Assalamualaikum warahmatullah,
SECARA tradisinya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggung jawab untuk mengurus dan mentadbir rumah tangganya. Umum memaklumi bahawa tanggung jawab wanita sebagai seorang isteri atau ibu adalah memastikan keluarganya dapat diuruskan dengan baik. Rezeki yang diberikan oleh suami dapat diagih-agihkan kepada setiap ahli keluarga dengan adil dan menjadikan setiap ahli keluarga merasa selesa.
Memikul peranan sebagai seorang ibu juga termasuklah memelihara anak-anak dengan memberikan didikan yang sempurna. Kedudukan wanita yang telah berumah tangga dan pelaksanaan tanggung jawab ini selaras dengan maksud sebuah hadis Nabi yang berbunyi, "Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya" dinyatakan juga padanya: Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."
Kedudukan seseorang wanita yang telah berumah tangga juga terikat dengan ketentuan Islam yang menjadikan lelaki sebagai ketua rumah tangga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya." (Surah an-Nisaa', ayat 34)
Apabila kita menggabungkan kedua konsep ini, mengenai kedudukan wanita dan lelaki dalam rumah tangga masing-masing menunjukkan bahawa pengurusan dan pelaksanaan pentadbiran yang dilakukan oleh si isteri mestilah seiring dengan dasar yang telah ditentukan oleh si suami sebagai ketua rumah tangga. Selain itu juga berdasarkan apa yang dapat difahami dalam kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa isteri mesti taat kepada perintah suami dalam bentuk menjaga nama baik keluarga, menjaga amanah dari suami seperti hartanya, memastikan keputusan yang dibuat olehnya hanyalah dalam lingkungan keizinan suami dan keluar rumah dalam keizinan pihak suami termasuklah bagi tujuan untuk keluar bekerja.
Namun demikian, jika kita perhatikan dari aspek kedudukan wanita Islam sebagai pengurus rumah tangga dengan realiti yang ada, apa yang berlaku pada hari ini kelihatan tidak seiringan dengan konsep yang dinyatakan dalam maksud hadis di atas. Semakin ramai wanita yang berkahwin tidak menjadi suri rumah sepenuh masa. Rata-rata di kalangan wanita yang berpendidikan tinggi pula mempunyai kerjaya yang setanding dengan pendidikan yang ada. Pada diri wanita-wanita ini terdapat berbagai-bagai alasan mengapa mereka perlu ke luar dari rumah untuk bekerja dan berkerjaya.
Alasan atau faktor pertama yang menyebabkan wanita ini bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki. Apabila ibu bapa mereka telah memberikan pendidikan secara formal sejak mereka kecil, tentulah apabila dewasa mereka mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Bekerja adalah pendekatan yang secara lumrah digunakan bagi membolehkan mereka mengimplementasi pengetahuan dan kemahiran tersebut dan pada masa yang sama mereka memperoleh ganjarannya. Mempunyai pendapatan sendiri merupakan suatu kejayaan yang besar nilainya, dan tentulah mereka ingin berkongsi kejayaan tersebut dengan orang yang sebelum itu memberi dorongan yang tidak berbelah bahagi, iaitu ibu bapa.
Apabila kita menyebut soal ganjaran, antara ganjaran yang dapat dimiliki oleh wanita yang bekerja dan bekerjaya ialah, sesebuah kerjaya berupaya menjadikan seseorang wanita memperbaiki dirinya sebagai seorang individu. Kerjaya dapat memberikan pengalaman kepadanya, kematangan dalam memberi persepsi mengenai kehidupan, keyakinan dan sebagainya. Malah, kerjaya yang dimilikinya dapat menjadikannya sebagai seorang ibu yang boleh mendidik anak-anaknya dengan cara yang lebih berkesan dan praktikal. Keadaan ini sudah pastinya memberikan nilai yang jauh lebih baik sekalipun dia terpaksa mengorbankan sebahagian daripada masanya untuk berada di rumah. Dan kita boleh menganggap bahawa ini adalah faktor kedua yang menyebabkan sebahagian daripada wanita memilih untuk keluar bekerja.
Sebab lain yang mendorong wanita untuk keluar dari rumah untuk bekerja adalah tekanan keperluan kehidupan. Adalah suatu perkara yang lumrah pada hari ini untuk mengatakan bahawa pendapatan yang hanya datang dari pihak suami kurang mencukupi bagi sesebuah keluarga menjalani kehidupan mereka. Apatah lagi dalam keadaan taraf kehidupan pada hari ini yang semakin tinggi. Oleh sebab itu, wanita secara sukarela mengambil keputusan untuk keluar rumah bekerja bagi mendapatkan pendapatan lebih bagi keluarganya sebagai memastikan keluarganya berada dalam keadaan yang selesa.
Apabila wanita-wanita ini sudah berada di luar rumah, maka mereka terpaksa memendekkan masa dalam mengurus hal-hal rumah tangga. Sesetengah mereka tidak menghadapi masalah kerana ahli-ahli keluarga yang lain, terutamanya pihak suami memahami keadaan mereka. Walaupun demikian, sesetengah mereka yang lain merasa agak tertekan kerana keluarga masih menuntut perhatian secara sepenuhnya apabila wanita ini pulang dari tempat kerja. Masalah ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang berpendidikan sederhana tetapi turut dialami oleh mereka dari golongan professional seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya. Sesetengah kaum bapa tidak menyedari dan tidak cuba memahami tekanan yang dialami oleh isteri mereka kerana menganggap bahawa kerja-kerja di rumah mudah untuk dilaksanakan dan ia adalah suatu fitrah untuk dilaksanakan oleh kaum ibu. Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah suatu dilema dalam diri wanita berkenaan.
Dilema yang dialami merupakan suatu rasa keliru dan bersalah berhubung peranan mereka sebagai seorang isteri (dan juga ibu) dengan tuntutan naluri sendiri untuk bekerja. Rata-rata golongan wanita yang berpendidikan amat memahami tentang konsep kedudukan wanita dari segi syariahnya dan cuba untuk menyempurnakan tanggung jawab tersebut secara sempurna. Akan tetapi, keadaan mereka yang bekerja sudah tentu menghalang pelaksanaan ini dibuat secara sempurna dan tekanan menjadi lebih berat apabila pihak suami mempertikaikan kegagalan mereka melaksanakannya dengan sempurna (disebabkan keizinan yang diberikan oleh suami kepada isterinya adalah keizinan separuh hati). Tuntutan tanpa toleransi dari pihak suami terutamanya seolah-olahnya menjadi syarat yang menderakan bagi mendapatkan keizinan dari suami untuk memiliki kerjaya. Hal ehwal rumah tangga masih sepenuhnya berada di atas bahunya. Sekalipun kewujudan pembantu rumah sewajarnya dapat mengurangkan beban kerja yang ada, tetapi sesetengah suami tetap mahukan urusan-urusan tertentu dilakukan oleh pihak isteri kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja pembantu rumah. Keletihan isteri tidak diambil kira dan menganggap bahawa, oleh sebab suami merupakan ketua rumah tangga dan isteri berkewajipan mentaatinya, maka dia mempunyai hak untuk mempertikaikan kepatuhan dan ketaatan isteri terhadapnya. Bagi wanita yang berhadapan dengan situasi ini, mereka akan menganggap bahawa mereka tidak dilayan dengan adil dan pihak suami sebenarnya telah memanipulasi kuasa kepimpinannya di dalam keluarga.
Sekiranya keadaan ini dibiarkan, tekanan yang dialami akan menjadikan keadaan rumah tangga yang kurang sihat selain berlakunya ketidakstabilan dalam rumah tangga. (Hasil penyelidikan yang dibuat oleh majalah-majalah yang berkonsepkan feminisme menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah isu yang remeh temeh malah perlu diberi perhatian yang wajar) Keadaan yang kurang menyihatkan ini perlu ditangani agar tidak menyebabkan kerapuhan institusi kekeluargaan dan merantaikan masalah-masalah sosial yang lebih buruk. Di dalam hal ini, sudah pasti kaum wanita yang menghadapinya inginkan penyelesaian yang diredai oleh Allah SWT, tidak merasa bersalah untuk memberi penumpuan kepada kerjaya dan masih merupakan seorang isteri atau ibu yang taat dengan perintah Allah.
Dapat kita perhatikan di sini bahawa masalah yang dihadapi oleh wanita malang ini sebenarnya ialah penerimaan hakikat oleh pihak suami dalam kesediaan mereka untuk bertoleransi dengan keadaan tersebut. Ayat ke 34 surah an-Nisaa' sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini mengemukakan tentang kepimpinan seseorang lelaki dan kuasa autokrasinya, yang antara natijahnya memerintahkan ketundukan dan ketaatan pihak wanita atau isteri terhadapnya.
Kepimpinan ini adalah disebabkan beberapa kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada golongan ini berbanding wanita. Dan kelebihan ini sebenarnya disertai dengan pelaksanaan tanggung jawab yang besar. Apabila seorang lelaki menjadi ketua rumah tangga, dia bertanggung jawab untuk mencari pendapatan demi memberi perlindungan dan makan pakai kepada ahli kelurganya. Selain itu, dia juga perlu menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak, juga sumber bagi setiap ahli keluarganya melakukan aktiviti-aktiviti sosial. Dan yang paling utama ialah memastikan akidah setiap ahli keluarganya tidak terpesong. Tanggung jawab ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf." (Surah al-Baqarah, ayat 233)
Di dalam Islam, perbincangan yang berkaitan dengan rumah tangga lazimnya menjadikan kedua-dua dalil yang dinyatakan sebelum ini sebagai asas dan prinsip yang menjadi pegangan dalam berumahtangga. Walau bagaimanapun, pada pendapat penulis konsep "lelaki adalah pemimpin atau ketua bagi wanita" sebenarnya perlu sama-sama diseimbangkan dengan ketentuan-ketentuan yang lain dalam ajaran Islam. Dan dalam konteks ini keseimbangan dan kesaksamaan perlu diwujudkan dalam menyediakan penyelesaian berhubung pengurusan rumah tangga disebabkan isteri sama-sama keluar bekerja. Iaitu suatu penyelesaian yang bersifat fleksibel dan tidak mengetepikan kepentingan dan kebajikan kaum wanita.
Perkara utama yang perlu diambil perhatian ialah penerimaan hakikat mengenai perubahan sosial yang berlaku pada hari ini yang telah menggerakkan wanita untuk turut menyertai sektor pekerjaan. Jika kita perhatikan faktor pertama dan kedua yang membawa wanita berpendidikan bekerja dan seterusnya berkarier sebenarnya faktor-faktor ini adalah rantaian dari saranan Islam dalam aspek mencari ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam lelaki dan perempuan."
Di dalam hal ini, Islam amat mementingkan pembangunan sahsiah bagi setiap insan. Ilmu dapat menjadikan pemikiran manusia membangun dan seterusnya dapat membina peradaban bangsa. Ilmu juga sebenarnya suatu nikmat yang berupaya membersihkan manusia dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan dari sebarang kejahatan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud, "(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui." (Surah al-Baqarah, ayat 231)
Wanita yang mempunyai ilmu dan kemahiran merupakan suatu mekanisme yang dapat meneruskan tradisi penyampaian ilmu agar ilmu ini dapat disampaikan dan memberikan manfaat kepada orang lain dan generasi yang kemudian. Sudah tentu bekerja adalah kaedah yang berkesan dan lebih praktikal untuk mencapai matlamat ini. Malah, sekiranya kita memahami ayat di bawah ini, menunjukkan bahawa kaum wanita yang berpendidikan tinggi merupakan sumber manusia paling berwibawa selain sebahagian kaum muslimin (yang terpilih) bagi memelihara kesinambungan penyampaian ilmu kerana wanita tidak diwajibkan untuk keluar berperang secara fizikal, iaitu yang bermaksud, "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."
Ini menunjukkan bahawa, dengan pengurusan masa yang bijak dan disertai oleh sokongan penuh dari kaum lelaki, wanita bukan sahaja mampu memberi sumbangan kepada keluarganya malah kepada bangsa dan negaranya yang semuanya itu merupakan sumbangan yang amat besar kepada agama. Maka ketentuan-ketentuan ini memerlukan kerjasama dan pengertian daripada kaum lelaki. Ketika membuat keputusan untuk membenarkan atau sebaliknya kepada isteri keluar bekerja perkara-perkara ini perlulah diambil kira. Isteri yang taat dan beriman juga tidak akan membimbangkan perasaan hati si suami apabila dia keluar dari rumah. Dia akan menjaga akhlak dan kehormatan dirinya sebagaimana yang disebutkan di dalam sebahagian ayat ke 34 surah an-Nisaa' yang bermaksud, "Maka perempuan-perempuan yang saleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama."
Seseorang isteri yang beriman, akan menghargai keizinan dan kepercayaan suami yang diberikan kepadanya. Malah, secara sukarela dia akan menawarkan pendapatan yang dimilikinya dengan keluarganya termasuk suami walaupun secara prinsipnya seseorang suami tidak dibenarkan untuk menyentuh harta yang dimiliki oleh si isteri melainkan dengan izinnya. Apatah lagi dalam keadaan seorang isteri yang keluar bekerja bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh si suami. Di dalam hal ini, seseorang suami sewajarnya insaf dengan pengorbanan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh isteri dan membalasnya dengan sikap tolak ansur.
Sebagaimana kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai Asma' binti Abu Bakar al-Siddiq. Kata Asma'; 'Al-Zubair mengahwiniku dan dia bukanlah seorang yang berharta, tidak memiliki hamba kecuali seekor kuda. Aku pernah memberi makan kudanya, membelanya dan melatihnya. Aku mengisar biji kurma untuk memberi makan untanya. Aku pernah membawa air dan membaiki bekasnya, aku juga pernah membuat roti tetapi tidak mampu untuk membakarnya, maka jiranku yang berbangsa Ansar, merupakan seorang wanita yang baik hati telah membakarkan roti tersebut untukku. Aku pernah membawa hasil kurma dari ladang kurma yang dihadiahi oleh Rasulullah SAW dan ladang tersebut jauhnya adalah sebanyak dua pertiga farsakh. Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan pulang dengan hasil kurma yang aku junjung di kepalaku, aku berselisih dengan rombongan Rasulullah SAW. Baginda memanggilku dan meminta unta baginda agar duduk dan membolehkan aku menunggang bersama baginda di belakang. Aku memberitahu kisah ini kepada Al-Zubair, aku memberitahunya yang aku merasa sangat malu kerana aku tahu Al-Zubair adalah seorang yang kuat cemburu. Dia berkata bahawa adalah sesuatu yang teruk bagiku untuk melihat engkau menjunjung hasil kurma tersebut di atas kepalamu berbanding dari aku melihat engkau menunggang di belakang Rasulullah. Kemudian Abu Bakar telah menghantar kepadaku seorang pembantu, yang mengambil alih tugas membela kuda; seolah-olahnya aku telah bebas dari perhambaan."
Ayat surah an-Nisaa' yang disebutkan sebelum ini menyatakan bahawa kuasa kepimpinan yang diberikan kepada kaum lelaki antaranya adalah disebabkan suami memberikan nafkah kepada isteri. Rasional di sebalik ketetapan ini, sekiranya pihak isteri turut menyumbang pendapatannya bagi memenuhi keperluan keluarga, maka sewajarnya pihak isteri diberi kelonggaran dalam menjalankan peranannya sebagai pentadbir urusan rumah tangga. Apakah bentuk kelonggaran tersebut sebenarnya terpulang kepada keputusan bersama suami isteri.
Di sini tidak dinafikan bahawa kepatuhan seseorang isteri terhadap suaminya adalah tunggak kestabilan sesebuah institusi keluarga tetapi kebaikan pihak suami terhadap isteri merupakan jaminan bagi keharmonian rumah tangga. Ayat 34 dari surah an-Nisaa' yang menjadi asas institusi keluarga Islam seharusnya diselaraskan dengan firman Allah SWT dalam ayat 19 surah yang sama yang menyarankan sikap baik yang perlu ditunjukkan oleh seorang pemimpin keluarga, yang ayat tersebut bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang wajar. Kemudian, bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah, dilema yang dialami oleh golongan wanita yang telah berkeluarga dan pada masa yang sama bekerja perlulah diambil perhatian yang wajar oleh semua ahli keluarga terutamanya pihak suami yang berperanan sebagai ketua rumah tangga. Suami sewajarnya memberi kebebasan bagi isteri untuk memilih sama ada mahu menjadi suri rumah sepenuh masa atau memilih sebagai wanita yang berkerjaya. Ia sebagai mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pihak isteri. Keizinan yang diberi seharusnya keizinan tanpa syarat yang membebankan menurut fitrah seseorang wanita. Walaupun demikian, suami isteri perlu berbincang dan mengambil keputusan secara bersama tindakan-tindakan yang perlu diambil agar tidak wujud ruang yang menyebabkan sebelah atau kedua-dua belah pihak saling bertelagah mempertikaikan peranan masing-masing. Suami tidak mempertikaikan peranan isteri sebagai pengurus rumah tangga dan isteri tidak mendakwa yang si suami menyalahgunakan kuasa yang ada.
Sebaliknya pula, sekiranya pihak suami bersedia bertolak ansur dengan memberikan kebebasan kepada isteri, sewajarnya kebebasan ini tidak disalahgunakan. Seorang isteri yang bekerja tetap tertakluk di bawah pimpinan dan keredaan suaminya sekalipun dia menyumbang sebahagian pendapatannya kepada keluarga. Sekiranya wanita ini merangkap seorang ibu, maka dia tetap bertanggung jawab terhadap pendidikan anak-anaknya. Maka, dengan keizinan yang diberi oleh si suami sebagai individu yang berpendidikan, wanita berkerjaya perlu bijak membahagikan masanya antara keluarga dan kerjaya. Sekiranya kerjaya yang dipilih memaksanya untuk mengorbankan masa yang diperuntukkan kepada keluarga, maka di sinilah terletaknya cabaran bagi wanita bijak yang mengaku dia beriman kepada Allah SWT dan mentaati suaminya.
Renung-renungkan!
Sumber : Oleh Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi di iKiM.gov.my
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Selasa, Februari 05, 2008
Dilema Wanita Berkahwin Yang Berkerjaya
Susunan :
Bawang Goreng
pada
2/05/2008 09:47:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...