“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, April 29, 2010

Menikmati kelazatan ibadat dengan sabar


Jangan cuba sekali-kali imbas perlakuan maksiat, sejarah buruk yang pernah dilakukan


INDIVIDU yang beriman kepada Allah dan Rasul sentiasa sabar menghadapi apa juga bentuk konflik sama ada rumahtangga, kerjaya mahupun apabila difitnah. Allah juga bertegas bahawa sifat sabar adalah perisai paling penting untuk setiap makhluk menghadapi ujian yang diberikan demi mengukur keimanan.

Sabar bermaksud hati yang teguh dan tidak melawan terhadap sesuatu dan lawannya ialah gelisah. Kerap kali kita diminta bersabar apabila ditimpa musibah, banyak kali pula kita yang meminta orang lain bersabar apabila mereka dilanda badai dalam kehidupan.

Menurut Dr Mohd Yusuf Al Qardhawi, sabar adalah sebesar-besar akhlak al-Quran. Menurut beliau kalimah sabar ini sering kali disebut di dalam kitab suci dan ia bukan saja merujuk kepada surah yang mengajar manusia mengenai iman malah juga surah yang menerangkan cara hidup mukmin.

Menurut Imam Al-Ghazali pula dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din, ada 74 kalimah sabar dalam al-Quran. Walau berapa pun jumlahnya, sifat sabar tetap dianggap antara sifat mahmudah yang boleh mendorong seseorang menjadi insan yang bertakwa.

Dalam Surah An Nahl ayat 126-127 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

Banyak hadis Rasulullah SAW menceritakan kepada kita betapa ganjaran, kelebihan dan kebaikan yang Allah SWT anugerahkan kepada hambanya apabila sifat ini dapat ditakluki secara sempurna. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang menyatakan kebaikan sabar, mafhumnya: “Bersabar terhadap perkara yang dibenci itu terkandung di sana kebaikan yang banyak.”

Sememangnya sifat sabar dalam pelbagai situasi yang Allah SWT bekalkan kepada setiap hamba-Nya dan paling utama ialah sabar dalam melaksanakan ketaatan sewaktu beribadat kepada Allah SWT. Ia hendaklah disertai dengan sifat ikhlas dan usaha bersungguh-sungguh. Kadang-kala kita berasakan bahawa mudah untuk melakukan sesuatu ketaatan. Kita boleh menunaikan solat setiap hari, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji dan umrah, tetapi adakah semuanya itu dilakukan dengan ikhlas?

Jika tidak, maka belum tentu kita sanggup bersabar sekiranya wujud halangan untuk menunaikan ibadah berkenaan, seperti cuaca yang terlalu sejuk untuk mengambil wuduk, terlalu panas untuk berpuasa atau meninggalkan anak di tanah air untuk menunaikan rukun Islam yang kelima di tanah suci. Akhirnya, bila berada dalam keadaan sukar, kita melalaikan kewajipan.

Nabi SAW dan sahabat contohnya, mampu ke masjid Nabi walaupun mereka terpaksa menghadapi suasana sejuk serta panas namun mereka tetap tidak melepaskan peluang untuk merebut pahala solat tahajud dan qiamullail sehinggakan mereka rasa begitu sedih dan sunyi apabila waktu solat tahajud kian berakhir, sehingga ada di kalangan mereka menangis apabila waktu solat malam berakhir kerana takut tidak berkesempatan untuk beribadah keesokan harinya.

Kelazatan beribadat sudah sebati dalam jiwa mereka dan kesabaran dalam melaksanakan ibadat berada di kemuncak tertinggi di sisi Allah SWT. Seorang ahli tasawwuf yang terkenal iaitu Imam Zakaria Al-Ansori, yang sepanjang hidup beliau sentiasa beribadat, tidak mahu sembahyang dengan cara duduk walaupun umur beliau menjangkau ratusan tahun.

Sehinggakan ketika sembahyang badan beliau bergoyang ke sana ke mari namun beliau tetap tidak mahu duduk. Apabila ditanya, beliau mengatakan bahawa ingin terus berdiri kerana nikmat dan kelazatan qiyam ketika sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat ternilai dan beliau sabar menghadapi kepayahan kerana nikmat yang mengatasi.

Sabar daripada melakukan perkara maksiat juga sukar kerana ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan paksaan yang kuat untuk meninggalkannya. Al Imam Al Habib Ibnu Alwi Al Haddad dalam membicarakan masalah ini memberikan suatu peringatan dengan sekeras-kerasnya supaya jangan sekali-kali cuba untuk mengingati atau mengimbas kembali segala sejarah buruk dan segala perlakuan maksiat yang dilakukan dulu kerana dosa dan maksiat adalah sesuatu yang menyeronokkan dan boleh membuatkan kita rindu.

Jelas, perkara ini amat berbahaya kepada kita sekiranya tidak ada paksaan daripada kita untuk meninggalkan segala ingatan berkenaan. Orang yang sentiasa berada di bawah peliharaan Allah SWT tidak akan sekali-kali menyerah kalah terhadap ujian hidup yang bertimpa-timpa, malah mereka menganggap semua menjadi sebab untuk menjadikan diri mereka lebih baik daripada sebelumnya.

Justeru, orang yang sabar untuk menunaikan ibadat dan sabar meninggalkan maksiat adalah orang yang mempunyai akhlak luar biasa dan mereka inilah yang akhirnya sabar walau dihalang dan kuat walau ditentang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Sumber : Nik Salida Nik Saleh di BHarian 01/04/2010


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails