“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Januari 23, 2010

Kaunselor Anda : Bahana kahwin rahsia

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum,

Hari ini saya kongsikan sesuatu yang pelik yang pernah saya baca di BHarianOnLine 2010/01/17 ... Selalunya, kaunselor akan memberikan saranan yang seimbang dan tiada kritikan diberi kepada penanya. Tetapi, ini pertama kali saya baca komen kaunselor yang 'menghentam'... Kepada penanya, memang sendiri cari penyakit... hik.. hik..

Suami hidup tak tenteram sorok perkahwinan kedua daripada isteri, keluarga

SOALAN :

SAYA berusia lewat 40-an, sudah berkahwin dan mempunyai enam anak. Masalah saya bermula tujuh tahun lalu. Atas dasar simpati kepada seorang janda, saya mengahwininya secara rahsia. Keluarga isteri kedua menentang keras dan perkahwinan kami akhirnya terbatal kerana saya ditipu sindiket kahwin. Malah perkahwinan itu diketahui isteri pertama dan keluarga mentua isteri kedua. Atas persetujuan bersama, perkahwinan kedua saya tidak diteruskan dan kami berpisah.

Namun, tanpa pengetahuan isteri pertama, bekas isteri terus menghubungi dan mendesak agar kami berkahwin semula. Atas nama kasihan, kami berkahwin semula, juga secara rahsia di selatan Thailand. Sudah tiga tahun kami berkahwin, tetapi jarang berjumpa. Isteri kedua masih tinggal dengan keluarganya di luar negara.

Kini, saya dihimpit rasa berdosa kepada isteri pertama kerana selepas kejadian pertama dulu, dia ada mengingatkan saya agar tidak merahsiakan perkahwinan baru. Malah dia turut mengugut untuk menarik balik nafkah anak yang dikongsi bersama selama ini. Isteri pertama tidak tahu dia dimadukan dan masih menanggung nafkah keluarga. Dia juga tidak tahu rumah yang sepatutnya kami sewakan, sebaliknya saya jadikan tempat pertemuan saya dan isteri kedua.

Puan, perlukah saya berterus terang dengan isteri pertama atau berdiam diri kerana tidak mahu melukakan hatinya? Perlukah saya berterus terang dengan mentua isteri kedua kerana dia masih diberi nafkah kedua-dua ibu bapanya yang tidak mengetahui perkahwinan kami?

Keluarga saya dan dia menentang perkahwinan ini kerana berasakan saya tidak dapat memberi nafkah dan keadilan kerana selama ini isteri pertama yang banyak menanggung nafkah keluarga kerana dia pegawai kanan sementara saya cuma pekerja sokongan. Saya juga bersimpati dengan isteri kedua yang hidup terumbang ambing selepas bercerai dan pada masa sama, saya takut kehilangan isteri pertama.

Suami Serba Salah


JAWAPAN :

PERSOALAN yang anda kemukakan adalah masalah yang dibuat sendiri berdasarkan lonjakan nafsu besar, sedangkan kemampuannya kecil. Ibarat pepatah, gajah berak besar, kancil pun nak berak besar juga.

Saya sedih kerana anda sudah terlalu senang dan biasa hidup berbohong yang seakan-akan sudah menjadi darah daging anda. Akibatnya, anda tidak lagi dapat melihat kebenaran dan keberkatan hidup. Anda juga lupa anda dipertemukan isteri yang memberi nafkah anak, sedangkan itu adalah tanggungjawab anda selaku suami!

Sesungguhnya, adalah haram seorang suami menggunakan wang isteri secara tidak beradab. Itu sepatutnya anugerah yang harus disyukuri, bukan dikhianati. Suami jenis apa anda ini? Sanggup meletak najis pada makanan yang anda suap sendiri. Sekarang anda gali pula lubang untuk anda terjun sendiri ke dalamnya.

Pada saya, terlalu banyak pengkhianatan yang sudah anda lakukan terhadap isteri pertama, isteri kedua dan semua keluarga pihak isteri anda. Mengapa anda tergamak melakukan ini semua pada orang yang menyayangi dan mempercayai anda?

Apalah ertinya sayangkan isteri jika pada masa sama, anda sanggup pula mengkhianati cinta wanita yang sudah banyak berkorban untuk mengambil anda sebagai suami walaupun tidak anda tidak setaraf dengannya? Anda seolah-olah lupa diri siapa anda sebenarnya. Allah SWT sudah selamatkan anda dengan membatalkan perkahwinan kedua anda, tapi anda tidak serik masih meneruskan perkahwinan secara muslihat kotor anda seolah-olah tidak berasa takut dengan murka Allah SWT tetapi lebih takut kemarahan isteri.

Pada saya, anda harus berani menerima kenyataan anda sudah melakukan terlalu banyak kesalahan. Pertama, kepada Tuhan kerana sanggup berbohong seolah-olah Tuhan tidak lagi menilai anda.

Kedua, kesalahan terhadap isteri pertama dan keluarganya serta anak-anak anda yang sudah diabaikan nafkah mereka kerana mabuk mengurus isteri kedua anda. Ketiga, kesalahan terhadap mentua anda yang kedua.

Perkahwinan adalah suatu yang kudus dan suci. Jika dimulakan tanpa restu kedua-dua orang tua, maka perkahwinan itu sukar bahagia, apatah lagi jika ditentang mereka. Dalam hal ini, tiada istilah jalan pintas. Suka atau tidak, anda harus berterus terang dengan semua dan berani bertanggung jawab atas semua kesalahan yang sudah anda lakukan, serta bersedia untuk menanggung risiko yang akan mendatang. Ringkasnya, berani buat, berani jugalah tanggung.

Jika tidak, anda akan terus dibelenggu dosa pembohongan dan penipuan diri seumur hidup. Hidup tanpa kejujuran ibarat hidup dalam gelap, terkapai-kapai mencari cahaya, sulit berasakan ketenangan dalam hidup dan akhirnya sebaik mana pun anda sembunyikan keburukan dan kesalahan, pasti akan terbongkar juga pada satu hari nanti kebenarannya.

Ingatlah, lebih lama anda sembunyikan, lebih banyak anda berdosa dan lebih sulit untuk anda dimaafkan. Mengaku sajalah di atas semua kesalahan yang sudah anda lakukan dan nyatakan sebabnya dan terimalah hukuman yang diberikan oleh semua pihak teraniaya. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu berselindung lagi dalam semua urusan hidup anda.

Akhir sekali belajarlah membina hubungan lebih rapat dengan Allah SWT, akui semua kesalahan anda dan mohon pertolongan Yang Maha Esa untuk anda dapat terus dibimbing supaya hidup secara jujur dan ikhlas. Buanglah rasa cemas, rasa sedih kerana Allah SWT sangat dekat dengan kita, malah lebih dekat daripada urat nadi di leher kita sebab itu Allah SWT berpesan kepada hamba-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu bersedih sesungguhnya Allah SWT bersama kita.” (QS At-Taubah:40).

Kemudian Allah SWT berpesan lagi kepada hamba-Nya bahawa kebenaran akan melapangkan dada dan kebatilan akan membuat hati menjadi keras. “Insaflah dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.” (QS Luqman:17).

Cukuplah menyakiti hati insan tersayang demi menegakkan benang yang basah yang pada akhirnya terbukti membelit leher kita sendiri. Sampai bila anda mahu hidup dalam sandiwara yang boleh meragut kebahagiaan istana yang dibina? Buat kesekian kalinya, buktikan rasa cinta dan penghargaan anda terhadap isteri pertama yang sudah banyak berkorban wang, masa dan tenaga demi kesejahteraan anda. Biarlah kemelut ini dileraikan selagi anda diberi Allah SWT peluang bernafas. Ingatlah, berani kerana benar.

Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my

Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarianOnLine 2010/01/17





2 ulasan:

  1. Sapa yang jawab ya, bagus begitu. boleh dikaitkan dengan artikel saya, poligami boleh mengundang ke neraka.

    BalasPadam
  2. Salam ust,

    Kolum Kaunselor Anda, saya tak ingat kaunselornya sebab baca paper (Berita Minggu) di rumah adik ipar. Saya cari di OnLine, tapi tiada tertulis siapa kaunselor itu.

    Artikel ustaz tu ada saya hantar ke beberapa e-grup. Memang ramai yang tidak senang dengan artikel itu, dan ada pula yang menuduh saya 'sesat'...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails