbuat begitu. Ketika wanita sudah ke mana-mana sama ada pasar, sekolah, pejabat mahupun keluar negara, apakah wajar larangan begitu diteruskan?

Kenyataan ini bukanlah bermaksud menidakkan pendapat yang lama, tetapi ia tetap perlu diwacanakan terutama oleh mereka yang berkeahlian untuk memudahkan kehidupan pada zaman moden ini.

Mengambil sikap jumud dalam persoalan seperti ini menyebabkan, seperti kata Syakib Arsalan, umat Islam terus mundur. Ini bukanlah pula bermaksud ijtihad boleh dibenarkan kepada siapa sahaja hatta kepada mereka yang buta al-Quran dan buta hadis.

Ada mereka yang tidak cukup syarat, tetapi dengan beraninya ingin mencampak ke laut segala warisan fikah lama atau kitab-kitab imam Syafii, atau hadis Bukhari. Mereka yang tidak layak ini, tidak pula melayakkan mereka ingin menjadi pemikir zaman ini. Fikah tetap dipertahankan, tetapi ia me merlukan pembaharuan. Apa yang tidak boleh diperbaharui adalah syariat Islam, teks al-Quran dan nas hadis. Soal pentafsirannya zaman sudah berubah, ilmu jauh berkem bang, lalu pentafsiran turut berubah.

Isu kewanitaan dalam Islam banyak yang perlu dinilai semula. Wanita yang dianggap menganggotai separuh masyarakat tidak harus diabai atau dizalimi hak mereka.

Justeru itu, isu wanita musafir tanpa mahram harus dilihat secara lebih luas. Apalagi keadaan masa kini banyak pengawasan di luar negara seperti hal ehwal pelajar di kedutaan, persatuan pelajar dan pelbagai lagi, malah sistem sokongan dan pengangkutan yang cukup canggih. Asalkan sahaja anakanak perempuan ini tidak mendedahkan diri mereka kepada kegiatan antisosial atau gejala maksiat. Wallahualam.

* Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Sumber : Utusan

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails